Saturday, October 31, 2009

DAH MABUK KENDURI

Pak Caq nak sambung cerita tadi la. Ni baru je balik kenduri sebelah malam pula. Rasa dah macam mabuk kenduri! Mana tidak, hari ini pelbagai menu pula tu. Siang tadi, ada kenduri dengan menu campur ala-ala kampung. Selain ulam-ulam, ikan masin, dan gulai nangka, ada juga pelbagai kerabu, dan daging rebus dengan air asam. Jadi makan macam dah tak ingat dunia la! Malam ni pula resepsi kenduri dengan menu Grade 'A' yang ada masak ekor dan juga 'lobster' tu. Tu yang Pak Caq mengah makan!

Sebenarnya sejak Hari Raya Kedua dulu sampai hari ini, siang malam, setiap minggu mesti ada kenduri. Nampaknya sampai hujung tahun pun tak habis juga kenduri ni. Setakad hari ini dah ada jemputan untuk kenduri kahwin sampai awal Disember.

Pak Caq ingat semua orang pun mengalami perkara yang serupa. Rasanya dah jadi trend kut ... kenduri kahwin boleh diadakan pada bila-bila hujung minggu.

Kalau ikut hati, memang dah tak terlarat. Tapi hajat orang, dan semuanya saudara dan kawan-kawan kita sendiri juga. Kira-kira pun kita tak la juga memenuhi semua undangan. Ada kenduri tu jauh. Bila bertembung banyak kenduri pada satu-satu hari pula kita tak dapat pergi semua juga; kita terpaksa ikut 'first come first serve' dan juga tengok jarak jauh di antara kenduri-kenduri tu kan?

ADA YANG KECIL HATI KE?

Lama pulak tak nampak muka-muka yg selalu juga menjengah blog Pak Caq. Merajuk ke atau ada yg berkecil hati? Kalau ya, minta maaf la.

Pak Caq pun dah dua tiga hari tak melayari Maya ni. Aritu Pak Caq buat 'download' tp dah terkena virus pulak. So, alang-alang laptop Pak Caq baru dan masih dalam warranti, Pak Caq suruh anak Pak Caq antar le untuk mereka betulkan dan 'reload' balik. Dah dua hari hujan sebelah petang, jadi tak le pergi ambil. Baru kejap tadi, lepas balik dari makan kenduri, anak Pak Caq singgah ambil. Jadi, maaf juga la ya.

Dah hari minggu ni ada beberapa kenduri yang nak dihadiri. Tak banyak masa sangat terluang untuk bersama keluarga. Tetapi tak baik pula kalau tak menunaikan janji untuk menghadiri beberapa kenduri tu. Ya la, sekarang semua kenduri kontrak, dah siap dianggarkan kehadiran para jemputan. Jika kita dah jawap nak pergi, kita harus pergi juga la kan? Kalau tidak pergi, kasihan pula mereka.

OK la. Ni dah nak pergi kenduri yang satu lagi dekat Sungai Buloh pula. Jumpa lagi .....

Wednesday, October 28, 2009

MENCARI ARAH


Episod 19

TERBELIT

Tergoncang Iman Afifah

Sudah seminggu berlalu, tetapi Afifah masih gelabah dan tak tentu arah. Kemunculan Ku Adi benar-benar membuat dia terkejut dan terpukau sekaligus. Dia seperti masih dapat merasa kepanasan dari pegangan Ku Adi ketika kali pertama mereka berjumpa di Bayswater, London. Fikiran dan perasaannya bercampur-baur antara lega, gembira dan takut.

Sejak hari itu, setiap hari Ku Adi menemaninya hingga ke kampusnya di King Cross disebelah pagi, dan pada petangnya pula menunggu dan menemaninya pulang ke Bayswater. Afifah tak berdaya menolak. Malah seperti dia sendiri yang meminta Ku Adi menemaninya. Memang benar, sejak mula lagi Afifah takut pergi dan balik bersendirian menaiki keretapi bawah tanah itu.

"Ini bahana cinta sejatiku pada Adi atau kerana aku kesunyian merindui Abang Allen?" bisik hatinya.

Afifah tidak berani melayani fikiran dan perasaannya lama-lama. Dia sedar dan percaya ini bukan mainan perasaan lagi. Memang jelas cintanya terhadap Tengku Nazrul Hadi ini. Tetapi dia sendiri telah cuba sedaya upaya menolak perasaan cinta sejatinya dan memilih untuk hidup bersama Fazlan.

Namun setiap kali berjumpa Ku Adi, Afifah jadi cair dan menyerah. Kini dia takut menghadapi masa-masa mendatang yang terdekat. Ku Adi hanya beberapa jarak saja darinya. Dalam keadaan benteng pertahanan diri dalamannya amat goyah begini, Fazlan juga tidak ada di sisi untuk menjadi perisai yang kuat untuknya.

Ku Adi ternyata seorang yang 'gentleman' kerana dia tidak mengambil kesempatan di atas kelemahan Afifah. Tidak pernah sekali pun lagi sejak pertemuan pertama di London ini beliau menyebut tentang perasaannya atau menduga perasaan Afifah. Tetapi jelas segala apa yang dilakukan itu membuktikan beliau amat ikhlas menyintai Afifah.

Fazlan belum tahu lagi tentang kehadiran Ku Adi dalam jadual hariannya. Afifah tak berani memberitahu Fazlan lagi kerana Fazlan amat sensitif tentang segala apa yang berkaitan dengan Ku Adi. Tetapi dia sedar dia mesti juga segera memberitahu Fazlan untuk mengelakkan dari menimbulkan syak pula nanti. Namun dia juga tidak tahu bagaimana nak memberitahu suaminya supaya Fazlan tidak menjadi tak tentu arah.

Pada petang hari Khamis, salji turun dengan agak tebal juga. Sejak bertolak balik dari Stesyen keretapi bawah tanah di King Cross lagi Afifah menggigil kesejukan. Ku Adi menanggalkan jeket panjangnya dan membantu Afifah memakainya untuk mengurangkan kesejukan yang amat dirasai oleh Afifah.

"No, no. Adi pun sejuk juga kan?" Afifah cuba menolak pada mulanya.

"Adi dah biasa, so Adi will be alright. Ini first time for Efa. So be a good girl, pakai saja, OK?" kata Ku Adi muktamad.

Sampai di apartmennya, Ku Adi ternyata kesejukkan yang amat sangat. Beliau minta izin Afifah untuk memanaskan badannya di alat pemanas di ruang tamu. Jelas seluarnya agak basah kerana meredah salji. Afifah tak sampai hati membiarkan Ku Adi begitu. Jadi Afifah mempelawa Ku Adi untuk mengeringkan dahulu seluarnya di mesin pengering pakaian.

Semasa Ku Adi bersalin seluar memakai tualanya, Afifah rasa semacam dirinya terkena pukau atau sihir. Keseluruh perasaannya terangsang. Imannya goyah, dan Afifah jadi tak tentu arah.

"Sorry to trouble Efa macam ni. But boleh Adi buatkan 'hot milk or chocolate' to fend off this chill?" pinta Ku Adi.

Afifah tersentak dengan permintaan Ku Adi itu.

"Ohh, so sorry. Efa terlupa pula nak buatkan minuman panas. Kejap ya, Efa buatkan ... Adi prefer milk or chocolate ... ehh elok Efa buatkan dua-dua sekali."

