Friday, July 31, 2009

MENCARI ARAH

Episod 7

Afifah Mahu Ke TKC (Tunku Kursiah College)

Setelah umur Afifah melewati sepuluh tahun dia di larang berpakaian lelaki lagi. Pergaulannya dengan budak lelaki sebayanya pun sudah dibatasi. Mulanya Afifah membentak protes.

"Cek tak boleh lagu tu. Cek nampak kan depa besar macam lain. Tuhan dah jadikan kita perempuan, dah baik sangat. Tak baik lawan kuasa Tuhan. Nanti kena laknat, kena badi." Afifah termakan pujukan datuknya. Paling tidak pun, ini adalah kerana Afifah amat menghormati dan sayang pada datuknya.

Afifah rimas duduk di rumah. Walaupun sering dimarahi ibunya, dia sering juga ke rumah datuknya. Malah di hujung minggu pun dia lepak di rumah Tok Nah juga. Afifah suka ikut Tok Nah ke surau, sembahyang berjemaah di waktu magrib, Isyak dan subuh.

"Ayah, Efa nak pergi ke TKC. Kena ambil ujian tahun ini. Kalau lulus baik baru dapat tawaran. Efa pergi ya Ayah?"

"Seremban jauh. Sekolah pun tak tahu macam mana. Kalau Efa ke sana, duduk sekolah kat sana seorang."

"Efa nanti jumpa ramai kawan. Asrama orang jaga semua. Bukan Efa seorang Ayah." Tetapi Pak Hanif tetap berat mahu membenarkan anaknya pergi ke sekolah berasrama.

Apabila mendapat tawaran, Afifah sangat gembira. Pada hematnya, Ayahnya akan mengizinkan dia pergi.

"Efa, dengar cakap Ayah. Sekolah sini, sama juga. Nanti Ayah belikan Efa basikal baru," pujuk Pak Hanif. "Ok, Ayah bagi tapi nanti lepas tingkatan tiga. Sekarang Efa kecil lagi."

Beberapa bulan berikutnya Efa banyak mengelakkan diri daripada bertembung dengan Pak Hanif dan Mak Chah. Habis sekolah, Afifah kurungkan diri di dalam bilik. Walau di panggil ayahnya, biar dimarah ibunya, dia buat ikut suka hatinya. Dia benar-benar geram dengan sikap ayahnya yang tidak mengizinkannya pergi ke TKC.

Banyak Yang Tak Kena

Afifah dapat rasakan banyak perkara yang tidak kena. Ayahnya selalu saja pulang lewat, Apabila di'serang' Mak Chah, Pak Hanif akan terus ke bilik tidur. Sudah terlalu lama mereka tak makan bersama. Pak Hanif seperti tak ambil peduli apa-apa lagi.

Sebelum ini, walaubagaimana sekalipun, Pak Hanif akan tunggu Afifah sebelum duduk makan. Semasa Afifah protes selama hampir empat bulan dulupun, Pak Hanif akan pujuk juga. Tetapi kini, Pak Hanif jarang lagi makan di rumah.

"Abang Anif jangan buat hal lagi. Ingat dulu dah janji. Abang Anif ingat," setiap hari Mak Chah ingatkan.

"Kenapa Ayah?" Tapi Afifah tidak pun mendapat jawapan dari Pak Hanif.

Bahana Pak Hanif Kahwin Lagi

Afifah terasa lapar. Mak Chah tak tahu pergi entah ke mana. Puas dia memanggil, Mak Chah tak menyahut juga. Mahu tak mahu Afifah terus juga mengulang kaji kerana besok dia ada ujian. Tiba-tiba dia mendengar kereta ayahnya dipandu masuk dengan lajunya.

"Efa, Efa, tolong ayah, tolong ayah." Pak Hanif memeluk anaknya. Beliau kelihatan gugup. Afifah tak tahu nak kata apa. Fikirnya, 'kenapa pulak ni?'

"Efa, tolong mak, Efa, tolong mak." Mak Chah pula memanggil anaknya dari arah dapur rumah mereka.

Afifah kebingungan. "Kenapa ayah?"

"Tadi mak pergi rumah Mak Asma. Ayah ada sana." Afifah bingung. Dia memandang ayahnya.

"Habis, kenapa?" Afifah bertanya kepada ayahnya. Belum sempat Pak Hanif menjawap, terdengar pula Mak Chah meracau-racau di dapur.

"Tolong Mak Efa...Tuhaaannn....Ya Allah. Mak dah rasa Efa. Mak dah rasa dah." Tersekat-sekat suara Mak Chah. Tak seperti selalu. Mak Chah ternyata amat pucat dan lesu.

"Mak Su temankan Mak tadi. Dia paksa Mak Su temankan. Mak jalan laju sangat. Mak Su tak terkejar. Lepas tu Mak hilang. Semua kat sana kata Mak pergi ikut jalan busut dekat kepala kota tu." Panjang lebar cerita Mak Su, saudara sepupu ibunya, yang tinggal tidak berapa jauh dari rumah mereka. Tetapi Afifah masih tak tahu apa dan kenapa semua ini. Tiba-tiba Mak Chah jatuh pengsan.

"Cepat ambil air. Pasang kipas. Efa, tolong Mak," Pak Hanif memberi arahan kepada anaknya.

"Kenapa ni? Kenapa mak cari ayah kat rumah Mak Asma?" Tiba-tiba segala jawapan datang sendiri ke fikiran Afifah.

"Ayah kahwin dengan Mak Asma!" Afifah terus bingkas bangun. Dia amat marah, Afifah rasa meluap-luap.

"Ayah tahu, esok Efa ada ujian! Efa takkan maafkan ayah!" Afifah terus memeluk ibunya.

"Sabar Mak," sambil dia mengusap dahi Mak Chah yang baru sedar dari pengsan.

Besoknya, Mak Chah dikejarkan ke hospital kerana agak lama tak sedarkan diri. Selepas sehari, beliau dibenarkan pulang. Tetapi sampai saja di rumah Mak Chah kembali tak bermaya.

Selama enam bulan berikutnya Mak Chah sakit aneh. Bila dibawa ke hospital sahaja, beliau akan cepat sedar. Tetapi apabila balik ke rumah, sama juga, beliau terus lemah. Doktor mengatakan Mak Chah tak sakit apa, cuma mengalami tekanan mental.

Saudara dan jiran mengesyorkan Mak Chah berubat secara tradisional pula. Bomoh demi bomoh datang untuk cuba mengubati Mak Chah. Akhirnya, Pak Hj Ismail dapat memulihkan Mak Chah. Pelbagai cara aneh digunakan, tetapi apapun, yang nyata Mak Chah semakin bertambah sihat.

Pak Hanif pula, semakin lama semakin kelihatan seperti orang yang dalam kebingungan.

"Ayah dengar ada suara berbisik di telinga ayah ni," Pak Hanif bercerita meminta simpati anaknya. Afifah turut bingung. Walaupun dia marah, tetapi di waktu yang sama, Afifah juga kasihan melihat keadaan ayahnya sekarang. Pak Hanif sentiasa termenung; beliau tak pernah ceria lagi.

'KHUTBAH JUMAAT'

Cakap-cakap Hari Jumaat

Diam tak diam, dah masuk seminggu Pak Caq turut mewarnai Maya ini.

"Supercool...a nice experience."

