Sunday, January 31, 2010

TOLONG DOAKAN YA!

Sepupu Pak Caq yang satu ni sudah seperti kakak Pak Caq sendiri. Semasa kecil hinggalah mendapat jodoh dan berumahtangga beliau tinggal bersama keluarga Pak Caq kerana bapanya, iaitu bapa saudara Pak Caq, kerja sebagai anggota polis dan sering bertukar ke sana sini.

Pak Caq terkesan sangat ni .. tak tentu arah dibuatnya. Nak ikut tunggu pun tak boleh. Di ICU, Hospital Ampang Puteri ni, mereka langsung tak benarkan sesiapa berada bersama pesakit selepas pukul 9 malam. Esok pagi pula baru boleh datang lagi.

Kepada yang ziarahi ruang Pak Caq ni, Pak Caq pohon tolonglah turut sama doakan yang terbaik ya ... Jika masih panjang usia sepupu Pak Caq, semoga Allah segera sembuhkan beliau, dan jika sudah tiba ajalnya, semoga dipermudahkan pemergiaannya. Amin.

SEPUPUKU KOMA KRITIS

Semalam Pak Caq pergi ke hospital menziarah sepupu Pak Caq dan suaminya lagi. Boleh dikatakan tidak ada perkembangan baik. Sepupu Pak Caq masih antara sedar dan lali. Semasa tersedar sekejap beliau masih sempat berbicara dengan anak Pak Caq bertanya khabar.

Awal pagi tadi Pak Caq sekeluarga mendapat dua berita sedih. Pertamanya ialah berita suami kepada ibu saudara pupu Pak Caq yang tinggal di Kampung Tunku telah meninggal di awal pagi ini juga. Tak lama kemudian, anak perempuan sepupu Pak Caq pula memberitahu ibunya telah koma dan dimasukkan ke Unit Perawatan Intensif (ICU).

Selepas menziarahi jenazah dan berada di rumah ibu saudara pupu sekitar sejam, isteri Pak Caq mendapat khabar dari anak perempuan sepupu Pak Caq memberitahu bahawa ibunya sudah kritikal. Jadi kami tidak jadi untuk menunggu hingga pengkebumian. Sebaliknya Pak Caq sekeluarga bergegas pergi ke hospital.

Suasana di ruang sepupu Pak Caq di ICU sungguh amat menyanyatkan. Sepupu Pak Caq memang amat kritikal. Beliau koma total dan tekanan darahnya masih amat tinggi. Alhamdulillah anak-anaknya saling bergilir membaca Yassin dan mengucap shahadah. Saudara-saudara yang menziarah di ICU juga turut membaca Yassin dan Al Fatihah serta berdoa.

Suaminya pula terlantar sakit di wad rawatan di tingkat empat. Dalam sebak tangis, beliau menceritakan bahawa malam tadi sepupu Pak Caq seperti sudah memberi petanda. Di awal malam, semasa sedarnya beliau gagahi bangun dan duduk di sisi suaminya memohon ampun dan maaf. Di tengah malam beliau tersedar lagi dan sedaya upaya berusaha bangun juga pergi ke katil suaminya yang bersebelahan itu dan bertanya khabar sambil memegang suaminya itu.

Mengikut kata doktor, harapan hidup untuk sepupu Pak Caq amat tipis sekali. Doktor malah telah menasihatkan supaya memberitahu kemungkinan itu kepada sekelian saudara mara dan kawan terdekat.

Ruangnya terhad, sedangkan saudara-mara, kawan, rakan dan jiran yang turut menziarahi sepupu Pak Caq dan suaminya semakin bertambah ramai. Jadi kenalah bergilir-gilir berada di ruang ICU dan juga di bilik tu. Kita bertawakkal saja kepada Allah. Pak Caq sekeluarga turut pasrah.

Thursday, January 28, 2010

DAH KENA LEBIH BEREHAT AGAKNYA

Pak Caq baru saja lepas menziarahi saudara sepupu Pak Caq suami isteri yang sekarang terlantar sakit tu. Ternyata mereka sedang mengalami masaalah kesihatan yang agak berat. Pak Caq amat terkesan dengan keadaan mereka sekarang ini.

