Wednesday, July 29, 2009

MENCARI ARAH

Episod 5

Afifah Jadi 'Lelaki'

Pak Jan, ayah Bahiyah, datang dengan membawa rotan dan menyerang sekumpulan kanak-kanak yang asyik bermain batu tujuh (batu seremban) di bangsal dekat pokok manggis di hadapan rumah Afifah. Beliau memarahi semua kanak-kanak perempuan ini. Apabila Pak Jan menghayunkan rotan yang dipegangnya, kesemua mereka melompat kesebelah yang paling jauh daripada Pak Jan.

"Apa ni! Pak Jan jahat!" Afifah terus membentak. "Bayah ni jahat la. Sikit sikit mengadu. Dia ngadu, kita yang kena marah. Anak manja!" rungutnya.

"Kenapa ni Jan?" tanya Pak Hanif. Bapa Bahiyah pun becuk bercerita tentang semua kanak-kanak perempuan yang kononnya menganiayai anaknya dan tidak membenarkan anaknya turut sama bermain.

"Ala Jan, perkara budak-budak, biarlah budak-budak tu sendiri selesaikan. Kejap je tu, nanti baiklah semula." Tapi Pak Jan tak dapat menerima saranan itu.

"Ahh, kau masuklah sebelah anak kau. Ni, ni, si Efa la yang kepala. Ingat dia pandai sangat!" bentaknya.

"Ayah, Bayah tu yang tak reti main, pastu main tipu. Mana boleh! Bila Efa semua tegur, Bayah marah. Tuduh kita orang pulak yang tipu. Pastu tu dia lari balik ngadu dengan Pak Jan." Panjang lebar Afifah membela diri.

"Dahlah. Jum balik. Semua anak-anak balik dulu ye. Esok main lagi." Pak Hanif terus memegang tangan Afifah dan mengajaknya masuk ke dalam rumah.

Sejak peristiwa itu, Afifah lebih suka berkawan dengan kanak-kanak lelaki. Malah Afifah kini turut berpakaian lelaki.

"Leceh le Abah. Hari-hari mengadu mak, mengadu ayah, abang semua. Bukan Bayah saja, Lin dan Wacik pun sama. Efa tak nak kawan dia orang lagi. Efa nak ikut Cik Non," Afifah berhujjah. Pada hematnya budak lelaki tak banyak kerenah. Aktiviti pun lebih mencabar dan menyeronokkan.

Pak Hanif pun fikir lebih baik juga anaknya mengikut adik lelakinya, Zainul, yang baru sebulan datang tinggal bersama mereka. Sekurang-kurangnya keselamatan dan kebajikan Afifah terjamin.

Penangan Nasi Ulam

Pada bulan puasa tahun ini pula Afifah rajin ke rumah Tok Nah, datuknya. Hari-hari Afifah menyuruh Mak Chah buat kueh awal untuk dihantar ke rumah datuknya. Jika Mak Chah lambat membuat kueh, Afifah beli kueh jualan. Apapun, dia mesti pergi ke rumah Tok Nah. Apabila satu hari Tok Nah terpaksa pergi ke rumah anaknya yang lain, Afifah pergi pula ke rumah datuk saudaranya, Tok Ndak, iaitu sepupu Tok Nah.

"Cek mai ambil nasi ulam rumah Tok Ndak. Nanti Tok Ndak bubuh lebih banyak ikan dan ulam." Selepas itu, tiap-tiap hari berikutnya, Afifah pergi juga ke rumah Tok Ndak.

"Tok Ndak bagi duit lagi Ayah!" Pak Hanif senyum saja. Beliau tahu anaknya ini memang 'hantu nasi ulam.' Tapi apa yang lebih Pak Hanif suka ialah setiap hari Afifah mendapat nasihat dan cerita-cerita tauladan daripada Tok Nah dan Tok Ndak.

"Ayah, Tok kata, 'kalau kita ada seringgit, orang susah minta tolong, kita kena bagi dia lima puluh sen, dan lepas tu kita ada seringgit balik.' Kadang-kadang Tok merapu, buat lawak ni!" Pak Hanif tahu ibunya menerapkan nilai-nilai murni. Beliau yakin Afifah akan hargai semua ini apabila dia besar nanti.

Kerana Mak Timah Lawa

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini Pak Hanif dan Mak Chah dah kembali banyak bergaduh. Bingit telinga Afifah. Di usia delapan tahun, Afifah sudah mengerti banyak perkara. Tambahan pula dia anak pintar. Tok Nah juga banyak memberi tauladan-tauladan dan nasihat yang baik. Jadi Afifah tetap mahu cuba menjadi seorang anak yang sopan. Walaupun Afifah tidak senang dengan perkembangan yang tidak sihat ini, dia cuba tidak masuk campur. Namun sesekali dia tak dapat menahan rasa.

"Malu kat orang la Mak, Ayah," komen Afifah. Dia tahu ibunya cemburukan 'Mak Cik Timah lawa,' yang baru pulang ke kampung mereka selepas bercerai. Tetapi Pak Hanif tidak boleh nampak kenapa pergaulannya dengan Mak Timah boleh membuat Mak Chah cemburu kerana Mak Timah adalah saudara mereka juga.

Afifah Mahu Mengaji Al-Quran

"Efa nak pergi mengaji juga! Semua orang dah mengaji." Afifah berhujjah menyokong keinginannya untuk ikut kelas mengaji Al-Quran di kampung seberang.

"Tahun depan baru boleh. Efa kecil lagi. Sembilan ke sepuluh tahun baru besar sikit, barulah boleh pergi mengaji kat situ," Pak Hanif pula membentang hujjahnya. Beliau tak mahu anaknya nanti 'didera' dan disuruh membuat kerja-kerja rumah ataupun dipukul oleh guru Al-Quran.

"Kalau Mak dengan Ayah tak mahu pergi serah Efa untuk mengaji, Efa nanti pergi sendiri!" Afifah terus berkeras.

"Orang kata tunggu, tunggu la. Jangan degil! Nak mula mengaji, kena buat pulut semua dulu!" Mak Chah pula berhujjah.

"Alah, bukan payah sangat. Tok pun boleh buat! Duk rumah pun bising saja." Afifah tetap berkeras juga.

Pak Hanif kenal sangat anaknya. Kalau dia sudah nekad, dia akan buat. Pak Hanif mesti akur.

2 comments:

  1. Ini novel yg disiar bersiri-siri le...Aritu intro dah bgtau...Yele dulu2 nak jd penulis tp trjd PTD...

    ReplyDelete