Pak Caq suka le sbb dpt menulis n bercerite frm my heart. Bukan ape, Pak Caq ni dah semula jd pendiam. Tp mana ada org yg takde cerite, cuma kekadang tak pandai nak duk bercerite. So, elok benar dpt platform mcm ni. 'I get to share my thoughts and experiences,' kan?

Mungkin dek kerana arini hari Jumaat Pak Caq teringat pula kisah jemaah masjid.

Ya, dah lama Pak Caq perhatikan. Nape ye, ramai betul org tunggu sampai dah nak abis khutbah baru msk solat? Ade pulak yg msk lewat ni, main rempuh msk n duduk di saf depan. Dah mcm kat Masjidil Haram di Mekah! Abis kaki org tersepak, dan kepala org dilangkahnya...

Satu ari tu Pak Caq duduk kat pintu msk. Saje nak tgk pe'el manusia. Waa, ramai betul yg bz mkn di luar sana. Patut le makin ramai org berjual, dah jd mcm ada pesta makan pulak le. Now, bukan saje gerai makan, dah 'mcm2 ada.' Agaknya tu le yg makin lama, makin ramai pulak yg lewat msk solat.

Terfikir jugak...mana kesopanan Jumaat...kankah khutbah bertujuan mengajak umah kepada kebaikan? Islam menyarankan supaya jemaah diam kyusuk utk dgr khutbah.

Camne plak bila dah khutbah, mereka masih duk lepak-lepak dan makan kat luar Masjid? Boleh dgr ke khutbah? Atau soalan yg lbh tepat, boleh berkesan ke khutbah?

Thursday, July 30, 2009

MENCARI ARAH

Episod 6

'Special Malay Class'

Afifah rasa beruntung kerana dia merupakan salah seorang di dalam kumpulan terakhir pelajar-pelajar darjah 3, 4, dan 5 dari sekolah aliran Melayu yang diserapkan ke darjah empat aliran Inggeris selepas mereka lulus satu ujian khas. Afifah kini bersekolah aliran Inggeris di bandar.

Banyak peristiwa lucu berlaku sewaktu Afifah dan teman sekelasnya mula-mula mengikuti kelas 'Special Malay' ini.

"No, we perempuan, not laki, not laki," kata mereka sekelas, kononnya membetulkan kenyataan Mrs Pillay, iaitu guru bahasa Ingerris mereka.

"Bukan itu laki, .. this is 'l..u..c..k..y..' Lucky means you are privileged.."

"Ooh, lucky means 'from village' ...oooh..kita dari kampung." Bercampuk-aduk, caca-marba bahasa mereka hampir setahun di 'Special Malay 1' itu. Apa tidaknya, sekejap macam faham. Sekejap di masa lain fikir dalam bahasa Melayu, dan selepas itu tercari-cari dalam kamus apa perkataan yang sama dalam bahasa Inggeris.

"I am in the well [Saya dalam keadaan sihat]." Jenuh Mrs Pillay membimbing Afifah dan kawan sekelasnya untuk dicelup menjadi 'English'. Haru biru jadinya. Tetapi ia merupakan satu pengalaman yang sungguh berkesan dan menyeronokkan untuk mereka semua.

Selepas Peristiwa Kopek Kelapa

"Yang yang ngat, yang yang nguh..." itulah ungkapan yang selalu diucapkan Pak Hanif kepada anak kesayanganya ini, sampaikan orang-orang kampung pun selalu mengusik Afifah dengan ungkapan itu. Namun Afifah tak pernah ambil pusing apa orang kata.

Jelas kepada semua orang bahawa Pak Hanif terlalu amat memanjakan anaknya yang satu ini.

"Efa berhenti dulu la ngaji tu. Nanti besar sikit baru sambung balik," Pak Hanif memujuk anaknya supaya tak teruskan mengaji. Apa yang ditakutinya memang berlaku. Afifah disuruh membuat kerja-kerja rumah seperti menyapu, membasuh pinggan-mangkuk, dan mengangkut air dari perigi ke dapur tok guru Al Qurannya. Di rumah pun Afifah tak pernah disuruh membuat apa-apa kerja rumah.

Tetapi Afifah memang keras hati. Dia terus mengaji sehingga habis dan ulang kitab Al Quran. Cuma akhir-akhir ini dia tak berapa minat lagi. Semacam dia pula jadi guru Al Quran. Tok guru menyuruh pelajar-pelajar yang sudah baca juzuk untuk mengajar pelajar-pelajar baru dan mereka yang jauh lebih rendah pelajarannya. Mula-mula sekadar empat atau lima orang. Bila Afifah tamat bacaan satu Al Quran, jumlah orang yang disuruh ajar bertambah ke belasan orang.

"Ehhh, banyak keluar darah. Cepat, ambil daun kapal terbang, ..ambil kopi, ambil kain..." Semua orang jadi panik. Lukanya besar dan dalam. Afifah menetak ibu jarinya sendiri sewaktu cuba mengopek kelapa.

"Siapa yang suruh kamu kopek kelapa ni..Ya Allah..cepat taruhkan uparan daun kapal terbang tu..jangan taruh kopi." Tadi orang sama, orang yang jauh lebih tua dan lebih besar darinya yang menyuruhnya supaya belajar untuk kopek kelapa.

'Penipu, bermuka, jahat,' fikir Afifah. Sejak peristiwa itu dia tak mahu pergi ke kelas mengaji lagi. Afifah tak suka disuruh mengajar dan membuat kerja-kerja rumah lagi. Dulu Afifah nak belajar mengaji, jadi dia tak peduli. Sekarang dia sudah pandai. Di umur semuda itu, bukan pahala yang menjadi sasarannya.

Adik Angkat

Di rumah semakin kerap dan semakin serius pula pergaduhan di antara Pak Hanif dan Mak Chah.

"Ambillah anak angkat lelaki pulak. Boleh jadi penyejuk, kut Kak Chah sejuk bila uruskan anak kecil," saran sepupu Pak Hanif.

"Dulu Efa pun dia tak peduli bila dah naik hantu. Tu Efa, anaknya sendiri. Tak boleh, lagi pening aku nanti Lan."

"Mak Bidan suruh ambil budak tu. Bukan senang orang nak bagi anak lelaki. Cuba tanya Kak Chah."

"Ehh Efa, Efa tanya Mak kamu, ada orang nak bagi anak lelaki. Tanya dan pujuk Mak kamu."

"Efa pujuk Mak ambil adik angkat? Mak mana nak dengar cakap Efa. Cakap Ayah pun Mak tak dengar. Huh, nanti, suruh Tok, suruh Tok." Secepat kilat Afifah hilang.

Esok pagi, kedengaran suara bayi di rumah Pak Hanif dan Mak Chah. Rupanya saranan Afifah tepat. Mak Chah akur dengan nasihat ibu mertuanya, walaupun hatinya tak sepenuhnya mahu atau setuju.

Dah Mula Maki Hamun

Tak tahulah badi ke apa. Tetapi seperti kedatangan bayi ini menambahkan lagi kekusutan. Mak Chah kekadang baik, kekadang langsung tak keruan, macam dirasuk hantu.

"Jangan cari pasal. Ni, ni, dah ambil anak haram ni, lepas tu nak buat ikut suka hati! Ingat dulu dah janji, ingat!" Selalunya Pak Hanif terus keluar pergi ke mana-mana. Setelah agak lama barulah pulang semula ke rumah.

