Sunday, July 26, 2009

MENCARI ARAH

Episod 2

Pinggan Mangkuk Terbang Melayang

Seorang remaja terjatuh dari basikalnya kerana cuba mengelak dari terkena objek yang terbang jatuh dari tingkap dapur rumah Pak Hanif dan Mak Chah. Dia sudah tahu. Kata hatinya, 'pinggan mangkuk terbang melayang lagi.'

"Dah mula dah," Mak Nab, jiran terdekat terdekat Pak Hanif dan Mak Chah, membuat pengumuman kepada anak dan menantunya yang sedang lepak menonton TV. Seperti sudah menjadi satu kebiasaan bagi mereka di Kampung Gelam, Kedah ini. Penduduk kampung sudah tidak ambil kesah lagi. Malah kadang-kadang mereka rasakan bagaikan ada sesuatu yang tak kena jika tidak ada bunyi drama pertengkaran dari rumah jiran yang satu ini.

"Abang Anif tak pergi pun!" "Arrrgh, sudahlah! Chah tahu, Chah tahu! Tak usah nak tipu!" Pak Hanif cuba terus pujuk juga. "Jangan dengar cakap orang." Cepat Mak Chah mencelah, "Sudahlah, Chah tahu. Tak suka buat cara tak suka. Ceraikan Chah! Chah cabar, ceraikan Chah!" Meluap-luap rasa Pak Hanif. Merah padam dan sampai rasa gementar tangannya. Tapi bukan Pak Hanif menampar atau menendang Mak Chah. Tangannya mencapai dulang yang berisi cawan dan piring di atas meja dan membalingkannya keluar tingkap. Bunyi berderai lagi di bawah sana.

Pak Hanif kelihatan mengayuh basikalnya dengan amat laju sekali menuju ke rumah ibunya di kampung pondok di seberang. Kelihatan ada tetamu pula di rumah ibunya. Beliau pergi ke pengkalan sungai. Mundar mandir Pak Hanif berjalan dari kiri ke kanan dan balik ke kiri; seperti mengukur panjang pengkalan pula lagaknya. "Oiii, kami dah nak balik ni," kata tetamu ibunya. Pak Hanif mengangkat tangan serta melambai-lambai, tetapi beliau tak berkata apa.

"Anif dah tak tahan mak!" Sekali lagi Pak Hanif bercerita tentang masaalah rumah-tangganya kepada ibu beliau. Malah kali ini air mata jantannya turut mengalir. Beliau tidak malu lagi kepada ibunya. Tok Nah dengar saja.

"Macam mana ni mak?" Ibunya bangun mengambil kain pelikat dan songkok. "Pergi sembahyang kat surau Tok Nek. Dah nak azan Asar tu." Pak Hanif akur dengan perintah ibunya. Tetapi sembahyangnya sedikit pun tak kyusuk, ambil buat saja.

Corak Dan Warna

Hakikatnya Pak Hanif dan Mak Chah masing-masing mengalami trauma hidup mereka sendiri. Pak Hanif adalah anak tunggal. Ibu dan bapanya bercerai semasa beliau baru berumur tiga tahun. Sebelah bapanya, mereka orang kaya, tapi bapanya hanya tahu menghabiskan harta. Seperti hobi pula bapanya kahwin dan cerai. Pak Hanif ada ramai saudara sebapa - tiga belas orang kesemuanya dari tujuh orang ibu yang berbeza. Pak Hanif juga ada saudara seibu kerana ibunya juga berkahwin-cerai sebanyak tiga kali.

Dari umur tiga tahun, Pak Hanif tinggal bersama ibu saudara sebelah bapanya. Memang hidupnya lumayan dari segi materialnya. Tapi Pak Hanif mengalami tekanan perasaan kerana ibunya sering datang mengganggu. Apabila ibunya berkahwin baru, Pak Hanif dipaksa pulang untuk tinggal bersama keluarga barunya. Dua tahun kemudian Pak Hanif dihantar balik untuk tinggal bersama ibu saudaranya kerana ibunya bercerai lagi. Empat tahun selepas itu ibu saudaranya pula meninggal. Bapanya pula memaksa untuk beliau balik tinggal bersama ibu atau ayahnya. Ibu bapanya tidak mahu Pak Hanif duduk di bawah asuhan isteri baru bapa saudara iparnya. Ibunya pula tak mahu beliau duduk dengan ibu tiri. Jadi Pak Hanif terpaksa ikut ibunya. Pelajarannya terganggu. Dari hidup mewah di bandar Alor Setar, Pak Hanif hidup kampungan dengan nilai dan norma hidup yang jauh berbeza.

