Thursday, September 30, 2010

URUT TAPAK KAKI

Semasa bercerita-cerita pasal pelbagai musibah penyakit, ada beberapa orang menyarankan supaya pergi membuat urutan refleksoloji atau urutan tapak kaki di pusat yang bertauliah.  Ternyata ada satu kedai seperti ini dekat dengan rumah Pak Caq.

Semalam Pak Caq teringat semula tentang hal ini.  Bukan apa kaki Pak Caq rasa sengal dan sakit-sakit sejak seminggu yang lepas.  Taruh minyak dan makan ubat pun masih terasa sakitnya.

Oleh kerana itu Pak Caq pun google la cari informasi tentang refleksoloji ini.  Sebenarnya banyak juga keterangan.  Tapi Pak Caq berkenan dengan gambar dari blog seperti di bawah ini.

Kaitan Organ Badan Dengan Kaki

Cuba lihat betul-betul rajahnya ini.  Jelas sekali kedudukan organ badan kita di dalam ruang tapak kaki kanan dan kiri kita.

Kalau begini kita boleh saja melakukan urutan itu sendiri.  Asal kita tahu apa sakitnya dan di mana pula kedudukan organ-organ yang berkenaan di petak kaki kita.

Pak Caq dah cuba sejak semalam.  Memang terasa ada kesannya.  Harap-harap sakit kaki Pak Caq akan segera baik.

Thursday, September 23, 2010

SENJA HAKIKI

Semalam Pak Caq berjumpa dengan saudara yang sudah agak lama juga tak berjumpa.  Dia sekuarga duduk di kalangan saudara mara lainnya di sekitar Kelang dan Port Kelang.  Tapi Pak Caq belum sempat beraya ke sana.  Mereka pun belum beraya ke rumah Pak Caq.

Sebenarnya kami berjumpa di rumah seorang saudara lain di Petaling Jaya ini.  Saudara ini sekarang mengalami sakit berat.  Jadi ramailah saudara mara dan sahabat handai yang datang berziarah.  Tetapi kebanyakannya datang menjengah sekejap saja kerana masing-masing sibuk dengan pelbagai urusan.

Pak Caq mendapat khabar tentang seorang kawan lama Pak Caq yang agak rapat di kampung telah meninggal kerana sakit jantung dan kencing manis.  Memang umurnya tua sedikit dari Pak Caq, tapi sekadar berbeza setahun lebih saja.

Bila bercerita-cerita, rasa insaf kerana ramai kalangan pesara telah meninggal dunia.  Ada yang meninggal sebelum mereka bersara dan ada yang meninggal dalam lima tahun selepas persaraan.

Benarlah kata orang bahawa senja hakiki bukan sekadar ufuk yang tenggelam bersama mentari di Barat bila menjelang malam.  Manusia juga semakin sehari semakin tua dan menuju kepada senja yang hakiki.  Bila senja hilang, ajal kematian menjemput pergi.

Waktu dan ketika berjalan seperti biasa.  Tetapi terasa seperti laju dan deras pula bila kita sedang meniti senja.  Mungkin kerana bimbang bekalan perlu ditambah berlipat ganda sedang peluang melakukannya semakin menguncup pula.

Friday, September 10, 2010

UCAPAN RAYA

Pak Caq nak ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua yang sentiasa memeberi sokongan kepada Pak Caq selama ini.  Kepada semua kalian Pak Caq ucapkan:

SELAMAT
HARI RAYA AIDILFITRI

شلآمت
هاري راي عيدالفطري

Semoga kita sentiasa dirahmati dan diberkati  dengan rezeki dan kesihatan yang terbaik serta segala yang membawa manafaat kebahagiaan dunia akhirat.  Maaf zahir batin.