Monday, November 30, 2009

BUAH RAMBUTAN POKOK SENDIRI

Awal tadi pagi, saudara-saudara Pak Caq mengambil beberapa tangkai buah rambutan yang dah ranum sangat. Memang betul, pukul 7.30 pagi lagi mereka dah makan buah rambutan. Bukannya mereka makan sarapan yang dah disediakan tu dulu. Biarkanlah, suka hati mereka ...

Waktu Pak Caq keluar kerja tadi, mereka kata nak panjat pokok rambutan untuk mengambil buah di dahan-dahan atas tu. Pak Caq pun kalut juga cuba ambil gambar buah rambutan tu. Berhasil jugalah usaha tu. Pak Caq dapat ambil gambar dari sudut bilik anak Pak Caq. Pokok tu memang dekat sebelah bilik beliau.

Lihatlah gambar buah rambutan yang Pak Caq ambil tadi pagi. Pak Caq terterakan dua gambar je le, satu gambar rambutan yang sudah dipetik, satu lagi ialah gambar buah yang masih di pokok.

Buah Rambutan Yang Dah Ranum

Setangkai Besar Rambutan Di Pokok

Tadi pagi Pak Caq tengok banyak lagi buah yang ada di atas pokok tu. Kira-kira dalam ratusan biji juga, kerana banyak lagi tangkai besar yang ada. Satu tangkai besar adalah dalam 20 - 40 biji. Elok juga kalau mereka panjat dan ambil buah tu, terutamanya yang dah ranum sangat.

Buah yang masih hijau pun nampaknya ada banyak tangkai lagi juga di dahan-dahan atas tu. Dari bawah pokok tu, tak berapa kelihatan. Tapi dari bilik anak Pak Caq baru nampak buah rambutan tu. Kira-kira lebat jugalah pokok rambutan berbuah kali ini kan! Alhamdulillah, rezeki murah kiranya.

Sunday, November 29, 2009

MAKANAN HASIL TANAMAN SENDIRI


Pak Caq baru je lepas solat asar selepas balik dari majlis kenduri kahwin hari ni. Selepas makan kenduri tadi tu, sanak saudara yang sedang 'bertamu' di rumah Pak Caq terus pergi melawat ke Putrajaya. Dalam sejam lagi baliklah tu, sebab malam nanti ada 'gathering' di rumah sepupu Pak Caq di Seksyen 14, Petaling Jaya pula.

Ada masa sikit ni Pak Caq layarilah Maya sekejap. Dah mula hujan ni. Tengok la, selagi tak ada guruh dan petir serta line ok, Pak Caq teruskan je le. Pak Caq sebenarnya teruja nak cerita tentang hasil tanaman yang menjadi sajian untuk semua yang ada di rumah Pak Caq.

Malam tadi buah jambu air hijau dan rambutan gading jadi sajian masa ramai-ramai duk bersembang-sembang. Pagi ni pula buah cempedak yang dah masak ranum digoreng sebagai tambahan sajian makan pagi. Wah! Pak Caq betul-betul seronok tengok dia orang makan semua ini dengan penuh selera. Syukurlah dengan rezeki yang Allah kurniakan.

Sebenar-nya isteri Pak Caq yang suka tanam pelbagai jenis pokok di dalam dan di luar kawasan rumah. Mulanya Pak Caq tak teruja sangat, tolong-tolong saja. Tapi bila lihat semua pokok tanaman tumbuh dengan segar dan baik, Pak Caq pun ikut suka pulak. Selepas tu terujalah pula bila pokok-pokok ini berhasil. Pokok bunga berbunga cantik, dan pokok berbuah juga berbuah dengan baik selepas beberapa tahun.

Macam-macam pokok ada. Antara pokok buah-buahan yang ditanam ialah rambutan kuning [gading] dan merah [budak sekolah], mangga, cempedak, jambu air merah dan hijau serta pokok dukung, dan pisang raja. Pokok-pokok ini dah berbuah semuanya. Selain itu, ada juga ditanam pokok petai, manggis, pokok asam yang sudah berumur 3 -5 tahun; dan terakhir ditanam ialah pokok avocado, pulasan dan pisang tanduk yang baru berumur sekitar setahun. Pak Caq yakin nanti akan berhasil juga.

Kata orang, tangan isteri Pak Caq sejuk sebab itu tanaman pokok menjadi. Entahlah, apapun memang murah rezeki la kan?

Lihatlah gambar di bawah. Pokok-pokok cempedak dan jambu air hijau ini ditanam di kawasan luar. Cempedak tu lebat juga, ada la dalam seratus biji rasanya. Buahnya dari pangkal pokok membawa nun ke puncak pokok. Dah ramai yang mahu dan minta izin - termasuklah tukang sapu jalan dan pekerja angkat sampah; mereka tunggu tua dan/atau masak je. Nanti akan ada juga yang curi ambil begitu saja.

Buah Cempedak Di Sebahagian Dahan Atas

Buah Cempedak Di Pangkal Pokok

Buah Cempedak Masak
Dan Sepiring Cucur Cempedak

Di bawah ni pulak ialah gambar jambu air hijau yang baru pertama kali berbuah. Ada banyak tangkai juga, tapi tak lebat sangat. Buahnya agak kecil sedikit. Setahu Pak Caq pokok buah memang macam tu - pertama kali berbuah agak kecil sedikit dan tak berapa lebat. Setahun dua selepas tu barulah lebih besar dan lebat buahnya.