Dari umur lapan belas tahun, Pak Hanif sudah bekerja sendiri. Dua tahun kemudian beliau berkahwin dengan seorang gadis sunti pilihan ibunya, iaitu gadis dari kalangan saudara mereka. Isterinya masih terlalu amat muda, beliau sering kencing malam. Mungkin juga trauma dipaksa kahwin di waktu umur baru melewati dua belas tahun. Apapun Pak Hanif tak sanggup meneruskan perkahwinan itu, dan mereka bercerai setahun kemudian. Tak sampai setahun selepas itu, Pak Hanif berkahwin dengan Mak Chah.

Trauma Mak Chah mungkin jauh lebih serius. Ibunya meninggal ketika usianya terlalu amat muda. Di usia sembilan tahun Mak Chah terpaksa menjadi ibu rumah kerana bapanya terlalu setia kepada arwah ibunya. Mak Chah juga ada lima orang adik kecil yang harus dijaga. Tak siapa mahu membantu kerana kedua ibu bapanya seperti dibuang sanak saudara. Saudara mara semua marah kerana bapanya seorang 'bangsat,' iaitu panggilan orang kampung kepada anak dagang yang tidak diketahui asal keturunannya.

Datuk Mak Chah memang seorang penghulu kampung, dan kerana itu tiada siapa berani membantah bila beliau memilih bapa Mak Chah sebagai menantunya. Namun seorang penghulu pun tak boleh memaksa dan mengarahkan anak dan saudara-mara menyukai pilihannya.

Hidup Mak Chah bersama bapa dan adik-adiknya terlalu amat susah. Bapanya hanyalah seorang tukang rumah yang jarang-jarang mendapat tempahan. Mak Chah terpaksa berjualan. Di usia semuda itu, Mak Chah terpaksa bangun seawal pukul tiga pagi untuk mengukus laksam, satu makanan seperti keow tiau yang dimakan dengan kuah laksa lemak. Selepas itu, dia mesti menguruskan adik-adiknya sebelum keluar berjualan di simpang jalan. Habis berjualan, beliau sudah terpaksa memproses ikan untuk dibuat kuah laksam. Kemudian beliau terpaksa pergi mencari ulam putat yang dimakan bersama laksam. Makan pakai dan tidur adik-adik juga mesti terus dijaga. Agak lewat malam baru dia dapat tidur. Itu pun untuk sekadar lebih kurang lima jam sahaja. Itulah rutin hidupnya sehari-hari. Jika ada yang tidak lancar, Mak Chah dimarahi bapanya lagi. Bayangkanlah kesan semua ini di dalam hidupnya. Hampir empat tahun selepas kematian ibunya, Mak Chah dijodohkan dengan Pak Hanif.

Bila Pak Hanif Kahwin Lagi

Selepas lebih enam tahun berkahwin, Pak Hanif mula rasa gelisah. Kawan sebaya dengannya sudah mempunyai ramai anak sedangkan beliau belum juga dikurniakan seorang anak pun. "Kamu mampu, kahwin saja satu lagi. Isteri kamu mandullah tu." Hampir setiap orang memberi saranan yang sama. Akhirnya Pak Hanif akur, dia beristeri lagi. Isteri keduanya adalah seorang janda muda kaya dari negeri Perlis. Sudah semestinyalah Mak Chah tak tahu.

Bila Mak Chah memberitahu dia sudah pun mengandung, Pak Hanif menjadi resah. Dia kebingungan; apakah tindakan yang harus beliau lakukan? Perkahwinan dengan isteri muda baru menjangkau dua bulan, sedangkan kadungan Mak Chah sudah masuk tiga bulan. Beliau merasa amat bersalah.

"Macam mana ni mak? Chah mesti tak boleh terima." Mak Chah muncul di muka pintu. "Tak boleh terima apa?" celahnya. Semua terpaku diam. Mak Chah sudah merasakan ada sesuatu yang tidak kena. "Apa yang Chah tak boleh terima Abang Anif?" Ibu Pak Hanif mencelah, "sabarlah Chah, semua dah takdir!" Kemudian terbongkarlah segala rahsia. Mak Chah terus mengamuk macam nak gila. Selepas itu kerukunan rumahtangga mereka tergugat. Semuanya tak sama lagi.

No comments:

Post a Comment