Sepupu Pak Caq mengalami darah tinggi yang kritis dengan pendarahan di otaknya, dan kondisinya masih kurang stabil. Namun beliau masih sedar dan boleh jugalah bercakap. Seharusnya doktor segera membuat 'endoscopy' dan segera pula mengambil langkah untuk memberhentikan pendarahan di otaknya. Tetapi oleh kerana beliau masih tidak stabil and agak lemah, doktor harus terlebih dahulu memstabilkannya. Itulah dilemanya sekarang.

Suaminya pula memang sudah lama mengalami sakit jantung. Beliau sudah tiga kali menjalani pembedahan jantung, dan keadaannya ternyata masih agak lemah. Dah tu, sekarang beliau juga mengalami penyakit angin pasang-pasang.

Mereka berdua sekarang berkongsi bilik, iaitu di tempatkan di bilik yang sama di hospital ini. Sedih la melihat keadaan mereka yang kedua-duanya saling tidak berupaya menolong antara satu sama lain.

Bayangkanlah sepasang suami isteri yang sepatutnya berehat dan bersenang-senang di rumah menghabiskan hari-hari tua, tetapi malah berada bersama di hospital sekarang kerana keadaan kesihatan yang agak kritis. Mungkin juga kerana mereka mengalami tekanan menjaga cucu-cucu yang agak nakal. Entahlah ...

Ini yang membuat Pak Caq terfikir juga. Agaknya dah sampai masa Pak Caq pun memberi perhatian yang lebih kepada soal kesihatan sekaligus mengurangkan tekanan kepada keupayaan fizika dan minda. Seperti kata orang, bila beralih usia kepada golongan 'senior' dan wargamas tu kenalah insaf dan berlaku adil kepada diri sendiri ... dah kena rehat lebih nampaknya.

Wednesday, January 27, 2010

BULAN SAFAR YANG MENYEDIHKAN

Bulan Safar ni kebetulan pula Almarhum Sultan Iskandar dan ramai negarawan kita telah meninggal dunia. Seperti berturutan berita kematian mereka ini.

Dikalangan saudara dan sahabat handai sendiri pun terdapat juga lebih banyak kematian dan sakit tenat sejak masuk bulan Safar. Kita tidak boleh memikir perkara yang tidak elok. Semua yang berlaku di bulan Safar ini cuma satu kebetulan.

Tetapi malam ni pula, Pak Caq baru saja mendapat berita yang mencemaskan. Kedua-dua saudara sepupu Pak Caq suami isteri sekarang sedang mendapat rawatan intensif di Hospital Ampang Puteri kerana sakit jantung dan pendarahan otak.

Kalau ikutkan hati, Pak Caq mahu pergi ziarahi mereka malam ini juga kerana Pak Caq memang amat rapat dengan mereka. Tapi katanya doktor melarang reramai berada di sana, terutama di waktu malam begini. Jadi terpaksa tunggu sampai esok hari juga. Namun hati dan perasaan Pak Caq tidak tenang.

Tuesday, January 26, 2010

KEMELUT PUTUS CINTA

Pak Caq melihat liputan sessi kenyataan akhbar/media aktor Fahrin Ahmad tentang tuntutan awal dalam proses perundangan terhadap Linda Onn. Akhirnya, Fahrin mengambil keputusan tegas ini. Seharusnya, Fahrin sudah meletakkan titik noktah yang jelas sebegini semasa Linda mula membuat kenyataan-kenyataan dalam blog dan kepada wartawan sejak awal perpisahan mereka dulu itu.

Seharusnya tidak sampai ke tahap ini kerana jelas Fahrin tidak mahu memperkatakan perkara negatif tentang perhubungan dan perpisahan mereka. Linda ternyata termakan umpanan media. Kasihan ...

Setahu Pak Caq kebanyakan wanita tu akan sentiasa menghargai lelaki yang perhatian. Semasa kemuncak perhubungan Fahrin dan Linda, jelas Fahrin seorang yang perhatian. Selepas berpisah pun Fahrin membuat kenyataan yang masih senada dengan sifat ini.

