Monday, July 27, 2009

MENCARI ARAH

Episod 3

Afifah Hanya Anak Kecil

"Tengok budak tu!!" jerit Mak Chah kepada adiknya yang ditugaskan menjaga Afifah bermain di halaman rumah. Tetapi Afifah bukan seorang kanak-kanak yang boleh dikawal ikut kemahuan orang tua. Dia berlari-lari di sekeliling pokok, bermain 'aci' dengan Leman, Pak Anjangnya.

"Efa, mari sini la, duduk kat tangga ni," pujuk Leman. Afifah meluru naik tangga. Dia bermain lari naik dan turun tangga pula.

"Ehh jangan, nanti jatuh, sakit tau." Manalah anak kecil faham rasional orang dewasa. Dia bertambah lincah dengan aktiviti naik dan turun tangga ini. Semakin dilarang, semakin dia laju.

"Ya Allah. Kak, kak, tolong ni, tolong, tolong," jerit Leman ketakutan. Afifah terjatuh tangga. Hidungnya berdarah dengan banyak sekali. Tapi anak kecil ini tidak menangis. Dia kalut menyapu-nyapu darah di hidungnya.

"Aku kata tadi jaga dia!" Mak Chah menampar adiknya di tangan. "Ni pun satu!" Mak Chah menyergah pula Afifah.

Pak Hanif meluru turun dari atas rumah. Beliau terus menyambar Afifah dan memeluknya. Pak Hanif lihat darah mengalir dengan agak banyak juga. Beliau jadi panik.

"Pergi ambil kunci kereta, cepat!" kata Pak Hanif kepada adik iparnya.

"Biarkan. Tak dengar cakap orang!" Mak Chah merungut. Beliau buat acuh tak acuh sahaja. Pak Hanif tak menyahut.

Lepas itu jiran sebelah menyebelah datang. Pak Hanif tak peduli sesiapa pun. Beliau terus ambil kunci kereta yang Leman berikan kepadanya, dan dengan Afifah di dalam dukungannya beliau meluru menuju ke keretanya.

"Leman, cepat! Ikut!" Pak Hanif memberi arahan kepada adik iparnya. Lepas itu, kereta melucur pergi dengan lajunya.

Jiran-jiran sibuk nak ambil tahu. "Budak tu bukan dengar cakap orang!" Mak Chah memberi penjelasan.

"Alah Chah, budak lagi. Macam tu la budak-budak. Kita yang kena lebih memberi perhatian."

"Biar dia rasa!" Mak Chah terus membentak. Jiran-jiran memandang sesama sendiri, dan menggeleng kepala. Semua pun fikir, 'anak kecil, mana dia tahu.'

Akibat dari insiden terjatuh tangga itu, hidung Afifah bengkuk sedikit serta berparut.

Pak Hanif Berniaga Ke Singapura

Selepas zaman pemerintahan Jepun, dan selepas berkahwin dengan isteri mudanya, Pak Hanif banyak berulang-alik ke Singapura berniaga kain pakaian. Beliau biasanya berada di rumah bersama Mak Chah sekitar belasan ke dua puluh hari sahaja. Hatinya selalu berdetik, 'hari-hari yang pedih dan panjang.' Hampir setiap hari dipenuhi dengan pertengkaran dan sengketa. Tetapi Pak Hanif tetap bertahan kerana Nur Afifah.

Bila Afifah semakin membesar Pak Hanif rasa hari-harinya lebih bermakna. Memang Pak Hanif terlalu amat menyayangi anaknya yang satu ini. Kalau boleh, Pak Hanif mahu meluangkan lebih banyak masa dengan anaknya. Tetapi Pak Hanif mesti mencari rezeki serta menunaikan tanggung-jawap sebagai seorang suami dan ayah.

Tetapi selepas peristiwa Afifah terjatuh tangga dan hidungnya patah, Pak Hanif merasakan beliau perlu mengambil langkah drastik. Beliau perlu beri lebih banyak masa bersama Afifah dan Mak Chah. Walaupun hidupnya akan menjadi lebih sakit dan pedih, Pak Hanif redha demi anaknya.

Hari-hari Ada Sengketa

Pak Hanif kini cuma berniaga kecil-kecilan di pekan-pekan yang ada tempat pusat jualan harian (sama seperti konsep pasar malam/pasar tani masakini). Beliau berniaga dengan mendapat bekalan dari pembekal tempatan. Walaupun untungnya agak sedikit, Pak Hanif menetapkan hanya dengan cara begini beliau dapat berada dengan Afifah untuk tempuh yang lebih lama. Namun begitu, cuma lima hari seminggu sahaja Pak Hanif berada bersama Afifah dan Mak Chah.

Setiap hari Jumaat dan Sabtu, beliau berurusan beli barang serta pergi ke rumah isteri mudanya. Pak Hanif tidak menceraikan isteri keduanya kerana isterinya ini telah banyak membantu beliau dalam perniagaannya, iaitu dengan memberi modal tanpa meletakkan apa-apa syarat pun. Tambahan pula ibunya juga melarang kerana isteri mudanya tidak menyusahkan beliau.

"Kenapa Mak selalu suka marah?" Pak Hanif senyum sahaja. Beliau mendukung Afifah sambil diajak bermain jual-jualan.

"Mak tu ada banyak angin," Pak Hanif berbisik ke telinga anaknya.

"Mak makan angin saja ke? Ayah jangan beli angin lagilah. Hari-hari Mak marah Efa. Efa tanya Mak cubit," anak kecil berumur sekitar tiga setengah tahun ini mengadu kepada ayahnya. Pak Hanif sentiasa terhibur dengan keletah anaknya ini.

Namun kerana itu juga Pak Hanif sedih dan terluka. Nur Afifah merupakan anak yang cergas dan cerdas otaknya. Tapi dia tak berupaya memujuk Mak Chah untuk memberi belaian yang baik untuk membantu Afifah membesar jadi anak cemerlang. Pak Hanif tahu Mak Chah takkan pernah memaafkannya. Hari-hari waktu di rumah ada saja yang akan menjadikan penyebab untuk beliau dan Mak Chah bergaduh. Tetapi yang menjadi mangsa adalah anak mereka sendiri.

Afifah Lucu dan Periang

Afifah pun seperti sudah lali dengan keadaan ini. Walaupun Mak Chah mengamuk, anak kecil ini masih boleh berlari-lari dan bermain riang. Ada ketika, Afifah akan terus panjat ayahnya walaupun berlaku pertengkaran di antara beliau dan Mak Chah. Biasanya ini akan membuat Pak Hanif tidak mudah terbawa-bawa dengan angin amarah Mak Chah. Pak Hanif tak jadi ikut marah.

Afifah memang lucu, suka mengajuk dan ikut buat aksi kedua ibu bapanya. Selalunya mereka berdua beranak juga akan buat aksi-aksi lucu bersama dan cepat-cepat beredar ke anjung atau halaman rumah apabila Mak Chah naik angin. Mereka biar sahaja Mak Chah marah-marah dan membebel sendirian.

"Kita kawan ya ayah, kita kawan kan?" Afifah berkata riang.

No comments:

Post a Comment