"Huh .. Binatang, binatannnng!" Menjadi-jadi pula Mak Chah naik hantu. Mak Chah sentiasa cemburu dan curiga. Kadang-kadang apa saja yang ditangannya akan dibalingkan ke arah Pak Hanif.

"Anak haraamm!" terpacul keluar maki hamun Pak Hanif hari ini. Hari ini, Pak Hanif tak dapat mengelak dengan tangkas dan tepat. Pisau yang dibalingkan oleh Mak Chah terkena paha Pak Hanif.

"Apaaa nie!!" Afifah pula turut membentak.

"Kurang ajar!" bentak Mak Chah kepada anaknya ini. Afifah sungguh sedih dan bingung.

LA DEPA SEKAT HABIS JALAN PULAK!!!

Semua Lorong dan Jalan Kecil Di Tutup

Pak Caq nak singgah kat Mini Market td, nak beli roti. Ehh..tup tup ada tong 'drum' di lorong ini, ada tong 'drum' di lorong lg satu dan satu lg. Di jln lain-lain terdapat 'boom gates' plak. Isssh ... geram juga Pak Caq. Apahal plak ni? Terpaksa pula pusing jauh baru la sampai di kedai yg di tuju.

Bahana Peragut dan Kecurian

Mrs Gan, tuan punya Mini Market, bercerita zon selatan dan zon tgh kawasan perumahan Pak Caq duduk ni dah di tutup dengan tong-tong 'drum', dan dipasangkan dengan 'boom gates' semuanya. Tujuannya ialah utk mencegah atau sekurang-kurangnya mengurangkan kejadian ragut dan pecah rumah.

Tp jln ini semua jln awam untuk seluruh kawasan perumahan. Kan menyusahkan semua penduduk pulak. Majlis Bandaraya Petaling Jaya pun katanya tak boleh memberi kebenaran. Ini Jawatankuasa Rukun Tetangga punya kerja katanya.

Camne plak jika ada kebakaran atau lain-lain kecemasan nanti?? Masaalah kecurian tak selesai pun, nanti masaalah baru pula yg timbul.

Ni kes, take one step forward, then hv to take 2 steps backward la plak...

Posting Novel Lewat

Nampaknya lewat skit la baru boleh post sambungan novel kita. Mlm ni mlm Jumaat, biasalah ada lebih 'rituals' nak buat. Tp insya Allah Pak Caq tulis nnti.

Aduhai Melayu!

Kosmo Pula Buat Hal Lagi!!

Surat khabar Melayu ni suka sangat buat cerita-cerita sensasi .. yang lebih penting bagi mereka ialah surat khabar mereka tingkatkan jualan .. bagi mereka lebih sensasi lebih baik untuk pastikan untung bertambah lagi ..

Sedihkan .. dari dulu sampai kini .. tak habis-habis Melayu nak menjatuhkan nama dan maruah anak bangsa sendiri! .. Bertelagah sesama sendiri; tuduh menuduh sesama sendiri .. Jatuhkan Melayu sendiri hanya kerana publisiti; tikam Melayu sendiri hanya kerana nak untung lebih lagi!

Ya, lihat sajalah buktinya. Kelmarin kelmarin sampai hari ini asyik menggembang-gemburkan 'Anwar Al Juburi.' Hari ini 'menikam Yasmin Ahmad' selepas dia dah pun mati!

Heh... kenapa ni? Dah tak larat nak baca, tak larat nak dengar, tak larat nak cakap la lagi! Tolonglah! Inikah yang kita megah-megahkan, yang kita katakan, 'Melayu Dah Pun Maju?'

Mengapa harus begini? Bangsa lain asyik sibuk mencari jalan, bersatu tujuan untuk menambah nilai bangsa. Melayu lain pula, bersaing mencari berita sensasi. Inilah gambaran yang diberikan oleh akhbar Melayu kita. Berita sensasi terkini! Kalau tak di Utusan, di Berita Harian, kalau tak di Metro, di Kosmo!

Pak Caq memang sedih le dengan sikap anak bangsa kita ni. Kita bukan sahaja Melayu, tapi Islam juga. Tetapi lagak .. mengalahkan Israel dan Yahudi.

"Aduhai Melayu! Apa Nak Jadi! Ya Allah, tolonglah kami."

Wednesday, July 29, 2009

MENCARI ARAH

Episod 5

Afifah Jadi 'Lelaki'

Pak Jan, ayah Bahiyah, datang dengan membawa rotan dan menyerang sekumpulan kanak-kanak yang asyik bermain batu tujuh (batu seremban) di bangsal dekat pokok manggis di hadapan rumah Afifah. Beliau memarahi semua kanak-kanak perempuan ini. Apabila Pak Jan menghayunkan rotan yang dipegangnya, kesemua mereka melompat kesebelah yang paling jauh daripada Pak Jan.

"Apa ni! Pak Jan jahat!" Afifah terus membentak. "Bayah ni jahat la. Sikit sikit mengadu. Dia ngadu, kita yang kena marah. Anak manja!" rungutnya.

"Kenapa ni Jan?" tanya Pak Hanif. Bapa Bahiyah pun becuk bercerita tentang semua kanak-kanak perempuan yang kononnya menganiayai anaknya dan tidak membenarkan anaknya turut sama bermain.

"Ala Jan, perkara budak-budak, biarlah budak-budak tu sendiri selesaikan. Kejap je tu, nanti baiklah semula." Tapi Pak Jan tak dapat menerima saranan itu.

"Ahh, kau masuklah sebelah anak kau. Ni, ni, si Efa la yang kepala. Ingat dia pandai sangat!" bentaknya.

"Ayah, Bayah tu yang tak reti main, pastu main tipu. Mana boleh! Bila Efa semua tegur, Bayah marah. Tuduh kita orang pulak yang tipu. Pastu tu dia lari balik ngadu dengan Pak Jan." Panjang lebar Afifah membela diri.

"Dahlah. Jum balik. Semua anak-anak balik dulu ye. Esok main lagi." Pak Hanif terus memegang tangan Afifah dan mengajaknya masuk ke dalam rumah.

Sejak peristiwa itu, Afifah lebih suka berkawan dengan kanak-kanak lelaki. Malah Afifah kini turut berpakaian lelaki.

"Leceh le Abah. Hari-hari mengadu mak, mengadu ayah, abang semua. Bukan Bayah saja, Lin dan Wacik pun sama. Efa tak nak kawan dia orang lagi. Efa nak ikut Cik Non," Afifah berhujjah. Pada hematnya budak lelaki tak banyak kerenah. Aktiviti pun lebih mencabar dan menyeronokkan.

Pak Hanif pun fikir lebih baik juga anaknya mengikut adik lelakinya, Zainul, yang baru sebulan datang tinggal bersama mereka. Sekurang-kurangnya keselamatan dan kebajikan Afifah terjamin.

Penangan Nasi Ulam

Pada bulan puasa tahun ini pula Afifah rajin ke rumah Tok Nah, datuknya. Hari-hari Afifah menyuruh Mak Chah buat kueh awal untuk dihantar ke rumah datuknya. Jika Mak Chah lambat membuat kueh, Afifah beli kueh jualan. Apapun, dia mesti pergi ke rumah Tok Nah. Apabila satu hari Tok Nah terpaksa pergi ke rumah anaknya yang lain, Afifah pergi pula ke rumah datuk saudaranya, Tok Ndak, iaitu sepupu Tok Nah.