Setangkai = 5 Biji Jambu

Setangkai = 6 Biji Jambu

Serumpun Jambu Yang Baru Di Petik

Ada banyak tangkai lagi yang sudah boleh dipetik. Kelihatannya ada lagi yang belum masak dan ada juga yang baru mula berisi. Boleh dikatakan banyak juga. Jambu air merah, waktu pertama kali berbuah tahun lepas adalah beberapa tangkai saja. Tetapi sekarang ni yang merah pun nampaknya dah berbuah lagi dengan agak lebat, tapi masih diperingkat buah putik lagi.

Pak Caq tak dapat ambil gambar buah rambutan gading di pokok. Buahnya dah tinggal tak banyak lagi, dan yang ada pun di bahagian atas yang agak tinggi. Sudah sebulan lebih rambutan ni mula masak dan diambil makan. Tapi tahun ni buahnya tak lebat sangat kerana selepas berbuah terdahulunya, Pak Caq suruh tukang cuci laman tu menebang beberapa dahan. Namun begitu masih banyak sampai tak terhabis makan juga.

Rambutan ini ditanam di kawasan belakang rumah, dan pokoknya memang agak besar juga. Usianya pun dah dekat dua puluh tahun rasanya. Jiran-jiran pun suka rambutan ni kerana isinya padat, manis dan lekang dengan baik. Pak Caq pelawa mereka ambil sendiri je le. Dah banyak sangat tu, tupai pun ikut dapat bahagian juga, terutama sekali buah di bahagian-bahagian atasnya.

Seronok kan? Kalau nak dapat rezeki seperti ini, ikutlah tanam. Ada pokok mula berbuah dalam masa dua tahun lebih iaitu seperti jambu dan rambutan budak sekolah. Paling lama mungkin pokok dukung, manggis dan petai le kut.

Pokok dukung Pak Caq mula berbuah selepas masuk lima tahun, tapi Pak Caq dan isteri tak tahu pula bonjol-bonjol seperti merekah di batangnya tu ialah tanda pokok nak berbuah. Habis semuanya kita orang kikis. Tahun lepas merajuk le kut - tak pula berbuah. Tapi tahun ini adalah berbuah sedikit. Kira-kira dah tahu rasanya - manis, dan ulasnya juga cantik.

Sekarang Pak Caq tunggu petai dan manggis pula berbuah. Masing-masing sudah berusia 5 dan 4 tahun. Kata orang manggis tu memang lambat berbuah. Tak apalah, tunggu saja.

Saturday, November 28, 2009

SELAMAT HARI HARI RAYA EIDILADHA


Pak Caq mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya EidilAdha kepada semua. Lewat seharilah kiranya. Tapi Hari Raya Korban ni tiga hari, jadi berkesempatan lagi untuk Pak Caq ucap selamat ni kan!

Tahun ni Pak Caq sekeluarga sibuk dengan acara keluarga je. Ramai pulak keluarga datang masa cuti sekolah kali ini. Mungkin kerana ada beberapa keluarga buat kenduri di sini, jadi mereka ambil kesempatan untuk datang sambil bercuti juga. Dah agak sesak juga kat rumah Pak Caq dengan lima keluarga sekali gus. Malah ada yang dah kena tidur di luar bilik pun. Tetapi mereka nampaknya gembira. Dah jadi macam mini pesta kenduri juga di rumah Pak Caq.

Ok, Pak Caq tak boleh lama ni. Selepas zohor, semua nak pergi kenduri.

Tuesday, November 24, 2009

RUMAH JADI 'TEMPAT' BERCUTI SEKOLAH

Assalamualaikum.

Besar kemungkinannya seminggu ini Pak Caq tak punya masa untuk melayari Maya di rumah la. Pak Caq sekeluarga ada ramai tetamu bercuti di rumah.

Minggu ini sekolah sudah pun mula bercuti. Seperti biasa adalah keluarga dari utara datang ke Kuala Lumpur bercuti dan duduk di rumah Pak Caq. Cuti ni nampaknya awal lagi rumah Pak Caq sudah ditempah oleh dua keluarga. Mereka sampai pada petang hari Ahad dan akan bercuti di sini hingga selepas Hari Raya Haji dan majlis kenduri kahwin saudara di Kelang pada hari minggu akan datang ni.

Pak Caq sekeluarga tak bercuti kerana Pak Caq, isteri dan anak masing-masing mempunyai komitmen kerja. Jadi keluarga yang datang terpaksa 'self-service' la, dan mereka memang benar-benar buat macam rumah sendiri. Bila Pak Caq anak beranak balik kerja, mereka pulak yang dah siapkan makanan.

Mereka sudah pun pesan jangan beli makanan, tapi isteri Pak Caq beli juga tadi. Dah la berlebih-lebih makanan. Tapi kata mereka boleh makan sampai besok, dan mereka berpesan lagi supaya kita orang jangan fikirkan tentang makan minum mereka kerana mereka 'tahu melayan diri.' Sampaikan mereka dah siap bawa daun palas untuk buat ketupat untuk Raya Haji nanti. Mereka pun dah 'gang-up' dengan saudara di Sungai Buloh untuk pergi beli daging di pasar malam Paya Jaras esok hari untuk buat rendang dan sebagainya.

