Sunday, December 27, 2009

SELAMAT TAHUN BARU

Pak Caq akan pergi ke luar kawasan sehingga ke hujung minggu untuk menghabiskan cuti. Mungkin susah nak dapat talian di sana. Jadi Pak Caq nak mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat kepada semua sempena tahun 2010 yang akan tiba dalam berapa hari lagi.


SELAMAT 2010 TAHUN BARU
MENJANJIKAN TERBAIK DARI DAHULU

MEMBAWA RIBUAN RAHMAT
DENGAN REZEKI YANG BERKAT

SIHAT CERGAS CERIA BAHAGIA
UNTUK SEMUA WARGA SELURUH NEGARA


Ingat nak buat kad ucapan berlatar-belakangkan bunga-bunga ros di taman Pak Caq. Tapi tadi lupa pulak nak ambil gambarnya .. tak jadilah jawapnya. Jadi tu yang Pak Caq guna pakai alternatif di atas .. hehe :)

Insya Allah, panjang umur, kita jumpa lagi nanti.

Saturday, December 26, 2009

SURAH AN-NAHL (LEBAH)

Sejak akhir-akhir ini pelbagai kekecuhan berlaku yang menggugat keharmonian masyarakat kita. Bagaikan tercetus satu wabak pula, dan kejadian-kejadian ini membimbangkan.

Mungkin banyak orang terlupa asas kejadian kita. Jadi Pak Caq rasa terpanggil untuk sekadar memperingatkan diri dan semua warga Malaysia.

Allah telah memerintah kita untuk berbuat kebaikan; kita diseru supaya menjauhkan dari melakukan segala kejahatan dan larangan, selaras dengan panduan dan syarat yang ditetapkanNYA. Semua ini dinyatakan berulang kali dengan jelas di dalam Al Quran. Eloklah kita melihat bukti dan kenyataan ini.

Di dalam kitab suci Al Quran, Surah An-Nahl (Lebah), diterangkan tentang anjuran Islam untuk manusia berlaku adil, menyambung silaturrahim dan janji setia. Di dalam surah ini Allah juga menjelaskan nasib buruk orang musyrik pada hari Kiamat nanti.

Surah ini tidaklah terlalu panjang. Jika ada kelapangan dan kesempatan, cubalah untuk membacanya. Di sini Pak Caq petik terjemahan beberapa ayat-ayat suci ini dan paparkan untuk renungan kita bersama.

"Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu agar menegakkan keadilan dan berbuat kebajikan serta berbaik-baik dengan kaum kerabat, melarang tindakan keji dan mungkar serta bemusuh-musuhan. Demikian Allah memberi peringatan bagi kamu, agar kamu mendapat peringatan. " (Ayat 90)

"Segala yang kamu punyai kini akan musnah, tetapi segala yang dijanjikan Allah akan kekal abadi. Sesungguhnya, Kami akan memberi balasan kepada orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik daripada yang mereka kerjakan." (Ayat 96)

"Allah membuat perumpamaan suatu negeri yang penduduknya hidup aman, tenteram, dan dengan rezeki yang melimpah ruah dari segenap penjuru, kemudian penduduknya ingkar kepada nikmat Allah. Maka Allah menimpakan kelaparan dan kekhuatiran sebagai balasan apa yang telah mereka perbuat." (Ayat 112)

Ayat-ayat ini jelas memberi peringatan kepada kita supaya berlaku adil, membuat kebajikan, mengeratkan silaturrahim serta menjauhkan dari segala amalan-amalan yang keji dan dilarang serta juga jangan sesekali saling bermusuhan. Allah memberi peringatan agar kita patuh dan jangan sesekali ingkar; dan kita wajib takuti laknat dan balasan Allah yang amat pedih.

Sama-samalah kita hayati pengajaran di dalam Surah ini. Semoga Allah memberi kita sepenuh rahmat dan perlindunganNYA.

Friday, December 25, 2009

MERRY CHRISTMAS

Pak Caq ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat sempena perayaan ini.

SELAMAT HARI NATAL,
'MERRY CHRISTMAS'

Ucapan adalah ditujukan khusus kepada semua warga yang beragama Kristian di seluruh negara dan di mana-mana juga seantero dunia.

Thursday, December 24, 2009

AMALAN BULAN MUHARAM


Pak Caq terlupa pula untuk memanjangkan saranan tentang amalan yang digalakkan pada bulan Muharam ini. Baru saja teringat sekejap tadi. Jadi Pak Caq teruskan untuk memanjangkannya kepada semua.

