Monday, May 31, 2010

HATI MANUSIA KE INI?

Sungguh amat mengejutkan apabila membaca berita di HMetro online bahawa seorang ibu telah mencampakkan bayinya sendiri ke jalan.  Kemudian beliau malah tergamak memijak pula bayi berkenaan.

Bayi Menjadi Mangsa

Ibu ini dikatakan mengamuk apabila seorang pelajar menuduh dia mencuri telefon bimbit.  Kemudian apabila anggota keluarga pelajar berkenaan menolaknya, dia mencampakkan bayi yang didukungnya dan memijak-mijak bayinya.  Seperti dirasuk pula ibu ini menjerit membantah tuduhan yang dibuat ke atasnya.

Walaupun bayi berkenaan kelihatan terselamat, kita tidak tahu kerana pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh belum dijalankan.  Apa fikiran ibu sebenarnya yang membuatkan dia tergamak berbuat demikian?  Berhati manusia ke dia?

Friday, May 28, 2010

JINAK-JINAK DENGAN WAHYU

Pak Caq teringat pula semasa bekerja dulu asyik berpusat fikiran untuk mencapai objektif kerja dan misi jabatan.  Terlalu sedikit masa dihabiskan untuk menunaikan kewajipan lain.

Bagi yang dianugerahkan dengan bonus umur panjang, insya Allah berpeluang untuk mahasabah diri dan melipat-gandakan usaha untuk memperbaiki keadaan.  Tentu malang bagi mereka yang tidak panjang usianya.

Pak Caq bersyukur kerana masih berkesempatan untuk lebih berjinak-jinak dengan Wahyu Allah SWT selepas bersara ini.  Di malam Jumaat yang mulia ini elok juga kita saling mengingatkan tentang betapa perlunya kita untuk sentiasa mempertingkatkan iman dan melakukan segala perbuatan sesuai dengan hukum Allah SWT.

Antara saranan yang baik ialah untuk kita sentiasa bertasbih memuji Allah.  Sesungguhnya segala yang di langit dan di bumi bertasbih memuji Allah.

Di samping itu kita juga disarankan supaya menafkahkan harta dan barang kepunyaan kita di jalan Allah.  Antara amalan baik selain membayar zakat ialah mensedekahkan harta kepada anak-anak yatim, mereka yang miskin dan melarat serta juga berhutang berat.

Thursday, May 20, 2010

KUKUHKAN IMAN

Pak Caq bersyukur kerana diberkati dengan umur panjang hingga ke hari ini dan dirahmati dengan peluang untuk memperbaiki diri.  Alhamdulillah.

Allah berfirman di dalam Al Quran berkali supaya kita menjadi orang yang beriman dan mencari keredhaanNYA.  Kita diseru, "Berlumbalah mencari keampunan Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi mereka yang beriman kepada Allah dan RasulNYA."

Jadi sementara masih hidup, marilah kita sama-sama menyambut seruan dan berusaha untuk kukuhkan iman.  Semoga Allah SWT permudahkan dan berkati, amin.

Sunday, May 16, 2010

SELAMAT HARI GURU

Pak Caq ingin turut merakamkan rasa terima kasih kepada semua para warga guru yang telah dan sedang membimbing anak watan menjadi seorang insan yang mulia dan berjaya.  Guru adalah seperti ibu dan ayah angkat yang baik.

Arwah Ayah Pak Caq juga adalah seorang guru.  Sejak umurnya 20 tahun, Allahyarham telah menjadi guru sekolah; dari seorang guru biasa hinggalah beliau mendapat kenaikan pangkat menjadi seorang Guru Besar.

Oleh kerana Allahyarham seorang Cikgu, Pak Caq telah ikut pergi ke sekolah sejak umur 4 tahun lagi.  Tetapi beliau mengajar di sekolah aliran Melayu.  Apabila sudah cukup umur untuk ke sekolah, arwah menghantar Pak Caq ke sekolah aliran Inggeris kerana ketika itu sekolah Inggeris jauh lebih maju.

Pak Caq menjadi pelajar sekolah berasrama penuh semasa di sekolah menengah.  Jadi pertalian dan hubungan dengan guru adalah amat rapat.  Mereka adalah guru, ibu dan juga ayah di waktu yang sama semasa pelajar berada di asrama.

Kepada semua guru-guru amnya, dan kepada guru-guru  Pak Caq khususnya, yakinilah ramai pelajar menghargai segala jasamu.  Selamat Hari Guru!

Tuesday, May 4, 2010

SUNTIKAN H1N1

Bila dah duduk rumah sepenuh masa, lain pula pendekatan seharian.  Lebih jinakkan diri untuk berjemaah bagi semua solat.

Di samping itu, ada banyak ruang yang harus dijenguk.  Ramai kawan pun sudah bersara juga.  Jadi bila berjumpa, banyak masa dihabiskan untuk bercerita dan bertukar pandangan.

Apapun, setakad hari ini, Pak Caq rasa okey juga.  Belum lagi terasa bosan atau bingung sepertimana yang sering diceritakan kawan-kawan.

Semalam Pak Caq dan isteri telah mendapatkan suntikan H1N1.  Rupanya, kemudahan ini hanya terdapat di klinik dan hospital kerajaan saja.  Mereka ada hadkan kepada yang berumur tidak melebihi 65 tahun bagi orang dewasa.  Ada had umur untuk kanak-kanak juga, tapi Pak Caq tak ambil perhatian pula.

Kepada sesiapa yang masih belum pergi mendapatkan suntikan H1N1, eloklah segera berbuat demikian.