Nampaknya macam kita orang pula yang jadi tetamu. Saudara yang datang pula yang dah siap dengan rancangan sambutan Hari Raya Haji di rumah Pak Caq nanti. Tapi begitulah saudara dekat kan? Lagi pun mungkin mereka rasa amat selesa di rumah Pak Caq ni kerana isteri Pak Caq jenis yang amat pemurah dan tak cerewet.

Namun begitu, jadual di rumah dah kena disesuaikan juga. Mereka semuanya jenis yang kaki sembang pulak tu. Jadi kenalah layan juga. Ini mereka baru masuk tidur, Pak Caq pun masuklah ke Maya ni sekejap.

Kalau Pak Caq ada ruang waktu, Pak Caq akan cuba melayari Maya dan buat 'posting' lagi di minggu ini.

Saturday, November 21, 2009

BILA TAK DAPAT MEMBENDUNG EMOSI

Kekadang kita terpaksa mendengar orang memberitahu kita apa yang amat menyakitkan hati dan menguris perasaan dan kekadang kita pula terpaksa memberitahu apa yang kita sendiri tahu akan mengguris perasaan saudara dan/atau kawan kita. Pak Caq yakin semua orang pernah melalui detik dan masa begini.

Setahu Pak Caq perkara ini berlaku antara pihak yang terlibat saja. Selepas itu baru mungkin pihak yang bengang akan memberitahu orang-orang yang rapat dengannya. Mungkin juga selepas itu cerita itu dipanjangkan bila ada di antara mereka yang diberitahu itu memberitahu orang lain yang rapat dengan mereka pula. Tapi rasanya selepas itu cerita itu akan terhenti begitu sajalah.

Tetapi malam ni tadi, peristiwa seperti ini berlaku semasa Pak Caq dan isteri menghadiri majlis resepsi perkahwinan. Ia bukan melibatkan Pak Caq suami isteri tapi ia berlaku di meja kita orang dan di hadapan semua yang berada di meja itu. Panjang juga 'kenyataan' si isteri pihak yang menerjah dan bersemuka tu, sementara si suaminya pula turut menokok-tambah sedikit. Apa yang dikatakan semuanya agak keras dan mengguris perasaan. Terkedu semua orang lain di meja itu. Kira-kira peristiwa tu 'spoil the mood' la. Kita orang lepas itu banyak diam je; sampai masa makan pun senyap saja.

Tak sangka pula seseorang itu tergamak buat begitu; di majlis keraian yang ceria gembira dan juga dengan tetamu-tetamu lain di meja berdekatan yang boleh terdengar juga. Inilah baru kali pertama Pak Caq berdepan dengan keadaan seperti ini.

Sebaik saja tetamu VVIP bangun untuk balik, kita orang pun sama juga bergegas bangun untuk beredar dari meja makan. Kawan yang duduk di meja sebelah pula pegang tangan dan terus bertanya tentang peristiwa itu. Ya Allah, macam mana la nak jawap tu?

Pak Caq cuma katakan yang kita orang sendiri tak tahu sangat jugalah selain dari apa yang dikatakan oleh pihak yang membuat kenyataan secara berdepan itu. Memang betul kita orang tak tahu pun hujung pangkalnya.

Kasihan pihak yang lagi satu tu. Nampak jelas mereka marah, tetapi mereka juga jelas sangat beretika dan berwibawa. Mereka suami isteri minta pihak yang membuat kenyataan itu supaya menghormati tetamu lain dan mengatakan bahawa masa itu tak sesuai untuk membangkitkan perkara berkenaan. Nasib baik juga si suami pihak yang menyerang pula cepat mendapat 'cue' dan menyuruh isterinya berhenti dari meneruskan isu berkenaan. Bila dah beberapa kali tak diendahkan oleh isterinya, beliau menyergah isterinya dengan nada yang keras pulak. Itu yang paling membuat semua orang lain terus terkedu tu.

Isteri Pak Caq pun diam saja sepanjang masa majlis sejak tercetus peristiwa itu. Bila kemudianya tu kawan kita orang bertanya pun, beliau hanya menggelengkan kepala. Bukan kebiasaan isteri Pak Caq begitu. Bila dah dalam kereta barulah beliau komen, "Macam tak percaya pulak si '......' boleh berkelakuan begitu! 'I was shocked beyond words,' betul terkejut dibuatnya!"

Benar juga kata isteri Pak Caq tu. Perkara yang berlaku dan orang yang melakukannya tu macam satu mimpi pelek pulak.

Pak Caq sekeluarga tak berapa rapat sangat dengan mereka. Tetapi setahu kita orang si isteri tu agak pendiam orangnya. Agaknya dia dah terlalu marah sangat la tu. Jadi itulah agaknya dia dah tak dapat nak membendung emosi marahnya lagi; sampaikan dia dah hilang rasional tentang batas tata susila asas.

Kita pun tak tahu tentang cerita dan perkara yang sebenarnya. Tetapi Pak Caq kenal baik juga dengan pasangan suami isteri yang 'diserang' tu. Rasanya macam tak percaya mereka boleh buat seperti apa yang dikatakan oleh pihak yang berkenaan.

Kekadang itu ada juga kes kerana orang lain memberitahu tentang sesuatu yang katanya diperkatakan oleh orang lain pulak mengenai diri seseorang. Kemudian seseorang itu akan berdepan dengan orang yang dikatakan mengatakan tentang dirinya. Pendeknya ada juga kes seperti ini berlaku kerana pihak ketiga yang suka menyampai-nyampai.