Hari itu Pak Caq telah beritahu tentang doa awal tahun yang digalakkan untuk kita membacanya pada malam 1 Muharam. Selain dari doa ini, ada beberapa amalan lain yang turut disarankan kepada kita iaitu seperti berikut:
  • 1 - 10 Muharam: disunatkan berpuasa
  • 10 Muharam: sunat berpuasa Hari Asyura dan melakukan beberapa amalan khusus.

Amalan khusus yang digalakkan pada Hari Asyura ialah:

  1. Mandi sunat dengan berniat mandi Asyura mohon diberi keselamatan dan kesihatan untuk sepanjang tahun.
  2. Bercelak mata dan mohon supaya tidak sakit mata untuk sepanjang tahun.
  3. Solat sunat 4 rakaat dengan 2 salam. Pada setiap rakaat baca Al Fatihah dan Al Ikhlas sebanyak 11 kali. Mohonlah agar Allah mengampuni segala dosa dan mendapat ganjaran Mimbar dari Nur di Syurga.
  4. Menyapu kepala anak-anak yatim mohon kebaikan sebanyak bilangan rambut mereka.
  5. Bersedekah kepada fakir miskin agar kita sentiasa bersifat pemurah dan tidak bakhil.
  6. Meluaskan perbelanjaan untuk keluarga mohon semoga Allah memberi kelapangan rezeki untuk sepanjang tahun.

Disamping itu kita disarankan agar membaca doa-doa yang khusus juga pada hari Asyura ini. Gambar di bawah ialah doa-doa yang berkenaan. Menurut ulama, kita hendaklah membaca ayat yang di atas tu sebanyak 70 kali. Untuk memudahkan, Pak Caq cuba menulisnya dalam huruf Rumi:

Hasbunaa llaahu wa ni'ema 'lwakiilu ni'ema 'lmaulaa wa ni'emannasiir

Bermaksud: Cukuplah kepada Allah kami berserah, DIA adalah sebaik-baik tempat berserah, sebaik-baik Pemimpin dan ini adalah sebaik-baik penolong.


Selepas itu teruslah berdoa yang selanjutnya pula. Doa ini bermaksud memohon agar Allah memberi keselamatan dan rahmat; serta kita berserah kepadaNYA kerana DIA adalah sebaik tempat untuk mendapat bimbangan dan pertolongan.

Panjang juga doa ini. Tapi untuk bantu memudahkan bacaan, Pak Caq akan cuba menulisnya dalam huruf Rumi.
Subhaa na'llaahi mil ul miizaani wa Muntahaa 'l'i'elmi wa mablaghaa 'rridhaa wazinatal 'arsyi laa maljaa a walaa manjaa a minallahiilaa ilaih.
Subhaa na'llahi 'adadaa 'sysaff 'i wal watri wa 'adada kalimaati.
Rabbiinaat taammaa ti kullihaa as aluka 'asalaamata birahmatika ya Arhamarraahimiin.
Walaa haulawalaa quuwata illaa bi'llaahi 'l a'aliiyiil a'azhiimi wa huwa hasbii wani'elmal wakiil ni'elmal maulaa wa ni'e mannasyiirr wa sa'llaahu 'alaa saiyiidinaa Muhammadin wa'ala aalihi wa zhahbihi ajma'iin walhamdu lillaa Rabbiil a'alamin.
Cubalah lapangkan masa untuk melakukan amalan-amalan ini. Semoga kita mendapat sebaik-baik rahmat Allah, amin.

Tuesday, December 22, 2009

SELESAI JUGA SEMUA KERJA

Rasa letih sangat hari ini. Tapi, alhamdulillah, selesai juga kerja mengemas barang-barang Pak Caq. Segala kerja yang harus siap di tahun ini pun dah selesai jugak semuanya. Jadi Pak Caq tak ada la nanti rasa bersalah bila bercuti.

Harap-harap pengerusi pun tak buat hal dan mengubah agenda pula. Sekiranya ada apa-apa perubahan, terpaksa tunggu hingga tahun depan ler ... dua minggu jer lagi ... :) Pak Caq dah memberitahu bahawa Pak Cak tak akan dapat datang kerja walau macam mana penting sekali pun.

