Tuesday, September 15, 2009

MALAM TUJUH LIKUR

Orang Islam pada amnya memeriahkan malam 27 Ramadhan. Kita orang-orang Muslim Timur menamakan malam ini 'malam tujuh likur.'

Pada lazimnya kita sudah mula beraya dengan bergembira dan menghormati malam tujuh likur ini. Pak Caq difahamkan orang kita percaya banyak rahmat di turunkan pada malam ini. Kiranya malam ini dikaitkan dengan Malam Lailatul Qadar, kerana kalau kita lihat kembali Malam Lalilatul Qadar memang boleh jatuh pada malam 27 Ramadhan. Hanya Allah Maha Mengetahui.

Apa pun Pak Caq saja ingin mengenangkan malam tujuh likur ini. Pada malam ini, orang kita selalu menyalakan pelita di hadapan rumah. Ada yang lebih ghairah dengan menyalakan pelita di sekeliling rumah dan di jalan masuk ke rumah. Malah kekadang penduduk kampung mengabung tenaga untuk memeriahkan lagi malam itu dengan menyalakan pelita sekampung.

Selain itu kanak-kanak akan berseronok dengan bermain-main di laman. Mereka main bunga api. Dulu-dulu, di kampung mereka siap main meriam buluh lagi. Ada pula kumpulan yang main pukul beduk hingga waktu sahur.

Orang bandar pula menyalakan lampu warna-warni atau lampu warna kelip-kelip di hadapan rumah mereka. Ada juga pakai lampu 'fibre glass' yang canggih-manggih tu.

Pendeknya malam tujuh likur melambangkan malam kegembiraan. Sana sini, Muslimin dan Muslimah meraikannya.

Tahun ini kiranya malam tujuh likur ni ialah pada malam besok. Kita tak tahu; kemungkinan juga Malam Lailatul Qadar. Jadi, sambil memeriahkan malam tujuh likur, beramal ibadah jugalah sedaya mungkin. Semoga kita mendapat ganjaran terbaik.

No comments:

Post a Comment