Friday, June 25, 2010

'THE RMC RAGGING'

Sebagai seorang 'Old Putera' atau bekas penuntut 'Royal Millitary College' (RMC = Maktab Tentera Di Raja), Pak Caq terkejut juga dengan berita seorang penuntut Tingkatan Empat telah meninggal sekitar dinihari semalam.

Penuntut RMC dikenali sebagai 'budak putera.' Memang menjadi tradisi RMC untuk memperkasakan budak-budak yang baru masuk dengan pelbagai acara orientasi yang rata-rata diketahui sebagai 'ragging.'  Penuntut baru mesti patuh dengan segala arahan penuntut lama yang dikenali sebagai 'seniors' itu.

Masa Pak Caq dulu pun acara-acaranya memang agak keras.  Tujuannya ialah supaya budak-budak dapat membina kekuatan fizikal dan mental.  Penuntut-penuntut baru mesti akur dengan apa saja yang diarahkan oleh penuntut-penuntut senior.  Hanya mereka yang pernah menjadi penuntut RMC saja tahu acara-acara berkenaan. 

Biasanya budak-budak baru yang terlebih eksyen yang dikenali sebagai 'cocky' saja yang akan diorientasi dengan lebih keras.  Namun walau sekeras mana sekalipun, tak ada pula sehingga menjadi fatal yang membawa maut.  Ada guru-guru yang memantau keadaan.

Ini kes fatal dimana penuntut baru Tingkatan Empat telah meninggal setelah dikatakan dibuli dan dibelasah oleh penuntut senior.  Kenyataan Kementerian Pertahanan sendiri telah mengesahkan kematian penuntut Mohammad Naim Mustaqim Mohamad Sobri yang berumur 16 tahun.

Mengikut kenyataan berkenaan, penuntut ini telah dijumpai tidak sedarkan diri dan dibawa ke Pusat Perubatan Angkatan Tentera di Kem Sungai Besi di mana dia disahkan telah meninggal.  Kemudian mayatnya dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk post-mortem.  Lapuran polis telah dibuat di balai polis Sungai Besi police pada pukul 2 pagi berkenaan.

Ini merupakan satu peristiwa hitam yang melibatkan sebuah sekolah berprestij dan bersejarah.

Wednesday, June 23, 2010

WANG JUDI LUMAYAN


Wang Judi?

Nampaknya pihak polis kita cekap kerana telah dapat menangkap dalang-dalang pertaruhan judi bolasepak Piala Dunia 2010.  Mengikut kenyataan mereka seramai 120 orang telah ditangkap dan wang pertaruhan judi yang berjaya ditumpaskan menjangkau RM300 juta.

Oleh kerana judi itu mungkin mendatangkan pendapatan yang lumayan, taukeh-taukeh dan tahi-tahi judi ini berani mengambil risiko tinggi.  Mereka tidak peduli samaada salurannya itu halal atau haram.  Yang tahi dan ketageh judi tetap meneruskan aktiviti mereka.

Namun kalau sudah diharamkan dan mereka tertangkap, mungkin rugi besar pula.  Wang pertaruhan dan peralatan habis dirampas.  Jika sebaliknya mereka terlepas, hasilnya amat lumayan sekali dan makan besarlah.

Mengikut kenyataan polis, untuk musim Piala Dunia 2010 ini polis telah pun membuat 156 serbuan setakad ini, dan 90 darinya berjaya memberkas penjenayah.  Kita berharap usaha mereka benar-benar atas etika kerja cekap, bersih dan amanah.

Monday, June 14, 2010

MERAJUK SETIA KASIH

Hari ini kita mendapat tahu betapa seorang warga tua membuktikan setia kasih kepada lelaki pilihannya dengan terus hidup membujang hingga kini.  Apa yang menyedihkan ialah Sharifah Saharah Syed Yahya yang kini berusia 76 tahun terpaksa hidup sebatang karah.

Sharifah Saharah juga terpaksa hidup dalam kedaifan.  Selama lebih 10 tahun, beliau hanya tinggal di pondok terpencil di tengah belukar di Jalan Tengah Sungai Karang Darat, dekat Kuantan.  Pondoknya lamanya sudah dipulihara oleh penduduk kampung, tetapi masih tiada kemudahan elektrik dan bekalan air bersih.

Apa yang lebih meyedihkan ialah dalam usia selanjut itu, dia hanya dimamah usia seolah-olah sekadar menunggu habis hayatnya saja.  Sungguh malang kerana persekitarannya itu juga tiada keupayaan untuk mempertingkatkan keimanan dan ibadah ke tahap maksima.

Pak Caq sungguh sedih membaca perihal keadaannya.  Hanya kerana merajuk setia kasih, dia menyisihkan diri yang benar-benar merugikan dirinya sendiri dunia dan akhirat.

Semoga ada pegawai dari badan kebajikan atau Jabatan Kemasyaraktan mengambil langkah proaktif.  Mereka harus membantu menempatkan dia di tempat yang lebih kondusif untuknya menghabiskan hari-hari tuanya dengan lebih Islamik.  Apa kata Ibu Menteri Wanita?

Thursday, June 10, 2010

BUNG MOKHTAR BUAT KECUH LAGI

AP Bung Mokhtar memang Pak Caq kenal sejak lebih sepuluh tahun lalu.  Tetapi bukan sebagai sahabat atau kawan tetapi sebagai ahli politik Sabah.

Hampir sepuluh tahun Pak Caq bekerja sebagai ketua Jabatan pegawai kanan kerajaan Persekutuan di Sabah.  Pak Caq dah masak dengan segala tingkah-laku dan gelagatnya yang memang tidak menyenangkan.

Pak Caq bukanlah jenis yang saja-saja nak membuat cerita.  Tetapi rasa letih pula melihat beliau tidak habis-habis membuat hal.  Rasanya tidak adil rakyat mempunyai seorang pemimpin seperti beliau.

Semalam beliau membuat hal lagi di Lounge Dewan Negara dengan gelagat gaya samsengnya.  Apapun sebabnya, bukan begitu cara seorang wakil rakyat yang berintegriti menangani keadaan.  Jika nak bergaduh secara samseng, tempatnya di luar, di jalanan dan di tempat-tempat orang yang dalam kelas yang sama !

Tuesday, June 1, 2010

REGIM ISRAEL KEJAM

Pak Caq turut serta mengutuk perbuatan terkeji regim Israel kerana telah menyerang kapal Mavi Marmara yang sedang mengepalai flotilla Gaza.  Perbuatan membuat serangan maut ke atas fleet misi keamanan yang membawa bantuan untuk Gaza adalah perbuatan yang tidak berperikemanusiaan.

Rakyat seluruh dunia yang mencintai keamanan mesti bersatu untuk mendesak Israel supaya menghentikan segala perbuatan terkutuk ini.  Perbuatan mereka langsung tidak menghormati nyawa manusia dan undang-undang yang sedia.

Rakyat Malaysia yang telah terperangkap dan ditahan semasa serangan itu diberitakan selamat.  Namun nasib mereka masih lagi belum jelas dan nyata.  Apa yang nyata ada beberapa orang lagi rakyat yang turut serta dalam misi ini ada di kapal  lain.

Regim Israel yang kejam mesti harus terus dikecam dan didesak supaya tunduk kepada suara ramai seluruh dunia.