Ya la kan, macam mesyuarat tergempar semalam tu. Tup, tup, ada mesyuarat sedangkan kebanyakan kelengkapan pejabat dah dipindahkan. Pening semua orang dibuatnya. Hujung-hujung jadi macam suasana mendengar ceramah politik pula dengan tiga orang saja, termasuk pengerusi sendiri, duduk di satu-satunya meja yang ada di bilik mesyuarat tu. Pegawai lain semuanya duduk di lantai. Apa yang berlaku sebenarnya ialah pengerusi nak mengesahkan agenda kerja buat tiga bulan yang akan datang. Bukan perkara terpenting pun kerana perkara itu sudah pun dimaklumkan di mesyuarat sebelum ini.

Sudah la ramai merungut pasal masaalah berpindah pergi balik tu, pengerusi baru ni pula buat macam-macam perkara aneh. Pegawai-pegawai mencebek saja.

Tapi ini bukan sesuatu yang di luar jangkaan. Biasalah, bila seseorang tu datang ke sesuatu tempat baru, beliau begitu teruja. Dalam keterujaan itulah seseorang tu selalunya buat perkara yang pelek dan aneh.

Tak tahu la apa agenda pengerusi baru ni. Baru dua minggu beliau dilantik sebagai pengerusi. Pengerusi lama sudah tamat kontraknya pada waktu yang sama dan beliau memilih untuk terus bersara saja.

Sebenarnya apa yang menjengkelkan ialah cara pengerusi baru menunjukkan kuasa taringnya. Diplomasinya teruk dan ide-ide beliau pun tidaklah sebernas mana sangat.

Tidak ada orang suka diperlekehkan, terutama sekali di khalayak ramai. Tambahan pula, pegawai yang diperkecilkan itu adalah terdiri dari pegawai kanan atau yang sudah berpengalaman baik. Jika pihak atasan tunjuk lagak, prestasi pekerja sudah pasti akan merosot.

Untung juga beliau tak cari pasal dengan Pak Caq. Mungkin kerana Pak Caq memang 'senior' nya dulu, dan juga Pak Caq pun dah memang nak bersara tak lama lagi. Walaupun Pak Caq diberi tawaran untuk menyambung kontrak untuk dua tahun lagi, Pak Caq dah rasa letih nak kerja dalam suasana yang Pak Caq tak berapa selesa sangat.

Monday, December 21, 2009

MENGEMAS BARANG

Mulai bulan depan nanti, pejabat-pejabat di blok Pak Caq akan dibaik pulih. Semua orang di blok ini terpaksa berpindah ke blok baru sebelum tahun baru.

Tapi yang tak berapa seronok tu nanti dah kena berpindah balik semula kerana blok baru tu adalah untuk unit lain. Kita orang di tempatkan di situ untuk sementara waktu saja iaitu sehingga selesai kerja-kerja membaik pulih yang dijangkakan akan memakan masa selama tiga bulan. Kut iyalah boleh secepat itu!

Boleh dikatakan semua kakitangan di sini duk merungut kerana kena berpindah dua kali serta kena pergi dan balik semula pulak nanti dalam masa yang singkat. Pak Caq seronok pula tengok kerenah mereka. Ada yang menghempas fail, ada yang berkawat dari satu ruang ke satu ruang dan ada pulak yang mengemas meja dan almari tapi asyik sepak sana sini.

Apapun sebelum cuti Krismas segala barang-barang mesti sudah siap dipindahkan semuanya. Pak Caq pula mesti selesaikan lebih awal lagi kerana Pak Caq akan mula bercuti pada 24 December, dan akan hanya balik bekerja pada 6 Januari nanti. Rasanya barang Pak Caq boleh dibereskan hari ini juga kerana sekarang cuma tinggal untuk dilabelkan dan diserahkan kepada pegawai yang membuat inventori saja.

Itu yang Pak Caq duduk relaks sekejap ini - ambil nafas sebentar. Teringat pula untuk masuk ke Maya sambil-sambil berehat ni. Kalau tunggu lewat petang atau malam, belum tentu Pak Caq akan ke Maya hari ini. Yalah jika tak hujan dan kilat pun, kut Pak Caq terlampau letih pulak nanti dan ketiduran awal kan?

Baru saja datang ilham, dah pembantu pejabat datang memberitahu ada mesyuarat tergempar pegawai-pegawai kanan pada pukul 4.30 petang ni pulak di bilik mesyuarat. Biar betul! Kenapa pulak nak buat mesyuarat dekat dah nak habis waktu pejabat ni!

