Monday, March 29, 2010

SUKA MAKAN SUSAH BUAT

Pak Caq ni memang suka makan 'cream puffs' buatan isteri Pak Caq dan beberapa orang tertentu.  Sekarang isteri Pak Caq dah jarang-jarang buat kerana apabila beliau buat selalu saja tak habis.  Jika beli kat kedai pula tak berapa sedap sangat. 

Isteri Pak Caq kata kalau nak buat mesti ikut sekurang-kurangnya 1/2 resipi.  Pak Caq pula memang tak dapat habiskan dengan sekali makan kerana banyak juga.  Jika disimpan, dah tak berapa sedap pula sebabnya makanan ini lebih ummph jika dimakan dalam masa sehari tu saja.

Pak Caq nak kongsi resipi isteri Pak Caq pun nampak panjang sangat. Nampak pun susah, tentu membuatnya lagi susah. 

Gambar Hiasan Dari Google

Mana tahu kan, mungkin ada di kalangan yang ingin cuba dan kenal pula dengan Pak Caq secara dekat dan sudi memberi 3 ke 4 biji. Alahai! susah juga. Kena tunggu ada perhimpunan keluarga dan kawan nantilah nampaknya.

Thursday, March 25, 2010

BERSARA SEPENUHNYA


Pak Caq rasa keputusan yang Pak Caq ambil ini adalah tepat.  Memang seeloknya Pak Caq bersara sepenuh masa dan tidak meneruskan apa-apa kerja resmi lagi kerana Pak Caq sudah tidak berminat lagi dengan kerja-kerja berkenaan.  Walaupun ia mengisi ruang masa, tetapi sudah tidak mendapat kepuasan bekerja.

Harap-harap selepas ini Pak Caq dapat menyesuaikan diri dengan hidup sebagai seorang pesara sepenuh masa.  Selepas berkerja tetap sepenuh masa selama berpuluh-puluh tahun dan kemudian sambung mengisi masa dengan bekerja, Pak Caq tak tahu bagaimana hari-hari yang mendatang.

Insya Allah, Pak Caq akan cuba membantu kerja mana-mana yang patut.  Nak berkebun seperti yang biasa dilakukan oleh sesetengah pesara-pesara pun Pak Caq tak pernah pula berjinak-jinak dengan berkebun.  Begitu juga, Pak Caq tidak berapa minat dengan permainan golf. 

Nampaknya banyak juga perkara-perkara yang harus disesuaikan dan dipelajari.  Benarlah seperti dikata, hidup adalah proses pembelajaran yang amat panjang.

Tetapi, semua orang yang telah bersara pun melalui fasa hidup ini.  Jadi Pak Caq yakin tak akan ada banyak masaalah nanti.  Disamping itu nanti, insya Allah ada banyak masa dan peluang yang terluang untuk membina saham akhirat pula.

Saturday, March 13, 2010

CERITA ARTIS DAN DADAH LAGI

Semalam selepas solat Jumaat lagi dah terdengar khabar angin tentang ada serbuan ke atas seorang artis popular bersabib isu dadah.  Namun pada ketika itu, polis masih belum mengeluarkan kenyataan resmi

Awal pagi hari ini, kita dah baca berita penuh bersabit dengan perkara itu di hampir semua akhbar.  Tetapi identiti artis berkenaan masih menjadi tanda tanya.  Heboh juga orang memperkatakannya, dan cuba meneka-neka siapa artis/pelakon itu.

Sejak dari awal petang ini pula kita sudah dengar tentang identiti pelakon yang terbabit.  Tapi belum ada berita resmi, dan seperti biasa, tak ada orang yang berani berkata dengan terus terang.

Malam ini, identiti artis berkenaan sudah pun jelas, terang dan bersuluh.  Sudah keluar berita on-line dan ada juga bloggers yang memetik berita mutakkhir itu di dalam blog mereka.

Perasaan Pak Caq bercampur-campur.  Kasihan pun ada kerana mendengar Azean Irdawaty dan keluarganya ditimpa musibah lagi.  Di waktu yang sama, sedih juga bila mendengar seorang artis anak Melayu terjebak dalam gejala dadah, walaupun perkara itu masih dalam peringkat siasatan.  Tetapi rasa letih dengan sikap orang kita yang sukar menerima kenyataan, dan bertindak dengan bijaksana dan wajar.

Jika ada pemimpin yang mahu memperjuangkan nasib Melayu, sekarang adalah masanya.  Andai benarlah kata mereka nak memperkasakan Melayu, ini adalah landasan yang harus mereka berikan perhatian.  Melayu ternyata mudah terjebak dengan gejala-gejala sosial dan jenayah.  Jadi, langkah efektif dan effisyen wajip dilaksanakan dengan segera dan menyeluruh.

