Thursday, December 16, 2010

HARI ASYURA - AMALAN SUNAT YANG BAIK

Umat Islam diseru supaya amar maaruf dan nahi mungkar.  Jika seluruh umat Islam berpegang kepada hukum Allah SWT dan takut kepada kemurkaanNYA, kita pasti sentiasa cuba melakukan yang terbaik seperti seruanNYA.

Pak Caq saja nak menyentuh sedikit tentang melakukan ibadah sunat.  Antara yang disarankan ialah puasa sunat.

Memang banyak ibadah sunat yang disyorkan untuk kita melakukannya.  Jika buat dapatlah pahala, jika tidak tak dapat pahalanya la!

Hari ini, 10 Muharram, ialah hari Asyura dan di hari ini kita disarankan berpuasa sunat Asyura.  Mungkin ramai yang sedang mengerjakan ibadah ini.  Insya Allah, sama-samalah kita ya.

Selain dari sunat berpuasa, kita juga disarankan untuk melakukan ibadah-ibadah berikut:
  • Menyapu kepala anak-anak yatim
  • Meluaskan perbelanjaan untuk keluarga
  • Bersedekah kepada fakir miskin
  • Bercelak mata dan
  • Memperbanyakkan bacaan (sekurang-kurangnya 70 kali) iaitu :
"hasbunallah wa ni'mal wakiil, ni'mal mawla wa ni'man nashhir. "
Bermaksud: Cukuplah kepada Allah kami berserah.  DIA adalah sebaik-baik tempat berserah, sebaik-baik pemimpin dan sebaik-baik penolong.

Monday, December 6, 2010

MEMANJAT DOA POHON KEAMPUNAN & KEREDHAAN ALLAH SWT

Hari ini adalah adalah hari terakhir buat tahun 1431H.  Insya Allah esok pula adalah permulaan tahun baru 1432H buat kita.  Semoga segala dosa-dosa kita diampunkan dan hidup kita selama ini dan akan datang mendapat keredhaan Allah SWT Yang Maha Amat Pemurah lagi Maha Penyayang dan Maha Pengampun.  Amin.

Sebagai manusia biasa tentu saja kita melakukan banyak kesalahan dan dosa, samaada yang kecil ataupun yang besar.  Tentulah elok jika kita menutup tahun ini dengan terus memohon bersungguh-sungguh kepada Allah SWT untuk mendapat keampunanNYA.

Biasanya Muslimin dan Muslimat digalakkan membaca doa akhir tahun.  Ulama-ulama agung sendiri sudah membahaskan bahawa perlakuan ini bukan bidaah kerana ia hanya satu doa memohon keampunan di atas segala dosa-dosa yang lalu dan memohon keredhaan dari Illahi.  Doa seumpamanya harus juga dilakukan setiap hari.

Begitu juga dengan doa awal tahun.  Ia hanya merupakan sebuah doa memohon semoga hari-hari mendatang dalam sisa-sisa hidup kita akan terus diberkati dengan segala kemudahan dan rahmat terbaik.

Pendeknya doa-doa akhir tahun dan awal tahun adalah panjatan doa memohon semoga kita mendapat kebahagiaan Akhirat yang kekal.

Wednesday, November 24, 2010

LAMA TAK KE LAMAN

Cepat betul masa berlalu.  Rupanya sudah hampir  dua bulan Pak Caq tak buat sebarang update.  Semuanya bermula dengan Pak Caq tak berapa sihat sikit.  Malas pula nak cerita.

Kemudian ingat nak buat paparan.  Dari sehari ke sehari, asyik pospon saja untuk menjengok laman.  Orang tua agaknya, gitu la kot!

Mula-mula hari tu seronok juga bercerita.  Tapi bila ada komen macam negatif sajer, Pak Caq malas la nak teruskan kerana seperti asyik kena perli saja.

Lagi pula Pak Caq tak ada banyak cerita yang dirasakan sesuai untuk dipaparkan.  Memang la banyak cerita,  tetapi banyak cerita tu termasuk di dalam kategori mengata/mengumpat/gosip saja.  Pak Caq rasa tak sesuai dan tak selesa pula.

Thursday, September 30, 2010

URUT TAPAK KAKI

Semasa bercerita-cerita pasal pelbagai musibah penyakit, ada beberapa orang menyarankan supaya pergi membuat urutan refleksoloji atau urutan tapak kaki di pusat yang bertauliah.  Ternyata ada satu kedai seperti ini dekat dengan rumah Pak Caq.

Semalam Pak Caq teringat semula tentang hal ini.  Bukan apa kaki Pak Caq rasa sengal dan sakit-sakit sejak seminggu yang lepas.  Taruh minyak dan makan ubat pun masih terasa sakitnya.

Oleh kerana itu Pak Caq pun google la cari informasi tentang refleksoloji ini.  Sebenarnya banyak juga keterangan.  Tapi Pak Caq berkenan dengan gambar dari blog seperti di bawah ini.

Kaitan Organ Badan Dengan Kaki

Cuba lihat betul-betul rajahnya ini.  Jelas sekali kedudukan organ badan kita di dalam ruang tapak kaki kanan dan kiri kita.

Kalau begini kita boleh saja melakukan urutan itu sendiri.  Asal kita tahu apa sakitnya dan di mana pula kedudukan organ-organ yang berkenaan di petak kaki kita.

Pak Caq dah cuba sejak semalam.  Memang terasa ada kesannya.  Harap-harap sakit kaki Pak Caq akan segera baik.

Thursday, September 23, 2010

SENJA HAKIKI

Semalam Pak Caq berjumpa dengan saudara yang sudah agak lama juga tak berjumpa.  Dia sekuarga duduk di kalangan saudara mara lainnya di sekitar Kelang dan Port Kelang.  Tapi Pak Caq belum sempat beraya ke sana.  Mereka pun belum beraya ke rumah Pak Caq.

Sebenarnya kami berjumpa di rumah seorang saudara lain di Petaling Jaya ini.  Saudara ini sekarang mengalami sakit berat.  Jadi ramailah saudara mara dan sahabat handai yang datang berziarah.  Tetapi kebanyakannya datang menjengah sekejap saja kerana masing-masing sibuk dengan pelbagai urusan.

Pak Caq mendapat khabar tentang seorang kawan lama Pak Caq yang agak rapat di kampung telah meninggal kerana sakit jantung dan kencing manis.  Memang umurnya tua sedikit dari Pak Caq, tapi sekadar berbeza setahun lebih saja.

Bila bercerita-cerita, rasa insaf kerana ramai kalangan pesara telah meninggal dunia.  Ada yang meninggal sebelum mereka bersara dan ada yang meninggal dalam lima tahun selepas persaraan.

Benarlah kata orang bahawa senja hakiki bukan sekadar ufuk yang tenggelam bersama mentari di Barat bila menjelang malam.  Manusia juga semakin sehari semakin tua dan menuju kepada senja yang hakiki.  Bila senja hilang, ajal kematian menjemput pergi.

Waktu dan ketika berjalan seperti biasa.  Tetapi terasa seperti laju dan deras pula bila kita sedang meniti senja.  Mungkin kerana bimbang bekalan perlu ditambah berlipat ganda sedang peluang melakukannya semakin menguncup pula.

Friday, September 10, 2010

UCAPAN RAYA

Pak Caq nak ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua yang sentiasa memeberi sokongan kepada Pak Caq selama ini.  Kepada semua kalian Pak Caq ucapkan:

SELAMAT
HARI RAYA AIDILFITRI

شلآمت
هاري راي عيدالفطري

Semoga kita sentiasa dirahmati dan diberkati  dengan rezeki dan kesihatan yang terbaik serta segala yang membawa manafaat kebahagiaan dunia akhirat.  Maaf zahir batin.

Thursday, August 26, 2010

MARI LEBIHKAN BERAMAL BAIK

Allah SWT telah berfirman menyeru Ummah melakukan pengabdian terbaik kepadaNYA di dalam Al Qur'anulkarim.  Antara ayat-ayat suci yang cukup jelas dan nyata ialah seperti berikut:


Di bulan Ramadhan Al Mubarak ini kita di seru supaya melebihkan lagi amal ibadat siang dan malam.  Bukan saja melakukan yang wajib, tetapi juga amalan-amalan sunat.

Jika kita menyebut nama Allah SWT setiap pagi dan petang, menghidupkan malam dengan solat-solat sunat serta sedaya upaya memenuhi malam dengan bertasbih, semua ibadah-ibadah lainnya akan turut dapat dilaksanakan juga dengan terbaik.

Thursday, August 12, 2010

SALAM RAMADHAN

Pak Caq ingat nak menulis pada hari pertama semalam tapi bila dah agak lewat malas la pula.  Apa pun Pak Caq mengucapkan selamat berpuasa kepada semua yang sudi berkunjung ke ruang Pak Caq ini.  Semoga kita semua dirahmati dengan kekuatan fizikal dan mental untuk dapat melakukan segala ibadah di bulan puasa tahun ini dengan sebaik mungkin.  Amin.

Hari ini dah masuk hari kedua kita berpuasa di bulan Ramadhan Al Mubarak yang mulia.  Kedengarannya suasana sedikit aman di persada antarabangsa.  Tetapi di arena tanahair sekitar alam kita, terdengar pula ribut sana sini.  Semoga semua segera insaf akan kebesaran Allah SWT dan balasan di atas kemungkaran manusia di SANA.  Amin, Ya Rabbal A'alamin.