Pelek juga ni ... macam mana pula nak dijalankan mesyuarat tu. Setahu Pak Caq, semua kerusi-kerusi dan beberapa meja di bilik mesyuarat tu dah pun dihantar ke ofis baru tengahari tadi ... entahlah, pergilah saja dulu ... Nampaknya tak selesai le buat kerja melabelkan barang-barang Pak Caq tu hari ini!

Friday, December 18, 2009

AMALAN YANG BAIK

Hari ini hari pertama tahun 1431H. Pak Caq berharap semoga kita sama-sama membuat penghijrahan ke arah destinasi yang lebih indah dan ke arah membina iman serta budi yang jauh lebih baik.

Semestinya tidak cukup untuk kita hanya mengatakan berapi-api tentang azamnya. Kita harus juga sertai azam ini dengan komitmen yang tinggi, usaha yang gigih dan tahap dorongan mental yang kuat. Barulah ia menjadi satu keazaman yang kukuh dan teguh. Setelah itu barulah segala yang diazamkan akan menjadi satu realisasi.

Kata-kata hikmat 'tiada apa yang mustahil' itu bukan sekadar untuk dijadikan bunga bahasa. Hakikatnya banyak perkara yang mampu dibuat dan dipraktikkan.

Jadi Pak Caq mengajak kita semua bersama-sama membina kualiti komitmen, usaha dan mental yang bertepatan dengan kehendak destinasi dan tahap keimanan serta budi yang terbaik itu. Antara anjakan yang mesti kita lakukan ialah padamkan terus segala perasaan marah dan dendam sesama insan yang tak berkesudahan.

Yakinlah Islam itu adalah terbaik dan Melayu itu adalah antara yang terhebat. Apa yang mencacatkannya ialah peribadi di kalangan ramai orang Islam dan Melayu itu sendiri. Terlalu ramai yang merasakan diri mereka lebih hebat dan lebih berhak; mereka langsung tidak mahu beralah; mereka juga suka menyimpan perasaan marah dan dendam kesumat yang begitu tebal.

Perasaan angkuh, marah dan dendam ini adalah lebih teruk dari kanser yang ditakuti oleh semua orang. Tetapi sebenarnya 'kanser' sosial ini sudah tersedia dengan penawarnya. Entah kenapa susah sangat diamalkan oleh mereka-mereka yang mengalaminya.

Jadi marilah kita sama-sama berdoa semoga tahun ini akan menjadi titik permulaan untuk semua umat Islam yang berbangsa Melayu di Malaysia membuat anjakan paradigma. Islam menerapkan nilai-nilai budi yang terindah. Melayu akan menjadi satu bangsa yang agung jika segala nilai-nilai ini dijadikan amalan.

SELAMAT TAHUN BARU HIJRAH

Salam Maal Hijrah untuk semua anggota keluarga Maya. Sama-samalah kita berdoa semoga kita diberkati dengan limpah kurnia, rahmat dan rezeki yang lebih baik di tahun 1431H ini. Insya Allah. Amin.

SEKALUNG TAHNIAH

Ya, anak-anak muda kita di dalam skuad bolasepak Malaysia wajar diberi puijan dan mendapat pengiktirafan kerana berjaya memenangi pingat emas di Sukan SEA ke 25 malam ini. Mereka menunjukkan tahap juang dan komitmen yang tinggi.

Pak Caq tidak dapat menonton sepenuhnya perlawanan akhir yang disiarkan secara langsung itu. Maklum sajalah waktunya bertembung dengan waktu Maghrib.

Malam ini pula Malam Maal Hijrah 1431 dan kita digalakkan membaca doa awal tahun. Sementelah pula malam ini malam Jumaat yang menjadi kebiasaan untuk kita melebihkan ibadah. Jadi kurang sesuai masa perlawanan itu. Tetapi Pak Caq faham itu di luar kawalan kita.

Walaubagaimanapun Pak Caq memang turut gembira. Sekali lagi sekalung tahniah untuk seluruh pasukan bolasepak kita dan pihak-pihak yang bertanggung-jawab dalam membentuk skuad muda yang bersemangat dan berjaya mengharumkan Malaysia ini.

Thursday, December 17, 2009

DOA AKHIR DAN AWAL TAHUN HIJRIAH


Aduh! Puas jugalah Pak Caq cuba mengambil gambar dari beberapa buku doa yang Pak Caq ada. Tulisannya agak kecil dan bersambung pula ke muka surat lain. Jadi hasilnya kurang memuaskan. Walaubagaimana, jika dicuba membaca perlahan-lahan, rasa Pak Caq, insya Allah, bolehlah kiranya.