Semalam pun Fahrin terus berkata, "Cinta saya ikhlas dan ia tidak seharusnya berakhir begini. Bila habis bercinta, saya bercakap perkara yang baik dan tidak reka sesuatu yang boleh membuat orang lain berprasangka buruk ... Sebelum ini, apabila saya putus cinta dengan Linda dan Scha Al-Yahya, saya cuma berdiam diri. Saya tahu risiko bercinta dengan selebriti, tetapi saya bersyukur dan tidak kesal dengan mereka."

Pak Caq bukan memihak secara membuta-tuli kepada Fahrin. Tetapi Pak Caq cuma amat hairan saja kenapa sebelah pihak Linda mesti membuat kenyataan dengan mengatakan yang buruk-buruk saja.

Dalam Islam, kita disarankan untuk sentiasa mengatakan segala yang baik sahaja tentang saudara sesama Islam, mendoakan untuk kebaikan mereka dan tidak sekali-sekali mengaibkan pihak lain walaupun ada kebenarannya. Jangan hanya kerana kemelut putus cinta, kita melakukan sesuatu yang bertentangan dengan ajaran agama Islam kita.

Sunday, January 24, 2010

SULTAN IBRAHIM ISMAIL


Sesuai dengan adat dan kanun tubuh kerajaan negri Johor, anakanda sulung Almarhum Sultan Iskandar, Tunku Ibrahim Ismail, telah dilantik menggantikan Almarhum baginda sebagai Sultan Johor yang baru. Pengistiharan Sultan baru, upacara mengangkat sumpah dan menandatangani watikah perlantikan telah dilakukan sebelum upacara pengkebumian.


DYMM Sultan Ibrahim Ismail
Menandatangani Watikah Perlantikan

Pengumuman resmi tentang perlantikan baginda Sultan Johor yang baru telah juga dibuat mengikut adat negri, iaitu di tangga Istana Besar. Ini diikuti dengan adat laungan 'daulat tuanku.'

Pak Caq pernah berkesempatan berurusan dengan kedua-dua baginda Almarhum Sultan Iskandar dan juga baginda Sultan Tunku Ibrahim berserta dengan paduka isteri-isteri juga semasa dalam tugasan resmi. Masa tu rasa cuak juga, tapi kerana segala urusan berjalan lancar, jadi semua pun ok je. Malah terukir senyum di wajah baginda semua. Pendek kata semua pengalaman Pak Caq tu yang manis saja.

Sekalung tahniah di atas perlantikan resmi DYMM Sultan Ibrahim Ismail sebagai Sultan Johor yang baru. Semoga Johor terus dirahmati.

Saturday, January 23, 2010

DYMM SULTAN JOHOR MANGKAT

Saya ingin turut merafakkan ucapan takziah kepada seluruh Kerabat Di Raja dan juga rakyat Johor. Kita sama-samalah sedekahkan bacaan Al Fatihah kepada Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail yang telah mangkat. Al Fatihah.

Seorang Muslim sentiasa diseru untuk melakukan kebaikan dan menunjukkan tauladan yang baik. Jadi elok sekali kita juga turut mendokan semoga Almarhum di tempatkan dikalangan orang-orang yang mendapat keredhaan Allah SWT.

Sunday, January 17, 2010

BICARA BULAN SAFAR

Seperti berjanji pulak beberapa orang kawan berkumpul untuk borak-borak selepas solat tadi. Rupanya ramai terperasan hari ini tak ada jemputan kenduri kahwin. Semua yang ada pun mengaku mereka tiada ada jemputan kahwin sampai la Hari Raya Cina nanti.

Barulah sedar hari minggu ni dah pun masuk bulan Safar. Seingat Pak Caq memang tak ada jemputan kahwin di bulan Safar ni. Seperti pelek pulak bunyinya.

Kata seorang kawan, "Ni takut bala bulan Safar agaknya!" Lepas tu, seorang demi seorang memberi hujjah tentang perkara ini.

Pak Caq ingat masa dulu tu memang ada pesta mandi tolak bala di bulan Safar. Malah ada orang pergi ramai-ramai berkelah ke pantai untuk sekaligus mandi tolak bala.