Friday, August 6, 2010

MARI BACA AL QURAN

Hanya tinggal beberapa hari saja lagi kita akan menyambut Ramadhan Al Mubarak.  Salah satu amalan yang baik ialah untuk cuba membaca Al Qur'an sehingga khatam.  Kita boleh saja bermula dari hari ini.

Doa Sebelum Mula MemBaca Al Qur'an

Pak Caq nak berkongsi satu doa yang baik sebelum kita mulakan membaca Al Qur'an.  Doa ini Pak Caq ambil dari salah satu siri penerbitan Al Quran dengan terjemahannya.  Ia mudah dan padat.  Cubalah amalkan.

Seperti biasa adalah lebih baik untuk kita melakukan adab-adab yang disarankan sebelum membaca ayat-ayat suci.  Adab-adab yang baik ialah seperti berikut:
  • Mulakan dengan membaca 'Aau'uzubillah.'
  • Kemudian bacalah 'Bismillah.'
  • Baca pula doa seperti di atas.
  • Sudahi dengan 'Rabbana Atina Fiddunya Hassanah.'
  • Barulah teruskan membaca Al Qur'an.
Semoga  kita sekelian mendapat berkat.  Amin.

Thursday, July 29, 2010

BICARA AQIDAH

Orang sering berkata tentang aqidah.  Tetapi bila Pak Caq terserempak dengan anak-anak remaja di tepi surau tempuhari, mereka kedengaran masih tertanya-tanya sama sendiri, 'sebenarnya aqidah itu apa?'

Jadi Pak Caq rasa terpanggil pula untuk memberi sedikit penjelasan di sini.  Kira Pak Caq menunaikan kewajipan sebagai seorang Muslim.

Aqidah membawa maksud  'Asas Kepercayaan.'   Kita boleh juga menyebutnya sebagai iman.  Untuk orang Islam, asas kepercayaan kita ini terbahagi kepada enam.  Pecahannya adalah seperti berikut:
  1. Iman kepada Allah Yang Maha Esa.
  2. Iman kepada Malaikat.
  3. Iman kepada Wahyu yang terkandung di dalam Kitab-kitabNYA.
  4. Iman kepada Pesuruh Allah.
  5. Iman kepada Hari Akhirat.
  6. Iman kepada Qadha' dan Qadar.
Pak Caq berharap agar gambaran ini dapat membantu pemahaman aqidah bagi mereka yang masih belum jelas mengenainya tapi malu pula untuk bertanya.  Semoga kita semua sama-sama mendapat keberkatan Allah SWT.

Friday, July 23, 2010

ANTARA MALAM ISTIMEWA

Banyak ulama bersetuju bahawa ada nas kuat yang mengatakan bahawa empat malam yang istimewa untuk berbuat amal kebajikan ialah malam Nisfu Syaaban, malam Eidulfitri yang pertama, malam Eiduladha yang pertama dan malam Arafah.  Sementara disembunyikan pula malam Lailatul Qadar kerana malam rahmat itu menjanjikan kemerdekaan dari api neraka.  Begitu juga, detik mustajab doa ialah pada hari Jumaat.

Elok jugalah kita mengerjakan amalan-amalan baik yang disarankan.  Setiap amalan yang baik itu balasannya adalah juga baik.

Jadi Pak Caq sekadar mahu mengingatkan bagi yang lupa dan/atau yang belum tahu.  Malam 15 Syaaban ialah malam Nisfu Syaaban.  Untuk tahun 1431H ini, malam Nisfu Syaaban jatuh pada hari Isnin malam Selasa minggu yang akan datang.

Antara ibadat yang disarankan ialah membaca surah Yassin sebanyak tiga kali.  Disarankan tertib bacaan seperti berikut:
  • Bacaan pertama - dengan niat dan doa supaya panjang umur dan dapat beribadah dengan taat
  • Bacaan kedua - dengan niat dan doa memohon rezeki yang murah dan diberkati
  • Bacaan ketiga - dengan niat dan doa semoga ditetapkan iman dan mati dalam keimanan.
Tidak semestinya pula kita hanya membaca surah Yassin sebanyak tiga kali sahaja.  Sekurang-kurangnya lakukan itu.  Jika berlebihan ibadahnya, tentulah lebih baik.

Wednesday, July 14, 2010

SYAABAN BULAN RASULULLAH

Kita sudah pun berada di bulan Syaaban sekarang.  Bulan Syaaban adalah bulan Rasulullah.  Kita digalakkan mengerjakan amalan sunat yang lebih sebagai menghormati bulan ini.

Seperti biasa, amalan sunat yang baik ialah puasa sunat dan solat sunat.  Oleh kerana bulan Syaaban adalah bulan syafaat, eloklah kita menggandakan amalan-amalan sunat ini.

Nabi Muhammad SAW telah memberitahu melalui beberapa hadis tentang kebaikan bulan Syaaban.  Di antara yang baik ialah:
Siapa yang berpuasa tiga hari dalam bulan Syaaban, kemudian dia berselawat atasku beberapa kali sebelum berbuka puasa, akan diampunkan oleh Allah dosanya yang lalu dan diberkatkan rezekinya.

Bahawa Allah Taala membukakan pada bulan Syaaban ini tiga ratus pintu rahmat.
Marilah kita sama-sama melipat-gandakan amalan. Sekurang-kurangnya segalanya adalah sebagai satu persediaan yang baik untuk diteruskan di bulan Ramadhan yang mulia nanti.

Selain solat dan puasa sunat, kita boleh cuba mempertingkatkan amalan baik yang lain.  Antara amalan baik yang kita harus cuba laksanakan ialah:
  1. Membaca penghulu Istighfar.
  2. Memohon keampunan untuk kedua ibu bapa.
  3. Memohon keampunan untuk diri sendiri dan bertaubat.
  4. Membaca Al Quran.
  5. Bertasbih, tahmid dan zikrullah.

Friday, June 25, 2010

'THE RMC RAGGING'

Sebagai seorang 'Old Putera' atau bekas penuntut 'Royal Millitary College' (RMC = Maktab Tentera Di Raja), Pak Caq terkejut juga dengan berita seorang penuntut Tingkatan Empat telah meninggal sekitar dinihari semalam.

Penuntut RMC dikenali sebagai 'budak putera.' Memang menjadi tradisi RMC untuk memperkasakan budak-budak yang baru masuk dengan pelbagai acara orientasi yang rata-rata diketahui sebagai 'ragging.'  Penuntut baru mesti patuh dengan segala arahan penuntut lama yang dikenali sebagai 'seniors' itu.

Masa Pak Caq dulu pun acara-acaranya memang agak keras.  Tujuannya ialah supaya budak-budak dapat membina kekuatan fizikal dan mental.  Penuntut-penuntut baru mesti akur dengan apa saja yang diarahkan oleh penuntut-penuntut senior.  Hanya mereka yang pernah menjadi penuntut RMC saja tahu acara-acara berkenaan. 

Biasanya budak-budak baru yang terlebih eksyen yang dikenali sebagai 'cocky' saja yang akan diorientasi dengan lebih keras.  Namun walau sekeras mana sekalipun, tak ada pula sehingga menjadi fatal yang membawa maut.  Ada guru-guru yang memantau keadaan.

Ini kes fatal dimana penuntut baru Tingkatan Empat telah meninggal setelah dikatakan dibuli dan dibelasah oleh penuntut senior.  Kenyataan Kementerian Pertahanan sendiri telah mengesahkan kematian penuntut Mohammad Naim Mustaqim Mohamad Sobri yang berumur 16 tahun.

Mengikut kenyataan berkenaan, penuntut ini telah dijumpai tidak sedarkan diri dan dibawa ke Pusat Perubatan Angkatan Tentera di Kem Sungai Besi di mana dia disahkan telah meninggal.  Kemudian mayatnya dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk post-mortem.  Lapuran polis telah dibuat di balai polis Sungai Besi police pada pukul 2 pagi berkenaan.

Ini merupakan satu peristiwa hitam yang melibatkan sebuah sekolah berprestij dan bersejarah.

Wednesday, June 23, 2010

WANG JUDI LUMAYAN


Wang Judi?

Nampaknya pihak polis kita cekap kerana telah dapat menangkap dalang-dalang pertaruhan judi bolasepak Piala Dunia 2010.  Mengikut kenyataan mereka seramai 120 orang telah ditangkap dan wang pertaruhan judi yang berjaya ditumpaskan menjangkau RM300 juta.

Oleh kerana judi itu mungkin mendatangkan pendapatan yang lumayan, taukeh-taukeh dan tahi-tahi judi ini berani mengambil risiko tinggi.  Mereka tidak peduli samaada salurannya itu halal atau haram.  Yang tahi dan ketageh judi tetap meneruskan aktiviti mereka.

Namun kalau sudah diharamkan dan mereka tertangkap, mungkin rugi besar pula.  Wang pertaruhan dan peralatan habis dirampas.  Jika sebaliknya mereka terlepas, hasilnya amat lumayan sekali dan makan besarlah.

