Monday, October 19, 2009

PENCURI DAN PEROMPAK SEMAKIN BERANI

Pak Caq masih belum dapat menerus segala urusan kerja dan sebagainya dengan lancar kerana semua data dan 'update' Pak Caq buat di laptop yang dicuri tu. Jenuh juga nak cari segalanya dari nota-nota bertulis. Insya Allah, Pak Caq boleh sambung novel minggu hadapan nanti. Sementara tu, kita bercerita tentang pelbagai hal lainlah ye ...

Hari ni Pak Caq nak kongsi cerita kes pecah rumah kerana cerita ni sudah jadi cerita panas. Setiap hari mesti ada kes kecurian dan pecah rumah. Nampaknya pencuri dan perompak yang pecah masuk rumah ni sudah semakin berani. Apa tidaknya, mereka pecah masuk rumah di waktu siang hari.

Perkara ini sudah menjadi topik hangat di sekitar kawasan perumahan Pak Caq, terutamanya di kalangan jiran-jiran di beberapa jalan dekat dengan rumah Pak Caq ni. Ramai sudah rasa takut dan fobia.

Semalam, mereka pecah masuk rumah dua jiran Pak Caq: satu kes di jalan belakang sana, iaitu selang satu jalan dari jalan rumah Pak Caq; satu lagi kes di rumah yang menghadap ke lebuhraya sana. Kejadian semalam tu merupakan satu tindakan yang amat berani kerana salah sebuah rumah yang mereka masuki tu hanya selang sebuah rumah dengan jiran yang membuat rumah terbuka.

Ketika kejadian tu sudah ramai tetamu ada di rumah terbuka itu, termasuklah jiran-jiran tetangga. Malahan ada di antara jiran yang ternampak dua lelaki India di halaman rumah mangsa kecurian dan segera menghubungi tuan rumah, tetapi rupanya pencuri-pencuri itu sudah pun selesai 'kerja' mereka dan sempat menghilangkan diri dengan barang-barang yang dicuri. Kerugian keluarga ini lebih besar dari jumlah kerugian Pak Caq, kerana mereka turut hilang barang kemas dan wang juga.

Polis seperti biasalah, mereka ambil 'statement' dan cerita tentang kes-kes kecurian lain. Sudah banyak kes pecah rumah sejak dari bulan puasa lagi, tetapi polis tidak mengambil tindakan proaktif seperti membuat rondaan dengan lebih kerap lagi. Alasan mereka sama jugalah, 'kakitangan tak cukup, dan kawasan seliaan terlalu luas.'

Itulah sekarang ini banyak kawasan perumahan sudah mengambil langkah untuk membuat pagar dengan sekatan jalan masuk dan keluar serta menggunakan khidmat pengawal keselamatan. Dah jadi macam kawasan kondominium dan rumah dengan khidmat kawalan keselamatan pula.

Jiran-jiran Pak Caq dah mula setuju dengan cadangan untuk ikut seperti kawasan demikian juga. Pak Caq setuju benar jika polis juga membuat pondok seliaan mereka kerana Pak Caq lihat ramai juga anggota polis yang di tempatkan di Zon kawasan perumahan Pak Caq ni. Yalah kan, bukan semua kawasan atau jalan boleh dibuat pagar dan sekatan jalan keluar masuk sebab terdapat sekolah dan juga hospital pakar berdekatannya.

Apa pun kita usahakan, kita mesti tawakkal dengan Allah SWT. Kalau kita ikut perasaan takut dan terus menerus fobia, tentulah susah jadinya!

1 comment: