Friday, February 26, 2010

MAULIDUR RASUL


Sempena hari keputeraan Baginda Rasulullah SAW hari ini, Pak Caq menyeru kepada diri dan semua untuk mempertingkatkan lagi amalan dan tahap keimanan kita. Sesuai dengan kalimah Shahadah:


Kita cuba perbaharui azam dan berusaha memperbaiki diri kerana Allah SWT. Semoga kita akan terus sentiasa mendapat peliharaan dan rahmat Allah.

Tidak menjadi hal besar jika kita tidak turut sama berarak beramai-ramai dan melaungkan 'Allah hu Akbar ' dan berselawat Nabi. Itu hanya adat budaya yang tidak dituntut oleh Islam.

Apa yang lebih afdhal ialah untuk kita pastikan kita melakukan amalan seperti yang diajar melalui Wahyu Allah dan sunnah Rasul. Kita perbetulkan dan perelokan bacaan dan perbuatan seperti kita berusaha belajar membaca dengan baik serta memahami maksud ayat-ayat suci Al Quran.

Di hari ini juga kita boleh pertingkatkan ibadah dengan zikrullah, dan selawat Nabi. Tentu baik jika kita lakukan solat Tahajjud pada malam hari. Elok juga bersedekah dan jariah. Jika mahu adakan majlis doa selamat dengan jamuan, biarlah dengan secara yang tidak membazir. Tentu lebih baik jika kita panjangkan rezeki kepada mereka yang memerlukannya. Pendeknya kita lakukan segala amalan kebaikan yang diredhai Allah SWT.

Wednesday, February 17, 2010

MENCARI KETENANGAN

Selepas selesai majlis resepsi perkahwinan dan sesudah saudara yang datang dari kampung balik Pak Caq dah rasa kesunyian dan asyik teringatkan arwah sepupu kembali. Bukan tidak dibawa melakukan beberapa amalan sunat yang dianjurkan, tetapi masih juga terasa kehilangan sepupu Pak Caq tu.

Semalam isteri Pak Caq mencadangkan kita orang keluar saja untuk pusing-pusing sekitar Petaling Jaya dan Kuala Lumpur. Bila dah menghampiri Leburaya Persekutuan, isteri dan anak Pak Caq mencadangkan kita orang pergi melihat orang memancing di Tasik Taman Jaya di Petaling Jaya.

Jadi kita orang pun berhenti di sana. Anak Pak Caq menemankan Mak Toknya duduk di kawasan riadah dan permaianan kanak-kanak kerana ibu mertua Pak Caq memang suka melihat gelagat orang. Sementara Pak Caq dan isteri pergi melihat orang memancing.

Rupanya banyak juga ikan di tasik berkenaan. Cuma tak tahulah samaada orang yang memancing itu membawa pulang ikan hasil memancing itu untuk dimakan. Rasa geli juga melihat air sisa dari rumah-rumah berdekatan turun ke longkang yang membawa ke sebahagian lokasi tasik berkenaan.

Oleh kerana seronok juga melihat orang memancing semalam tu, hari ini Pak Caq dan isteri membuat keputusan untuk melihat ke Tasik Titiwangsa pula. Hari ini kita orang pergi berdua saja. Anak Pak Caq dah mula kerja balik, sementara ibu mertua Pak Caq pula tak nak hendak ikut kerana beliau memang bosan melihat orang memancing.

Kita orang membeli makanan dan minuman serta membawa buah limau Mandarin. Di Tasik Titiwangsa tu tak ramai sangat orang memancing. Mungkin kerana hari ini adalah hari kerja. Orang yang tak ambil cuti sudah balik kerja, sementara yang masih bercuti tu mungkin lagi di tempat mereka pergi bercuti.

Isteri Pak Caq siap bawa mini combo set yang ada CD player. Kita membentang tikar di lokasi yang agak baik di mana kita boleh melihat orang memancing serta juga mereka yang melakukan aktiviti-aktiviti lain seperti naik bot dan kuda.

Duduk relaks-relaks berduaan begitu terasa amat menyeronokkan. Memang dah lama juga kita tak melakukan aktiviti bersahaja begini. Tak terasa masa berjalan. Bila melihat jam sudah lewat pukul tiga petang, kita pun beredar untuk balik ke rumah. Oleh kerana jalanraya tidak sesak, cepat jugalah sampai.

Sekarang ni Pak Caq sudah rasa agak lega dan senang hati. Benar jugalah seperti dikata. Sesekali kita harus melakukan sesuatu yang berbeza yang menggembirakan bersama orang tersayang.

Saturday, February 13, 2010

ESOK HARI TAHUN BARU CINA

Kepada semua warga Malaysia kaum Cina, Pak Caq mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru. Semoga Tahun Harimau ini menjanjikan segala yang lebih baik dari tahun-tahun lalu.