Apapun, Pak Caq harap kita sama-samalah ambil iktibar tentang peristiwa yang Pak Caq ceritakan ini. Kalau nak bersemuka juga tu, eloklah di tempat dan masa yang sesuai; seeloknya juga tidak dilakukan di depan sesiapa yang lain.

TERTEKAN 'PUBLISH POST'

Pak Caq baru buka laptop dan tengah tengok-tengok apa nak tulis, tangan pun mengacah-acah ke sana sini. Dah pula tertekan 'publish post' dan terus pergi ke blog ... haha ... dah tak berisi cerita apa! Kelam kabut le Pak Caq tarik balik. Macam-macam ya!

Sebenarnya Pak Caq nak jawap komen dulu. Lepas tu nanti baru buat posting la ya.

Thursday, November 19, 2009

SUNAT AFDAL DALAM BULAN ZULHIJJAH

Pak Caq nak turut warwarkan tentang amalan-amalan sunat bagi umat Islam dalam bulan Zulhijjah atau bulan Haji ini. Sepatutnya Pak Caq dah buat pun 'posting' ini. Tapi sekarang ni Pak Caq amat sibuk dengan kerja di waktu siang hari. Masa rehat makan tengahari pun diisi dengan menyemak kerja juga. Bila balik, di rumah pada malam hari selalu saja 'internet down' pulak. Dah banyak kali apa yang Pak Caq tengah buat habis lebur bila tiba-tiba 'line' tu terputus.

Tengahari ini Pak Caq ada kesempatan untuk melayari Maya sekejap. Insya Allah dapatlah habis dengan topik ini.

Amalan-amalan Sunat Tambahan Yang Afdal Di bulan Zulhijjah:
  1. 1 - 8 haribulan - Sunat Berpuasa kerana ganjaran pahala kebajikan yang teramat baik. (*Sila lihat senarai ganjaran di bawah.)
  2. 8 hb Zulhijjah - Sunat menghidupkan malamnya dengan banyak beribadat.
  3. 9 hb (Hari Wukuf di Arafah) - Hidupkan malam dengan banyak beribadat, berpuasa bagi orang yang tidak menunaikan haji dan membaca surah Al Ikhlas sebanyak 1000 kali.
  4. 10 haribulan - Menunaikan solat sunat Aidil Adha dan bertakbir serta melakukan korban dan bersedekah. Juga disunatkan membaca, "Laa ilaaha illaa'llahu wahdahu laa syariikalah, lahul'lmulku wallahu'llhamdu yuhyi wayumitu wa huwa haiyunn, laa yamuutu biyadihi'lkhair wa huwa 'alaa kulli syai ink-qadiir" di malam permulaan 10 Zulhijjah sebanyak 400 kali.
  5. 11 - 12 hb (Hari-hari Tasyrik) - Hidupkan malam dengan banyak beribadat serta bertakbir setiap lepas solat wajip.
  6. 29 hb atau 30 hb - Membaca doa akhir tahun selepas solat 'Asar sebanyak 7 kali atau sekurang-kurangnya 3 kali.

*Ganjaran Pahala dan Rahmat Kebajikan Di bulan Zulhijjah:

  • 1 hb - Hari Nabi Adam a.s. mendapat keampunan daripada Allah SWT. Sesiapa berpuasa, insya Allah akan diampuni segala dosanya.
  • 2 hb - Hari doa Nabi Yunus dikabulkan dan baginda dikeluarkan dari perut ikan Nun. Sesiapa berpuasa, insya Allah dia mendapat ganjaran pahala seolah-olah berpuasa setahun.
  • 3 hb - Hari doa Nabi Zakaria dikabulkan. Insya Allah akan dikabulkan doa mereka yang berpuasa pada hari ini.
  • 4 hb - Hari lahir Nabi Isa a.s. Sesiapa berpuasa pada hari ini, insya Allah akan dijauhkan segala kefakiran dan keresahan daripadanya.
  • 5 hb - Hari lahir Nabi Musa a.s. Sesiapa berpuasa, insya Allah akan mendapat keamanan dari seksa kubur.
  • 6 hb - Hari Allah membukakan segala kebajikan bagi Nabi-nabinya. Insya Allah, sesiapa berpuasa akan mendapat rahmat kebajikan juga.
  • 7 hb - Hari mula ditutup segala pintu neraka selama 3 hari, iaitu sehingga 10 Zulhijjah. Sesiapa berpuasa, Insya Allah akan mendapat ganjaran ditutup 30 pintu kesempitan dan dibukakan 30 pintu kemudahan.
  • 8 hb - Hari ini dinamakan hari Tarwiyah. Sesiapa yang berpuasa, insya Allah akan diberi ganjaran baik yang hanya diketahui oleh Allah SWT jua.
  • 9 hb - Hari Wukuf di Arafah. Sesiapa yang berpuasa, insya Allah akan mendapat keampunan dan dihapuskan dosa-dosanya pada sepanjang tahun hadapannya.

SELAMAT MENUNAIKAN IBADAH HAJI


Dah lewat pun ya. Tapi sementara internet ada ni, dan Pak Caq pun tak tidur lagi elok juga Pak Caq melayari Maya sekejap la jugak.

Bukan apa, sudah dua malam internet Pak Caq ni sekejap dia ok sekejap tak. Tengah-tengah taip, tiba-tiba dah 'disconnected' sampai Pak Caq dah ngantuk pun tak ok. Terpaksa di 'off'kan juga sebelum tidur kerana takut hujan dengan guruh dan petir. Dah la lebur apa yang di taipkan kerana sistem belum sempat 'auto-save' lagi.