Mengikut kenyataan polis, untuk musim Piala Dunia 2010 ini polis telah pun membuat 156 serbuan setakad ini, dan 90 darinya berjaya memberkas penjenayah.  Kita berharap usaha mereka benar-benar atas etika kerja cekap, bersih dan amanah.

Monday, June 14, 2010

MERAJUK SETIA KASIH

Hari ini kita mendapat tahu betapa seorang warga tua membuktikan setia kasih kepada lelaki pilihannya dengan terus hidup membujang hingga kini.  Apa yang menyedihkan ialah Sharifah Saharah Syed Yahya yang kini berusia 76 tahun terpaksa hidup sebatang karah.

Sharifah Saharah juga terpaksa hidup dalam kedaifan.  Selama lebih 10 tahun, beliau hanya tinggal di pondok terpencil di tengah belukar di Jalan Tengah Sungai Karang Darat, dekat Kuantan.  Pondoknya lamanya sudah dipulihara oleh penduduk kampung, tetapi masih tiada kemudahan elektrik dan bekalan air bersih.

Apa yang lebih meyedihkan ialah dalam usia selanjut itu, dia hanya dimamah usia seolah-olah sekadar menunggu habis hayatnya saja.  Sungguh malang kerana persekitarannya itu juga tiada keupayaan untuk mempertingkatkan keimanan dan ibadah ke tahap maksima.

Pak Caq sungguh sedih membaca perihal keadaannya.  Hanya kerana merajuk setia kasih, dia menyisihkan diri yang benar-benar merugikan dirinya sendiri dunia dan akhirat.

Semoga ada pegawai dari badan kebajikan atau Jabatan Kemasyaraktan mengambil langkah proaktif.  Mereka harus membantu menempatkan dia di tempat yang lebih kondusif untuknya menghabiskan hari-hari tuanya dengan lebih Islamik.  Apa kata Ibu Menteri Wanita?

Thursday, June 10, 2010

BUNG MOKHTAR BUAT KECUH LAGI

AP Bung Mokhtar memang Pak Caq kenal sejak lebih sepuluh tahun lalu.  Tetapi bukan sebagai sahabat atau kawan tetapi sebagai ahli politik Sabah.

Hampir sepuluh tahun Pak Caq bekerja sebagai ketua Jabatan pegawai kanan kerajaan Persekutuan di Sabah.  Pak Caq dah masak dengan segala tingkah-laku dan gelagatnya yang memang tidak menyenangkan.

Pak Caq bukanlah jenis yang saja-saja nak membuat cerita.  Tetapi rasa letih pula melihat beliau tidak habis-habis membuat hal.  Rasanya tidak adil rakyat mempunyai seorang pemimpin seperti beliau.

Semalam beliau membuat hal lagi di Lounge Dewan Negara dengan gelagat gaya samsengnya.  Apapun sebabnya, bukan begitu cara seorang wakil rakyat yang berintegriti menangani keadaan.  Jika nak bergaduh secara samseng, tempatnya di luar, di jalanan dan di tempat-tempat orang yang dalam kelas yang sama !

Tuesday, June 1, 2010

REGIM ISRAEL KEJAM

Pak Caq turut serta mengutuk perbuatan terkeji regim Israel kerana telah menyerang kapal Mavi Marmara yang sedang mengepalai flotilla Gaza.  Perbuatan membuat serangan maut ke atas fleet misi keamanan yang membawa bantuan untuk Gaza adalah perbuatan yang tidak berperikemanusiaan.

Rakyat seluruh dunia yang mencintai keamanan mesti bersatu untuk mendesak Israel supaya menghentikan segala perbuatan terkutuk ini.  Perbuatan mereka langsung tidak menghormati nyawa manusia dan undang-undang yang sedia.

Rakyat Malaysia yang telah terperangkap dan ditahan semasa serangan itu diberitakan selamat.  Namun nasib mereka masih lagi belum jelas dan nyata.  Apa yang nyata ada beberapa orang lagi rakyat yang turut serta dalam misi ini ada di kapal  lain.

Regim Israel yang kejam mesti harus terus dikecam dan didesak supaya tunduk kepada suara ramai seluruh dunia.

Monday, May 31, 2010

HATI MANUSIA KE INI?

Sungguh amat mengejutkan apabila membaca berita di HMetro online bahawa seorang ibu telah mencampakkan bayinya sendiri ke jalan.  Kemudian beliau malah tergamak memijak pula bayi berkenaan.

Bayi Menjadi Mangsa

Ibu ini dikatakan mengamuk apabila seorang pelajar menuduh dia mencuri telefon bimbit.  Kemudian apabila anggota keluarga pelajar berkenaan menolaknya, dia mencampakkan bayi yang didukungnya dan memijak-mijak bayinya.  Seperti dirasuk pula ibu ini menjerit membantah tuduhan yang dibuat ke atasnya.

Walaupun bayi berkenaan kelihatan terselamat, kita tidak tahu kerana pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh belum dijalankan.  Apa fikiran ibu sebenarnya yang membuatkan dia tergamak berbuat demikian?  Berhati manusia ke dia?

Friday, May 28, 2010

JINAK-JINAK DENGAN WAHYU

Pak Caq teringat pula semasa bekerja dulu asyik berpusat fikiran untuk mencapai objektif kerja dan misi jabatan.  Terlalu sedikit masa dihabiskan untuk menunaikan kewajipan lain.

Bagi yang dianugerahkan dengan bonus umur panjang, insya Allah berpeluang untuk mahasabah diri dan melipat-gandakan usaha untuk memperbaiki keadaan.  Tentu malang bagi mereka yang tidak panjang usianya.

Pak Caq bersyukur kerana masih berkesempatan untuk lebih berjinak-jinak dengan Wahyu Allah SWT selepas bersara ini.  Di malam Jumaat yang mulia ini elok juga kita saling mengingatkan tentang betapa perlunya kita untuk sentiasa mempertingkatkan iman dan melakukan segala perbuatan sesuai dengan hukum Allah SWT.

Antara saranan yang baik ialah untuk kita sentiasa bertasbih memuji Allah.  Sesungguhnya segala yang di langit dan di bumi bertasbih memuji Allah.

Di samping itu kita juga disarankan supaya menafkahkan harta dan barang kepunyaan kita di jalan Allah.  Antara amalan baik selain membayar zakat ialah mensedekahkan harta kepada anak-anak yatim, mereka yang miskin dan melarat serta juga berhutang berat.

Thursday, May 20, 2010

KUKUHKAN IMAN

Pak Caq bersyukur kerana diberkati dengan umur panjang hingga ke hari ini dan dirahmati dengan peluang untuk memperbaiki diri.  Alhamdulillah.

Allah berfirman di dalam Al Quran berkali supaya kita menjadi orang yang beriman dan mencari keredhaanNYA.  Kita diseru, "Berlumbalah mencari keampunan Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi mereka yang beriman kepada Allah dan RasulNYA."

Jadi sementara masih hidup, marilah kita sama-sama menyambut seruan dan berusaha untuk kukuhkan iman.  Semoga Allah SWT permudahkan dan berkati, amin.

Sunday, May 16, 2010

SELAMAT HARI GURU

Pak Caq ingin turut merakamkan rasa terima kasih kepada semua para warga guru yang telah dan sedang membimbing anak watan menjadi seorang insan yang mulia dan berjaya.  Guru adalah seperti ibu dan ayah angkat yang baik.

Arwah Ayah Pak Caq juga adalah seorang guru.  Sejak umurnya 20 tahun, Allahyarham telah menjadi guru sekolah; dari seorang guru biasa hinggalah beliau mendapat kenaikan pangkat menjadi seorang Guru Besar.

Oleh kerana Allahyarham seorang Cikgu, Pak Caq telah ikut pergi ke sekolah sejak umur 4 tahun lagi.  Tetapi beliau mengajar di sekolah aliran Melayu.  Apabila sudah cukup umur untuk ke sekolah, arwah menghantar Pak Caq ke sekolah aliran Inggeris kerana ketika itu sekolah Inggeris jauh lebih maju.

Pak Caq menjadi pelajar sekolah berasrama penuh semasa di sekolah menengah.  Jadi pertalian dan hubungan dengan guru adalah amat rapat.  Mereka adalah guru, ibu dan juga ayah di waktu yang sama semasa pelajar berada di asrama.

Kepada semua guru-guru amnya, dan kepada guru-guru  Pak Caq khususnya, yakinilah ramai pelajar menghargai segala jasamu.  Selamat Hari Guru!

Tuesday, May 4, 2010

SUNTIKAN H1N1

Bila dah duduk rumah sepenuh masa, lain pula pendekatan seharian.  Lebih jinakkan diri untuk berjemaah bagi semua solat.

Di samping itu, ada banyak ruang yang harus dijenguk.  Ramai kawan pun sudah bersara juga.  Jadi bila berjumpa, banyak masa dihabiskan untuk bercerita dan bertukar pandangan.

Apapun, setakad hari ini, Pak Caq rasa okey juga.  Belum lagi terasa bosan atau bingung sepertimana yang sering diceritakan kawan-kawan.

Semalam Pak Caq dan isteri telah mendapatkan suntikan H1N1.  Rupanya, kemudahan ini hanya terdapat di klinik dan hospital kerajaan saja.  Mereka ada hadkan kepada yang berumur tidak melebihi 65 tahun bagi orang dewasa.  Ada had umur untuk kanak-kanak juga, tapi Pak Caq tak ambil perhatian pula.