Seperti ketika membaca doa-doa yang lain, peradaban doa harus diikuti dengan baik. Sebelum berdoa, eloklah didahului dengan membaca Bismillah, bertahmid dan selawat Nabi. Doa akhir tahun di bawah sudah tersedia dengan tahmid dan selawat. Jadi mulakan dengan 'Bismillahi Rahmani Rahim' saja.

Doa Akhir Tahun (1)

Bacalah doa akhir tahun sebanyak 7 kali selepas solat Asar. Sudahi doa dengan selawat, salam dan tahmid serta akhirkan dengan sekurang-kurang membaca 'Aamin, Aamin Ya Allah, aamina yaa ilaahi 'l aalamin. Istajib dua'a ana yaa kariim waj'al naa fiddun yaa mina'l muflihiin waskinna wa amwa tanaa jannatan'naaiim' yang bermaksud, 'terimalah, kabulkanlah ya Tuhan seru seluruh alam. Perkenankanlah doaku ya Tuhan Yang Maha Mulia dan jadikanlah aku di dunia ini dari golongan yang mendapat kemenangan.'

Doa Akhir Tahun (2)

Doa akhir tahun (2) di atas hanyalah salah satu versi doa akhir tahun sahaja. Ada beberapa versi lain, ada yang panjang sedikit dan ada yang pendek sedikit. Tapi dari segi isi, tentulah doa yang lebih panjang itu lebih baik.

Doa Awal Tahun

Baca doa awal tahun pula sebanyak 3 kali selepas solat Maghrib. Ikuti peradaban doa yang sama.

Agak sukar juga membaca doa di gambar di atas ini kan? Kalau anda dapat baca, baguslah. Tetapi jika tidak dapat, baca saja doa dalam bacaan romani ya!

Kak G akan cuba memberi bacaan doa awal tahun ini dalam versi romani yang lebih pendek dan ringkas. Bacaan mengikut ejaan huruf rumi ialah seperti berikut:
  • 'Allaa humma antal Abadiiyul Qadiimul Haiiyul Qaiiyu mul' Kariimul Hannaa nu wa hadhzihi sanatun jadii datun as aluka fiiha'l i'szmata minashhaidha niirrajiim wa auliya ehi wal a'una a'ala hadhzihinnafsi'l ammaa rhati bissu e wal istiqhaa libima yuqharribunii ilaika yaa zal jalaali wal ikraam.'

Wednesday, December 16, 2009

DOA HUJUNG DAN AWAL TAHUN

Pak Caq dapat masuk ke Maya le sekejap sementara menunggu masuk waktu solat. Rasa tak nak makan lagi sebab makanan waktu mesyuarat tadi amat mengenyangkan - kira-kira macam 'brunch' juga.

Sebenarnya sementara Pak Caq teringat ni, baiklah Pak Caq menulis dulu. Hari Jumaat nanti kan cuti Maal Hijrah, iaitu tahun baru kalendar Islam. Jadi Pak Caq nak turut ingatkan semua saudara sesama Islam yang berkunjung ke blog Pak Caq ini untuk membaca doa-doa yang sentiasa menjadi amalan orang-orang Muslim. Ini adalah amalan yang baik, dan apa yang Pak Caq maksudkan ialah doa-doa hujung dan awal tahun.

Setiap seorang Muslim digalakkan membaca doa-doa ini. Doa hujung tahun bertujuan untuk memohon keampunan dan keredhaan Allah di atas segala apa yang kita telah lakukan sepanjang tahun Hijriyah ini. Kita juga digalakkan untuk membaca doa awal tahun Hijriyah yang mendatang untuk memohon rahmat Allah supaya dilindungkan dari godaan syaitan dan segala kejahatan serta dilimpahkan dengan segala kebaikan yang diredhaiNYA.

Doa hujung tahun ialah untuk dibaca selepas solat asar pada besok hari, kerana esok adalah hari terakhir bagi tahun 1430 Hijrah. Sementara doa awal tahun pula hendaklah dibaca selepas solat Maghrib kerana di dalam Islam, permulaan hari dikira selepas terbenam matahari. Jadi bila masuk saja Maghrib kira dah masuklah 1 Muharam, 1431 Hijrah.