Saturday, March 6, 2010

STRAWBERI BERKRIM


Pagi ini membawa ke tengahari, Pak Caq dan isteri menghadiri majlis akad nikah di rumah seorang tokoh korporat.  Acara bermula pada pukul 10.30 pagi, dan semuanya berjalan lancar mengikut jadual.  Majlis akad nikah selesai pada 1.00 tengahari.  Kemudian diikuti dengan majlis makan utama.

Jemputan adalah sekitar 300 orang.  Kebanyakannya adalah ahli keluarga mereka.  Pak Caq dan isteri adalah terdiri daripada golongan beberapa orang tetamu yang bukan dari ahli keluarga.  Mungkin Pak Caq suami isteri turut dijemput kerana tokoh korporat ini adalah kenalan Pak Caq sejak dibangku sekolah dulu.  Kami juga pernah kerja bersama untuk suatu jangka waktu serta kini Pak Caq pun tinggal tidak berapa jauh dari rumah mereka iaitu jarak dalam 3 kilometer sahaja.

Rombongan sebelah lelaki datangg seramai 30 orang.  Selepas rombongan pihak lelaki sampai, upacara akad nikah terus dimulakan.  Hebat juga segala adat yang dilakukan.  Siap dengan usik-mengusik dan acara berbalas pantun.  Pak Caq suami isteri teruja juga dibuatnya.

Hidangan pun cukup istimewa, iaitu memang menu dari Hotel 5 bintang.  Semasa perjalanan majlis tetamu disajikan dengan air botol pelbagai perisa dan air suling sejuk serta potongan kek dan karipap yang dipek didalam kotak.  Hidangan utama diadakan di khemah khas di halaman rumah dengan secara duduk makan terhidang setelah selesai acara akad nikah.

Pak Caq berdua tidak pula membawa kamera.  Tapi Pak Caq minta isteri Pak Caq ambil juga gambar hidangan yang paling unik iaitu manisan buah strawberi berkrim dengan handphonenya {h/p isteri Pak Caq tu canggih juga sbb beliau pandai sikit  :) .. }.  Lihatlah gambarnya di bawah - kelihatan class & unggul kan?


Pak Caq tertarik sebab inilah  kali pertama Pak Caq melihatnya.  Tetapi bila memakannya, comot juga kita jadinya.  Tetapi rasanya sedap.  Rasa masam-masam strawberi itu hilang dengan rasa lemak-lemak manis dari krim.  Harganya sudah semestinya mahal.  Lagi pun ini memang sudah makanan bertaraf 5 bintang.

Thursday, March 4, 2010

CERITA KATAK LOMPAT


Panas betul topik ini rupanya. Tak cukup setakad di pejabat, tempat kerja, kedai kopi dan restoran makan.  Topik panas ini dibawa sampai ke Masjid juga.

Selesai saja berjemaah tadi, dua tiga kelompok para jemaah berada di perkarangan Masjid.  Semuanya rancak bercerita pasal katak-katak yang melompat.  Ada yang bergurau, " .. sebab di sekeliling semua dah panas, bila hujan, katak-katak pun terus melompat mencari tempat yang lebih selesa .."   Apa nak dikatakan, ramai manusia itu lemah.

Pak Caq banyak mendengar dari berbicara.  Yalah, dah ramai berhujjah, kita biarkan sajalah.  Lagipun, apa juga kita katakan di situ tak akan memberi kesan apa-apa.  Kita pun tak pasti dengan segala yang kita dengar.  Hanya Allah dan mereka yang melakukan serta mereka yang terlibat di dalam kejadian itu saja tahu.

Apapun, Allah itu Maha Esa dan Maha Mengetahui serta Maha Adil.  Jika mereka melakukan apa-apa yang bersalahan dengan hukum Allah, mereka pasti menerima balasannya.  Nikmat di dunia ini hanya sementara saja.

Tuesday, March 2, 2010

KOPI ATAU TEH KURANG GULA

Agaknya benarlah kata orang, apabila kita terkesan dengan sesuatu kehilangan, banyak perkara terikut seperti hilang juga.  Memang benar,  Pak Caq masih amat terasa dengan kematian kakak sepupu Pak Caq itu.  Setiap hari, Pak Caq terbayang-bayang wajahnya dan kenangan-kenangan bersama dengannya.

Pak Caq sudah cuba pelbagai cara juga yang sesuai dengan saranan ulamak.  Sekarang Pak Caq biarkan saja apa juga kenangan yang datang singgah diminda.  Tetapi Pak Caq sudah tidak terbawa sedih dengan segala kenangan itu.  Sebaliknya, Pak Caq bersyukur kerana ini semua adalah tanda kasih sayang kami.

Sesuatu kenyataan itu tak dapat kita nafikan.  Seperti kata isteri Pak Caq, apa juga yang hilang dari kita, mesti akan dirasai.  Malah katanya, apabila kita mengurangkan gula dari mimunan kopi atau teh kita pun, rasanya jauh berbeza, dan perlukan masa yang lama untuk suaikan dengan selera yang baru; apatah lagi jika ini bersabit dengan hati dan perasaan.