Kepada sesiapa yang masih belum pergi mendapatkan suntikan H1N1, eloklah segera berbuat demikian. 

Tuesday, April 27, 2010

BINGUNG

Mungkin kerana sudah lama terbiasa kerja pejabat, bila sudah bersara, rasa seperti kehilangan dan bingung juga.  Dua tiga hari selepas bersara pun masih seperti bekerja juga di mana awal pagi sudah siap dan bersarapan.

Memanglah kita sedar di atas persaraan.  Cuma dik kerana berpuluh tahun terbiasa begitu, sukar juga nak selesa dengan tidak pergi kerja.  Berhari-hari juga bingung tak tahu nak buat apa.  Habis segala berita-berita tak penting di surat kabar pun dibaca juga.

Isteri ajak berkebun di tanah yang terbiar sejak dibeli hampir 20 tahun yang lalu.  Tetapi Pak Caq tak pandai dan tidak minat sangat pasal bercucuk tanam ini.  Lagi bertambah bingung pula dibuatnya.

Rasanya kenalah diorientasi diri dulu untuk membiasakan dengan keadaan.  Apa-apa pun kena diubah-suai secara perlahan supaya tidak mudah bosan.

Friday, April 23, 2010

GEJALA SOSAIL BERMULA DI RUMAH

Pak Caq memang selalu suka pergi awal ke masjid untuk bersolat wajip.  Hari ni semasa Pak Caq sampai kelihatan sekumpulan belia yang sama sedang duduk bercerita dibawah pokok berdekatan dengan masjid sambil menghisap rokok.  Sudah lama juga Pak Caq perhatikan.  Setiap minggu mereka melakukan perkara yang sama.

Oleh kerana perasaan ingin tahu sudah lama ada, hari ini Pak Caq hampiri mereka.  Pak Caq psaikokan secara diplomasi yang baik dan menanya perihal mereka.

Tanpa segan silu mereka bercerita keluarga mereka di rumah pun selalu tidak solat.  Cuma hari Jumaat saja mereka ikut ke masjid kerana seluruh warga Melayu Islam sekolah di suruh ke masjid untuk bersolat Jumaat.  Tapi tiada seorang guru yang memimpin mereka hingga melakukan solat di dalam masjid.

Jadi kesimpulannya, anak-anak ini hilang arah kerana mereka tidak dilentur dan dibentuk dari kecil di rumah.  Sementara sekolah pula sekadar mengikut kurikulum tetapi tidak membantu mereka untuk menghayati dan memperaktikkan ilmu yang diberi.

Tidak hairanlah semakin hari,semakin bertambah gejala sosial.  Jelas sekali, gejala ini bermula di rumah.

Tuesday, April 20, 2010

RESMI BERSARA

Hari ini dengan resminya Pak Caq dah menjadi pesara tegar ..... betul ka istilah tu.  Tak kiralah, asalkan maksudnya tu jelas, iaitu Pak Caq dah tak terikat kerja.

Pak Caq rasa dah larat nak berasak-asak lagi dengan 'traffic jam' setiap hari.  Tambahan dengan cuaca yang semakin sehari bertambah panas.  Kekadang tu semput dibuatnya.


Semalam Pak Caq pergi menguruskan beberapa hal peribadi di pusat bandar.  Bukannya jauh sangat dengan rumah Pak Caq.  Tetapi, lihatlah keadaan seperti gambar di atas.  Gambar ini Pak Caq ambil semasa berhenti berdekatan dengan Bank Rakyat untuk mendapat parkir.

Ya Rabbi, letih sungguh dengan kesesakan lalu lintas dan panas yang amat sangat.  Kebanyakan manusia rakyat Malaysia ini pula jenis yang suka letakkan saja kereta sesuka hati.  Bertambah sesak jadinya sepanjang jalan itu. :(  Entahlah, bilakah agaknya mereka akan belajar mengamalkan sikap yang positif dan bertimbang rasa serta bertanggung-jawap.

Monday, April 5, 2010

KENANGAN

Jika umurnya masih panjang, dan jika beliau masih hidup, kakak sepupu Pak Caq yang meninggal pada 1 Februari 2010 yang lalu, beliau akan berusia 66 tahun pada hari ini.

Sekarang apa yang tinggal hanyalah kenangan.  Pak Caq masih amat merasai kehilangannya.  Begitu juga isteri Pak Caq.  Beliau memang seperti kakak sendiri.  Begitu banyak kenangan kami bersama.

Pak Caq sekeluarga pernah bersama beliau suami isteri mengerjakan haji dan umrah.  Mereka juga ikut melancung bersama ke beberapa destinasi seperti Cina dan Korea.  Keluarga juga sering mengadakan aktiviti kekeluargaan.

Cuma akhir-akhir ini saja kami jarang berjumpa.  Isteri Pak Caq ada sedikit masaalah kesihatan.  Sementara beliau pula sibuk dengan menjaga cucu dan suaminya pula mengalami masaalah jantung yang serius.

Semoga Allah SWT akan sentiasa cucuri rahmat ke atas rohnya.  Kami akan sentiasa terus merinduinya.

Friday, April 2, 2010

AL FATIHAH

Inna Lillahi Wa Inna Ilaihi Rajiuun.  Takziah kepada keluarga Allahyarham Mior Ahmad Fuad Mior Badri aka Din Beramboi yang telah kembali ke Rahmatullah itu.

Semoga Allah SWT mengampuni dosa-dosanya serta mencucuri rahmat ke atas rohnya. Begitu juga didoakan semoga balu dan anak-anaknya akan sentiasa dilimpahkan rahmat.

Al Fatihah.

Monday, March 29, 2010

SUKA MAKAN SUSAH BUAT

Pak Caq ni memang suka makan 'cream puffs' buatan isteri Pak Caq dan beberapa orang tertentu.  Sekarang isteri Pak Caq dah jarang-jarang buat kerana apabila beliau buat selalu saja tak habis.  Jika beli kat kedai pula tak berapa sedap sangat. 

Isteri Pak Caq kata kalau nak buat mesti ikut sekurang-kurangnya 1/2 resipi.  Pak Caq pula memang tak dapat habiskan dengan sekali makan kerana banyak juga.  Jika disimpan, dah tak berapa sedap pula sebabnya makanan ini lebih ummph jika dimakan dalam masa sehari tu saja.

Pak Caq nak kongsi resipi isteri Pak Caq pun nampak panjang sangat. Nampak pun susah, tentu membuatnya lagi susah. 

Gambar Hiasan Dari Google

Mana tahu kan, mungkin ada di kalangan yang ingin cuba dan kenal pula dengan Pak Caq secara dekat dan sudi memberi 3 ke 4 biji. Alahai! susah juga. Kena tunggu ada perhimpunan keluarga dan kawan nantilah nampaknya.

Thursday, March 25, 2010

BERSARA SEPENUHNYA


Pak Caq rasa keputusan yang Pak Caq ambil ini adalah tepat.  Memang seeloknya Pak Caq bersara sepenuh masa dan tidak meneruskan apa-apa kerja resmi lagi kerana Pak Caq sudah tidak berminat lagi dengan kerja-kerja berkenaan.  Walaupun ia mengisi ruang masa, tetapi sudah tidak mendapat kepuasan bekerja.

Harap-harap selepas ini Pak Caq dapat menyesuaikan diri dengan hidup sebagai seorang pesara sepenuh masa.  Selepas berkerja tetap sepenuh masa selama berpuluh-puluh tahun dan kemudian sambung mengisi masa dengan bekerja, Pak Caq tak tahu bagaimana hari-hari yang mendatang.

Insya Allah, Pak Caq akan cuba membantu kerja mana-mana yang patut.  Nak berkebun seperti yang biasa dilakukan oleh sesetengah pesara-pesara pun Pak Caq tak pernah pula berjinak-jinak dengan berkebun.  Begitu juga, Pak Caq tidak berapa minat dengan permainan golf. 

Nampaknya banyak juga perkara-perkara yang harus disesuaikan dan dipelajari.  Benarlah seperti dikata, hidup adalah proses pembelajaran yang amat panjang.

Tetapi, semua orang yang telah bersara pun melalui fasa hidup ini.  Jadi Pak Caq yakin tak akan ada banyak masaalah nanti.  Disamping itu nanti, insya Allah ada banyak masa dan peluang yang terluang untuk membina saham akhirat pula.

Saturday, March 13, 2010

CERITA ARTIS DAN DADAH LAGI

Semalam selepas solat Jumaat lagi dah terdengar khabar angin tentang ada serbuan ke atas seorang artis popular bersabib isu dadah.  Namun pada ketika itu, polis masih belum mengeluarkan kenyataan resmi

Awal pagi hari ini, kita dah baca berita penuh bersabit dengan perkara itu di hampir semua akhbar.  Tetapi identiti artis berkenaan masih menjadi tanda tanya.  Heboh juga orang memperkatakannya, dan cuba meneka-neka siapa artis/pelakon itu.

Sejak dari awal petang ini pula kita sudah dengar tentang identiti pelakon yang terbabit.  Tapi belum ada berita resmi, dan seperti biasa, tak ada orang yang berani berkata dengan terus terang.