Pak Caq pun tak ada pula bawa doa-doa ini. Tetapi kedua-dua doa ini mudah didapati di dalam buku doa Muslim dan Muslimah. Ni kira ada lagi kesempatan untuk pergi membeli buku doa itu jika masih belum memilikinya. Bukan apa, saban tahun kita digalakkan membaca doa-doa ini, jadi tentulah lebih baik jika kita turut memiliki buku doa sebegini.

Insya Allah Pak Caq akan cuba memaparkan doa-doa ini nanti. Pak akan cuba ambil gambarnya sebelum tiba waktu untuk membacanya esok.

Monday, December 14, 2009

SEMANGAT PASUKAN BOLASEPAK


Dah banyak hari juga Pak Caq tak ke Maya ni. Sejak dari hari cuti umum bersempena Hari Keputeraan DYMM Sultan Selangor sampai ke hari inilah kiranya. Yalah, sibuk pulak dengan sanak saudara yang bercuti di rumah Pak Caq serta ada jugalah hal peribadi yang kena diuruskan.

Semalam tu ada masa terluang tapi dah hujan dan kilat pulak. Petang tadi pun Pak Caq balik agak awal tapi hujan dan kilat juga. Bila cuaca dah ok, dah masuk Maghrib. Lepas tu Pak Caq tengok siaran langsung perlawanan bolasepak separuh akhir Sukan Sea di antara Malaysia dan Laos.

Perlawanan baru saja tamat sekejap tadi. Pak Caq pun ke Maya ler. Bukan apa, rasa bersemangat pulak nak berkongsi kegembiraan ini.

Tahniah untuk pasukan bolasepak Malaysia kita yang berjaya menewaskan pasukan Laos dengan kelebihan gol 3 - 1 malam ini, dan seterusnya berjaya mara ke peringkat akhir. Pak Caq gembira melihat semangat anak-anak muda kita ni yang menunjukkan semangat juang yang tinggi untuk melayakkan pasukan kita ke perlawanan akhir menentang Vietnam nanti. Tentu rakyat Malaysia semuanya turut berbangga dengan pencapaian mereka.

Kita mengalami kemarau yang begitu panjang. Sudah tentulah kita amat berharap agar mereka akan dapat meneruskan perjuangan di padang bolasepak dengan semangat yang tinggi dan bersungguh-sungguh serta komitmen yang 'total' di perlawanan akhir nanti.

Pak Caq sudah cukup bangga jika mereka kekal dengan ciri-ciri wira begini. Semoga pasukan kita benar-benar berjaya pulak merangkul pingat juara di Sukan SEA yang ke 25 ini. Sama-samalah kita doakan untuk kejayaan mereka.

Bila difikirkan dengan serius, memang sukan adalah satu-satunya medan yang dapat menyatukan rakyat Malaysia ... Apa kata anda?

Thursday, December 10, 2009

BUDAYA DITINGGALKAN

Dah akhir tahun ni, semua orang mesti sibuk dengan pelbagai kerja dan komitmen. Pak Caq pun agak sibuk juga. Sementelah pula, Pak Caq dah nak bersara tetap la selepas ni. Dah letih dengan kesesakan lalu lintas dan pelbagai perkara yang dijadikan masaalah walaupun pada dasarnya tidak bermasaalah. Rasanya, sudah tiba untuk memaksimakan usaha membina saham tetap pula.

Sejak akhir-akhir ini susah pulak nak memberi masa di Maya. Pada hal beribu macam isu dan topik hangat dibahaskan di sana sini. Tetapi Pak Caq tak berapa selesa sangat dengan pelbagai isu-isu sebegini. Yalah, hal-hal politik ini banyak yang memeningkan kepala, terutama sekali bila kita berdepan dengan isu pemimpin dan rangka kerja serta prosidur yang tidak sekata. Biasanya pekerja-pekerjalah yang terperangkap dalam dilema. Letih sungguh menjadi penjawat awam yang terpaksa akur dengan arahan 'saya yang menurut perintah' tu apabila banyak perkara yang diperintahkan itu berlawanan dengan ketetapan polisi.

Pak Caq mungkin bukan seorang yang bijak dan pintar, tetapi Pak Caq sentiasa cuba menjadi seorang pegawai yang cekap, bersih dan amanah. Namun di era sekarang ni, tidak cukup dengan hanya cekap bekerja dan bersifat ikhlas dan jujur. Apa yang lebih utama ialah untuk bersikap bijak dan pintar mencari dan mencuri kesempatan serta peluang untuk masuk ke dalam golongan 'orang-orang yang dipercayai' di kalangan mereka yang berkuasa.