Ni Pak Caq nak cepat-cepat je le. Pak Caq nak mengucapkan Selamat menunaikan ibadah haji kepada semua sanak saudara dan sahabat handai serta kawan rakan yang mendapat rahmat Allah untuk mengerjakan ibadah rukun kelima ini. Semoga semua dirahmati Allah untuk mendapat ganjaran pahala haji yang terbaik. Insya Allah, semua mendapat Haji Mabrur.

Sunday, November 15, 2009

MENCARI ARAH

Episod 21

MENANGANI MASAALAH PERASAAN

Sudah Tiada Pilihan

Afifah resah memikirkan bagaimana reaksi Fazlan nanti apabila dia memberitahu tentang kehadiran Ku Adi dalam jadual hariannya. Dah beberapa hari dan berkali-kali serta lama juga dia berbincang dengan Ku Adi dan Mahadir. Mahadir, kawan Fazlan, pun sudah hampir dua minggu tinggal bersama Ku Adi.

"I understand. Tapi lagi lama you tunggu lagi susah nanti. Like I told you before, Allen truly loves you Efa. Whatever pun, he will come around to accept your reason. Lebih baik dan lebih elok if you do it soon, like today or tomorrow, pendeknya soon," demikian Mahadir memberi pendapatnya tadi pagi.

"Ded kata nanti he will follow up and help Allen to understand. Macam Adi selalu kata, lebih baik dia dengar dari mulut isterinya sendiri," Ku Adi pula menyokong.

"Kau tahu Abang Allen kan? Kalau bukan Ku Adi, mungkin dia boleh bersikap terbuka. Aku risau la," Afifah meluahkah perasaannya kepada Aziah.

Lama Afifah bergayut di telefon. Dia berbicara dengan satu-satunya sahabat baik yang masih setia berhubungan dengannya walaupun mereka terpisah beribu batu.

"Tetapi betul la seperti kata Ded dan Ku Adi tu. Makin kau tangguh, makin sukar. Macam mana pula kalau orang lain yang kenal kau dan Abang Allen tiba-tiba pula terserempak dengan kau dan Ku Adi di sana. Ini baru Ded, tak apa jugalah, sebab dia faham. Buatnya orang lain nanti, boleh meletup macam gunung berapi tau," Aziah pula memberi dorongan dan nasihat yang senada dengan saranan Ku Adi dan Mahadir.
Sudah lama Afifah tahu dan insaf bahawa dia mesti berterus terang dengan Fazalan. Dia juga sedar bahawa walau setulus mana pun hubungannya dengan Ku Adi, Fazlan akan tetap terluka. Afifah seboleh-bolehnya mahu kesan luka itu di tahap paling minima. Bagaimana cara nya tu la yang membuat dia bingung. Sekarang dia semakin terdesak.

'Nampaknya aku mesti beritahu Abang Allen malam ini juga. Aku dah tak ada pilihan,' demikian kata putus dari hatinya.

Ledakan Gelora

Sebaik saja Afifah menceritakan tentang keberadaan Ku Adi di London, Fazlan terus diam. Puas Afifah memohon maaf dan pinta pengertian dalam sebak tangisnya, tetapi beliau tidak bersuara sepatah apa lagi.

"Inilah yang Efa takutkan. Abang tentu akan salah terima, Abang tentu akan marah Efa. Efa minta ampun maaf banyak-banyak sekali lagi. Ok la Abang, nanti Efa telefon Abang lagi," Afifah sebak menutup perbualan sebelah pihak itu dan terus meletak gagang telefon.

Selepas Afifah meletak gagang telefon, baru dia terperasan yang selama dia bercakap seorang tadi, Fazlan tidak pun meletak gagang telefon.

'Perhaps I should have just waited until Abang Allen sendiri letak telefon dulu di sana,' kata hatinya.

Tergerak juga hatinya untuk menelefon kembali. Tapi bila di fikirkan secara logik, tentu lebih baik dia menunggu sehingga besok pagi saja waktu Malaysia untuk memberi masa kepada Fazlan untuk cuba mengerti keadaan. Namun dia juga rasa menyesal kerana menelefon waktu malam di Malaysia kerana sudah pasti Fazlan akan terkesan dengan berita yang dia sampaikan dan sudah pasti juga berita ini akan menganggu jadual tidur Fazlan.

'Esok Ahad, and Abang Fazlan tentu dapat berehat juga,' dia cuba menyedapkan perasaan resahnya.

Dari sejak Afifah menelefon Fazlan, dia mengurung saja diri di apartmennya. Walaupun Ku Adi dan Mahadir tadi datang untuk cuba memberi sokongan moral, Afifah menolak kedatangan mereka. Malah dia juga tak mahu keluar dan turun ke bawah untuk berjumpa mereka di dewan utama tetamu. Puas mereka berdua memujuk di luar pintu apartmennya, tapi Afifah langsung tidak mahu melayan lagi.

"Could it be Fazlan was too harsh on Efa?" Ku Adi bertanya kepada Mahadir.

"Allen memang sensitif dan passionate tentang apa-apa pun yang bersangkut-paut dengan Efa. But he truly loves her, and whatever also, Allen akan come around. I yakin dia tak marah Efa begitu," tegas Mahadir.