Malam ini, identiti artis berkenaan sudah pun jelas, terang dan bersuluh.  Sudah keluar berita on-line dan ada juga bloggers yang memetik berita mutakkhir itu di dalam blog mereka.

Perasaan Pak Caq bercampur-campur.  Kasihan pun ada kerana mendengar Azean Irdawaty dan keluarganya ditimpa musibah lagi.  Di waktu yang sama, sedih juga bila mendengar seorang artis anak Melayu terjebak dalam gejala dadah, walaupun perkara itu masih dalam peringkat siasatan.  Tetapi rasa letih dengan sikap orang kita yang sukar menerima kenyataan, dan bertindak dengan bijaksana dan wajar.

Jika ada pemimpin yang mahu memperjuangkan nasib Melayu, sekarang adalah masanya.  Andai benarlah kata mereka nak memperkasakan Melayu, ini adalah landasan yang harus mereka berikan perhatian.  Melayu ternyata mudah terjebak dengan gejala-gejala sosial dan jenayah.  Jadi, langkah efektif dan effisyen wajip dilaksanakan dengan segera dan menyeluruh.

Saturday, March 6, 2010

STRAWBERI BERKRIM


Pagi ini membawa ke tengahari, Pak Caq dan isteri menghadiri majlis akad nikah di rumah seorang tokoh korporat.  Acara bermula pada pukul 10.30 pagi, dan semuanya berjalan lancar mengikut jadual.  Majlis akad nikah selesai pada 1.00 tengahari.  Kemudian diikuti dengan majlis makan utama.

Jemputan adalah sekitar 300 orang.  Kebanyakannya adalah ahli keluarga mereka.  Pak Caq dan isteri adalah terdiri daripada golongan beberapa orang tetamu yang bukan dari ahli keluarga.  Mungkin Pak Caq suami isteri turut dijemput kerana tokoh korporat ini adalah kenalan Pak Caq sejak dibangku sekolah dulu.  Kami juga pernah kerja bersama untuk suatu jangka waktu serta kini Pak Caq pun tinggal tidak berapa jauh dari rumah mereka iaitu jarak dalam 3 kilometer sahaja.

Rombongan sebelah lelaki datangg seramai 30 orang.  Selepas rombongan pihak lelaki sampai, upacara akad nikah terus dimulakan.  Hebat juga segala adat yang dilakukan.  Siap dengan usik-mengusik dan acara berbalas pantun.  Pak Caq suami isteri teruja juga dibuatnya.

Hidangan pun cukup istimewa, iaitu memang menu dari Hotel 5 bintang.  Semasa perjalanan majlis tetamu disajikan dengan air botol pelbagai perisa dan air suling sejuk serta potongan kek dan karipap yang dipek didalam kotak.  Hidangan utama diadakan di khemah khas di halaman rumah dengan secara duduk makan terhidang setelah selesai acara akad nikah.

Pak Caq berdua tidak pula membawa kamera.  Tapi Pak Caq minta isteri Pak Caq ambil juga gambar hidangan yang paling unik iaitu manisan buah strawberi berkrim dengan handphonenya {h/p isteri Pak Caq tu canggih juga sbb beliau pandai sikit  :) .. }.  Lihatlah gambarnya di bawah - kelihatan class & unggul kan?


Pak Caq tertarik sebab inilah  kali pertama Pak Caq melihatnya.  Tetapi bila memakannya, comot juga kita jadinya.  Tetapi rasanya sedap.  Rasa masam-masam strawberi itu hilang dengan rasa lemak-lemak manis dari krim.  Harganya sudah semestinya mahal.  Lagi pun ini memang sudah makanan bertaraf 5 bintang.

Thursday, March 4, 2010

CERITA KATAK LOMPAT


Panas betul topik ini rupanya. Tak cukup setakad di pejabat, tempat kerja, kedai kopi dan restoran makan.  Topik panas ini dibawa sampai ke Masjid juga.

Selesai saja berjemaah tadi, dua tiga kelompok para jemaah berada di perkarangan Masjid.  Semuanya rancak bercerita pasal katak-katak yang melompat.  Ada yang bergurau, " .. sebab di sekeliling semua dah panas, bila hujan, katak-katak pun terus melompat mencari tempat yang lebih selesa .."   Apa nak dikatakan, ramai manusia itu lemah.

Pak Caq banyak mendengar dari berbicara.  Yalah, dah ramai berhujjah, kita biarkan sajalah.  Lagipun, apa juga kita katakan di situ tak akan memberi kesan apa-apa.  Kita pun tak pasti dengan segala yang kita dengar.  Hanya Allah dan mereka yang melakukan serta mereka yang terlibat di dalam kejadian itu saja tahu.

Apapun, Allah itu Maha Esa dan Maha Mengetahui serta Maha Adil.  Jika mereka melakukan apa-apa yang bersalahan dengan hukum Allah, mereka pasti menerima balasannya.  Nikmat di dunia ini hanya sementara saja.

Tuesday, March 2, 2010

KOPI ATAU TEH KURANG GULA

Agaknya benarlah kata orang, apabila kita terkesan dengan sesuatu kehilangan, banyak perkara terikut seperti hilang juga.  Memang benar,  Pak Caq masih amat terasa dengan kematian kakak sepupu Pak Caq itu.  Setiap hari, Pak Caq terbayang-bayang wajahnya dan kenangan-kenangan bersama dengannya.

Pak Caq sudah cuba pelbagai cara juga yang sesuai dengan saranan ulamak.  Sekarang Pak Caq biarkan saja apa juga kenangan yang datang singgah diminda.  Tetapi Pak Caq sudah tidak terbawa sedih dengan segala kenangan itu.  Sebaliknya, Pak Caq bersyukur kerana ini semua adalah tanda kasih sayang kami.

Sesuatu kenyataan itu tak dapat kita nafikan.  Seperti kata isteri Pak Caq, apa juga yang hilang dari kita, mesti akan dirasai.  Malah katanya, apabila kita mengurangkan gula dari mimunan kopi atau teh kita pun, rasanya jauh berbeza, dan perlukan masa yang lama untuk suaikan dengan selera yang baru; apatah lagi jika ini bersabit dengan hati dan perasaan.

Friday, February 26, 2010

MAULIDUR RASUL


Sempena hari keputeraan Baginda Rasulullah SAW hari ini, Pak Caq menyeru kepada diri dan semua untuk mempertingkatkan lagi amalan dan tahap keimanan kita. Sesuai dengan kalimah Shahadah:


Kita cuba perbaharui azam dan berusaha memperbaiki diri kerana Allah SWT. Semoga kita akan terus sentiasa mendapat peliharaan dan rahmat Allah.

Tidak menjadi hal besar jika kita tidak turut sama berarak beramai-ramai dan melaungkan 'Allah hu Akbar ' dan berselawat Nabi. Itu hanya adat budaya yang tidak dituntut oleh Islam.

Apa yang lebih afdhal ialah untuk kita pastikan kita melakukan amalan seperti yang diajar melalui Wahyu Allah dan sunnah Rasul. Kita perbetulkan dan perelokan bacaan dan perbuatan seperti kita berusaha belajar membaca dengan baik serta memahami maksud ayat-ayat suci Al Quran.

Di hari ini juga kita boleh pertingkatkan ibadah dengan zikrullah, dan selawat Nabi. Tentu baik jika kita lakukan solat Tahajjud pada malam hari. Elok juga bersedekah dan jariah. Jika mahu adakan majlis doa selamat dengan jamuan, biarlah dengan secara yang tidak membazir. Tentu lebih baik jika kita panjangkan rezeki kepada mereka yang memerlukannya. Pendeknya kita lakukan segala amalan kebaikan yang diredhai Allah SWT.

Wednesday, February 17, 2010

MENCARI KETENANGAN

Selepas selesai majlis resepsi perkahwinan dan sesudah saudara yang datang dari kampung balik Pak Caq dah rasa kesunyian dan asyik teringatkan arwah sepupu kembali. Bukan tidak dibawa melakukan beberapa amalan sunat yang dianjurkan, tetapi masih juga terasa kehilangan sepupu Pak Caq tu.

Semalam isteri Pak Caq mencadangkan kita orang keluar saja untuk pusing-pusing sekitar Petaling Jaya dan Kuala Lumpur. Bila dah menghampiri Leburaya Persekutuan, isteri dan anak Pak Caq mencadangkan kita orang pergi melihat orang memancing di Tasik Taman Jaya di Petaling Jaya.

Jadi kita orang pun berhenti di sana. Anak Pak Caq menemankan Mak Toknya duduk di kawasan riadah dan permaianan kanak-kanak kerana ibu mertua Pak Caq memang suka melihat gelagat orang. Sementara Pak Caq dan isteri pergi melihat orang memancing.

Rupanya banyak juga ikan di tasik berkenaan. Cuma tak tahulah samaada orang yang memancing itu membawa pulang ikan hasil memancing itu untuk dimakan. Rasa geli juga melihat air sisa dari rumah-rumah berdekatan turun ke longkang yang membawa ke sebahagian lokasi tasik berkenaan.