Walau apa pun, Pak Caq senang dan bahagia kerana tidak diganggui dengan perasaan tidak tenang dan gelisah. Pak Caq rasa selesa kerana tidak terpaksa buat itu dan ini yang bercanggah dengan peraturan.

Isteri Pak Caq suka mengusik dengan kata-kata, "orang gomen mana ada ruang untuk naik sampai ke puncak kalau tidak ikut telunjuk. Ikut prosidur tu pakaian je, makanannya ialah ikut perintah dengan taat setia. Jika tidak, kalau tak disisihkan, pasti ditinggalkan ..."

Pak Caq memang tak dapat menyanggah kata-kata tu. Kenyataannya, perkara itu sudah lumrah dan ramai pun tahu. Budaya ditinggalkan sudah menjadi begitu kukuh sejak berdekad-dekad lalu. Malah budaya ini sudah membawa wabak 'apa boleh buat?'

Pendirian 'apa boleh buat?' juga merupakan sindrom yang tiada penawarnya. Ternyata pihak atasan penjawat awam yang mendapat kuasa dan kedudukan lebih selesa mengikut arus dan menjalankan perintah dengan taat setia juga. Hanya segelintir saja yang tidak selesa. Tetapi mereka yang tidak selesa lazimnya memilih untuk melepaskan jawatan mereka pula.

Tuesday, December 8, 2009

SIKAP BAIK YANG UTAMA

Pak Caq sekeluarga gembira kerana keadaan di rumah dah agak aman. Betul jugalah seperti mana yang disarankan tu, semuanya berpaksikan kepada iman dan sikap kita sendiri. Untung juga isteri Pak Caq tak mudah melatah. Jadi masaalah apa pun tidak menjadi beban, malah kebanyakkannya terlerai dengan mudah.

Teringat pula perihal pokok buah-buahan yang Pak ceritakan tempuhari. Pak Caq yakin semua pokok berhasil dengan baik kerana isteri Pak Caq menanam serta menjaga pokok-pokok tanaman itu dengan hatinya. Beliau tak mudah melenting dengan sikap orang yang mencuri hasilnya. Pak Caq dan ibu mertua yang selalunya geram dengan tindakan pencuri hasil tanaman tu.

Sikap manusia pun boleh diumpamakan sebagai pokok buah juga. Jika pokok elok dan baik, akarnya juga pasti kukuh, batang dan dahannya kuat merendang serta buahnya lebat dan enak. Begitu juga jika disebaliknya pohonnya buruk, segalanya tidak kukuh dan hasilnya tiada atau sekadar minima saja.

Pendeknya sikap yang positif akan memberi impak yang baik. Sebaliknya sikap negatif akan lebih merugikan diri seseorang itu sendiri akhirnya. Ini jugalah yang berlaku sewaktu majlis doa selamat di rumah seorang sahabat baik Pak Caq sekeluarga tadi.

Adalah hamba-hamba Allah yang tidak berkenan dengan menu hidangan tu dengan hanya melihatnya saja. Namun mereka ikut makan juga. Ada sepasang suami isteri tu tak ikut makan, malah mereka duduk melihat saja orang lain makan. Nak dijadikan cerita, tiba-tiba isterinya sakit perut. Banyak berkata perutnya kemasukan angin, jadi dipaksa makan juga oleh beberapa tetamu yang ada.

Selepas menjamah sedikit makanan dan rehat sekejap, siisteri itu berkata bahawa daging masak hitam yang disediakan dan diberikan kepadanya itu sedap. Habis tu, dia terus sambung makan. Masakan lain pun dijamahnya juga. Melihat isterinya makan dengan berselera, si suami pun ikut makan ..... haa tu kan, mereka terpaksalah telan sikap sombong diri! Selepas itu, apa lagi, tetamu lain pun menjadikan itu bahan usik jenakalah pulak.

Thursday, December 3, 2009

DI MASJID PUN CERITA PASAL BTN

Pak Caq geli hati juga dengan gelagat manusia. Bila ada tindakan berani dari kerajaan Pakatan Rakyat, ramai yang turut sama berani bersuara memberi pendapat mereka. Jika ada tindakan tidak bijak dari kerajaan Barisan Nasional, ramai yang tak berani memberi komen terbuka pun.