"Would be a good idea for us to call him and explain? Perhaps you would be the best person to talk to him," Ku Adi menyaran lagi.

"I memang ingat nak call Allen, tapi not today la. Nanti I akan call juga, esok pagi ke?" balas Mahadir.

Afifah sendiri resah menunggu waktu malam. Dia sudah nekad untuk menelefon Fazlan lagi pada pukul 11 malam Sabtu itu, iaitu kira-kira waktu Fazlan akan selesai solat Subuh di pagi Ahad. Tetapi apabila tiba waktunya, dan Afifah berkali-kali menelefon Fazlan, telefon tidak diangkat juga.

"Ded, I minta tolong sangat-sangat, please try to call Abang Allen for me. Dah lebih dua jam Efa call, tapi he didn't pick up the phone," kata Afifah sebak.

Walaupun sudah tidur, nasib baik juga Ku Adi mudah terjaga. Tetapi Afifah pula bertegas mahu berbicara dengan Mahadir. Dalam laluk bangun dari tidur, Mahadir ternyata kurang peka dengan perasaan Afifah.

"Esok la. Esok kita cerita dulu. Ni dah lewat sangat, waktu tidur ni. You tidur dulu, ok?" jawap Mahadir.

"Ded, obviously Efa tak dapat tidur. That's why she called. Come on, get up, go wash your face," sampuk Ku Adi, sambil menarik telefon dari Mahadir.

"Efa, be strong dear. Adi tahu Efa tengah amat sedih dan risau, tapi banyak-banyak berdoa dan minta pertolongan Allah," Ku Adi cuba memberi sokongan moral, walaupun beliau tidak pasti apa sebenarnya yang berlaku.

"Abang Allen won't even pick up the phone, berkali-kali I called, dah lebih dua jam," jelas Afifah dalam sebak.

"Mungkin Fazlan belum bangun tidur lagi. Efa sabar banyak-banyak," Ku Adi memberi semangat.

"But Abang Allen is an early riser. He just didn't want to answer my call," jelas Afifah lagi.

"Efa nak Ded tolong call Fazlan ke?" Ku Adi sudah dapat mengagak hasrat Afifah. Sebelum Afifah sempat menjawap, Ku Adi terus memberi komitmennya.

"Ok Efa, Adi will make sure Ded call Fazlan in a while. Selepas tu nanti, Adi call Efa balik. Now, Efa cuba bertenang dan bawa berdoa ya," begitu kata Ku Adi.

Afifah terus meletakkan telefon selepas mengucapkan terima kasih. Hati dan perasaannya jelas mengerti keadaan Fazlan.

'Aku yang bertanggung-jawap sepenuhnya di atas gelora ini,' bisik hatinya.

BARU DAPAT MENGHADAP 'LAPTOP'

Ingat tadi selepas balik dari pergi kenduri kahwin hari ini, banyaklah masa terluang kerana malam dah tak ada jemputan lagi. Tapi petang tadi ada tetamu datang ke rumah. Kawan lama, sejak semasa belajar di RMC yang Pak Caq berjumpa dekat tempat kenduri tadi menerima pelawaan untuk datang ke rumah.

Tahu sajalah bila dah jumpa kawan lama. Tambahan pula lama betul kita orang tak berjumpa, dah bertahun jugalah. Seronok betul bercerita tentang masa sekolah dulu.

Lepas tu macam-macam cerita lagi keluar. Dah mereka duduk di Perak tu, banyak pula cerita-cerita Perak keluar. Pak Caq malas la nak komen pasal cerita yang berbaur politik ni. Tapi, seronok jugalah dengar kan!

Kawan Pak Caq sekeluarga baru juga bertolak balik. Ya la, makan malam pun lewat juga, iaitu selepas solat Isyak. Walaupun mereka boleh jamak bila sampai di rumah mereka, tetapi mereka selesaikan kewajipan ini di rumah Pak Caq. Secara bergurau mereka kata, " ... solat di sini, pendek dua rakaat." Betul juga tu, kalau mereka balik tunaikan di rumah mereka dah tak boleh dipendekkan lagi!

Pak Caq nak sambung novel ni. Kalau dapat, Pak Caq buat 'posting' malam ni jugalah.

Saturday, November 14, 2009

TUNGGU ESOK SAJA


Hari ni, dari petang sampai malam nampaknya hujan saja. Tapi Pak Caq pula dah rasa letih sangat malam ni. Letih pergi sini sana la ni.

Agaknya letih sebab makan kenduri juga kan! Dari pagi sampai ke malam, pergi makan kenduri saja. Pagi kenduri doa selamat di rumah jiran, petang kenduri kahwin di Bangi, dan malam ni tadi pun majlis resepsi perkahwinan di KL pula.

Pak Caq ingat elok sambung cerita esok saja. Kalau letih-letih macam ni cerita pun lain jadinya nanti.

KERJA BANYAK DAN MUSIM HUJAN

Assalamualaikum, bertemu kembali.

Wah, cepatnya masa berlalu. Siang hari Pak Caq terlalu amat sibuk dengan urusan kerja, malam pun cuaca tak mengizinkan. Jadi Pak Caq tak dapat juga melayari Maya.

Seperti minggu lepas juga, hujan lebat, guruh dan petir saban hari. Nampaknya hujung minggu je le dapat ke sini kalau siangnya tak hujan dengan guruh petirnya.