"Cek mai ambil nasi ulam rumah Tok Ndak. Nanti Tok Ndak bubuh lebih banyak ikan dan ulam." Selepas itu, tiap-tiap hari berikutnya, Afifah pergi juga ke rumah Tok Ndak.

"Tok Ndak bagi duit lagi Ayah!" Pak Hanif senyum saja. Beliau tahu anaknya ini memang 'hantu nasi ulam.' Tapi apa yang lebih Pak Hanif suka ialah setiap hari Afifah mendapat nasihat dan cerita-cerita tauladan daripada Tok Nah dan Tok Ndak.

"Ayah, Tok kata, 'kalau kita ada seringgit, orang susah minta tolong, kita kena bagi dia lima puluh sen, dan lepas tu kita ada seringgit balik.' Kadang-kadang Tok merapu, buat lawak ni!" Pak Hanif tahu ibunya menerapkan nilai-nilai murni. Beliau yakin Afifah akan hargai semua ini apabila dia besar nanti.

Kerana Mak Timah Lawa

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini Pak Hanif dan Mak Chah dah kembali banyak bergaduh. Bingit telinga Afifah. Di usia delapan tahun, Afifah sudah mengerti banyak perkara. Tambahan pula dia anak pintar. Tok Nah juga banyak memberi tauladan-tauladan dan nasihat yang baik. Jadi Afifah tetap mahu cuba menjadi seorang anak yang sopan. Walaupun Afifah tidak senang dengan perkembangan yang tidak sihat ini, dia cuba tidak masuk campur. Namun sesekali dia tak dapat menahan rasa.

"Malu kat orang la Mak, Ayah," komen Afifah. Dia tahu ibunya cemburukan 'Mak Cik Timah lawa,' yang baru pulang ke kampung mereka selepas bercerai. Tetapi Pak Hanif tidak boleh nampak kenapa pergaulannya dengan Mak Timah boleh membuat Mak Chah cemburu kerana Mak Timah adalah saudara mereka juga.

Afifah Mahu Mengaji Al-Quran

"Efa nak pergi mengaji juga! Semua orang dah mengaji." Afifah berhujjah menyokong keinginannya untuk ikut kelas mengaji Al-Quran di kampung seberang.

"Tahun depan baru boleh. Efa kecil lagi. Sembilan ke sepuluh tahun baru besar sikit, barulah boleh pergi mengaji kat situ," Pak Hanif pula membentang hujjahnya. Beliau tak mahu anaknya nanti 'didera' dan disuruh membuat kerja-kerja rumah ataupun dipukul oleh guru Al-Quran.

"Kalau Mak dengan Ayah tak mahu pergi serah Efa untuk mengaji, Efa nanti pergi sendiri!" Afifah terus berkeras.

"Orang kata tunggu, tunggu la. Jangan degil! Nak mula mengaji, kena buat pulut semua dulu!" Mak Chah pula berhujjah.

"Alah, bukan payah sangat. Tok pun boleh buat! Duk rumah pun bising saja." Afifah tetap berkeras juga.

Pak Hanif kenal sangat anaknya. Kalau dia sudah nekad, dia akan buat. Pak Hanif mesti akur.

PAK BESAR

Pak Caq Tu Pak Besar

Ada orang tanya td kenapa dipanggil 'Pak Caq?' Ye pulak le kan. Bukan semua orang tahu. Alang-alang Pak Caq cerite 4 everybodylah ye.

Orang utara memanggil anak sulung atau yang tua sebagai 'wa, long, atau caq.' Ini mengikut loghat atau lenggok bahasa orang utara yang bermaksud 'tua, sulung atau besar.' Bila adik-beradik atau anak-anak buah memanggil gelaran sedemikian, kekadang sekampung turut memanggil dengan panggilan yang sama.

'SELSEMA BABI'

Takziah untuk keluarga mangsa-mangsa H1N1 atau selsema babi yang telah meningkat kepada 4 kematian dan 1219 kes , setakad semalam. Nampaknya wabak ini agak mencemaskan kita. Namun apapun, Insya Allah jika kita menjaga kesihatan dan menuruti nasihat-nasihat yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan, kita akan terpelihara.

Pak Caq nak komen sikit pasal perkataan 'babi' yang digunakan. Tak tahu mengapa sekarang perkataan ini dah seperti 'taboo' pulak. Memang babi itu haram untuk orang-orang Islam. Tetapi menggunakan perkataan 'babi' itu bukan haram. Dari dulu-dulu pun orang-orang Melayu tidak dilarang menggunakan perkataan ini. Kita menggunakan istilah-istilah seperti 'gila babi' dan 'kutu babi.' Orang kita memaki hamun orang dengan perkataan 'babi.' Tetapi sekarang kita seperti takut untuk menggunakan istilah 'selsema babi.' Satu dunia menamakan H1N1 sebagai 'swine flu' yang dalam Bahasa Melayu bererti 'selsema babi.'

Sungguh pelik! Memang aneh!

Tuesday, July 28, 2009

MENCARI ARAH

Episod 4

Musibah

Afifah merengek-rengek mahu ikut ayahnya pergi ke rumah Cik Nah. Puas Pak Hanif pujuk. Hanya selepas dijanjikan akan dibawa ke Pulau Pinang nanti, barulah Afifah akur.

"Pergi. Pergilah. Biar dikerutu mak tiri kamu itu!" Walaupun di umur semuda itu, Afifah jelas seorang anak pintar.

"Mak tiri pun baik!" jawapnya selamba. Afifah melambai-lambai melihat ayahnya memandu kereta keluar ke jalan besar.

Dari selepas sampai ke rumah isteri keduanya semalam, Pak Hanif duduk di rumah saja. Keretanya dipinjam oleh saudara isterinya. Sampai ke tengahari hari Sabtu pun masih belum lagi dikembalikan. Tapi beliau sabar sahaja menunggu, sampai terbawa tidur.

Tiba-tiba kedengaran bunyi kereta masuk ke pekarangan rumah Cik Nah.

"Ha, tu dah sampai dah. Eh! Bang, ada polis datang tu Bang." Pak Hanif bingkas bangun dan menjengah dari tingkap.

"Ini rumah Encik Mohd Hanif bin Ahmad?" Pak Anif kelihatan cemas. Hatinya tertanya-tanya kenapa pulak polis mencari dia.

"Kereta Austin warna kelabu bernombor B 1648 kepunyaan Encik Mohd Hanif?"

"Ya, ya Encik. Kenapa? Kereta saya 'accident' ke? Di mana Encik? Teruk ke?" Panjang dan bermacam soalan Pak Hanif ajukan kepada pegawai polis berkenaan.

"Beginilah. Minta Encik datang ke balai. Ini kes berat ni. Kita kena buat lapuran dan selidik."

Sesudah jelas semuanya, Pak Hanif terduduk tak terkata apa-apa lagi. Dia menyesal mendengar pujukan Cik Nah supaya bersetuju pinjamkan kereta kepada saudara isteri keduanya. Tak diduga keretanya digunakan untuk tujuan rompakan.

Selepas tiga bulan pun kereta Pak Hanif tidak dibenarkan untuk diambil dan dibawa pulang.

"Bahan bukti tak boleh bawa keluar Encik," jelas polis. Walaupun jelas terbukti Pak Hanif tidak terlibat langsung di dalam perancangan dan kejadian rompakan tapi proses undang-undang mengambil masa yang panjang. Pak Hanif juga mengeluh panjang.