Di masjid pun ramai bercerita juga tentang tindakan kerajaan PR. Sudah tentulah tentang topik panas bersabit tindakan kerajaan negeri Selangor melarang penyertaan di BTN dan kekecuhan yang berlaku di sidang dewan undangan negeri Pulau Pinang.

Macam-macam hujah yang diberikan; ada yang mengecam dan ada yang mengemukakan pelbagai soalan pula. Sekali pandang seperti persidangan di parlimen atau dewan undangan negeri, tapi tanpa dewan, meja, tempat duduknya dan peralatan dewan lainnya.

Di antara mereka itu ada yang meninggikan suara bila pendapatnya disanggah oleh orang lain. Kedengaran suara-suara lantang sama ada menyokong atau menempelak tindakan kerajaan yang berkuasa. Pendeknya suasananya agak kecuh tapi menggelikan hati.

Tak tahulah apa fikiran mereka-mereka ini. Pak Caq tak menjadi ahli mana-mana parti politik, dan tak terbiasa pula bersuara lantang. Pak Caq banyak mendengar saja 'persidangan' ini, ialah lagak pemerhati semasa sidang parlimen juga.

Namun begitu, prinsip Pak Caq ialah untuk sentiasa mengatakan dan melakukan yang benar. Walaupun Pak Caq dikatakan bodoh, Pak Caq tetap pegang kepada amanah Allah supaya kita berpihak kepada yang benar. Hakikatnya, kita semua akan sentiasa diadili oleh Allah.

Wednesday, December 2, 2009

MAK MERTUA MARAH DAN MERAJUK

Isteri Pak Caq baru telefon kejap tadi mencadangkan supaya kita orang pergi ke Port Dickson ramai-ramai di hujung minggu ini. Walaupun musim hujan, "jalan-jalan saja ok gak," katanya.

Pak Caq faham sangat keadaan sekarang ni. Ibu mertua Pak Caq dah marah dan terus merajuk pula membawa ke pagi tadi. Betul jugalah kata isteri Pak Caq tu. Kalau tak dapat berpiknik di tepi pantai pun, kita boleh juga terus memandu sampai ke Melaka.

Mungkin elok juga kerana kita orang boleh sambil ziarah saudara yang tinggal di NS dan Melaka tu. Perjalanannya pun bukan jauh sangat. Memang boleh balik hari. Tetapi, rasanya mungkin lebih elok bersantai-santai. Tengoklah macam mana nanti.

Pagi tadi tu kita orang telah pun minta pengertian saudara-saudara yang ada di rumah tu. Kita orang juga memujuk mak supaya bersabar dan cuba berehat. Isteri Pak Caq pula berjanji akan cuba pulang awal hari ni. Ya la, orang tua kan ... orang tua sendiri pulak tu ... nak buat macam mana.

Tak tahulah keadaan di rumah sekarang. Tetapi, rupanya isteri Pak Caq juga telah meminta sepupunya yang tinggal di Kelana Jaya bersama anaknya juga tu supaya berziarah ke rumah dan menemankan mak. Harap-harap boleh menenangkan perasaan marah dan merajuk ibu mertua Pak Caq tu.

Tuesday, December 1, 2009

KECUH PULAK DI RUMAH

Hari ini kecuh pulak di rumah Pak Caq. Lewat tadi pagi kepala paip mesin basuh kain di bawah patah. Tudung bekas takungan air pembersih jamban juga pecah kerana budak-budak angkat turun ke lantai untuk penuhkan air dengan lebih cepat katanya.

Mereka menelefon Pak Caq dan isteri. Tetapi ketika itu kita orang ada hal penting pulak. Nasib baik semasa waktu rehat makan tengahari tu isteri Pak Caq dapat menghubungi 'plumber' yang sudah biasa buat kerja-kerja di rumah Pak Caq. Untung juga beliau dapat segera pergi untuk pastikan pancutan air terbendung.

Balik kerja tadi terpaksalah pergi berbelanja membeli peralatan kepala paip dan sebagainya. Melayang lebih dari RM 1ribu jugalah.

Apa nak dikatakan, dah suratan la kiranya. Isteri Pak Caq pun tak merungut apa. Tetapi ibu mertua pula yang naik angin. Maklumlah orang tua, dirinya lebih sensitif tetapi dia tak pula sensitif tentang perasaan orang lain. Saudara yang datang tu kelihatannya berkecil hati. Pendeknya pening jugalah ...