Oleh kerana seronok juga melihat orang memancing semalam tu, hari ini Pak Caq dan isteri membuat keputusan untuk melihat ke Tasik Titiwangsa pula. Hari ini kita orang pergi berdua saja. Anak Pak Caq dah mula kerja balik, sementara ibu mertua Pak Caq pula tak nak hendak ikut kerana beliau memang bosan melihat orang memancing.

Kita orang membeli makanan dan minuman serta membawa buah limau Mandarin. Di Tasik Titiwangsa tu tak ramai sangat orang memancing. Mungkin kerana hari ini adalah hari kerja. Orang yang tak ambil cuti sudah balik kerja, sementara yang masih bercuti tu mungkin lagi di tempat mereka pergi bercuti.

Isteri Pak Caq siap bawa mini combo set yang ada CD player. Kita membentang tikar di lokasi yang agak baik di mana kita boleh melihat orang memancing serta juga mereka yang melakukan aktiviti-aktiviti lain seperti naik bot dan kuda.

Duduk relaks-relaks berduaan begitu terasa amat menyeronokkan. Memang dah lama juga kita tak melakukan aktiviti bersahaja begini. Tak terasa masa berjalan. Bila melihat jam sudah lewat pukul tiga petang, kita pun beredar untuk balik ke rumah. Oleh kerana jalanraya tidak sesak, cepat jugalah sampai.

Sekarang ni Pak Caq sudah rasa agak lega dan senang hati. Benar jugalah seperti dikata. Sesekali kita harus melakukan sesuatu yang berbeza yang menggembirakan bersama orang tersayang.

Saturday, February 13, 2010

ESOK HARI TAHUN BARU CINA

Kepada semua warga Malaysia kaum Cina, Pak Caq mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru. Semoga Tahun Harimau ini menjanjikan segala yang lebih baik dari tahun-tahun lalu.

Cepat betul masa berjalan. Dah banyak hari rupanya Pak Caq tak ke Maya ini. Yalah, Pak Caq terkesan sangat dengan kematian saudara sepupu Pak Caq tu. Jadi buat kerja semua pun tak bersemangat. Pak Caq laksanakan tugas wajip saja, sambil mengemas-kinikan segala status segala kerja itu.

Esok dah pun Hari Tahun Baru Cina. Pak Caq sekeluarga memang tak ada merancang bercuti kerana memang ada saudara yang akan mengadakan majlis resepsi perkahwinan besok. Salah seorang kawan rapat Pak Caq juga telah menjemput ke majlis resepsi anaknya pada hari Isninnya pulak.

Sebuah keluarga saudara dari kampung sudah pun datang ke rumah Pak Caq semalam untuk bercuti di sini serta untuk menghadiri majlis resepsi perkahwinan pada besok hari itu. Sekeluarga lagi juga telah menyatakan bahawa mereka akan datang pada hari ini.

Ramai juga saudara dari kampung yang menyatakan mereka akan ikut serta esok, kerana mereka juga nak menziarah keluarga sepupu Pak Caq yang meninggal tu. Pada hari kematian, mereka tak sempat pun nak datang menziarah kerana suaminya mahu pengkebumian jenazah di jalankan segera, iaitu selepas solat asar pada petang hari itu juga. Ianya hanya beberapa jam saja selepas saudara sepupu Pak Caq meninggal. Saudara rapat yang segera bertolak selepas mendapat berita kematian pun sampai ketika jenazah sudah dibawa ke tanah perkuburan.

Sunday, February 7, 2010

HIDUP HARUS DITERUSKAN

Pak Caq dan keluarga baru saja balik dari menziarahi suami Allahyarhamah saudara sepupu Pak Caq yang meninggal pada hari Isnin lalu. Suami Allahyarmah sekarang tinggal sementara dengan anak bongsu dan anak perempuan tunggal mereka sekeluarga di kondiminium berhampiran Kementerian Pertahanan, iaitu setelah beliau dibenarkan keluar dari hospital pada petang hari Isnin itu juga.

Kelihatannya suami Allahyarhamah sudah agak sihat. Tetapi beliau masih lagi lemah dan juga sugul.

Pemergian Allahyarhamah memang mengejutkan semua saudara mara dan sahabat handai. Kita orang amat terasa kehilangannya kerana Allahyarmah adalah seorang yang baik dan periang. Walaupun kita orang tahu yang beliau memang ada masaalah darah tinggi, namun keadaanya adalah terkawal. Tiba-tiba saja beliau pening, muntah-muntah dan terus jatuh pengsan, kemudiannya dikesan mengalami masaalah kesihatan yang begitu meruncing. Ditakdirkan memang sudah tiba ajalnya, dan kami semua mesti kehilangannya. Tentulah semua yang berlaku itu amat mengesankan.

Bila berkumpul tadi pun nampak jelas semua orang masih mencuba untuk menerima hakikat ini. Tetapi walaubagaimana perit sekalipun, hidup harus diteruskan juga. Jadi, kita saling memberi sokongan moral serta saling menasihati juga.

Satu pengajaran yang amat ketara ialah kita harus sentiasa membuat pemeriksaan kesihatan, dan juga mengambil langkah-langkah perlu untuk menjaga kesihatan. Walaupun kita insaf bahawa ajal maut itu tidak ada ubatnya, kita pasti tidak akan rasa terkilan dan sesal yang amat sangat jika kita sudah melakukan semaksima mungkin untuk menjaga kesihatan diri. Eluklah kita semua mengambil perhatian ini.

Thursday, February 4, 2010

KEMALANGAN ANGKARA PERBUATAN SENDIRI


Kata orang malang tak berbau. Tetapi biasanya kemalangan yang di alami manusia adalah angkara perbuatan mereka sendiri.

Pak Caq ikut rasa sedih bila membaca berita tentang kemalangan akibat terkena ledakan bom buatan sendiri yang menimpa lima anak muda di Kampung Jering, dekat Kuala Balah, Jeli, Kelantan tu. Katanya mereka semua sedang dalam proses menyediakan perlengkapan menyelam dan membuat bom ikan sendiri dengan menggunakan belerang. Tetapi semasa mereka dalam proses membuat bom-bom ikan, sebutir dari bom buatan itu tiba-tiba meletup.

Ledakan bom itu menyebabkan badan dan muka seorang mangsa remaja melecur hampir 40 peratus, matanya terbakar, kedua tangan dan lengannya cedera parah serta tiga jarinya juga putus. Seorang mangsa lagi telah juga melecur muka dan badannya, sementara tiga lagi hanya mengalami kecederaan di badan.

Walaubagaimanapun, kabarnya tiga dari mereka telah mengalami kecederaan yang parah. Kabarnya juga bumbung zink rumah papan dimana mereka memproses bom itu turut tercabut.

Pak Caq teringat semasa kecil dulu dimana Pak Caq ikut sekumpulan kanak-kanak untuk membuat meriam tanah dengan menggunakan belerang serta karbida. Ketua kumpulan ialah seorang kanak-kanak tertua di kalangan kami ketika itu yang berumur sekitar 13 - 14 tahun.

Pada suatu petang menjelang malam tujuh likur, semua teruja untuk membuat meriam tanah yang lebih besar dengan bunyi dentuman yang lebih kuat untuk berlawan dengan sekumpulan kanak-kanak yang lain. Tahu sajalah, budak-budak kampung memang selalu penuh dengan ide dan innovasi.

Jadi pada hari itu, sebaik lepas sekolah, kita orang berkumpul di belakang rumah salah seorang dari ahli kumpulan. Kemudian semua gigih menggali meriam dengan lubang yang lebih besar dan dalam. Bila siap, 'pakar' meriam mencampur bahan karbida, belerang dan entah apa lagi dengan proposi yang lebih banyak.

Tetapi bila cuba diletupkan, tak menghasilkan bunyi. Campuran itu ditarik keluar kembali dan dicampur semula sebelum dimasukkan balik ke dalam lubang meriam. Namun tak juga berbunyi. Dua orang 'ahli' yang lebih 'senior' dan 'pakar' membuka lubang atas dan cuba menjolok-jolok.

Kemudian terjadilah peristiwa ngeri. Terdengar bunyi letupan yang teramat kuat, dan juga suara jeritan orang yang dalam kesakitan yang amat sangat dan juga yang dalam ketakutan. Berterbangan dan bertaburan tanah, dan daun-daun kelapa yang ditimbus di atas lubang meriam itu. Dua kanak-kanak cedera parah di muka dan badan. Alhamdulillah, yang lain-lain tu, termasuk Pak Caq tak teruk sangat.

Pak Caq bernasib baik kerana hanya calar-calar sana sini kerana terkena dahan dan ranting pokok kayu semasa melarikan diri. Tapi itu merupakan satu pengajaran dan peristiwa yang kekal abadi dalam kenangan. Sudahlah sakit, kena marah dan kemudian sakit bertambah lagi kerana di denda oleh ibu bapa pula! Serik!

Itulah yang Pak Caq katakan, kemalangan-kemalangan yang berlaku adalah angkara perbuatan manusia sendiri. Kadang-kadang kemalangan berlaku kerana manusia nakal, dan kadang-kadang kerana nak tunjuk terraw (ye ke?). Tidak kurang juga kemalangan berlaku kerana manusia lalai dan ataupun angkuh.

Akibat perbuatan sendiri mungkin berlaku kemalangan yang fatal dan mengancam nyawa serta merosakkan harta benda. Ada kemungkinan juga sesuatu perbuatan itu bersalahan dengan undang-undang.