Permulaan Hidup Baru

Pak Hanif yakin musibah yang menimpanya ada hikmahnya tersendiri. Apa yang nyata, selepas setahun Pak Hanif bercerai dengan Cik Nah secara kekeluargaan. Pak Hanif secara kasarnya dikira seperti seorang muflis. Wang simpanan hampir habis, keretanya disita polis, dan perniagaanya hancur.

"Ayah sekarang kita jadi susah? Ayah tak mahu kerja lagi ke?" Pak Hanif mengusap-usap kepala anaknya. Memang Pak Hanif sedang memikirkan bagaimana dia dapat memulakan perniagaan baru. Duit yang ada mungkin dapat menampung perbelanjaan untuk sebulan sahaja lagi. Apa yang mereka ada sekarang hanyalah rumah dan tanah kampung serta beberapa relung tanah bendang.

"Kita buat bendang saja la Abang Anif," cadang Mak Chah. Ya, sejak berpisah dengan isteri keduanya, Pak Hanif merasa tenang kerana Mak Chah tak lagi selalu cari gaduh. Walaupun belanja makan mereka dikurangkan, Mak Chah tak membentak-bentak. Malah Mak Chah membeli ikan yang lebih murah dan hanya sesekali membeli daging dan ayam.

Semusim Bersawah Padi

Mahu tak mahu Pak Hanif bersetuju untuk mereka bersawah padi. Tahun ini mereka tak mempawahkan lagi tanah sawah mereka. Harga pawah yang amat rendah tak akan dapat membantu mereka.

Soalnya Pak Hanif langsung tak tahu tentang bersawah padi. Semuanya dirasakan begitu janggal dan tak kena. Dia hanya mampu mundar-mandir melihat orang bekerja. Tetapi Mak Chah kelihatan bersemangat. Mak Chah seperti mandur dan pengarah sekaligus. Mungkin kerana Mak Chah yakin dengan janji-janji Pak Hanif.

"Abang Anif janji tak akan buat lagi. Kita bina balik. Abang Anif janji akan mengubahkan sebahagian tanah ini atas nama Chah." Besar dan berat janji itu. Tapi, janji ini menyuntik semangat baru kepada Mak Chah.

"Mak, mak, ni Efa nak cakap. Orang kerja yang duduk kat rumah itu curi sotong yang mak rendam. Efa nampak tadi." Benarlah kata anaknya, dua ekor sotong hilang. Mak Chah meluru keluar tetapi Pak Hanif cepat menyekatnya.

"Biarlah Chah. Tak usah cari gaduh. Mereka ramai, hati-hatilah sikit. Esok, letakkan semua bahan makanan di dalam dangau saja." Mak Chah akur.

"Chah, Abang Anif nak berniaga balik. Kecil-kecil dulu pun tak apa." Mak Chah tak berkata apa-apa. Pak Hanif fikir walaubagaimanapun beliau mesti yakinkan Mak Chah untuk bersetuju.

"Abang Anif tak tahu buat bendang. Chah tahu kan. Abang Anif tak boleh terus macam ni Chah."

"Mana cukup duit nak buat modal beli kereta semua. Kita dapat tiga ribu ringgit setengah saja."

"Kalau Chah tolong buat, Abang Anif boleh jual pasembor. Pasembor Chah kan sedap, mesti boleh laku."

Susah Tapi Bahagia

Sejak berapa lama, baru inilah Pak Hanif merasa bahagia. Walaupun dia penat mengayuh basikal berjualan rojak pasembor keliling kampung, tapi dia benar-benar rasa bahagia. Jualannya pun laris, dan untungnya lumayan walaupun jumlahnya tidak besar.

Kini, hanya sesekali sahaja beliau dan Mak Chah bertekak. Itupun pertengkaran mereka tak lama. Tak ada lagi cawan, piring, pinggan dan mangkuk yang pecah.

Afifah pun kelihatan riang dan ceria. Anak ini memang cerdik dan pintar. Walaupun usianya baru lima tahun, dia berfikir seperti anak yang sudah sekolah. Sekarang Afifah tahu, sebab ibunya jadi macam 'singa dan gorilla' ialah ayahnya kahwin lain. Sekarang aman, ayah dan ibu sudah amat jarang bertengkar dan berkelahi. Afifah pun jarang kena marah dan kena cubit.

"Best kan Ayah. Tak kena marah lagi, tak kena cubit. Mak dah tak mengamuk!"

Pak Hanif merumus sendiri: 'mungkin inilah hikmah dari Allah.'

Tunggu...Sambungan Novel Coming Soon

Baru Nak Taip

Sabar, jangan maraa ye. Td Pak Caq duk baca-baca skit pastu dah tertidur plak. Ni baru nak menaip sambungan novel.

Tgk2 le dulu surah Al Mulk tu ye..

Insya Allah nanti Pak Caq postkan malam ni juga.

SURAH AL-MULK

Pak Caq nak sampaikan dulu pesanan ulama ni. Sama-samalah kita serukan kepada kebaikan...

Kubur Satu Perhentian Yang Pasti

Satu perhentian yang pasti selepas mati ialah kubur. Kubur itu ialah satu tempat asing, tempat yang gelap, kediaman yang sunyi, sarang cacing dan ulat, rumah yang sempit kecuali bagi orang-orang yang Allah luaskan baginya.

Selamat Daripada Azab Dan Seksaan Kubur

Adalah diriwayatkan iaitu baginda Rasulullah S.A.W. sentiasa membaca Surah Al-Mulk pada setiap malam dengan mengharap kebaikan dan keselamatan daripada azab kubur. Hanya amal salih sahaja yang akan menerangi kubur yang gelap.

LUCU KE?? FIKIR-FIKIRKANLAH SENDIRI

Pg td, seperti biasa, jiran yg juga 'jogger' singgah sembang-sembang di luar pagar. Arini pun dia bawa 'the Sun' juga. Tp arini dari jauh lg dia dah melambai-lambai riang.

"Here, joke of d day la. Hv a look," katanya. Tim tunjuk sekeping kertas yg mcm 'flyer.' Di atas kertas itu tertulis:

BN : Buntu Najib! (Melihat keadaan ... )
Gerakan : Gerakan
UMNO : Utuh Menyenaraikan Nasionalis Orang-Orang
MIC : Melayu, India, China
1MALAYSIA : 1Malaysia
MCA : Mereka Cari Anwar!

Nak Buat Apa???

PBS : Perkukuhkan Barisan Sejagat
PR! : "Pakatan Rakyat"
PR! : People Rule!!!!!!!!

Pak Caq kaget. 'Nak komen apa?' Terfikir sendiri. 'Joke ke ni?'

"From where did you get this?" dan Tim jwp, "Our neighbor on the other side of the road gave it 2me."

Anda nilaikanlah sendiri.

Pak Caq terpaksa berdiam diri bila byk perkara yg tak kena masa keje gomen dulu. Di 'gag-order' kerana 'saya yang menurut perintah' dan 'OSA' serta lain-lain akta lg. Tak dlm gomen pun, masih ada byk akta yang macam mencengkam hidup kita ini.

Monday, July 27, 2009

Haha Dia Main Lompat-lompat...

Apa dah jadi?

Sungguh melucukan .. Pak Caq buat posting, formattingnya lari .. Hmm, dah fix, time pula tak betul .. Inilah jadi bila tahu IT separuh masak. Hehe ..