"Mana-mana satu hot drink je Efa. Apa pun boleh, appreciate it. Thanks a lot," balas Ku Adi.

Afifah tak menjawap balik tapi bingkas menuju ke ruang dapur saja. Dia merasakan seluruh dirinya dapat dibaca dengan jelas oleh Ku Adi. Iman Afifah tergugat, dan dia yakin Ku Adi juga menyedarinya.

Bila Kesepian

"Hujung tahun Abang boleh cuti?" Afifah bertanya kepada Fazlan sewaktu mereka berbicara melalui telefon di hujung minggu itu.

"Abang kena menghadiri kursus wajib di Intan selama sebulan pada bulan December ni nanti. Kenape? Ha'a, katakan Sayang rindukan Abang!" Fazlan mengusik.

"Abang tak rindukan Efa?" balasnya.

"Terlalu amat rindu, Tuhan saja yang tahu. Tetapi Abang kena kuatkan juga hati. Kita kena sama-sama kuat dan tabah. Memang Abang tak boleh ambil cuti dan pergi berjumpa Sayang. Kalau Sayang dapat balik pun, Abang masih tak boleh bersama Sayang kerana kursus itu," panjang lebar Fazlan menyatakan hakikat.

Kini Afifah merasa terlalu kesepian. Kesepian itu juga bukan suatu faktor yang akan membantu keadaannya. Sudah terbukti, banyak manusia jatuh tersungkur kerana kesepian.

Afifah jadi lebih takut dengan perasaannya sendiri. Afifah amat sedar, Ku Adi hanya perlu mengambil kesempatan dan dia benar-benar tidak yakin dia akan dapat melawannya.

Tuesday, October 27, 2009

MENCARI ARAH


Episod 18

SUASANA BERBEZA

Kini Bergelar Isteri

Hujung minggu ni, mereka harus memberi jawapan kepada Ku Daman dan Ku Zuni. Begitu janji mereka tiga minggu dulu. Tetapi Pak Hanif dan Mak Chah bagaikan tak sanggup nak menghadapinya kerana hubungan di antara kedua keluarga terlalu akrab.

"Efa tak boleh tolak pinangan Ku Adi macam tu saja. Pak Ku Daman kata Ku Adi dah nak balik, dan tak sabar-sabar nak bertemu dengan Efa. Tak elok buat macam ni. Efa tak boleh tolak pinangan Ku Adi macam tu saja," Pak Hanif cuba mempengaruhi Afifah.

"Maksudnya Efa dah tak boleh buat keputusan macam ni? Sekarang Ayah dan Mak nak paksa Efa ke?" Afifah bertanya dengan nada yang kedengaran kasar kepada Pak Hanif dan Mak Chah.

"Tak reti-reti ke orang kata! Kita tak boleh tolak, nanti jadi tak elok! Faham?" tegas Mak Chah.

"Tak elok macam mana? Dulu tu boleh pun tolak pinangan Abang Allen. Sekarang kenapa pulak tak boleh tolak pinangan Adi? Biar Efa sendiri yang bagitau Pak Ku Daman dan Mak Ku Zuni."

Afifah benar-benar lakukan apa yang dikatakannya. Walaupun bukan secara bertentang mata, Afifah telah turun ke bandar khusus untuk menelefon Tengku Dahaman memberitahu bahawa dia sebenarnya sudah berjanji untuk mengahwini Fazlan.

Ternyata Ku Hadi pun akur dengan keputusan Afifah. Sebaik saja beliau pulang ke tanah air, beliau terus ke utara dan pergi berjumpa Afifah.

"If that is what Efa want, Adi tak boleh paksa. I only wish Efa would have faith in me and believe in our love for each other," jelas Ku Hadi pada Afifah semasa pertemuan itu.

"Tapi we have just known each other. In fact, boleh bilang berapa kali saja kita berjumpa. We met on a few occasions, spend sometime together and talk quite a bit. Efa tak mahu berangan dan bermimpi, if you know what I mean," balas Afifah.

"I am sure about my feelings for you. But then I can't force it on you. Although I'm hurting, Adi terima. Just one request, if you can, remember me sometimes, please do," rayunya.

Afifah tak mahu menganalisa perasaan dan kata hatinya. Dia berpandukan kepada kata akalnya. Fazlan sudah membuktikan cinta dan kesetiaannya. Afifah tak mahu memperjudikan nasibnya. Akal dan perasaannya lebih sekata tentang Fazlan. Jadi biarlah dia bersifat realistik dan menerima Fazlan.

Pak Hanif memang tidak selesa kerana terpaksa menolak pinangan Ku Daman dan Ku Zuni untuk menjodohkan Afifah dengan anak saudara Ku Zuni, Tengku Mohd Nazrul Hadi yang dikenali sebagai Ku Adi itu. Walaupun berasa serba salah, dan walaupun Ku Daman dan Ku Zuni berkecil hati, Pak Hanif turuti juga kemahuan anak tunggalnya ini. Beliau akur dengan kemahuan Afifah dan Fazlan kerana Afifah sudah nekad untuk meneruskan hasratnya untuk berkahwin dengan Fazlan. Begitu juga Fazlan, biar pun banyak orang marahkannya, biar pun ramai orang tidak setuju, Fazlan tetap mahu mengahwini Afifah. Afifah dan Fazlan berikrar mereka akan sama-sama kuat menghadapi segala dugaan dan rintangan.

Sebelum Afifah berangkat ke London untuk menyambung pelajarannya, dia dan Fazlan disatukan sebagai suami isteri. Fazlan mahukan majlis pernikahan dan perkahwinannya dengan Afifah diadakan secara penuh adat, dan kedua ibu-bapanya pula membuat keputusan untuk membuat kenduri besar. Jenuh Afifah terkejar-kejar antara mencari barang kelengkapan kahwin dan pakaian untuk dibawa ke London.

"Thank you, Sayang, thank you so very much," bisik Fazlan semasa mencium dahi Afifah selepas mereka diijab-kabul. Afifah sebak, tetapi dia tidak berkata sepatah apa pun.

"Sekarang ni dah sah jadi suami isteri, jangan ikut kata hati sendiri saja," kata Mak Chah kepada Afifah semasa diandam untuk majlis persandingan. Afifah hanya diam juga.

"Efa sudah jadi seorang isteri. Pandai-pandailah menjaga maruah diri dan suami ya. Ayah tahu Efa seorang yang baik, tetapi hidup berumah-tangga banyak dugaannya," nasihat Pak Hanif semasa dia dan Fazlan nak berangkat ke London.

Afifah yakin Fazlan akan sentiasa mendokongnya. Selama ini Fazlan sudah membuktikan betapa beliau benar-benar mencintainya. Fazlan malah sedia menghantarnya sampai ke London, walaupun cutinya hanya sekadar cukup untuk dia berada di sana untuk dua hari saja. Penat dalam perjalanan saja tidak berbaloi, tetapi Fazlan tetap bertegas mahu menemankannya melapur diri untuk kursus peringkat ijazah ini.

"Jaga diri baik-baik ya Sayang," pesan Fazlan sebelum berangkat pulang ke Malaysia. Afifah merasa beban tanggung-jawapnya. Tetapi dia yakin dia dapat menjadi seorang isteri yang baik dan setia.

Bila Di Seberang Laut

Sudah seminggu Afifah berada di kota London. Dia memilih untuk tinggal di Bayswater kerana banyak kemudahannya. Di sini juga banyak orang Islam. Fazlan yang mengesyorkan supaya dia duduk bersama dengan keluarga orang Arab yang mempunyai tempat penginapan khusus untuk penuntut sepertinya.

Tetapi Afifah terasa sunyi. Walaupun dia sudah mempunyai beberapa orang kenalan tetapi Afifah masih belum selesa dengan keadaan. Hari-hari dia berulang-alik menaiki keretapi bawah-tanah ke kampus. Petang baru dia pulang. Balik ke bilik dia sendirian. Cuaca juga sudah begitu dingin. Dia sudah amat merindui Fazlan.

"Abang juga merindui Sayang," begitu Fazlan menyakininya sewaktu mereka berbicara melalui telefon.

Memang mereka sudah berjanji untuk sentiasa berhubungan melalui telefon. Tetapi Afifah bersikap realistis. Dia memaksa Fazlan berjanji untuk menelefon hanya pada hari minggu. Fazlan akur walaupun beliau tidak begitu setuju.

"Macam mana dengan permohonan biasiswa Abang untuk melanjutkan pelajaran ke sini?" Afifah bertanya kepada Fazlan.

"Interviewnya bulan depan. Kita sama-sama berdoa. Mereka di JPA telah berjanji untuk memastikan Abang mendapatnya," jelas Fazlan.

Walaupun begitu, Afifah sedar bahawa sekurang-kurangnya dia harus tunggu hampir setahun lagi sebelum Fazlan dapat datang.

"Assalamualaikum," terdengar suara yang dikenalinya dan Afifah menoleh ke arah datangnya suara itu.

"Mualaikumsalam," jawapnya gugup. Ternyata Tengku Mohd Nazrul Hadi berada di depannya sekarang.

"So Efa get your groceries here?"

Afifah benar-benar terperanjat dan dia jadi kaku. Dia tak tahu apa yang harus dilakukannya. Soalan pun tidak dijawapnya. Ku Adi amat mengerti.

"I have been looking all over for you. Semalam baru dapat tahu. Dah masuk dua minggu baru la berjumpa Efa," jelasnya.

Memandangkan Afifah masih terpaku, Ku Adi terus saja mengangkat bakul barangan Afifah dan memegang tangannya lalu membimbingnya menuju ke kaunter bayaran. Afifah seperti terpukau, mengikut saja. Dia benar-benar terkedu. Suasana sejuk di luar seperti membatukannya juga.

TENGAH MENGATUR NOTA NOVEL

Assalamualaikum semua, kita berjumpa kembali. Sebenarnya Pak Caq tengah mengumpul dan mengatur nota-nota novel. Walaupun belum lengkap semuanya, kira-kira dah boleh kita sambung semula novel, Mencari Arah tu.

Insya Allah Pak Caq akan cuba menulis sambungan novel kita sekejap lagi. Harap-harap berita ini mengembirakan ...

Sunday, October 25, 2009

BUDGET KENDURI

Pak Cak ingatkan kenduri kahwin yang bermula sejak dari Hari Raya ni akan habis pada 1 November ni. Tapi semalam Pak Caq dapat jemputan kahwin yang membawa sampai ke Hari Raya Qurban pula. Selepas tu sudah pasti akan ada lagi kerana dah masuk musim biasa kenduri-kenduri diadakan.

Nampaknya sekarang ni, di Selangor dan Wilayah Persektuan terutamanya, orang dah tak tunggu cuti panjang sekolah lagi. Sebaliknya orang mengadakan kenduri pada hari minggu sepanjang tahun.

Katanya, antara sebab utama ialah susah nak mendapat dewan besar dan juga hotel pada musim cuti sekolah. Untuk menempah dewan pun makan masa sampai setahun lebih, terutama sekali dewan yang terkenal seperti Dewan Merak Kayangan dan Dewan Perdana, Felda tu. Untuk dewan dan hotel lain pun kena tunggu giliran yang membawa ke bulan juga.

Agaknya juga sebab sekarang ni hari minggu, iaitu kedua-dua hari Sabtu dan Ahad dah hari cuti umum. Tak menjadi masaalah sangat bagi keluarga dari jauh untuk turut datang juga menghadirinya.

Yang menjadi agak berat sekarang ialah dari segi budget saja. Mahu tidaknya! Ternyata harga barang semua sudah mahal. Kalau tiga empat tahun dulu, kita sudah dapat membeli satu hadiah yang agak baik dengan RM 50. Sekarang barang yang sama sudah berharga hampir sekali ganda, bermakna hadiah sudah menjadi RM 100 setiap satu.

Bayangkan bila setiap bulan ada kenduri antara 5 - 10, jadi budget sudah jadi antara RM 500 - 1000 sebulan. Berat juga tu bagi kebanyakan orang, terutamanya bagi pekerja-pekerja kumpulan sokongan kerajaan dan yang setara dengannya. Malah bagi kumpulan atas pun akan terasa juga sakitnya pada bulan-bulan atau masa-masa tertentu.

Pak Caq sekeluarga pun sekarang terpaksa ikut budget juga. Yalah gaji kalau naik pun langsung tak selari dengan kenaikan harga keperluan dan barangan; bila gaji naik 5%, harga barangan naik melebihi 25%. Isteri Pak Caq kata kalau saudara dan kawan dekat kena budget lebih sikitlah. Namun begitu, Pak Caq letak siling pada RM 300 dan bawahnya sekitar RM 100.

Jika banyak pun kenduri, biasanya kita tak dapat memenuhi kesemua undangan. Pak Caq sekeluarga biasanya hanya memenuhi 2 - 4 kenduri setiap hari Sabtu dan Ahad, kecualilah jika kenduri-kenduri tu jarak antara satu dengan yang lain agak dekat dan diadakan di tempat kediaman. Kalau jamuanya di dewan atau hotel tertentu, kita hanya dapat menghadiri satu kenduri saja pada satu-satu masa.

Biasanya hal-hal beli hadiah ni masuk dalam tugas isteri Pak Caq la, begitu selalunya bagi setiap keluarga kan? Bila masa 'emergency' macam ketika terlepas pandang barulah Pak Caq berdua dengan anak pergi beli di kompleks membeli-belah yang dekat-dekat rumah ni. Tapi biasanya masih berpandukan kepada yang selalu isteri Pak Caq pilih untuk satu-satu majlis tu.

Isteri Pak Caq suka pilih barang baik yang berguna seperti set makan petang atau malam, dan alat kelengkapan dapur atau rumah. Lihat saja seperti hadiah dalam gambar di bawah. Ini adalah set hidangan yang comel dan unik. Tapi Pak Caq tak dapat nak tunjukkan rupa bentuknya. Semua hadiah untuk minggu ni dan minggu hadapan dah siap dibungkus seperti hadiah ini.

Bulan ini budget larilah juga sedikit, sebab tak ada hadiah yang eluk sedikit dalam budget harga bawah tu. Kemudian, hari tu kan kecurian pula lagi. Tapi apapun, dah sudah rezeki orang lain kan! Kita ikhlas dan redhakanlah.