Namun begitu, manusia tidak akan pernah serik. Kesan musibah biasanya jadi luntur dengan masa atau bila sesuatu cabaran dan perbuatan itu menjanjikan pulangan yang amat lumayan. Sebesar mana pun risikonya, manusia akan terus juga melakukannya. Cuma mungkin pelakunya berbeza; mungkin saja dan ia bukannya sesuatu yang pasti begitu.

Monday, February 1, 2010

INNA LILLAHI WA INNA ILAIHI RAJIU'UN


Begitulah kehendak dan ketentuanNYA. Sudah ditentukan saudara sepupu Pak Caq menemui ajalnya pada pukul 11.25 tadi pagi. Sijil kematian mencatitkan sebab kematian sebagai darah beku di otak dan 'aneurysm' iaitu gelembong di saluran darah yang membesar, dan kemudiannya pecah.

Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik. Jenazah telah dapat segera dibawa keluar dari Hospital Ampang Puteri iaitu sebelum pukul 1.00 tengahari. Pak Caq suami isteri dan anak sulong Allahyarhamah telah mengiring jenazah ke Masjid Kampung Baru untuk dimandi, dikapan dan disembahyangkan, iaitu sesuai dengan permintaan suaminya.

Sebelum zohor, jenazah sudah tiba di Masjid. Upacara memandi dan mengkapan di sempurnakan selepas solat zohor, iaitu pada jam 2.30 petang. Selepas itu masa diberi untuk kunjungan hormat jenazah.

Sesuai dengan permintaan suaminya juga, jenazah di sembahyangkan selepas solat Asar dan kemudian terus dibawa untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Ampang. Syukur Alhamdulillah, jiran yang diamanahkan untuk menguruskan tentang pengkebumian mendapat tempat yang hampir dengan pintu gerbang masuk.

Dengan cuaca yang baik dan semua yang diatur-rencana berjalan lancar, upacara pengkebumian dan membaca talkin selesai hampir jam 6.00 petang tadi. Semoga Allah terus permudahkan perjalanan dan alam barzakh Allahyarhamah.

Saudara mara jauh dan dekat yang sempat sampai agak ramai juga. Apa pun, semua anak-anak, adik-adik dan saudara-saudara terdekat sempat berjumpa Allahyarhamah sebelum beliau menghempuskan nafas terakhirnya.

Sunday, January 31, 2010

TOLONG DOAKAN YA!

Sepupu Pak Caq yang satu ni sudah seperti kakak Pak Caq sendiri. Semasa kecil hinggalah mendapat jodoh dan berumahtangga beliau tinggal bersama keluarga Pak Caq kerana bapanya, iaitu bapa saudara Pak Caq, kerja sebagai anggota polis dan sering bertukar ke sana sini.

Pak Caq terkesan sangat ni .. tak tentu arah dibuatnya. Nak ikut tunggu pun tak boleh. Di ICU, Hospital Ampang Puteri ni, mereka langsung tak benarkan sesiapa berada bersama pesakit selepas pukul 9 malam. Esok pagi pula baru boleh datang lagi.

Kepada yang ziarahi ruang Pak Caq ni, Pak Caq pohon tolonglah turut sama doakan yang terbaik ya ... Jika masih panjang usia sepupu Pak Caq, semoga Allah segera sembuhkan beliau, dan jika sudah tiba ajalnya, semoga dipermudahkan pemergiaannya. Amin.

SEPUPUKU KOMA KRITIS

Semalam Pak Caq pergi ke hospital menziarah sepupu Pak Caq dan suaminya lagi. Boleh dikatakan tidak ada perkembangan baik. Sepupu Pak Caq masih antara sedar dan lali. Semasa tersedar sekejap beliau masih sempat berbicara dengan anak Pak Caq bertanya khabar.

Awal pagi tadi Pak Caq sekeluarga mendapat dua berita sedih. Pertamanya ialah berita suami kepada ibu saudara pupu Pak Caq yang tinggal di Kampung Tunku telah meninggal di awal pagi ini juga. Tak lama kemudian, anak perempuan sepupu Pak Caq pula memberitahu ibunya telah koma dan dimasukkan ke Unit Perawatan Intensif (ICU).

Selepas menziarahi jenazah dan berada di rumah ibu saudara pupu sekitar sejam, isteri Pak Caq mendapat khabar dari anak perempuan sepupu Pak Caq memberitahu bahawa ibunya sudah kritikal. Jadi kami tidak jadi untuk menunggu hingga pengkebumian. Sebaliknya Pak Caq sekeluarga bergegas pergi ke hospital.

Suasana di ruang sepupu Pak Caq di ICU sungguh amat menyanyatkan. Sepupu Pak Caq memang amat kritikal. Beliau koma total dan tekanan darahnya masih amat tinggi. Alhamdulillah anak-anaknya saling bergilir membaca Yassin dan mengucap shahadah. Saudara-saudara yang menziarah di ICU juga turut membaca Yassin dan Al Fatihah serta berdoa.

Suaminya pula terlantar sakit di wad rawatan di tingkat empat. Dalam sebak tangis, beliau menceritakan bahawa malam tadi sepupu Pak Caq seperti sudah memberi petanda. Di awal malam, semasa sedarnya beliau gagahi bangun dan duduk di sisi suaminya memohon ampun dan maaf. Di tengah malam beliau tersedar lagi dan sedaya upaya berusaha bangun juga pergi ke katil suaminya yang bersebelahan itu dan bertanya khabar sambil memegang suaminya itu.

Mengikut kata doktor, harapan hidup untuk sepupu Pak Caq amat tipis sekali. Doktor malah telah menasihatkan supaya memberitahu kemungkinan itu kepada sekelian saudara mara dan kawan terdekat.

Ruangnya terhad, sedangkan saudara-mara, kawan, rakan dan jiran yang turut menziarahi sepupu Pak Caq dan suaminya semakin bertambah ramai. Jadi kenalah bergilir-gilir berada di ruang ICU dan juga di bilik tu. Kita bertawakkal saja kepada Allah. Pak Caq sekeluarga turut pasrah.

Thursday, January 28, 2010

DAH KENA LEBIH BEREHAT AGAKNYA

Pak Caq baru saja lepas menziarahi saudara sepupu Pak Caq suami isteri yang sekarang terlantar sakit tu. Ternyata mereka sedang mengalami masaalah kesihatan yang agak berat. Pak Caq amat terkesan dengan keadaan mereka sekarang ini.

Sepupu Pak Caq mengalami darah tinggi yang kritis dengan pendarahan di otaknya, dan kondisinya masih kurang stabil. Namun beliau masih sedar dan boleh jugalah bercakap. Seharusnya doktor segera membuat 'endoscopy' dan segera pula mengambil langkah untuk memberhentikan pendarahan di otaknya. Tetapi oleh kerana beliau masih tidak stabil and agak lemah, doktor harus terlebih dahulu memstabilkannya. Itulah dilemanya sekarang.

Suaminya pula memang sudah lama mengalami sakit jantung. Beliau sudah tiga kali menjalani pembedahan jantung, dan keadaannya ternyata masih agak lemah. Dah tu, sekarang beliau juga mengalami penyakit angin pasang-pasang.

Mereka berdua sekarang berkongsi bilik, iaitu di tempatkan di bilik yang sama di hospital ini. Sedih la melihat keadaan mereka yang kedua-duanya saling tidak berupaya menolong antara satu sama lain.

Bayangkanlah sepasang suami isteri yang sepatutnya berehat dan bersenang-senang di rumah menghabiskan hari-hari tua, tetapi malah berada bersama di hospital sekarang kerana keadaan kesihatan yang agak kritis. Mungkin juga kerana mereka mengalami tekanan menjaga cucu-cucu yang agak nakal. Entahlah ...

Ini yang membuat Pak Caq terfikir juga. Agaknya dah sampai masa Pak Caq pun memberi perhatian yang lebih kepada soal kesihatan sekaligus mengurangkan tekanan kepada keupayaan fizika dan minda. Seperti kata orang, bila beralih usia kepada golongan 'senior' dan wargamas tu kenalah insaf dan berlaku adil kepada diri sendiri ... dah kena rehat lebih nampaknya.

Wednesday, January 27, 2010

BULAN SAFAR YANG MENYEDIHKAN

Bulan Safar ni kebetulan pula Almarhum Sultan Iskandar dan ramai negarawan kita telah meninggal dunia. Seperti berturutan berita kematian mereka ini.

Dikalangan saudara dan sahabat handai sendiri pun terdapat juga lebih banyak kematian dan sakit tenat sejak masuk bulan Safar. Kita tidak boleh memikir perkara yang tidak elok. Semua yang berlaku di bulan Safar ini cuma satu kebetulan.

Tetapi malam ni pula, Pak Caq baru saja mendapat berita yang mencemaskan. Kedua-dua saudara sepupu Pak Caq suami isteri sekarang sedang mendapat rawatan intensif di Hospital Ampang Puteri kerana sakit jantung dan pendarahan otak.

Kalau ikutkan hati, Pak Caq mahu pergi ziarahi mereka malam ini juga kerana Pak Caq memang amat rapat dengan mereka. Tapi katanya doktor melarang reramai berada di sana, terutama di waktu malam begini. Jadi terpaksa tunggu sampai esok hari juga. Namun hati dan perasaan Pak Caq tidak tenang.