Enjoy sambungan novel.

To end the day on a high note: "Do The Best You Can Because You Know Yourself Best."

MENCARI ARAH

Episod 3

Afifah Hanya Anak Kecil

"Tengok budak tu!!" jerit Mak Chah kepada adiknya yang ditugaskan menjaga Afifah bermain di halaman rumah. Tetapi Afifah bukan seorang kanak-kanak yang boleh dikawal ikut kemahuan orang tua. Dia berlari-lari di sekeliling pokok, bermain 'aci' dengan Leman, Pak Anjangnya.

"Efa, mari sini la, duduk kat tangga ni," pujuk Leman. Afifah meluru naik tangga. Dia bermain lari naik dan turun tangga pula.

"Ehh jangan, nanti jatuh, sakit tau." Manalah anak kecil faham rasional orang dewasa. Dia bertambah lincah dengan aktiviti naik dan turun tangga ini. Semakin dilarang, semakin dia laju.

"Ya Allah. Kak, kak, tolong ni, tolong, tolong," jerit Leman ketakutan. Afifah terjatuh tangga. Hidungnya berdarah dengan banyak sekali. Tapi anak kecil ini tidak menangis. Dia kalut menyapu-nyapu darah di hidungnya.

"Aku kata tadi jaga dia!" Mak Chah menampar adiknya di tangan. "Ni pun satu!" Mak Chah menyergah pula Afifah.

Pak Hanif meluru turun dari atas rumah. Beliau terus menyambar Afifah dan memeluknya. Pak Hanif lihat darah mengalir dengan agak banyak juga. Beliau jadi panik.

"Pergi ambil kunci kereta, cepat!" kata Pak Hanif kepada adik iparnya.

"Biarkan. Tak dengar cakap orang!" Mak Chah merungut. Beliau buat acuh tak acuh sahaja. Pak Hanif tak menyahut.

Lepas itu jiran sebelah menyebelah datang. Pak Hanif tak peduli sesiapa pun. Beliau terus ambil kunci kereta yang Leman berikan kepadanya, dan dengan Afifah di dalam dukungannya beliau meluru menuju ke keretanya.

"Leman, cepat! Ikut!" Pak Hanif memberi arahan kepada adik iparnya. Lepas itu, kereta melucur pergi dengan lajunya.

Jiran-jiran sibuk nak ambil tahu. "Budak tu bukan dengar cakap orang!" Mak Chah memberi penjelasan.

"Alah Chah, budak lagi. Macam tu la budak-budak. Kita yang kena lebih memberi perhatian."

"Biar dia rasa!" Mak Chah terus membentak. Jiran-jiran memandang sesama sendiri, dan menggeleng kepala. Semua pun fikir, 'anak kecil, mana dia tahu.'

Akibat dari insiden terjatuh tangga itu, hidung Afifah bengkuk sedikit serta berparut.

Pak Hanif Berniaga Ke Singapura

Selepas zaman pemerintahan Jepun, dan selepas berkahwin dengan isteri mudanya, Pak Hanif banyak berulang-alik ke Singapura berniaga kain pakaian. Beliau biasanya berada di rumah bersama Mak Chah sekitar belasan ke dua puluh hari sahaja. Hatinya selalu berdetik, 'hari-hari yang pedih dan panjang.' Hampir setiap hari dipenuhi dengan pertengkaran dan sengketa. Tetapi Pak Hanif tetap bertahan kerana Nur Afifah.

Bila Afifah semakin membesar Pak Hanif rasa hari-harinya lebih bermakna. Memang Pak Hanif terlalu amat menyayangi anaknya yang satu ini. Kalau boleh, Pak Hanif mahu meluangkan lebih banyak masa dengan anaknya. Tetapi Pak Hanif mesti mencari rezeki serta menunaikan tanggung-jawap sebagai seorang suami dan ayah.

Tetapi selepas peristiwa Afifah terjatuh tangga dan hidungnya patah, Pak Hanif merasakan beliau perlu mengambil langkah drastik. Beliau perlu beri lebih banyak masa bersama Afifah dan Mak Chah. Walaupun hidupnya akan menjadi lebih sakit dan pedih, Pak Hanif redha demi anaknya.

Hari-hari Ada Sengketa

Pak Hanif kini cuma berniaga kecil-kecilan di pekan-pekan yang ada tempat pusat jualan harian (sama seperti konsep pasar malam/pasar tani masakini). Beliau berniaga dengan mendapat bekalan dari pembekal tempatan. Walaupun untungnya agak sedikit, Pak Hanif menetapkan hanya dengan cara begini beliau dapat berada dengan Afifah untuk tempuh yang lebih lama. Namun begitu, cuma lima hari seminggu sahaja Pak Hanif berada bersama Afifah dan Mak Chah.

Setiap hari Jumaat dan Sabtu, beliau berurusan beli barang serta pergi ke rumah isteri mudanya. Pak Hanif tidak menceraikan isteri keduanya kerana isterinya ini telah banyak membantu beliau dalam perniagaannya, iaitu dengan memberi modal tanpa meletakkan apa-apa syarat pun. Tambahan pula ibunya juga melarang kerana isteri mudanya tidak menyusahkan beliau.

"Kenapa Mak selalu suka marah?" Pak Hanif senyum sahaja. Beliau mendukung Afifah sambil diajak bermain jual-jualan.

"Mak tu ada banyak angin," Pak Hanif berbisik ke telinga anaknya.

"Mak makan angin saja ke? Ayah jangan beli angin lagilah. Hari-hari Mak marah Efa. Efa tanya Mak cubit," anak kecil berumur sekitar tiga setengah tahun ini mengadu kepada ayahnya. Pak Hanif sentiasa terhibur dengan keletah anaknya ini.

Namun kerana itu juga Pak Hanif sedih dan terluka. Nur Afifah merupakan anak yang cergas dan cerdas otaknya. Tapi dia tak berupaya memujuk Mak Chah untuk memberi belaian yang baik untuk membantu Afifah membesar jadi anak cemerlang. Pak Hanif tahu Mak Chah takkan pernah memaafkannya. Hari-hari waktu di rumah ada saja yang akan menjadikan penyebab untuk beliau dan Mak Chah bergaduh. Tetapi yang menjadi mangsa adalah anak mereka sendiri.

Afifah Lucu dan Periang

Afifah pun seperti sudah lali dengan keadaan ini. Walaupun Mak Chah mengamuk, anak kecil ini masih boleh berlari-lari dan bermain riang. Ada ketika, Afifah akan terus panjat ayahnya walaupun berlaku pertengkaran di antara beliau dan Mak Chah. Biasanya ini akan membuat Pak Hanif tidak mudah terbawa-bawa dengan angin amarah Mak Chah. Pak Hanif tak jadi ikut marah.

Afifah memang lucu, suka mengajuk dan ikut buat aksi kedua ibu bapanya. Selalunya mereka berdua beranak juga akan buat aksi-aksi lucu bersama dan cepat-cepat beredar ke anjung atau halaman rumah apabila Mak Chah naik angin. Mereka biar sahaja Mak Chah marah-marah dan membebel sendirian.

"Kita kawan ya ayah, kita kawan kan?" Afifah berkata riang.

Ambil Nafas Kejap Lah

Hari-hari kerja kita dah letih le pula.