Cepat betul masa berjalan. Dah banyak hari rupanya Pak Caq tak ke Maya ini. Yalah, Pak Caq terkesan sangat dengan kematian saudara sepupu Pak Caq tu. Jadi buat kerja semua pun tak bersemangat. Pak Caq laksanakan tugas wajip saja, sambil mengemas-kinikan segala status segala kerja itu.

Esok dah pun Hari Tahun Baru Cina. Pak Caq sekeluarga memang tak ada merancang bercuti kerana memang ada saudara yang akan mengadakan majlis resepsi perkahwinan besok. Salah seorang kawan rapat Pak Caq juga telah menjemput ke majlis resepsi anaknya pada hari Isninnya pulak.

Sebuah keluarga saudara dari kampung sudah pun datang ke rumah Pak Caq semalam untuk bercuti di sini serta untuk menghadiri majlis resepsi perkahwinan pada besok hari itu. Sekeluarga lagi juga telah menyatakan bahawa mereka akan datang pada hari ini.

Ramai juga saudara dari kampung yang menyatakan mereka akan ikut serta esok, kerana mereka juga nak menziarah keluarga sepupu Pak Caq yang meninggal tu. Pada hari kematian, mereka tak sempat pun nak datang menziarah kerana suaminya mahu pengkebumian jenazah di jalankan segera, iaitu selepas solat asar pada petang hari itu juga. Ianya hanya beberapa jam saja selepas saudara sepupu Pak Caq meninggal. Saudara rapat yang segera bertolak selepas mendapat berita kematian pun sampai ketika jenazah sudah dibawa ke tanah perkuburan.

Sunday, February 7, 2010

HIDUP HARUS DITERUSKAN

Pak Caq dan keluarga baru saja balik dari menziarahi suami Allahyarhamah saudara sepupu Pak Caq yang meninggal pada hari Isnin lalu. Suami Allahyarmah sekarang tinggal sementara dengan anak bongsu dan anak perempuan tunggal mereka sekeluarga di kondiminium berhampiran Kementerian Pertahanan, iaitu setelah beliau dibenarkan keluar dari hospital pada petang hari Isnin itu juga.

Kelihatannya suami Allahyarhamah sudah agak sihat. Tetapi beliau masih lagi lemah dan juga sugul.

Pemergian Allahyarhamah memang mengejutkan semua saudara mara dan sahabat handai. Kita orang amat terasa kehilangannya kerana Allahyarmah adalah seorang yang baik dan periang. Walaupun kita orang tahu yang beliau memang ada masaalah darah tinggi, namun keadaanya adalah terkawal. Tiba-tiba saja beliau pening, muntah-muntah dan terus jatuh pengsan, kemudiannya dikesan mengalami masaalah kesihatan yang begitu meruncing. Ditakdirkan memang sudah tiba ajalnya, dan kami semua mesti kehilangannya. Tentulah semua yang berlaku itu amat mengesankan.

Bila berkumpul tadi pun nampak jelas semua orang masih mencuba untuk menerima hakikat ini. Tetapi walaubagaimana perit sekalipun, hidup harus diteruskan juga. Jadi, kita saling memberi sokongan moral serta saling menasihati juga.

Satu pengajaran yang amat ketara ialah kita harus sentiasa membuat pemeriksaan kesihatan, dan juga mengambil langkah-langkah perlu untuk menjaga kesihatan. Walaupun kita insaf bahawa ajal maut itu tidak ada ubatnya, kita pasti tidak akan rasa terkilan dan sesal yang amat sangat jika kita sudah melakukan semaksima mungkin untuk menjaga kesihatan diri. Eluklah kita semua mengambil perhatian ini.

Thursday, February 4, 2010

KEMALANGAN ANGKARA PERBUATAN SENDIRI


Kata orang malang tak berbau. Tetapi biasanya kemalangan yang di alami manusia adalah angkara perbuatan mereka sendiri.

Pak Caq ikut rasa sedih bila membaca berita tentang kemalangan akibat terkena ledakan bom buatan sendiri yang menimpa lima anak muda di Kampung Jering, dekat Kuala Balah, Jeli, Kelantan tu. Katanya mereka semua sedang dalam proses menyediakan perlengkapan menyelam dan membuat bom ikan sendiri dengan menggunakan belerang. Tetapi semasa mereka dalam proses membuat bom-bom ikan, sebutir dari bom buatan itu tiba-tiba meletup.

Ledakan bom itu menyebabkan badan dan muka seorang mangsa remaja melecur hampir 40 peratus, matanya terbakar, kedua tangan dan lengannya cedera parah serta tiga jarinya juga putus. Seorang mangsa lagi telah juga melecur muka dan badannya, sementara tiga lagi hanya mengalami kecederaan di badan.

Walaubagaimanapun, kabarnya tiga dari mereka telah mengalami kecederaan yang parah. Kabarnya juga bumbung zink rumah papan dimana mereka memproses bom itu turut tercabut.

Pak Caq teringat semasa kecil dulu dimana Pak Caq ikut sekumpulan kanak-kanak untuk membuat meriam tanah dengan menggunakan belerang serta karbida. Ketua kumpulan ialah seorang kanak-kanak tertua di kalangan kami ketika itu yang berumur sekitar 13 - 14 tahun.