Saturday, October 24, 2009

SIKAP BOLEH DIBENTUK

Sementara menunggu isteri bersiap untuk pergi ke satu lagi kenduri kahwin ni Pak Caq masuk la kejap ke sini. Sebelum zohor tadi pun Pak Caq sekeluarga dah pergi ke satu majlis kenduri kahwin di Shah Alam, tapi tak terus pergi ke tempat kenduri yang kedua kerana anak Pak Caq ada urusan dan nak pergi ke pejabatnya. Kenduri yang kedua ni dekat Taman Tun saja.

Pak Caq nak cerita tentang peristiwa bengang yang berlaku semalam. Memang Pak Caq bengang dengan sikap orang Malaysia yang tak boleh ikut undang-undang dan peraturan yang baik serta bersikap baik seperti orang yang bertamaddun dan berpelajaran. Tak tahulah ya, kenapa di Malaysia ni jadi begini?

Macam semalam, gara-gara beberapa orang letak kereta ikut suka hati, Pak Caq terperangkap tak boleh keluar dari tempat letak kereta untuk satu tempuh masa yang amat lama. Polis yang bertugas di pondok polis yang berdekatan pun tak boleh buat apa-apa. DBKL pun tak ambil tindakan yang sewajarnya. Pak Caq pula yang terpaksa tinggalkan saja kereta Pak Caq di situ dan ambil teksi untuk pergi menghadiri mesyuarat.

Apa yang berlaku semalam tu jelas menunjukkan sifat mereka yang angkuh dan pentingkan diri saja. Sesuka hati saja mereka letakkan kereta di belakang kereta yang masuk dalam petak letak kereta yang disediakan, dan menghilang entah ke mana. Pak Caq dan tiga orang lagi tak dapat keluar kerana terdapat sebaris kereta yang diletakkan di belakang kereta-kereta yang masuk dalam tempat letak kereta. Puas bunyikan hon kereta, tak ada siapa pun yang datang.

Pak Caq singgah di situ untuk membeli sedikit barang yang diperlukan dan bayar 'parking' harga minima 80 sen untuk tempuh minima satu jam. Dalam setengah jam dah selesai dan Pak Caq pun bergegas untuk pergi solat Jumaat di Masjid Kampung Baru. Selepas lama juga bunyikan hon kereta dan tak ada pemandu atau tuan punya kereta pun datang, Pak Caq tak ada pilihan, kenalah solat Jumaat di Masjid India pula. Lepas sembahyang tu, kereta-kereta tu masih lagi di situ, sedangkan Pak Caq ada mesyuarat pada pukul 2.45 petang.

Pegawai DBKL yang bertugas hanya dapat berkata, "Mereka pergi sembahyang ni. Susah, boleh bagi saman tapi mereka nanti lagi biarkan saja kereta di situ untuk masa yang lama lagi ... kalau kunci pun sama juga ... kalau panggil kereta untuk tarik pun tak dapat masuk, sekarang jam ..." Begitu juga polis yang bersikap, "kena cari 'driver' kereta juga ..."

Itulah semuanya jadi haru-biru. Negara kita memang ada pelbagai undang-undang dan peraturan yang baik dan terkini setanding negara-negara maju yang lain. Tetapi malangnya, hampir semua undang-undang dan peraturan hanya baik di atas kertas saja. Bila perlaksanaan, implementasinya begitu longgar dan tak bermaya. Kira macam kereta berhias saja, menang tempat pertama pun tak guna kerana berfungsi hanya sebagai hiasan untuk dibanggakan untuk beberapa ketika saja.

Peristiwa seperti semalam bukan yang pertama kali. Dah selalu juga orang letakkan kereta di belakang kereta Pak Caq yang masuk dalam tempat letak kereta tu. Malah dah berkali-kali juga bertekak dengan mereka-mereka ini. Macam-macam jawapan dan alasan mereka seperti, "everyone like that one lah, ..... ala baru sekejap saja tak boleh sabar? ... saya dah puas tunggu 'parking' nak beli satu barang saja ....."

Anehnya Pak Caq pernah juga terserempak dengan dua orang dari antara mereka ini di Singapura. Ehhh, boleh pula mereka ikut peraturan dan undang-undang di Singapura tu. Mereka letak kereta di tempat letak kereta awam yang agak jauh dari kompleks membeli-belah dan berjalan ikut jalan yang ditetapkan dan boleh beratur lagi menunggu giliran.

Jadi jelaslah sikap ni memang boleh pun dibentuk untuk mengikut peraturan bilamana penguatkuasaan itu berkesan. Ini yang Malaysia kita harus ikut dengan patuh. Jangan buat peraturan dan undang-undang yang baik saja, perlaksanaan juga mesti baik dan berkesan. Pasti sikap baik boleh dibentuk selari dengan tamaddun.

Thursday, October 22, 2009

MEMAGAR RUMAH

Pak Caq baru teringat bahawa selain daripada memperkukuhkan roh, kita seharusnya sentiasa memohon Allah memberi perlindungan untuk tempat kediaman, harta benda dan wang yang disimpan dengan cara memagar rumah dari segala gangguan iblis dan syaitan serta juga perbuatan jahat manusia. Kita memang dibenarkan melakukannya dengan secara yang dibenarkan oleh Islam. Kali terakhir Pak Caq buat begitu dah melebihi lima tahun. Sepatutnya sentiasa juga diulang buat, tapi Pak Caq pun dah lalai juga.

Itulah kita kan selalu sahaja terlalai dengan usaha-usaha sampingan ni. Bukan susah sangat nak menabur garam bercampur lada hitam serta percikkan air yang sudah siap dibacakan ayat-ayat Al Quran di sekeliling rumah tu. Biasanya Pak Caq amal membaca ayat Qursi dan bila berkelapangan serta ingat, akan turut membaca ayat pagar rumah juga. Kekadang tu baca pun laju dan cepat jer. Sedangkan Ulama dan ahli agama selalu mengingatkan kita bahawa segala amalan mesti mengikut peradaban yang terbaik.

Pada kebiasaannya, orang-orang ulama atau yang lebih arif siap menyediakan garam yang dicampurkan lada hitam serta air yang dibacakan dengan ayat-ayat Al Quran untuk kita tabur dan percikkan di sekeliling rumah. Tapi, hari ini Pak Caq nak kongsi ilmu membuat semuanya sendiri serta bagaimana nak memagar dengan cara yang disyorkan oleh Ulama yang arif dan bijaksana.

Pertamanya, kita harus sediakan garam dan lada hitam dalam kadar nisbah sukatan lebih kurang 10 : 0.5 iaitu seperti 10 kilo garam dengan 1/2 kilo lada hitam. Gaulkan kedua-duanya dalam satu bekas. Kemudian baca surah/ayat-ayat berikut:
  1. Al Fatihah - 1 kali
  2. Al Iklas - 1 kali
  3. Al Falaq - 1 kali
  4. Annas - 1 kali
  5. Ayat Kursi - 313 kali

Selepas selesai membaca ayat Kursi, tarik nafas panjang-panjang dan telan nafas itu. Kemudiannya terus tiup ke arah campuran garam dan lada itu. Dinyatakan bahawa adalah lebih baik sekiranya dilakukan perbuatan menarik nafas dan menelannya setiap kali selepas membaca ayat Kursi itu 50 kali. Perkara yang sama dilakukan untuk air.