Ni di siang hari Sabtu pun Pak Caq dapat melayari Maya sekejap saja. Pak Caq tengah menunggu isteri dan anak bersiap untuk pergi kenduri kahwin di Bangi pula. Tadi pagi pergi kenduri doa selamat dekat rumah jiran yang baru mendapat cucu.

Sekiranya balik nanti tak hujan, dengan guruh dan petir, bolehlah Pak Caq buat posting lain: sama ada cerita baru ataupun sambungan novel. Insya Allah. Jika cuaca tak mengizinkan, Pak Caq cuba esok pula.

Sunday, November 8, 2009

MENCARI ARAH

Episod 20

SUDAH KETAHUAN

Mencari Kekuatan

Sudah lebih lima bulan Afifah berada di perantauan kerana menyambung pelajarannya. Cuaca yang sejuk dan berada berjauhan daripada suaminya membuatnya kesunyian. Walaupun setiap hujung minggu dia menelefon Fazlan, dia masih merasa sunyi. Cuaca yang amat sejuk di hujung tahun dan berada berjauhan daripada suaminya membuatnya merasa lebih sepi.

Sejak hampir selama lima bulan itu juga, setiap hujung minggu Afifah mula menulis satu surat yang isinya sama untuk Fazlan. Namun sampai ke hari ini surat yang isinya sama itu tidak pernah habis ditulisnya, dan belum lagi dapat dihantar. Afifah telah jenuh mencuba tapi pelbagai fikiran akan menghantuinya.

Afifah amat sedar keberadaan Ku Adi setiap hari menemaninya pergi dan balik ke kampus dan juga dalam urusan tertentu akan mengundang reaksi negatif dari Fazlan. Dari sejak mula lagi Fazlan tidak pernah selesa dengan kehadiran Ku Adi. Apatah lagi sekarang, Fazlan jauh di tanah air, sedangkan dia dan Ku Adi sama-sama berada di London.

Memang Afifah mahu berterus-terang kerana dia amat menghormati dan menyayangi Fazlan sebagai suaminya. Tetapi Fazlan amat sensitif apabila sesuatu apa itu bersabit dengan Ku Adi. Dia tidak mahu Fazlan salah faham dan kecil hati. Namun memberitahu juga akan membuat Fazlan berperasaan tak tentu arah nanti.

"Oh Tuhan, berilah aku kekuatan," begitulah Afifah berdoa setiap hari. Bukan saja kekuatan untuk memberitahu Fazlan, tetapi juga kekuatan untuk menjaga iman dan kehormatan dirinya.

Afifah juga sedar bahawa sebenarnya Ku Adi yang memberinya penghormatan dan kasih yang amat ketara. Sejak pertemuan semula di London, tak pernah sekali pun Ku Adi cuba mengambil kesempatan. Ku Adi jelas menjaga batasan. Jika sebaliknya, Afifah tahu imannya akan tergugat.

Sepatutnya mudah baginya untuk memberitahu Fazlan perkara yang sebenarnya. Tetapi Afifah tidak yakin yang Fazlan akan menerimanya sebaik perkara yang benar. Oleh sebab itulah dia masih cuba menulis surat untuk memberitahu Fazlan secara yang terbaik. Masaalahnya dia masih tercari-cari perkataan serta cara menceritakan semuanya dengan yang terbaik.

Dunia Kecil Saja

"Assalamualaikum Efa," terdengar sapaan dari sudut bahagian rujukan di perpustakaan kolejnya.

Afifah rasa dia kenal suara itu. Dia segera menoleh ke arah datangnya suara itu. Ternyata benar. Mahadir, kawan Fazlan yang dulu bertugas di Jabatan Pelajaran, berdiri di sebelah rak buku rujukan pentadbiran dan pengurusan di kampusnya. Terkedu lidahnya.

"Ehhh, kena jawab salam I dulu," kata Mahadir.

"Waalaikumsalam," balas Afifah sedikit gugup.

"I am attending a short course at RIPA here. Dah dekat saja I datanglah sini, memang cuba cari Efalah," jelas Mahadir tanpa menunggu Afifah bertanya terlebih dahulu.

"Ni Tengku Nazrul Hadi? .. Hi, assalamualaikum. I am Mahadir, kawan Efa dan Allen," sambung Mahadir sambil menghulur tangan untuk berjabat salam dengan Ku Adi.

Ku Adi segera menyambut tangan dan bersalaman dengan Mahadir, sambil membalas salam itu dengan mesra.

"Sorry, I could not recall. But we have met before right?" Ku Adi bertanya.

"Not quite actually. Tapi I pernah lihat Tengku a few times," balas Mahadir.

"Ehh, just Adi please. All my friends call me Adi or Ku Adi, but I prefer just Adi, Ok?" jelas Ku Adi.

Panjang Ku Adi dan Mahadir berbual, seolah-olah mereka kawan lama yang baru berjumpa semula. Afifah lebih banyak melihat saja. Pelbagai soalan yang dia mahu bertanya, tapi tak satu pun terkeluar dari mulutnya.

"Jom la, better kita pergi makan dan minum," syor Ku Adi.

"Efa nak balik, dah petang sangat ni," kata Afifah setelah melihat jam sudah lewat 6 petang.

"Efa dah tak jadi buat rujukan ke?" tanya Mahadir pula.

"No, actually Efa was waiting for me to go home. I have just finished my class tadi," Ku Adi pula yang menjawab.

