Tuesday, July 28, 2009

MENCARI ARAH

Episod 4

Musibah

Afifah merengek-rengek mahu ikut ayahnya pergi ke rumah Cik Nah. Puas Pak Hanif pujuk. Hanya selepas dijanjikan akan dibawa ke Pulau Pinang nanti, barulah Afifah akur.

"Pergi. Pergilah. Biar dikerutu mak tiri kamu itu!" Walaupun di umur semuda itu, Afifah jelas seorang anak pintar.

"Mak tiri pun baik!" jawapnya selamba. Afifah melambai-lambai melihat ayahnya memandu kereta keluar ke jalan besar.

Dari selepas sampai ke rumah isteri keduanya semalam, Pak Hanif duduk di rumah saja. Keretanya dipinjam oleh saudara isterinya. Sampai ke tengahari hari Sabtu pun masih belum lagi dikembalikan. Tapi beliau sabar sahaja menunggu, sampai terbawa tidur.

Tiba-tiba kedengaran bunyi kereta masuk ke pekarangan rumah Cik Nah.

"Ha, tu dah sampai dah. Eh! Bang, ada polis datang tu Bang." Pak Hanif bingkas bangun dan menjengah dari tingkap.

"Ini rumah Encik Mohd Hanif bin Ahmad?" Pak Anif kelihatan cemas. Hatinya tertanya-tanya kenapa pulak polis mencari dia.

"Kereta Austin warna kelabu bernombor B 1648 kepunyaan Encik Mohd Hanif?"

"Ya, ya Encik. Kenapa? Kereta saya 'accident' ke? Di mana Encik? Teruk ke?" Panjang dan bermacam soalan Pak Hanif ajukan kepada pegawai polis berkenaan.

"Beginilah. Minta Encik datang ke balai. Ini kes berat ni. Kita kena buat lapuran dan selidik."

Sesudah jelas semuanya, Pak Hanif terduduk tak terkata apa-apa lagi. Dia menyesal mendengar pujukan Cik Nah supaya bersetuju pinjamkan kereta kepada saudara isteri keduanya. Tak diduga keretanya digunakan untuk tujuan rompakan.

Selepas tiga bulan pun kereta Pak Hanif tidak dibenarkan untuk diambil dan dibawa pulang.

"Bahan bukti tak boleh bawa keluar Encik," jelas polis. Walaupun jelas terbukti Pak Hanif tidak terlibat langsung di dalam perancangan dan kejadian rompakan tapi proses undang-undang mengambil masa yang panjang. Pak Hanif juga mengeluh panjang.

Permulaan Hidup Baru

Pak Hanif yakin musibah yang menimpanya ada hikmahnya tersendiri. Apa yang nyata, selepas setahun Pak Hanif bercerai dengan Cik Nah secara kekeluargaan. Pak Hanif secara kasarnya dikira seperti seorang muflis. Wang simpanan hampir habis, keretanya disita polis, dan perniagaanya hancur.

"Ayah sekarang kita jadi susah? Ayah tak mahu kerja lagi ke?" Pak Hanif mengusap-usap kepala anaknya. Memang Pak Hanif sedang memikirkan bagaimana dia dapat memulakan perniagaan baru. Duit yang ada mungkin dapat menampung perbelanjaan untuk sebulan sahaja lagi. Apa yang mereka ada sekarang hanyalah rumah dan tanah kampung serta beberapa relung tanah bendang.

"Kita buat bendang saja la Abang Anif," cadang Mak Chah. Ya, sejak berpisah dengan isteri keduanya, Pak Hanif merasa tenang kerana Mak Chah tak lagi selalu cari gaduh. Walaupun belanja makan mereka dikurangkan, Mak Chah tak membentak-bentak. Malah Mak Chah membeli ikan yang lebih murah dan hanya sesekali membeli daging dan ayam.

Semusim Bersawah Padi

Mahu tak mahu Pak Hanif bersetuju untuk mereka bersawah padi. Tahun ini mereka tak mempawahkan lagi tanah sawah mereka. Harga pawah yang amat rendah tak akan dapat membantu mereka.

Soalnya Pak Hanif langsung tak tahu tentang bersawah padi. Semuanya dirasakan begitu janggal dan tak kena. Dia hanya mampu mundar-mandir melihat orang bekerja. Tetapi Mak Chah kelihatan bersemangat. Mak Chah seperti mandur dan pengarah sekaligus. Mungkin kerana Mak Chah yakin dengan janji-janji Pak Hanif.

"Abang Anif janji tak akan buat lagi. Kita bina balik. Abang Anif janji akan mengubahkan sebahagian tanah ini atas nama Chah." Besar dan berat janji itu. Tapi, janji ini menyuntik semangat baru kepada Mak Chah.

"Mak, mak, ni Efa nak cakap. Orang kerja yang duduk kat rumah itu curi sotong yang mak rendam. Efa nampak tadi." Benarlah kata anaknya, dua ekor sotong hilang. Mak Chah meluru keluar tetapi Pak Hanif cepat menyekatnya.

"Biarlah Chah. Tak usah cari gaduh. Mereka ramai, hati-hatilah sikit. Esok, letakkan semua bahan makanan di dalam dangau saja." Mak Chah akur.

"Chah, Abang Anif nak berniaga balik. Kecil-kecil dulu pun tak apa." Mak Chah tak berkata apa-apa. Pak Hanif fikir walaubagaimanapun beliau mesti yakinkan Mak Chah untuk bersetuju.

"Abang Anif tak tahu buat bendang. Chah tahu kan. Abang Anif tak boleh terus macam ni Chah."

"Mana cukup duit nak buat modal beli kereta semua. Kita dapat tiga ribu ringgit setengah saja."

"Kalau Chah tolong buat, Abang Anif boleh jual pasembor. Pasembor Chah kan sedap, mesti boleh laku."

Susah Tapi Bahagia

Sejak berapa lama, baru inilah Pak Hanif merasa bahagia. Walaupun dia penat mengayuh basikal berjualan rojak pasembor keliling kampung, tapi dia benar-benar rasa bahagia. Jualannya pun laris, dan untungnya lumayan walaupun jumlahnya tidak besar.

Kini, hanya sesekali sahaja beliau dan Mak Chah bertekak. Itupun pertengkaran mereka tak lama. Tak ada lagi cawan, piring, pinggan dan mangkuk yang pecah.

Afifah pun kelihatan riang dan ceria. Anak ini memang cerdik dan pintar. Walaupun usianya baru lima tahun, dia berfikir seperti anak yang sudah sekolah. Sekarang Afifah tahu, sebab ibunya jadi macam 'singa dan gorilla' ialah ayahnya kahwin lain. Sekarang aman, ayah dan ibu sudah amat jarang bertengkar dan berkelahi. Afifah pun jarang kena marah dan kena cubit.

"Best kan Ayah. Tak kena marah lagi, tak kena cubit. Mak dah tak mengamuk!"

Pak Hanif merumus sendiri: 'mungkin inilah hikmah dari Allah.'

1 comment: