Kematian
Dalam kita bersyukur dan bergembira raya, Pak Caq tersentak dengan kematian seorang sanak saudara semalam. Ramai turut bersedih kerana usianya belum pun menjangkau 40 tahun, dan anak-anaknya pun masih kecil lagi. Bila melihat suasana rumahnya yang melambangkan segala kemewahan hidup dan melihat mayat seorang ibu muda yang tidak berapa lama dulu begitu ceria, kebanyakan yang menziarahinya diam dan tidak banyak berbicara. Mungkin mereka semua seperti Pak Caq juga, iaitu insaf betapa Besarnya Kuasa Allah Yang Maha Esa, dan betapa kerdilnya manusia yang langsung tidak bermaya.
Itu sudah janji Tuhan: ajal itu ialah sesuatu yang pasti dan bila sudah tiba masanya tiada siapa dan tiada apa pun yang dapat menghalangnya. Kehidupan kita ialah anugerah Allah, dan bila Allah menariknya kembali, tamatlah sebuah kehidupan itu dan manusia menemui ajalnya. Apa-apa juga penyakit atau alasan hanyalah buat dijadikan penyebabnya saja.
Tapi sekadar untuk berbicara, Pak Caq cerita jugalah sedikit. Saudara muda yang meninggal ini baru saja dikesan menghidap barah paru-paru tiga bulan yang lalu. Barahnya ketika itu sudah pun di peringkat ketiga. Sesegera itu keluarganya mendapatkan khidmat pakar dan segala usaha telah dibuat untuk mengubatinya. Namun dua hari lepas beliau koma, dan terus dibawa ke Hospital Pakar Damansara. Beliau meninggal sehari kemudian.
Penyakit Barah Paru-Paru
Untuk berkongsi pengetahuan, Pak Caq juga nak ceritakan mengenai penyakit barah paru-paru ini. Semoga semuanya dapat dimanafaatkan.
Barah paru-paru ini juga dikenali sebagai Bronchogenic carcinoma. Penyakit ini adalah salah satu jenis barah berat yang mengakibatkan kematian. Mengikut kajian, ia adalah barah utama yang membabitkan kematian lelaki dan perempuan akibat barah di negara maju seperti di Amerika.
Mangsa Barah Paru-paru
Kajian statistik yang dilakukan dari sejak 1950an membuktikan bahawa mangsa utama penyakit barah paru-paru ialah penghisap rokok. Ya, menghisap rokok ialah penyebab utama penyakit ini. Semakin banyak rokok yang dihisap oleh seseorang setiap hari, dan semakin awal atau semakin lama mereka menghisap rokok, maka semakin tinggi risikonya. Penyebab lain ialah pendedahan kepada asap rokok, pencemaran udara yang tinggi, radiasi dan 'asbestos'; semakin sering seseroang itu terdedah kepada elemen-elemen ini akan meninggikan risikonya.
Simptom Atau Tanda-tanda Barah Paru-paru
Penyakit barah paru-paru ini mempunyai simptom-simptom yang tertentu. Antara simptom penyakit barah paru-paru ialah:
Batuk-batuk yang tidak hilang dan semakin lama semakin bertambah teruk.
Sering sakit dada.
Batuk berdarah.
Penafasan yang pendek dengan ada bunyi samaada seperti tersekat atau bunyi yang kasar.
Masaalah radang paru-paru atau sakit tekak yang berulang-ulang.
Bengkak tengkuk dan muka.
Hilang selera makan atau turun berat badan.
Sering letih dan tidak bermaya.
Barah Paru-paru Tumor Merbahaya
Barah paru-paru ni berlaku bilamana sel-sel biasa melalui satu transformasi yang membuatkan ianya tumbuh dan bercambah tanpa dapat dikawal seperti biasanya. Sel-sel ini membentuk satu rupa-bentuk yang dikenali sebagi tumor.
Tumor ini amat merbahaya kerana ia boleh merebak dengan pantas dan merampas segala oksijen, zat, enzim dan ruang dari sel-sel sihat; ia meratah dan membunuh tisu-tisu sihat disekelilingnya; ia juga merebak keseluruh badan, meredah masuk ke dalam pembetung darah dan juga organ-organ lain.
Harapan Untuk Sembuh
Jika penyakit barah paru-paru ini dikesan di peringkat amat awal, hampir separuh daripada mereka terus hidup untuk sekurang-kurangnya lima tahun selepas itu. Begitupun, kadar kebarangkalian untuk ianya berulang adalah amat tinggi di kalangan mereka ini. Jika barah ini dikesan pada peringkat lebih teruk lagi, terutamanya jika ianya sudah merebak ke bahagian atau organ lain, statistik menunjukkan hanya lebih kurang 2% sahaja daripada mereka dapat terus hidup sehingga lima tahun lagi selepas itu.
Kesimpulannya
Apa pun kita hanya dapat membuat analisis setelah sesuatu itu berlaku. Hakikatnya, manusia mati bila ajalnya sudah tiba.
No comments:
Post a Comment