Thursday, September 23, 2010

SENJA HAKIKI

Semalam Pak Caq berjumpa dengan saudara yang sudah agak lama juga tak berjumpa.  Dia sekuarga duduk di kalangan saudara mara lainnya di sekitar Kelang dan Port Kelang.  Tapi Pak Caq belum sempat beraya ke sana.  Mereka pun belum beraya ke rumah Pak Caq.

Sebenarnya kami berjumpa di rumah seorang saudara lain di Petaling Jaya ini.  Saudara ini sekarang mengalami sakit berat.  Jadi ramailah saudara mara dan sahabat handai yang datang berziarah.  Tetapi kebanyakannya datang menjengah sekejap saja kerana masing-masing sibuk dengan pelbagai urusan.

Pak Caq mendapat khabar tentang seorang kawan lama Pak Caq yang agak rapat di kampung telah meninggal kerana sakit jantung dan kencing manis.  Memang umurnya tua sedikit dari Pak Caq, tapi sekadar berbeza setahun lebih saja.

Bila bercerita-cerita, rasa insaf kerana ramai kalangan pesara telah meninggal dunia.  Ada yang meninggal sebelum mereka bersara dan ada yang meninggal dalam lima tahun selepas persaraan.

Benarlah kata orang bahawa senja hakiki bukan sekadar ufuk yang tenggelam bersama mentari di Barat bila menjelang malam.  Manusia juga semakin sehari semakin tua dan menuju kepada senja yang hakiki.  Bila senja hilang, ajal kematian menjemput pergi.

Waktu dan ketika berjalan seperti biasa.  Tetapi terasa seperti laju dan deras pula bila kita sedang meniti senja.  Mungkin kerana bimbang bekalan perlu ditambah berlipat ganda sedang peluang melakukannya semakin menguncup pula.

No comments:

Post a Comment