Thursday, December 16, 2010

HARI ASYURA - AMALAN SUNAT YANG BAIK

Umat Islam diseru supaya amar maaruf dan nahi mungkar.  Jika seluruh umat Islam berpegang kepada hukum Allah SWT dan takut kepada kemurkaanNYA, kita pasti sentiasa cuba melakukan yang terbaik seperti seruanNYA.

Pak Caq saja nak menyentuh sedikit tentang melakukan ibadah sunat.  Antara yang disarankan ialah puasa sunat.

Memang banyak ibadah sunat yang disyorkan untuk kita melakukannya.  Jika buat dapatlah pahala, jika tidak tak dapat pahalanya la!

Hari ini, 10 Muharram, ialah hari Asyura dan di hari ini kita disarankan berpuasa sunat Asyura.  Mungkin ramai yang sedang mengerjakan ibadah ini.  Insya Allah, sama-samalah kita ya.

Selain dari sunat berpuasa, kita juga disarankan untuk melakukan ibadah-ibadah berikut:
  • Menyapu kepala anak-anak yatim
  • Meluaskan perbelanjaan untuk keluarga
  • Bersedekah kepada fakir miskin
  • Bercelak mata dan
  • Memperbanyakkan bacaan (sekurang-kurangnya 70 kali) iaitu :
"hasbunallah wa ni'mal wakiil, ni'mal mawla wa ni'man nashhir. "
Bermaksud: Cukuplah kepada Allah kami berserah.  DIA adalah sebaik-baik tempat berserah, sebaik-baik pemimpin dan sebaik-baik penolong.

Monday, December 6, 2010

MEMANJAT DOA POHON KEAMPUNAN & KEREDHAAN ALLAH SWT

Hari ini adalah adalah hari terakhir buat tahun 1431H.  Insya Allah esok pula adalah permulaan tahun baru 1432H buat kita.  Semoga segala dosa-dosa kita diampunkan dan hidup kita selama ini dan akan datang mendapat keredhaan Allah SWT Yang Maha Amat Pemurah lagi Maha Penyayang dan Maha Pengampun.  Amin.

Sebagai manusia biasa tentu saja kita melakukan banyak kesalahan dan dosa, samaada yang kecil ataupun yang besar.  Tentulah elok jika kita menutup tahun ini dengan terus memohon bersungguh-sungguh kepada Allah SWT untuk mendapat keampunanNYA.

Biasanya Muslimin dan Muslimat digalakkan membaca doa akhir tahun.  Ulama-ulama agung sendiri sudah membahaskan bahawa perlakuan ini bukan bidaah kerana ia hanya satu doa memohon keampunan di atas segala dosa-dosa yang lalu dan memohon keredhaan dari Illahi.  Doa seumpamanya harus juga dilakukan setiap hari.

Begitu juga dengan doa awal tahun.  Ia hanya merupakan sebuah doa memohon semoga hari-hari mendatang dalam sisa-sisa hidup kita akan terus diberkati dengan segala kemudahan dan rahmat terbaik.

Pendeknya doa-doa akhir tahun dan awal tahun adalah panjatan doa memohon semoga kita mendapat kebahagiaan Akhirat yang kekal.