Sunday, January 31, 2010

SEPUPUKU KOMA KRITIS

Semalam Pak Caq pergi ke hospital menziarah sepupu Pak Caq dan suaminya lagi. Boleh dikatakan tidak ada perkembangan baik. Sepupu Pak Caq masih antara sedar dan lali. Semasa tersedar sekejap beliau masih sempat berbicara dengan anak Pak Caq bertanya khabar.

Awal pagi tadi Pak Caq sekeluarga mendapat dua berita sedih. Pertamanya ialah berita suami kepada ibu saudara pupu Pak Caq yang tinggal di Kampung Tunku telah meninggal di awal pagi ini juga. Tak lama kemudian, anak perempuan sepupu Pak Caq pula memberitahu ibunya telah koma dan dimasukkan ke Unit Perawatan Intensif (ICU).

Selepas menziarahi jenazah dan berada di rumah ibu saudara pupu sekitar sejam, isteri Pak Caq mendapat khabar dari anak perempuan sepupu Pak Caq memberitahu bahawa ibunya sudah kritikal. Jadi kami tidak jadi untuk menunggu hingga pengkebumian. Sebaliknya Pak Caq sekeluarga bergegas pergi ke hospital.

Suasana di ruang sepupu Pak Caq di ICU sungguh amat menyanyatkan. Sepupu Pak Caq memang amat kritikal. Beliau koma total dan tekanan darahnya masih amat tinggi. Alhamdulillah anak-anaknya saling bergilir membaca Yassin dan mengucap shahadah. Saudara-saudara yang menziarah di ICU juga turut membaca Yassin dan Al Fatihah serta berdoa.

Suaminya pula terlantar sakit di wad rawatan di tingkat empat. Dalam sebak tangis, beliau menceritakan bahawa malam tadi sepupu Pak Caq seperti sudah memberi petanda. Di awal malam, semasa sedarnya beliau gagahi bangun dan duduk di sisi suaminya memohon ampun dan maaf. Di tengah malam beliau tersedar lagi dan sedaya upaya berusaha bangun juga pergi ke katil suaminya yang bersebelahan itu dan bertanya khabar sambil memegang suaminya itu.

Mengikut kata doktor, harapan hidup untuk sepupu Pak Caq amat tipis sekali. Doktor malah telah menasihatkan supaya memberitahu kemungkinan itu kepada sekelian saudara mara dan kawan terdekat.

Ruangnya terhad, sedangkan saudara-mara, kawan, rakan dan jiran yang turut menziarahi sepupu Pak Caq dan suaminya semakin bertambah ramai. Jadi kenalah bergilir-gilir berada di ruang ICU dan juga di bilik tu. Kita bertawakkal saja kepada Allah. Pak Caq sekeluarga turut pasrah.

3 comments:

  1. ASSALAMMUALAIKUM PAK CAQ

    sama2 kita mendoakan yang terbaik

    ReplyDelete
  2. Salam Pak Caq.

    Semuanya adalah ketentuan Illahi .. kita sama-sama turut doakan yg terbaik.

    ReplyDelete