Pak Caq ni mengalahkan orang kerja berat. Hari ini panas lebih kan, tu yang rase letih skit. Ari ni pula bz skit. Yele kerje2 menyibuk. Haha, excuses, excuses... Actually betul! Baru je balik, blm solat lg. Nampak gaya posting utk novel kena buat a little later.. malam le kut.

4 now, nak share kata-kata sakti 4 today:

1. "Biar jd amat senang, kita jd amat tenang; Jangan jd amat kaya, nnti tak selamat, amat merbahaya!"

2. "Ke laut ke darat, jangan kedekut tak berkat."

Insya Allah malam nnti Pak Caq postkan sambungan novel ye.

Orang Lama Melayari Maya

Terkial-kial juga Pak Caq nak mencantikkan muka ni ha. Gambar bunga orkid dari halaman sendiri ni. Camne? Kira ok le 4 now. Nnti kut jumpa kosmetik baru kite try pula..

Pak Caq tgh susun nota novel utk paparan esok ari. Jumpa lg.

Sunday, July 26, 2009

Sambil Jalan-Jalan

Duk tgh tengok F1 di Star Sports ni. Teringat pula nak mencoret rasa.

Nak ucapkan terima kasih kpd yang memberi komen di maya atau saluran lain.

Untuk Yang Gambi, sis, Pak Caq tak pernah belayar physically, tp biasa meredah ombak badai lautan dan jeram semasa bertugas di Sarawak dan Sabah. Seram juga. Selalu juga ninjau sana sini. A lot from my pool of experiences. Nanti le, insya Allah kita will relive some of these.

Another Kata Sakti To Share: Yang Licik Itu Isteri; Yang Manipulasi Itu Suami

MENCARI ARAH

Episod 2

Pinggan Mangkuk Terbang Melayang

Seorang remaja terjatuh dari basikalnya kerana cuba mengelak dari terkena objek yang terbang jatuh dari tingkap dapur rumah Pak Hanif dan Mak Chah. Dia sudah tahu. Kata hatinya, 'pinggan mangkuk terbang melayang lagi.'

"Dah mula dah," Mak Nab, jiran terdekat terdekat Pak Hanif dan Mak Chah, membuat pengumuman kepada anak dan menantunya yang sedang lepak menonton TV. Seperti sudah menjadi satu kebiasaan bagi mereka di Kampung Gelam, Kedah ini. Penduduk kampung sudah tidak ambil kesah lagi. Malah kadang-kadang mereka rasakan bagaikan ada sesuatu yang tak kena jika tidak ada bunyi drama pertengkaran dari rumah jiran yang satu ini.

"Abang Anif tak pergi pun!" "Arrrgh, sudahlah! Chah tahu, Chah tahu! Tak usah nak tipu!" Pak Hanif cuba terus pujuk juga. "Jangan dengar cakap orang." Cepat Mak Chah mencelah, "Sudahlah, Chah tahu. Tak suka buat cara tak suka. Ceraikan Chah! Chah cabar, ceraikan Chah!" Meluap-luap rasa Pak Hanif. Merah padam dan sampai rasa gementar tangannya. Tapi bukan Pak Hanif menampar atau menendang Mak Chah. Tangannya mencapai dulang yang berisi cawan dan piring di atas meja dan membalingkannya keluar tingkap. Bunyi berderai lagi di bawah sana.

Pak Hanif kelihatan mengayuh basikalnya dengan amat laju sekali menuju ke rumah ibunya di kampung pondok di seberang. Kelihatan ada tetamu pula di rumah ibunya. Beliau pergi ke pengkalan sungai. Mundar mandir Pak Hanif berjalan dari kiri ke kanan dan balik ke kiri; seperti mengukur panjang pengkalan pula lagaknya. "Oiii, kami dah nak balik ni," kata tetamu ibunya. Pak Hanif mengangkat tangan serta melambai-lambai, tetapi beliau tak berkata apa.

"Anif dah tak tahan mak!" Sekali lagi Pak Hanif bercerita tentang masaalah rumah-tangganya kepada ibu beliau. Malah kali ini air mata jantannya turut mengalir. Beliau tidak malu lagi kepada ibunya. Tok Nah dengar saja.

"Macam mana ni mak?" Ibunya bangun mengambil kain pelikat dan songkok. "Pergi sembahyang kat surau Tok Nek. Dah nak azan Asar tu." Pak Hanif akur dengan perintah ibunya. Tetapi sembahyangnya sedikit pun tak kyusuk, ambil buat saja.

Corak Dan Warna

Hakikatnya Pak Hanif dan Mak Chah masing-masing mengalami trauma hidup mereka sendiri. Pak Hanif adalah anak tunggal. Ibu dan bapanya bercerai semasa beliau baru berumur tiga tahun. Sebelah bapanya, mereka orang kaya, tapi bapanya hanya tahu menghabiskan harta. Seperti hobi pula bapanya kahwin dan cerai. Pak Hanif ada ramai saudara sebapa - tiga belas orang kesemuanya dari tujuh orang ibu yang berbeza. Pak Hanif juga ada saudara seibu kerana ibunya juga berkahwin-cerai sebanyak tiga kali.

Dari umur tiga tahun, Pak Hanif tinggal bersama ibu saudara sebelah bapanya. Memang hidupnya lumayan dari segi materialnya. Tapi Pak Hanif mengalami tekanan perasaan kerana ibunya sering datang mengganggu. Apabila ibunya berkahwin baru, Pak Hanif dipaksa pulang untuk tinggal bersama keluarga barunya. Dua tahun kemudian Pak Hanif dihantar balik untuk tinggal bersama ibu saudaranya kerana ibunya bercerai lagi. Empat tahun selepas itu ibu saudaranya pula meninggal. Bapanya pula memaksa untuk beliau balik tinggal bersama ibu atau ayahnya. Ibu bapanya tidak mahu Pak Hanif duduk di bawah asuhan isteri baru bapa saudara iparnya. Ibunya pula tak mahu beliau duduk dengan ibu tiri. Jadi Pak Hanif terpaksa ikut ibunya. Pelajarannya terganggu. Dari hidup mewah di bandar Alor Setar, Pak Hanif hidup kampungan dengan nilai dan norma hidup yang jauh berbeza.

Dari umur lapan belas tahun, Pak Hanif sudah bekerja sendiri. Dua tahun kemudian beliau berkahwin dengan seorang gadis sunti pilihan ibunya, iaitu gadis dari kalangan saudara mereka. Isterinya masih terlalu amat muda, beliau sering kencing malam. Mungkin juga trauma dipaksa kahwin di waktu umur baru melewati dua belas tahun. Apapun Pak Hanif tak sanggup meneruskan perkahwinan itu, dan mereka bercerai setahun kemudian. Tak sampai setahun selepas itu, Pak Hanif berkahwin dengan Mak Chah.

Trauma Mak Chah mungkin jauh lebih serius. Ibunya meninggal ketika usianya terlalu amat muda. Di usia sembilan tahun Mak Chah terpaksa menjadi ibu rumah kerana bapanya terlalu setia kepada arwah ibunya. Mak Chah juga ada lima orang adik kecil yang harus dijaga. Tak siapa mahu membantu kerana kedua ibu bapanya seperti dibuang sanak saudara. Saudara mara semua marah kerana bapanya seorang 'bangsat,' iaitu panggilan orang kampung kepada anak dagang yang tidak diketahui asal keturunannya.