Ini hanyalah kepercayaan karut saja. Kurafat jika kita mempercayai perkara yang karut begini. Janganlah kita rosakkan aqidah kita.

Memang benar juga, apabila ramai orang memperkatakanya, seperti orang mendoakan untuk perkara buruk itu berlaku. Seandainya terasa begitu, segeralah mengerjakan solat sunat mohon dipelihara dan dijauhkan dari bala dan segala apa yang kita takuti.

Jika ada di kalangan saudara atau kawan kita yang terikut-ikut dengan kepercayaan begini, kita wajip pula menasihati atau menegur mereka secara baik. Walaupun mungkin menimbulkan ketegangan, kita harus cuba lakukan juga.

Tuesday, January 12, 2010

BANYAK KEJE ...

Salam kembali semua. Rupanya, dah beberapa hari juga Pak Caq tak ke Maya selepas dah balik bekerja. Cepatnya masa berlalu!

Pak Caq ingat dapat le jengah sekejap di ari minggu kelmarin, tapi tak berkesempatan pulak. Biasalah hari minggu tu ada kenduri kahwin. Lepas tu ada tamu yang datang berziarah ke rumah juga.

Pak Caq sebenarnya tak pergi bercuti lagi selepas kembali pada 5 Januari tempuhari tu. Tapi tulah, masa ari minggu terikat dengan tanggung-jawap sosial. Semalam dan arini pula sibuk sangat dengan kerja. Ada kertas kerja yang mesti disiapkan dengan kadar yang segera. Tak habis buat keje kat ofis, sampai bawa ke rumah ni .. pun tak siap juga lagi!

OK la, dah lewat ni, dan badan pun dah letih sangat. Insya Allah, nanti Pak Caq cuba ziarah blog dalam sehari dua ni yer.

Wednesday, January 6, 2010

BAHAN KETAWA!

Pak Caq sekeluarga baru duduk berehat. Isteri Pak Caq yang tengah banyak mengomen .. kita semua ikut ketawa saja.

Memang satu dunia pun sedang mentertawakan kita. Hebat betul jalan cerita ini. Lihatlah saja tajuk berita ini:

PETALING JAYA: An Air Force personnel is charged with theft and a businessman charged with helping to dispose of stolen property in RMAF jet engines theft case this morning.

Kita pun tak boleh sebarang komen juga. Banyak akta yang boleh digunakan untuk cuba menutup cerita ini.

Esok, lama sikit sejuklah. Habis-habis kambing-kambing hitam ini akan menerima hukuman merengkuk dalam penjara untuk satu tempuh yang ditetapkan oleh pihak kehakiman jika mereka terbukti bersalah. Dengan berkelakuan baik, mereka akan mendapat keampunan lagi.

Pegawai RMAF Tharmendran Nagarajah, dan peniaga Rajandran Prasad tidak mengaku salah. Tharmendran berdepan dengan peruntukan hukuman 10 tahun penjara jika terbukti bersalah, sementara Rajandran pula berdepan dengan hukuman tujuh tahun penjara. Itulah harga "menurut perintah" jika perbuatan yang salah itu terbongkar.

Tuesday, January 5, 2010

BERJUMPA KEMBALI

Selamat berjumpa kembali. Sebenarnya Pak Caq ada satu hari lagi cuti ni. Rupanya hari tu Pak Caq tertulis 6 Januari sebagai hari akhir cuti. Tak terperasan pula. Ingat nak cuti dan balik kerja pada 6 haribulan. Dah tercatit begitu, jadi esok terus bercuti lagi.

Mula ingat nak bersantai-santai saja. Tapi ada bermacam kerja rumah pula yang menanti. Tak jadilah nak rehat saja. Seharian dah Pak Caq buat kerja di rumah tapi tak habis-habis juga. Esok mungkin sambung kerja sikit.

Sambil berehat ni Pak Caq masuklah ke Maya sekejap. Nanti Pak Caq akan cuba ziarah ke blog yang telah tinggalkan komen di blog Pak Caq tu, Insya Allah.