Pada suatu petang menjelang malam tujuh likur, semua teruja untuk membuat meriam tanah yang lebih besar dengan bunyi dentuman yang lebih kuat untuk berlawan dengan sekumpulan kanak-kanak yang lain. Tahu sajalah, budak-budak kampung memang selalu penuh dengan ide dan innovasi.

Jadi pada hari itu, sebaik lepas sekolah, kita orang berkumpul di belakang rumah salah seorang dari ahli kumpulan. Kemudian semua gigih menggali meriam dengan lubang yang lebih besar dan dalam. Bila siap, 'pakar' meriam mencampur bahan karbida, belerang dan entah apa lagi dengan proposi yang lebih banyak.

Tetapi bila cuba diletupkan, tak menghasilkan bunyi. Campuran itu ditarik keluar kembali dan dicampur semula sebelum dimasukkan balik ke dalam lubang meriam. Namun tak juga berbunyi. Dua orang 'ahli' yang lebih 'senior' dan 'pakar' membuka lubang atas dan cuba menjolok-jolok.

Kemudian terjadilah peristiwa ngeri. Terdengar bunyi letupan yang teramat kuat, dan juga suara jeritan orang yang dalam kesakitan yang amat sangat dan juga yang dalam ketakutan. Berterbangan dan bertaburan tanah, dan daun-daun kelapa yang ditimbus di atas lubang meriam itu. Dua kanak-kanak cedera parah di muka dan badan. Alhamdulillah, yang lain-lain tu, termasuk Pak Caq tak teruk sangat.

Pak Caq bernasib baik kerana hanya calar-calar sana sini kerana terkena dahan dan ranting pokok kayu semasa melarikan diri. Tapi itu merupakan satu pengajaran dan peristiwa yang kekal abadi dalam kenangan. Sudahlah sakit, kena marah dan kemudian sakit bertambah lagi kerana di denda oleh ibu bapa pula! Serik!

Itulah yang Pak Caq katakan, kemalangan-kemalangan yang berlaku adalah angkara perbuatan manusia sendiri. Kadang-kadang kemalangan berlaku kerana manusia nakal, dan kadang-kadang kerana nak tunjuk terraw (ye ke?). Tidak kurang juga kemalangan berlaku kerana manusia lalai dan ataupun angkuh.

Akibat perbuatan sendiri mungkin berlaku kemalangan yang fatal dan mengancam nyawa serta merosakkan harta benda. Ada kemungkinan juga sesuatu perbuatan itu bersalahan dengan undang-undang.

Namun begitu, manusia tidak akan pernah serik. Kesan musibah biasanya jadi luntur dengan masa atau bila sesuatu cabaran dan perbuatan itu menjanjikan pulangan yang amat lumayan. Sebesar mana pun risikonya, manusia akan terus juga melakukannya. Cuma mungkin pelakunya berbeza; mungkin saja dan ia bukannya sesuatu yang pasti begitu.

Monday, February 1, 2010

INNA LILLAHI WA INNA ILAIHI RAJIU'UN


Begitulah kehendak dan ketentuanNYA. Sudah ditentukan saudara sepupu Pak Caq menemui ajalnya pada pukul 11.25 tadi pagi. Sijil kematian mencatitkan sebab kematian sebagai darah beku di otak dan 'aneurysm' iaitu gelembong di saluran darah yang membesar, dan kemudiannya pecah.

Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik. Jenazah telah dapat segera dibawa keluar dari Hospital Ampang Puteri iaitu sebelum pukul 1.00 tengahari. Pak Caq suami isteri dan anak sulong Allahyarhamah telah mengiring jenazah ke Masjid Kampung Baru untuk dimandi, dikapan dan disembahyangkan, iaitu sesuai dengan permintaan suaminya.

Sebelum zohor, jenazah sudah tiba di Masjid. Upacara memandi dan mengkapan di sempurnakan selepas solat zohor, iaitu pada jam 2.30 petang. Selepas itu masa diberi untuk kunjungan hormat jenazah.

Sesuai dengan permintaan suaminya juga, jenazah di sembahyangkan selepas solat Asar dan kemudian terus dibawa untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Ampang. Syukur Alhamdulillah, jiran yang diamanahkan untuk menguruskan tentang pengkebumian mendapat tempat yang hampir dengan pintu gerbang masuk.

Dengan cuaca yang baik dan semua yang diatur-rencana berjalan lancar, upacara pengkebumian dan membaca talkin selesai hampir jam 6.00 petang tadi. Semoga Allah terus permudahkan perjalanan dan alam barzakh Allahyarhamah.

Saudara mara jauh dan dekat yang sempat sampai agak ramai juga. Apa pun, semua anak-anak, adik-adik dan saudara-saudara terdekat sempat berjumpa Allahyarhamah sebelum beliau menghempuskan nafas terakhirnya.