Bagi memagar rumah, cara-caranya adalah seperti urutan berikut:

  1. Campuran garam dan lada hitam itu hendaklah ditabur di sekeliling rumah di waktu maghrib, lepas maghrib ataupun ketika tengah malam.
  2. Sebaik-baiknya, azankan dahulu di tengah-tengah rumah, kemudian baru keluar untuk menabur bahan garam.
  3. Mulakan dari penjuru depan sebelah kanan serta menghadap ke arah Kiblat.
  4. Ambil segenggam campuran garam dan lada, mulakan dengan membaca A'audzubillah, Bismillah, Al Fatihah dan ayat Kursi samaada 1 atau 3 kali, kemudian berdoa memohon perlindungan daripada Allah SWT dari segala kejahatan samaada daripada iblis dan syaitan, manusia dan/atau manusia yang bergabung dengan iblis dan syaitan.
  5. Lihat ke penjuru kanan belakang dan mula membaca ayat Kursi. Perlahan-lahan jalan ke arah penjuru itu sambil menabur campuran garam dan lada itu serta menghabiskan bacaan ayat Kursi tu.
  6. Ulang perbuatan (5) dari penjuru kanan belakang ke penjuru kiri belakang, seterusnya ke penjuru kiri depan, dan kemudiannya berjalan balik ke penjuru kanan depan kembali.
  7. Lihat ke atas ke bahagian bumbung. Ambil campuran garam dan lada lagi, ulang perbuatan (4), berdoa minta Allah lindungi bahagian atas rumah daripada sebarang gangguan.
  8. Tabur garam dalam genggaman dari sebelah kiri ke kanan ke atas keseluruhan bumbung rumah. Jika kawasannya agak besar, pastikan taburan melingkungi seluruh kawasan bumbung rumah.

Cara di atas ialah bagi rumah banglo atau rumah sesebuah. Bagi rumah teres atau rumah berkembar, mulakan dari penjuru kanan menuju ke setiap penjuru luar hingga membawa ke pintu depan dan seterusnya ke setiap ruang dalam rumah mulai dari bahagian bilik sebelah kanan. Ikut arah dari bilik ke bilik dan penjuru ke penjuru menuju ke ruang kiri sehingga keluar semula ke pintu depan. Terus keluar menuju ke penjuru luar ke kiri dan balik semula ke penjuru kanan asal mulanya. Biarkan campuran garam yang ada di dalam rumah untuk beberapa hari barulah boleh disapu.

Lupa pulak nak cakap. Kita mesti usaha melakukannya pada hari-hari yang makbul doa iaitu seperti hari Jumaat atau pada hari Wukuf. Pilihan sekarang terbuka untuk kita. Yalah, tak lama lagi, kita akan merayakan Hari Raya Korban. Jadi, kita boleh pilih samaada untuk melakukannya pada hari Jumaat atau pada hari Wukuf tahun ini.

Kita sama-samalah amalkannya ya. Jika rasa tak terdaya nak baca sendiri, boleh minta pertolongan para Ulama yang betul-betul arif. Tapi, tentulah lebih afdal untuk kita lakukan sendiri. Insya Allah, kita akan sentiasa dipelihara.

Wednesday, October 21, 2009

HANYA KERANA GEMUK

Pak Caq tertarik dengan cerita, 'You 're too fat to be a teacher, ... ' di akhbar New Straits Times hari ini (Muka surat 12 Prime News). Kasihan Joanna Gilbert Asson tu. Yalah, dia dah terlalu gembira dan bersedia untuk menjalani kursus bagi menjadi seorang pendidik. Tup tup, macam itu pula jadinya. Teruk betul penilaian dan budi pegawai yang bertugas tu!

Dah banyak kali juga perkara seperti ini berlaku. Anak Pak Caq sendiri pun pernah gagal untuk berkhidmat sebagai pegawai tadbir dan diplomatik kerajaan kerana alasan yang sama. Sekarang ini sudah dijadikan sebagai satu syarat supaya 'BMI' seseorang calon itu tidak melebehi tahap yang ditetapkan. Walaupun mereka lulus peperiksaan kesihatan, itu tidak diambil kira lagi.

Aneh juga bunyinya tu kan? Tahap kesihatan sudah diletak di bawah faktor 'gemuk' pula. Statistik mana atau logik mana yang mereka pakai?

Memang benar la berat melebihi 100 kg tu masuk dalam golongan gemuk di Malaysia ni, tetapi bila pula ada bukti seorang yang melebihi berat badan ideal tu tak cergas dan tak sihat? Banyak orang kurus dengan badan ideal pun sering sakit dan tak cergas juga.

Seingat Pak Caq, banyak kalangan pekerja yang sering ambil cuti sakit tu, badan mereka tak gemuk pun. Banyak yang lain yang tak gemuk, tapi mereka-mereka ini lembab serta malas kerja juga!

Tidak logik sama sekali untuk meletakkan faktor gemuk tu sebagai syarat utama. Jika gemuk itu tidak dapat disabitkan dengan faktor kesihatan seseorang, jelaslah dia itu sihat. Kalau mahu pastikan sama ada dia cergas atau tidak, jalanilah pula ujian kecergasan. Pendeknya, jangan jadi keliru, jangan mudah melatah dan terus kategorikan seseorang yang gemuk itu tidak cergas dan tidak sihat. Uji dulu tahap kecekapan dan kecergasan serta daya produktiviti mereka, barulah hasilnya lebih tepat.

Kalau di negara barat yang bertamaddun serta maju, ini dikategorikan sebagai diskriminasi. Orang yang didiskriminasikan tu boleh menuntut pengadilan di mahkamah. Tetapi Malaysia kita terkebelakang nampaknya dalam hal-hal seperti ini.

Monday, October 19, 2009

PENCURI DAN PEROMPAK SEMAKIN BERANI

Pak Caq masih belum dapat menerus segala urusan kerja dan sebagainya dengan lancar kerana semua data dan 'update' Pak Caq buat di laptop yang dicuri tu. Jenuh juga nak cari segalanya dari nota-nota bertulis. Insya Allah, Pak Caq boleh sambung novel minggu hadapan nanti. Sementara tu, kita bercerita tentang pelbagai hal lainlah ye ...

Hari ni Pak Caq nak kongsi cerita kes pecah rumah kerana cerita ni sudah jadi cerita panas. Setiap hari mesti ada kes kecurian dan pecah rumah. Nampaknya pencuri dan perompak yang pecah masuk rumah ni sudah semakin berani. Apa tidaknya, mereka pecah masuk rumah di waktu siang hari.

Perkara ini sudah menjadi topik hangat di sekitar kawasan perumahan Pak Caq, terutamanya di kalangan jiran-jiran di beberapa jalan dekat dengan rumah Pak Caq ni. Ramai sudah rasa takut dan fobia.

Semalam, mereka pecah masuk rumah dua jiran Pak Caq: satu kes di jalan belakang sana, iaitu selang satu jalan dari jalan rumah Pak Caq; satu lagi kes di rumah yang menghadap ke lebuhraya sana. Kejadian semalam tu merupakan satu tindakan yang amat berani kerana salah sebuah rumah yang mereka masuki tu hanya selang sebuah rumah dengan jiran yang membuat rumah terbuka.