Tuesday, January 26, 2010

KEMELUT PUTUS CINTA

Pak Caq melihat liputan sessi kenyataan akhbar/media aktor Fahrin Ahmad tentang tuntutan awal dalam proses perundangan terhadap Linda Onn. Akhirnya, Fahrin mengambil keputusan tegas ini. Seharusnya, Fahrin sudah meletakkan titik noktah yang jelas sebegini semasa Linda mula membuat kenyataan-kenyataan dalam blog dan kepada wartawan sejak awal perpisahan mereka dulu itu.

Seharusnya tidak sampai ke tahap ini kerana jelas Fahrin tidak mahu memperkatakan perkara negatif tentang perhubungan dan perpisahan mereka. Linda ternyata termakan umpanan media. Kasihan ...

Setahu Pak Caq kebanyakan wanita tu akan sentiasa menghargai lelaki yang perhatian. Semasa kemuncak perhubungan Fahrin dan Linda, jelas Fahrin seorang yang perhatian. Selepas berpisah pun Fahrin membuat kenyataan yang masih senada dengan sifat ini.

Semalam pun Fahrin terus berkata, "Cinta saya ikhlas dan ia tidak seharusnya berakhir begini. Bila habis bercinta, saya bercakap perkara yang baik dan tidak reka sesuatu yang boleh membuat orang lain berprasangka buruk ... Sebelum ini, apabila saya putus cinta dengan Linda dan Scha Al-Yahya, saya cuma berdiam diri. Saya tahu risiko bercinta dengan selebriti, tetapi saya bersyukur dan tidak kesal dengan mereka."

Pak Caq bukan memihak secara membuta-tuli kepada Fahrin. Tetapi Pak Caq cuma amat hairan saja kenapa sebelah pihak Linda mesti membuat kenyataan dengan mengatakan yang buruk-buruk saja.

Dalam Islam, kita disarankan untuk sentiasa mengatakan segala yang baik sahaja tentang saudara sesama Islam, mendoakan untuk kebaikan mereka dan tidak sekali-sekali mengaibkan pihak lain walaupun ada kebenarannya. Jangan hanya kerana kemelut putus cinta, kita melakukan sesuatu yang bertentangan dengan ajaran agama Islam kita.

Sunday, January 24, 2010

SULTAN IBRAHIM ISMAIL


Sesuai dengan adat dan kanun tubuh kerajaan negri Johor, anakanda sulung Almarhum Sultan Iskandar, Tunku Ibrahim Ismail, telah dilantik menggantikan Almarhum baginda sebagai Sultan Johor yang baru. Pengistiharan Sultan baru, upacara mengangkat sumpah dan menandatangani watikah perlantikan telah dilakukan sebelum upacara pengkebumian.


DYMM Sultan Ibrahim Ismail
Menandatangani Watikah Perlantikan

Pengumuman resmi tentang perlantikan baginda Sultan Johor yang baru telah juga dibuat mengikut adat negri, iaitu di tangga Istana Besar. Ini diikuti dengan adat laungan 'daulat tuanku.'

Pak Caq pernah berkesempatan berurusan dengan kedua-dua baginda Almarhum Sultan Iskandar dan juga baginda Sultan Tunku Ibrahim berserta dengan paduka isteri-isteri juga semasa dalam tugasan resmi. Masa tu rasa cuak juga, tapi kerana segala urusan berjalan lancar, jadi semua pun ok je. Malah terukir senyum di wajah baginda semua. Pendek kata semua pengalaman Pak Caq tu yang manis saja.

Sekalung tahniah di atas perlantikan resmi DYMM Sultan Ibrahim Ismail sebagai Sultan Johor yang baru. Semoga Johor terus dirahmati.

Saturday, January 23, 2010

DYMM SULTAN JOHOR MANGKAT

Saya ingin turut merafakkan ucapan takziah kepada seluruh Kerabat Di Raja dan juga rakyat Johor. Kita sama-samalah sedekahkan bacaan Al Fatihah kepada Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail yang telah mangkat. Al Fatihah.

Seorang Muslim sentiasa diseru untuk melakukan kebaikan dan menunjukkan tauladan yang baik. Jadi elok sekali kita juga turut mendokan semoga Almarhum di tempatkan dikalangan orang-orang yang mendapat keredhaan Allah SWT.

Sunday, January 17, 2010

BICARA BULAN SAFAR

Seperti berjanji pulak beberapa orang kawan berkumpul untuk borak-borak selepas solat tadi. Rupanya ramai terperasan hari ini tak ada jemputan kenduri kahwin. Semua yang ada pun mengaku mereka tiada ada jemputan kahwin sampai la Hari Raya Cina nanti.

Barulah sedar hari minggu ni dah pun masuk bulan Safar. Seingat Pak Caq memang tak ada jemputan kahwin di bulan Safar ni. Seperti pelek pulak bunyinya.

Kata seorang kawan, "Ni takut bala bulan Safar agaknya!" Lepas tu, seorang demi seorang memberi hujjah tentang perkara ini.

Pak Caq ingat masa dulu tu memang ada pesta mandi tolak bala di bulan Safar. Malah ada orang pergi ramai-ramai berkelah ke pantai untuk sekaligus mandi tolak bala.

Ini hanyalah kepercayaan karut saja. Kurafat jika kita mempercayai perkara yang karut begini. Janganlah kita rosakkan aqidah kita.

Memang benar juga, apabila ramai orang memperkatakanya, seperti orang mendoakan untuk perkara buruk itu berlaku. Seandainya terasa begitu, segeralah mengerjakan solat sunat mohon dipelihara dan dijauhkan dari bala dan segala apa yang kita takuti.

Jika ada di kalangan saudara atau kawan kita yang terikut-ikut dengan kepercayaan begini, kita wajip pula menasihati atau menegur mereka secara baik. Walaupun mungkin menimbulkan ketegangan, kita harus cuba lakukan juga.

Tuesday, January 12, 2010

BANYAK KEJE ...

Salam kembali semua. Rupanya, dah beberapa hari juga Pak Caq tak ke Maya selepas dah balik bekerja. Cepatnya masa berlalu!

Pak Caq ingat dapat le jengah sekejap di ari minggu kelmarin, tapi tak berkesempatan pulak. Biasalah hari minggu tu ada kenduri kahwin. Lepas tu ada tamu yang datang berziarah ke rumah juga.

Pak Caq sebenarnya tak pergi bercuti lagi selepas kembali pada 5 Januari tempuhari tu. Tapi tulah, masa ari minggu terikat dengan tanggung-jawap sosial. Semalam dan arini pula sibuk sangat dengan kerja. Ada kertas kerja yang mesti disiapkan dengan kadar yang segera. Tak habis buat keje kat ofis, sampai bawa ke rumah ni .. pun tak siap juga lagi!

OK la, dah lewat ni, dan badan pun dah letih sangat. Insya Allah, nanti Pak Caq cuba ziarah blog dalam sehari dua ni yer.

Wednesday, January 6, 2010

BAHAN KETAWA!

Pak Caq sekeluarga baru duduk berehat. Isteri Pak Caq yang tengah banyak mengomen .. kita semua ikut ketawa saja.

Memang satu dunia pun sedang mentertawakan kita. Hebat betul jalan cerita ini. Lihatlah saja tajuk berita ini:

PETALING JAYA: An Air Force personnel is charged with theft and a businessman charged with helping to dispose of stolen property in RMAF jet engines theft case this morning.

Kita pun tak boleh sebarang komen juga. Banyak akta yang boleh digunakan untuk cuba menutup cerita ini.

Esok, lama sikit sejuklah. Habis-habis kambing-kambing hitam ini akan menerima hukuman merengkuk dalam penjara untuk satu tempuh yang ditetapkan oleh pihak kehakiman jika mereka terbukti bersalah. Dengan berkelakuan baik, mereka akan mendapat keampunan lagi.

Pegawai RMAF Tharmendran Nagarajah, dan peniaga Rajandran Prasad tidak mengaku salah. Tharmendran berdepan dengan peruntukan hukuman 10 tahun penjara jika terbukti bersalah, sementara Rajandran pula berdepan dengan hukuman tujuh tahun penjara. Itulah harga "menurut perintah" jika perbuatan yang salah itu terbongkar.

Tuesday, January 5, 2010

BERJUMPA KEMBALI

Selamat berjumpa kembali. Sebenarnya Pak Caq ada satu hari lagi cuti ni. Rupanya hari tu Pak Caq tertulis 6 Januari sebagai hari akhir cuti. Tak terperasan pula. Ingat nak cuti dan balik kerja pada 6 haribulan. Dah tercatit begitu, jadi esok terus bercuti lagi.

Mula ingat nak bersantai-santai saja. Tapi ada bermacam kerja rumah pula yang menanti. Tak jadilah nak rehat saja. Seharian dah Pak Caq buat kerja di rumah tapi tak habis-habis juga. Esok mungkin sambung kerja sikit.

Sambil berehat ni Pak Caq masuklah ke Maya sekejap. Nanti Pak Caq akan cuba ziarah ke blog yang telah tinggalkan komen di blog Pak Caq tu, Insya Allah.