Datuk Mak Chah memang seorang penghulu kampung, dan kerana itu tiada siapa berani membantah bila beliau memilih bapa Mak Chah sebagai menantunya. Namun seorang penghulu pun tak boleh memaksa dan mengarahkan anak dan saudara-mara menyukai pilihannya.

Hidup Mak Chah bersama bapa dan adik-adiknya terlalu amat susah. Bapanya hanyalah seorang tukang rumah yang jarang-jarang mendapat tempahan. Mak Chah terpaksa berjualan. Di usia semuda itu, Mak Chah terpaksa bangun seawal pukul tiga pagi untuk mengukus laksam, satu makanan seperti keow tiau yang dimakan dengan kuah laksa lemak. Selepas itu, dia mesti menguruskan adik-adiknya sebelum keluar berjualan di simpang jalan. Habis berjualan, beliau sudah terpaksa memproses ikan untuk dibuat kuah laksam. Kemudian beliau terpaksa pergi mencari ulam putat yang dimakan bersama laksam. Makan pakai dan tidur adik-adik juga mesti terus dijaga. Agak lewat malam baru dia dapat tidur. Itu pun untuk sekadar lebih kurang lima jam sahaja. Itulah rutin hidupnya sehari-hari. Jika ada yang tidak lancar, Mak Chah dimarahi bapanya lagi. Bayangkanlah kesan semua ini di dalam hidupnya. Hampir empat tahun selepas kematian ibunya, Mak Chah dijodohkan dengan Pak Hanif.

Bila Pak Hanif Kahwin Lagi

Selepas lebih enam tahun berkahwin, Pak Hanif mula rasa gelisah. Kawan sebaya dengannya sudah mempunyai ramai anak sedangkan beliau belum juga dikurniakan seorang anak pun. "Kamu mampu, kahwin saja satu lagi. Isteri kamu mandullah tu." Hampir setiap orang memberi saranan yang sama. Akhirnya Pak Hanif akur, dia beristeri lagi. Isteri keduanya adalah seorang janda muda kaya dari negeri Perlis. Sudah semestinyalah Mak Chah tak tahu.

Bila Mak Chah memberitahu dia sudah pun mengandung, Pak Hanif menjadi resah. Dia kebingungan; apakah tindakan yang harus beliau lakukan? Perkahwinan dengan isteri muda baru menjangkau dua bulan, sedangkan kadungan Mak Chah sudah masuk tiga bulan. Beliau merasa amat bersalah.

"Macam mana ni mak? Chah mesti tak boleh terima." Mak Chah muncul di muka pintu. "Tak boleh terima apa?" celahnya. Semua terpaku diam. Mak Chah sudah merasakan ada sesuatu yang tidak kena. "Apa yang Chah tak boleh terima Abang Anif?" Ibu Pak Hanif mencelah, "sabarlah Chah, semua dah takdir!" Kemudian terbongkarlah segala rahsia. Mak Chah terus mengamuk macam nak gila. Selepas itu kerukunan rumahtangga mereka tergugat. Semuanya tak sama lagi.

Kata-kata Sakti Era Maya

Mulai hari ini saya bahasakan diri saya sebagai 'Pak Caq' le ye..

Tak abis lagi menaip sambungan novel. Cina repair 'chain saw' dah gaduh ni, suruh pergi ambil sebab dia dah nak tutup kedai.

Nanti selepas balik baru Pak Caq dapat post. Tunggu ye..

Kata sakti untuk renungan bersama: "10% ada baru cerita la.."

Saturday, July 25, 2009

MENCARI ARAH


Episod 1

Lahirnya Afifah

Sewaktu dengan azan Zohor berkumandang, terdengar tangisan seorang bayi. "Alhamdulillah, anak perempuan," kata mak bidan. "Saya pergi lapur dululah." Dengan bingkas bapa bayi bangun. "Ehh, tunggu, azankan anak ini dulu." Bapa bayi akur. Dia terus mengendung anaknya yang baru lahir dan mengazankan ke telinga kanan, dan mengkhamatkan ke telinga kiri. Selepas berselawat tiga kali dia menyerahkan kembali kepada mak bidan. Lantas dia pergi mengambil basikal di bawah rumah.

"Nak taruh Nur ke Siti," tanya pegawai polis yang bertugas. "Nur Afifah binti Mohd Hanif," jawap si bapa ringkas. Selepas selesai urusan pendaftaran dia bergegas pulang. Di anjung rumah kelihatan ramai sanak saudara dan jiran tetangga. Mereka riuh duduk bercerita.

"Kata orang kalau lahir waktu tengah hari, anak itu seorang yang keras hati." Memang benar hari Khamis ini terlalu amat panas. Angin pun seperti tidak bermaya saja. Meleleh-leleh peluh di seluruh badan. Tapi Pak Hanif terlalu gembira untuk mempedulikan kepanasan ini. "Itulah orang kita, belum apa-apa lagi dah doakan yang tidak baik," pedas juga dia mematahkan cakap seorang jirannya tadi.

"Anak Pak Long lahir pada bulan April ini, bintangnya 'Aries,' bintang berciri kepimpinan dan keras tu Pak Long." Anak saudara Pak Hanif pula mencelah. "Kamu pandailah, aku tak nak dengar lagi. Baik aku pergi tengok anak aku tu dulu. Aku belum tengok dia betul-betul tadi."

Tetamu memandang sesama sendiri. Seperti kebiasaan masyarakat Melayu di pinggir kota, bersahaja mereka semua sambung bercerita ikut rasa dan fikiran masing-masing. Pak Hanif geleng-geleng kepala sambil berjalan masuk ke dalam bilik tidurnya.

Ibu Pak Hanif dan seorang ibu saudara isterinya juga duduk bercerita di sisi bayi. "Muka anak kamu mirip Chah. Anak perempuan ikut rupa ibu, macam keras pula tu. Berdoa sajalah. Huh, lepas ni jangan duk bergaduh lagi." Pak Hanif selamba saja, dia tak ingin pun nak jawap komen itu. "Saya dah daftar. Namanya Nur Afifah."

NOVEL PERTAMA DI MAYA

Sesudah diamati dan diteliti, saya putuskan akan mulakan dengan sebuah novel dulu.

Tajuk: Mencari Arah

Jenis: Novel dalam bentuk bersambung-siri dari hari ke hari sehingga tamat cerita.

Synopsis: Afifah adalah seorang anak tunggal. Dia lahir di dalam sebuah keluarga yang sederhana dari segi kedudukan kewangan tapi pincang kerana ibu-bapanya sentiasa bergaduh. Ayah beristeri lebih daripada satu. Ibu melepaskan segala marah dan duka ke atasnya. Ayah tidak peka di atas tekanan perasaan yang dialaminya. Sanak saudara pula banyak mempersendakan keadaan keluarganya. Jiran tetangga dan masyarakt suka mengumpat-kata dan membuat cerita. Kawan pula tidak tahu tentang keadaan dirinya. Afifah terkapai-kapai sendiri mencari arah dan hala tuju hidupnya....

Tunggu ya. Esok kita mula.

Friday, July 24, 2009

Permulaan Kata

Salam sejahtera. Hari ini saya mulakan satu perjalanan baru sebagai seorang penulis di maya ini.

Saya ingin bercerita dan berbicara sesuai dengan pengalaman saya untuk dikongsi di alam maya ini. Semoga anda suka.