Thursday, July 29, 2010

BICARA AQIDAH

Orang sering berkata tentang aqidah.  Tetapi bila Pak Caq terserempak dengan anak-anak remaja di tepi surau tempuhari, mereka kedengaran masih tertanya-tanya sama sendiri, 'sebenarnya aqidah itu apa?'

Jadi Pak Caq rasa terpanggil pula untuk memberi sedikit penjelasan di sini.  Kira Pak Caq menunaikan kewajipan sebagai seorang Muslim.

Aqidah membawa maksud  'Asas Kepercayaan.'   Kita boleh juga menyebutnya sebagai iman.  Untuk orang Islam, asas kepercayaan kita ini terbahagi kepada enam.  Pecahannya adalah seperti berikut:
  1. Iman kepada Allah Yang Maha Esa.
  2. Iman kepada Malaikat.
  3. Iman kepada Wahyu yang terkandung di dalam Kitab-kitabNYA.
  4. Iman kepada Pesuruh Allah.
  5. Iman kepada Hari Akhirat.
  6. Iman kepada Qadha' dan Qadar.
Pak Caq berharap agar gambaran ini dapat membantu pemahaman aqidah bagi mereka yang masih belum jelas mengenainya tapi malu pula untuk bertanya.  Semoga kita semua sama-sama mendapat keberkatan Allah SWT.

Friday, July 23, 2010

ANTARA MALAM ISTIMEWA

Banyak ulama bersetuju bahawa ada nas kuat yang mengatakan bahawa empat malam yang istimewa untuk berbuat amal kebajikan ialah malam Nisfu Syaaban, malam Eidulfitri yang pertama, malam Eiduladha yang pertama dan malam Arafah.  Sementara disembunyikan pula malam Lailatul Qadar kerana malam rahmat itu menjanjikan kemerdekaan dari api neraka.  Begitu juga, detik mustajab doa ialah pada hari Jumaat.

Elok jugalah kita mengerjakan amalan-amalan baik yang disarankan.  Setiap amalan yang baik itu balasannya adalah juga baik.

Jadi Pak Caq sekadar mahu mengingatkan bagi yang lupa dan/atau yang belum tahu.  Malam 15 Syaaban ialah malam Nisfu Syaaban.  Untuk tahun 1431H ini, malam Nisfu Syaaban jatuh pada hari Isnin malam Selasa minggu yang akan datang.

Antara ibadat yang disarankan ialah membaca surah Yassin sebanyak tiga kali.  Disarankan tertib bacaan seperti berikut:
  • Bacaan pertama - dengan niat dan doa supaya panjang umur dan dapat beribadah dengan taat
  • Bacaan kedua - dengan niat dan doa memohon rezeki yang murah dan diberkati
  • Bacaan ketiga - dengan niat dan doa semoga ditetapkan iman dan mati dalam keimanan.
Tidak semestinya pula kita hanya membaca surah Yassin sebanyak tiga kali sahaja.  Sekurang-kurangnya lakukan itu.  Jika berlebihan ibadahnya, tentulah lebih baik.

Wednesday, July 14, 2010

SYAABAN BULAN RASULULLAH

Kita sudah pun berada di bulan Syaaban sekarang.  Bulan Syaaban adalah bulan Rasulullah.  Kita digalakkan mengerjakan amalan sunat yang lebih sebagai menghormati bulan ini.

Seperti biasa, amalan sunat yang baik ialah puasa sunat dan solat sunat.  Oleh kerana bulan Syaaban adalah bulan syafaat, eloklah kita menggandakan amalan-amalan sunat ini.

Nabi Muhammad SAW telah memberitahu melalui beberapa hadis tentang kebaikan bulan Syaaban.  Di antara yang baik ialah:
Siapa yang berpuasa tiga hari dalam bulan Syaaban, kemudian dia berselawat atasku beberapa kali sebelum berbuka puasa, akan diampunkan oleh Allah dosanya yang lalu dan diberkatkan rezekinya.

Bahawa Allah Taala membukakan pada bulan Syaaban ini tiga ratus pintu rahmat.
Marilah kita sama-sama melipat-gandakan amalan. Sekurang-kurangnya segalanya adalah sebagai satu persediaan yang baik untuk diteruskan di bulan Ramadhan yang mulia nanti.

Selain solat dan puasa sunat, kita boleh cuba mempertingkatkan amalan baik yang lain.  Antara amalan baik yang kita harus cuba laksanakan ialah:
  1. Membaca penghulu Istighfar.
  2. Memohon keampunan untuk kedua ibu bapa.
  3. Memohon keampunan untuk diri sendiri dan bertaubat.
  4. Membaca Al Quran.
  5. Bertasbih, tahmid dan zikrullah.