"Ku Adi duduk sama tempat dengan Efa ke?" tanya Mahadir lagi.

"Same place at Bayswater, but my apartment is three blocks away. By the way, where are you staying?" Ku Adi menjelaskan sambil itu bertanya tentang Mahadir pula.

"I am putting up at the Malaysia Hall. Tadi pergi tengok apartment yang dia orang suggest tapi mahal sangat pula. Kata mereka sebab short-term lease," jelas Mahadir.

"Oh, if that's the case, you are welcome to stay with me. It's a one room apartment, but it's really very spacious," lawa Ku Adi penuh ikhlas.

"Menganggu nanti, lama juga my course tu, three months," balas Mahadir.

"No, no, definitely not. If you are a friend of Efa and her husband, then you are my friend too. It's really not easy to rent a place for short-term here. So, come and stay with me je. Tapi, makan I tak janji, sebab I pun kekadang je masak," panjang lebar Ku Adi berkata sambil ketawa.

Selepas beberapa lama masing-masing memberi pandangan, akhirnya Mahadir menerima pelawaan Ku Adi.

"It's good that Malaysia Hall is also in Bayswater, about fifteen minutes walk or so from our apartments. So kita balik saja. Then, we will go get your things," Ku Adi mengatur agenda.

Mereka bertiga terus saja berjalan menuju ke stesyen keretapi bawah tanah. Sampai di Bayswater, Afifah memohon untuk pulang terus ke apartmennya.

"OK dear. Kita hantar Efa balik dulu la ya," balas Ku Adi, sambil memberitahu Mahadir.

Mahadir dan Afifah saling berpandangan, tapi keduanya tak berkata sepatah apa. Mereka terus saja berjalan menuju ke arah jalan apartmen Afifah. Afifah merasa amat lama pula mereka berjalan untuk sampai.

Sepanjang perjalanan itu, Ku Adi dan Mahadir yang banyak berbicara. Sesekali Ku Adi bawa Afifah ke dalam perbualan. Tetapi dia lebih banyak senyum sahaja.

'Ded akan beritahu Abang Allen secepat mungkin ni,' bisik hatinya. Perkara ini yang menghantui fikirannya.

'Aku mesti dulu memberitahu Abang Allen,' begitu dia bertekad.

"Ok dear, dah sampai ni ... and Efa dear, don't worry about things. Adi will talk it over with Mahadir first. Then, Adi will let Efa know, we will discuss first too and baru Efa decide how best to do it, Ok?" Ku Adi membuat usul.

Memang Ku Adi benar-benar tahu duduk perkara dan memahami perasaan Afifah. Tetapi Afifah masih tak sedap rasa.

"Adi nanti cerita dengan Mahadir. Then, Adi call Efa. Is it better that way? ... should be ok, trust me!" Ku Adi meyakinkan Afifah.

Afifah mengangguk dan minta diri untuk naik ke apartmennya.

"Thank you. Assalamualaikum," katanya dan terus berlalu tanpa memandang lagi kepada Ku Adi atau pun Mahadir.

BUAT 'POSTING' PAGI HARI MINGGU

Dah beberapa malam dah Pak Caq tak boleh nak buat posting. Setiap hari, terutamanya disebelah petang membawa ke lewat malam dan pagi, hujan lebat dengan ribut petir. Tak berani pun Pak Caq nak buka internet kerana fobia modem di rumah Pak Caq asyik rosak je.

Nampaknya pagi hari ni tak hujan. Sementara tunggu nak pergi kenduri, insya Allah Pak Caq buat 'posting' sambungan novel tu. Walaupun hari minggu, Pak Caq tukar jadual le sikit, bersesuaian dengan pertukaran cuaca. Siang hari kerja, Pak Caq dah tak ada masa nak masuk ke Maya pula sekarang ni kerana jadual kerja terlalu padat.

Tak apalah kan? Nak buat macam mana lagi ... Sesiapa yang berminat, boleh baca pada bila-bila masa yang ada kelapangan.

Wednesday, November 4, 2009

HUJAN, GURUH DAN PETIR

Nampaknya malam ni baru hujan tak bawa sampai ke malam. Di kawasan Pak Caq ni, sejak hari Ahad lagi, saban petang hingga ke tengah malam hujan turun dengan lebat, siap dengan guruh dan petir. Ada juga reda tapi sekajap saja, lepas tu hujan semula. Dua hari tu ianya membawa sampai ke pagi. Tak berani nak 'on'kan internet pun di rumah. Yalah dah banyak kali sangat modem kiok. Kalau tak hujan dalam masa sekitar dua jam ni, bolehlah Pak Caq paparkan sambungan novel.

Pak Caq baru saja balik dari menziarah kawan yang masih lagi sakit, tetapi hari ini telah diizinkan pulang oleh pihak hospital pakar. Kalau tak pergi ziarah malam ni, takut pula nanti menyesal kerana biasanya bila doktor dah suruh bawa balik, maknanya dah tak ada harapan sembuh dan hanya menunggu masa sahaja. Jika dirayu memang pihak hospital akan izinkan beliau terus berada di hospital. Tetapi keluarganya pun mengerti keadaan sebenarnya. Jadi mereka akur saja.

Insya Allah sekejap lagi Pak Caq tulis ya ... Kalau tak ada 'posting' tu maknanya keadaan tak mengizinkan. Pak Caq akan cuba lakukan sebaik sahaja keadaan mengizinkan nanti.