Ketika kejadian tu sudah ramai tetamu ada di rumah terbuka itu, termasuklah jiran-jiran tetangga. Malahan ada di antara jiran yang ternampak dua lelaki India di halaman rumah mangsa kecurian dan segera menghubungi tuan rumah, tetapi rupanya pencuri-pencuri itu sudah pun selesai 'kerja' mereka dan sempat menghilangkan diri dengan barang-barang yang dicuri. Kerugian keluarga ini lebih besar dari jumlah kerugian Pak Caq, kerana mereka turut hilang barang kemas dan wang juga.

Polis seperti biasalah, mereka ambil 'statement' dan cerita tentang kes-kes kecurian lain. Sudah banyak kes pecah rumah sejak dari bulan puasa lagi, tetapi polis tidak mengambil tindakan proaktif seperti membuat rondaan dengan lebih kerap lagi. Alasan mereka sama jugalah, 'kakitangan tak cukup, dan kawasan seliaan terlalu luas.'

Itulah sekarang ini banyak kawasan perumahan sudah mengambil langkah untuk membuat pagar dengan sekatan jalan masuk dan keluar serta menggunakan khidmat pengawal keselamatan. Dah jadi macam kawasan kondominium dan rumah dengan khidmat kawalan keselamatan pula.

Jiran-jiran Pak Caq dah mula setuju dengan cadangan untuk ikut seperti kawasan demikian juga. Pak Caq setuju benar jika polis juga membuat pondok seliaan mereka kerana Pak Caq lihat ramai juga anggota polis yang di tempatkan di Zon kawasan perumahan Pak Caq ni. Yalah kan, bukan semua kawasan atau jalan boleh dibuat pagar dan sekatan jalan keluar masuk sebab terdapat sekolah dan juga hospital pakar berdekatannya.

Apa pun kita usahakan, kita mesti tawakkal dengan Allah SWT. Kalau kita ikut perasaan takut dan terus menerus fobia, tentulah susah jadinya!

Sunday, October 18, 2009

LAPTOP KENA CURI

Assalamualaikum kembali. Ternyata, di hari ni pun, petang jugalah baru Pak Caq dapat melayari Maya ini. Pak Caq sekeluarga harus pergi ke kenduri kahwin, dan rumah terbuka serta menziarah saudara yang terlantar sakit di Hospital Pakar Ampang Putri dahulu. Rasanya duduk tu sekejap-kejap sahaja tapi keseluruhannya lama juga rupanya.

OKlah. Pada semua yang sudi menjengah ke blog Pak Caq tentu perasan yang tiba-tiba saja sudah seminggu Pak Caq menghilang tanpa berita kan? Itulah yang Pak Caq nak beritahu ni.

Nak buat macam mana kan! Seperti Pak Caq katakan malam tadi, Pak Caq sekeluarga pula yang terkena musibah. Rumah Pak Caq dipecah masuk oleh pencuri pada hari minggu yang lepas. Masa tu Pak Caq sekeluarga keluar macam hari ini juga, tapi sebenarnya minggu lepas kita orang keluar sekitar tiga setengah jam sahaja. Rumah pun sudah dikunci depan belakang, atas dan bawah. Tapi dah begitu suratannya! Pak Caq sekeluarga memang redha. Insya Allah Pak Caq anak beranak akan dirahmati dengan rezeki yang jauh lebih baik nanti.

Pencuri-pencuri itu masuk ikut pintu belakang dari ruang dapur basah. Mereka umpil dan kopakkan kunci utama dan 'dead bolt' di pintu tu. Kemudian mereka umpil dan kopakkan pula pintu di dapur kering untuk masuk ke ruang dalam rumah. Kira-kira ambil masa dan tenaga jugalah. Lihatlah gambar pintu-pintu berkenaan yang Pak Caq ambil semasa menunggu ketibaan polis pada hari kejadian tempuhari.


Pintu Luar Belakang Di Ruang Dapur Basah
('Dead Bolt' Di Bahagian Bawah Pintu Diumpil)

Pintu Belakang Yang Sama
(Kunci Dekat Pemegang Pintu Dikopak)

Pintu Di Dapur Kering Untuk Ke Ruang Dalam Rumah
(Kunci 'Double-Bolt' Dekat Pemegang Pintu Diumpil/kopak)


Pintu Yang Sama Di Dapur Kering Untuk Ke Ruang Dalam
(Kunci 'Dead Bolt' Yang Juga Dikopak & Kawasan Pintu Yang Pecah)

ESOK LA PULAK CERITA!

Mohon maaf bebanyak la ye .. Nampaknya Pak Caq kena tunda la ni. Bukan apa, tadi tu semasa tengah makan ada pulak kawan datang bersama keluarganya. Jadi ajak jer le dia orang makan sekali. Lepas makan tu duduk pulak sembang-sembang. Dia orang baru saja balik.

Ni dah lewat juga. So, esok la pulak Pak Caq sambung cerita yer.

Saturday, October 17, 2009

BERTEMU KEMBALI!

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Maaf berbanyak semua ya. Baru hari ini Pak dapat kembali ke Maya.

Sebenarnya Pak Caq sekeluarga ditimpa musibah. Terpukul jugalah kerana dah 'patah kaki tangan dan lumpuh' kita orang dibuatnya. Tapi Pak Caq sekeluarga masih tabah menghadapi semuanya.

Nanti Pak Caq ceritakan ya. Ni nak makan dulu kejap. Insya Allah, lepas makan malam ni Pak sambung cerita.

Saturday, October 10, 2009

BERAYA SAKAN!

Nampaknya sekarang ni, di Semenanjung pun dah ada yang merayakan Hari Raya Aidilfitri selama sebulan. Dulu-dulu tu, Pak Caq ingat orang Sarawak saja yang betul-betul beraya. Rupanya dah berkembang keseberang sini juga. Kebetulan Pak Caq berjumpa kawan-kawan yang sama-sama bekerja di Sarawak dulu. Jadi rancaklah kami semua bercerita. Terkenang kembali suasana beraya di Sarawak dulu. Hari ni, Pak Caq nak kongsi pengalaman ini bersama semua.

Walaupun sudah lama pengalaman Pak Caq sekeluarga duduk di Sarawak tu, tapi setiap kali datang Syawal, mesti terkenangkan semasa beraya di sana. Seingat Pak Caq, empat kali Pak Caq sekeluarga beraya di sana.

Pada kali pertama beraya di sana Pak Caq sekeluarga tidak bersedia dengan kejutan beraya tu. Memang la ada kekawan yang sudah lama bertugas di sana tu memberitahu bahawa orang Sarawak memang betul-betul beraya selama seminggu, dan kemudiannya pula mereka masih terus dalam suasana hari raya hingga sebulan raya. Kekawan juga sudah beritahu supaya menyediakan banyak makanan kerana orang-orang Sarawak yang datang beraya suka makan.

Pada pagi raya tu, semasa Pak Caq anak-beranak nak keluar untuk pergi Sembahyang Aidilfitri, sudah ada tiga keluarga menunggu di luar pagar untuk beraya. Mereka bukan Islam, dan mereka ingat Pak Caq seorang saja yang akan pergi Sembahyang Raya tu. Jadi terpaksalah beritahu mereka untuk datang semula kemudiannya kerana hanya pembantu saja tinggal di rumah.

Selepas solat sunat pula, semua kekawan katakan bahawa Pak Caq semua mesti ikut protokol dengan pergi beraya ke Istana, ke rumah Ketua Menteri dan ke rumah Setiausaha Kerajaan Negeri dahulu. Kata mereka ketiga-tiga tempat utama akan buat catatan kedatangan semua Ketua Jabatan. Sebagai orang baru, kita orang akur saja dan ikut konvoi ramai-ramai ke semua 'destinasi wajib' ini. Sebenarnya cukup sekadar dengan tunjuk muka, tapi bila dah pergi ramai-ramai, semua duduk makan juga sedikit di setiap tempat tu. Kira-kira pukul sebelas pagi barulah selesai kunjungan wajib tu. Selepas tu semua pulang ke rumah masing-masing kerana kata mereka yang dah beberapa kali beraya di sana, 'di rumah kita mesti sudah ada tetamu menunggu.'

Memang benar begitu. Dari jauh sebelum sampai rumah sudah kelihatan beberapa kereta berderet 'parking' di sepanjang jalan depan rumah sewa Pak Caq tu. Rumah tu memang di tepi jalan besar. Setelah sampai rumah dan buka pagar, nah engkau! Sudah lebih dari sepuluh keluarga sekali datang, terdiri dari semua bangsa dan agama.

Apa lagi, 'panic'lah kita orang dibuatnya. Walaupun makanan sudah sedia terhidang di meja, tapi semestinyalah bukan untuk tetamu seramai lebih dari 40 orang sekaligus. Tapi nasib baik juga isteri Pak Caq tak ambil ringan pesan kekawan untuk sediakan banyak makanan tu. Tetamu yang datang pun turun padang juga bantu tambahkan makanan dan sediakan minuman. Lepas tu bertali arus pula tetamu datang, tak putus-putus, macam kita buat rumah terbuka gayanya!

Suasana berlanjutan hingga ke tengah malam. Lebih segantang ketupat pulut habis licin sebelum malam lagi. Makanan lain pun, kecuali biskut raya, habis semuanya. Masa tengah menyediakan makanan itu, kita orang berseloroh juga, "Esok kalau tak ramai orang datang , tak habis, kita panggil semua depa tu, paksa mai makan!"

Tetapi ternyata benar apa yang dikatakan kekawan. Mereka yang kenal atau tahu kita memang betul-betul datang beraya. Letih tak terkata! Pak Caq suami isteri terpaksa bergesa-gesa solat wajib, dan secara bergilir-gilir pula tu kerana pembantu rumah takut dengan suasana tu. Yalah, tak pernah lagi sebelum itu kami keluarga berada di dalam situasi seperti itu. Kalau kita buat rumah terbuka pun, kita sudah bersedia dengan 'kaki-tangan' untuk bantu melayan tetamu kan!

Pagi esoknya isteri Pak Caq sudah turun ke dapur sebaik saja selesai solat Subuh. Pak Caq tak ingat pula makanan apa yang disediakan, tetapi segala bahan-bahan tu sudah isteri Pak Caq sediakan awal kerana beliau akur dengan saranan kekawan, dan tak mahu malu pula nanti jika tidak menyediakan makanan. Cuma hari tu isteri Pak Caq kata dia sediakan satu jenis makanan itu dengan nasi impit kuah kacang saja lagi, tapi cukup untuk menampung hingga 100 orang. Tapi sebelum petang, bila makanan sudah nak habis, isteri Pak Caq goreng bihun pula rasanya.

Hari ketiga, Pak Caq dah kerja semula kerana Pak Caq tak ambil cuti. Ada juga tetamu datang sebelah petang dan malam tu, tapi pada hari itu dan seterusnya Pak Caq sekeluarga tutup pintu pagar. Rupanya, begitulah cara kita memberitahu bahawa kita sudah tidak menerima tetamu lagi pada ketika itu. :) Namun begitu, masih ada juga yang datang. Kita pun tak sampai hati untuk tidak buka pintu pagar bila mereka tekan loceng berkali-kali.

Hanya orang-orang yang pernah beraya di Sarawak saja tahu betapa meriahnya suasana raya di sana. Pak Caq sekeluarga pun ada juga pergi berkunjung ke rumah orang-orang Sawarak, termasuklah ke rumah pemandu pejabat. Ternyata semua mereka menyediakan pelbagai jenis kek yang unik, terutamanya kek-kek jenis berlapis dan kek hati pari. Pendeknya, semua rumah yang dikunjungi punya hidangan kek dan biskut raya penuh meja. Kata mereka semua kek-kek Sarawak tahan lama sehingga sebulan. Kata isteri Pak Caq, kek hati pari tu makan masa sekurang-kurangnya 8 jam untuk membuatnya. Mungkin itulah sebabnya tahan lama.

Begitulah nostalgia Raya di Sarawak. Walaupun letih dan sakit-sakit badan dibuatnya, tapi kita benar-benar rasa nikmat raya; kita gembira dengan gelagat mereka; kita puas dengan keikhlasan mereka. Sampai ke hari ini pun, Pak Caq sekeluarga tak pernah merasai suasana raya sakan dan sangat seronok beraya seperti semasa di Sarawak tu!

Friday, October 9, 2009

BILA SUDAH BANYAK WANG

Pak Caq hari ni tersentak lagi. Kali ini dengan berita yang ada seorang kawan rapat keluarga akan melangsungkan perkahwinannya pada bulan hadapan. Tadi Pak Caq menerima kad undangannya. Sepatutnya berita kenduri kahwin berita yang kita turut gembira. Tapi tak sedemikian pula kali ini.

Apa yang kurang menyenangkan ialah ini adalah perkahwinannya dengan isteri ketiga. Calon isterinya kali ini pula adalah bekas kawan perempuan anaknya sendiri yang usianya semestinyalah sebaya dengan anaknya. Mengikut berita yang kawan ni sendiri ceritakan, keluarganya dari isteri pertama dan kedua sedang kuat protes.

Entahlah! Dunia dah di akhir zaman ni macam-macam berita kalut yang berlaku. Mungkin kerana beliau terlampau banyak wang, dan sudah tak tahu nak dibuat apa lagi. Semua orang tak nampak kenapa beliau harus kahwin lagi, dan dengan bekas teman perempuan anaknya sendiri pulak tu.

Katanya isteri pertama dan isteri kedua telah pun memberi keizinan. Isteri pertamanya sudah lama terlantar sakit lumpuh. Malah itulah alasan beliau kahwin lain dengan isteri kedua kira-kira lima enam tahun yang lalu. Memanglah kita dapat mengerti bila beliau mengatakan bahawa beliau perlu berkahwin lain pada ketika itu. Tapi di kali ini banyak orang tak mengerti. Katanya isteri kedua terpaksa setuju kerana tak mahu diceraikan sedangkan beliau sudah pun berhenti bekerja. Anak-anak dengan isteri kedua ada tiga orang, dan mereka masih terlalu kecil lagi.

Isteri Pak Caq kata dia tak nak pergi menghadiri majlis perkahwinan ni. Fahamlah tu, hati perempuan mesti lebih ikut terasa. Lagi pula, isteri Pak Caq dengan isteri pertama tu agak rapat. Masa kawan ni kahwin dengan isteri kedua dulu pun, isteri Pak Caq tak pergi juga. Pak Caq je pergi dengan kawan-kawan. Kali ni tak tahulah lagi! Tadi banyak kekawan dan saudara kata mereka tak nak pergi juga. Tapi kawan ni memang baik dengan Pak Caq. Memang kawan sekolah Pak Caq pun...Tak tahulah...

Thursday, October 8, 2009

BILA AJAL SUDAH TIBA

Kematian

Dalam kita bersyukur dan bergembira raya, Pak Caq tersentak dengan kematian seorang sanak saudara semalam. Ramai turut bersedih kerana usianya belum pun menjangkau 40 tahun, dan anak-anaknya pun masih kecil lagi. Bila melihat suasana rumahnya yang melambangkan segala kemewahan hidup dan melihat mayat seorang ibu muda yang tidak berapa lama dulu begitu ceria, kebanyakan yang menziarahinya diam dan tidak banyak berbicara. Mungkin mereka semua seperti Pak Caq juga, iaitu insaf betapa Besarnya Kuasa Allah Yang Maha Esa, dan betapa kerdilnya manusia yang langsung tidak bermaya.

Itu sudah janji Tuhan: ajal itu ialah sesuatu yang pasti dan bila sudah tiba masanya tiada siapa dan tiada apa pun yang dapat menghalangnya. Kehidupan kita ialah anugerah Allah, dan bila Allah menariknya kembali, tamatlah sebuah kehidupan itu dan manusia menemui ajalnya. Apa-apa juga penyakit atau alasan hanyalah buat dijadikan penyebabnya saja.

Tapi sekadar untuk berbicara, Pak Caq cerita jugalah sedikit. Saudara muda yang meninggal ini baru saja dikesan menghidap barah paru-paru tiga bulan yang lalu. Barahnya ketika itu sudah pun di peringkat ketiga. Sesegera itu keluarganya mendapatkan khidmat pakar dan segala usaha telah dibuat untuk mengubatinya. Namun dua hari lepas beliau koma, dan terus dibawa ke Hospital Pakar Damansara. Beliau meninggal sehari kemudian.

Penyakit Barah Paru-Paru

Untuk berkongsi pengetahuan, Pak Caq juga nak ceritakan mengenai penyakit barah paru-paru ini. Semoga semuanya dapat dimanafaatkan.

Barah paru-paru ini juga dikenali sebagai Bronchogenic carcinoma. Penyakit ini adalah salah satu jenis barah berat yang mengakibatkan kematian. Mengikut kajian, ia adalah barah utama yang membabitkan kematian lelaki dan perempuan akibat barah di negara maju seperti di Amerika.

Mangsa Barah Paru-paru

Kajian statistik yang dilakukan dari sejak 1950an membuktikan bahawa mangsa utama penyakit barah paru-paru ialah penghisap rokok. Ya, menghisap rokok ialah penyebab utama penyakit ini. Semakin banyak rokok yang dihisap oleh seseorang setiap hari, dan semakin awal atau semakin lama mereka menghisap rokok, maka semakin tinggi risikonya. Penyebab lain ialah pendedahan kepada asap rokok, pencemaran udara yang tinggi, radiasi dan 'asbestos'; semakin sering seseroang itu terdedah kepada elemen-elemen ini akan meninggikan risikonya.

Simptom Atau Tanda-tanda Barah Paru-paru

Penyakit barah paru-paru ini mempunyai simptom-simptom yang tertentu. Antara simptom penyakit barah paru-paru ialah:
  1. Batuk-batuk yang tidak hilang dan semakin lama semakin bertambah teruk.
  2. Sering sakit dada.
  3. Batuk berdarah.
  4. Penafasan yang pendek dengan ada bunyi samaada seperti tersekat atau bunyi yang kasar.
  5. Masaalah radang paru-paru atau sakit tekak yang berulang-ulang.
  6. Bengkak tengkuk dan muka.
  7. Hilang selera makan atau turun berat badan.
  8. Sering letih dan tidak bermaya.

Barah Paru-paru Tumor Merbahaya

Barah paru-paru ni berlaku bilamana sel-sel biasa melalui satu transformasi yang membuatkan ianya tumbuh dan bercambah tanpa dapat dikawal seperti biasanya. Sel-sel ini membentuk satu rupa-bentuk yang dikenali sebagi tumor.

Tumor ini amat merbahaya kerana ia boleh merebak dengan pantas dan merampas segala oksijen, zat, enzim dan ruang dari sel-sel sihat; ia meratah dan membunuh tisu-tisu sihat disekelilingnya; ia juga merebak keseluruh badan, meredah masuk ke dalam pembetung darah dan juga organ-organ lain.

Harapan Untuk Sembuh

Jika penyakit barah paru-paru ini dikesan di peringkat amat awal, hampir separuh daripada mereka terus hidup untuk sekurang-kurangnya lima tahun selepas itu. Begitupun, kadar kebarangkalian untuk ianya berulang adalah amat tinggi di kalangan mereka ini. Jika barah ini dikesan pada peringkat lebih teruk lagi, terutamanya jika ianya sudah merebak ke bahagian atau organ lain, statistik menunjukkan hanya lebih kurang 2% sahaja daripada mereka dapat terus hidup sehingga lima tahun lagi selepas itu.

Kesimpulannya

Apa pun kita hanya dapat membuat analisis setelah sesuatu itu berlaku. Hakikatnya, manusia mati bila ajalnya sudah tiba.

Wednesday, October 7, 2009

SALAM SEJAHTERA

Assalamualaikum dan salam sejahtera dari Pak Caq dan famili untuk semua. Selamat bertemu kembali di Maya ini.

Dah lama juga rupannya Pak Caq tak ke Maya, dah lebih dari dua minggu! Maaf ya. Tak terperasan pula dah melewati dua minggu. Pak Caq ingat dua minggu bercuti mesti balik kerja seperti biasa. Tapi dah la pula banyak sangat yang harus dilakukan. Di samping tu, sibuk pula memenuhi undangan kenduri kahwin dan rumah terbuka di hari minggu baru ni. Minta maaf sekali lagi.

Alhamdulillah, Pak Caq telah selamat menyempurnakan segala kewajipan dan hal-hal peribadi yang mesti dilakukan. Hari ni baru la Pak Caq sempat menjengah Maya untuk beberapa ketika, insya Allah.

Banyak perkara dan benda yang Pak Caq buat serta alami. Ada yang memeningkan kepala, ada yang menyeronokkan, dan ada pula yang menyedihkan. Biasa la asam garam kehidupan ni kan! Tapi, keseluruhannya tetap baik.

Tak tahu nak mula di mana pulak ya! Panjang benar senarainya. Yalah kan .. Banyak perkara telah berlaku dari Hari Raya pertama hingga ke hari ini.

Eloklah rasanya Pak Caq mengucapkan Selamat Hari Raya sekali lagi kepada semua. Ni kan masih lagi bulan Syawal. Pak Caq pun belum habis puasa sunat Syawal kerana asyik sibuk dengan urusan kerja dan hal-hal peribadi. Minggu ni mesti di sempurnakan juga, kalau tidak tu tak terbuat pula nanti!

Pak Caq akan sambung cerita novel 'Mencari Arah' mulai minggu depan, insya Allah. Nak mula hari pun Pak Caq sibuk sangat ni. Esok dan lusa dua hari saja nak berhenti hari minggu pula. Jadi biar mula di minggu baru la ya.

OK, Pak Caq ada kerja ni. Nanti jumpa lagi!