Thursday, July 30, 2009

MENCARI ARAH

Episod 6

'Special Malay Class'

Afifah rasa beruntung kerana dia merupakan salah seorang di dalam kumpulan terakhir pelajar-pelajar darjah 3, 4, dan 5 dari sekolah aliran Melayu yang diserapkan ke darjah empat aliran Inggeris selepas mereka lulus satu ujian khas. Afifah kini bersekolah aliran Inggeris di bandar.

Banyak peristiwa lucu berlaku sewaktu Afifah dan teman sekelasnya mula-mula mengikuti kelas 'Special Malay' ini.

"No, we perempuan, not laki, not laki," kata mereka sekelas, kononnya membetulkan kenyataan Mrs Pillay, iaitu guru bahasa Ingerris mereka.

"Bukan itu laki, .. this is 'l..u..c..k..y..' Lucky means you are privileged.."

"Ooh, lucky means 'from village' ...oooh..kita dari kampung." Bercampuk-aduk, caca-marba bahasa mereka hampir setahun di 'Special Malay 1' itu. Apa tidaknya, sekejap macam faham. Sekejap di masa lain fikir dalam bahasa Melayu, dan selepas itu tercari-cari dalam kamus apa perkataan yang sama dalam bahasa Inggeris.

"I am in the well [Saya dalam keadaan sihat]." Jenuh Mrs Pillay membimbing Afifah dan kawan sekelasnya untuk dicelup menjadi 'English'. Haru biru jadinya. Tetapi ia merupakan satu pengalaman yang sungguh berkesan dan menyeronokkan untuk mereka semua.

Selepas Peristiwa Kopek Kelapa

"Yang yang ngat, yang yang nguh..." itulah ungkapan yang selalu diucapkan Pak Hanif kepada anak kesayanganya ini, sampaikan orang-orang kampung pun selalu mengusik Afifah dengan ungkapan itu. Namun Afifah tak pernah ambil pusing apa orang kata.

Jelas kepada semua orang bahawa Pak Hanif terlalu amat memanjakan anaknya yang satu ini.

"Efa berhenti dulu la ngaji tu. Nanti besar sikit baru sambung balik," Pak Hanif memujuk anaknya supaya tak teruskan mengaji. Apa yang ditakutinya memang berlaku. Afifah disuruh membuat kerja-kerja rumah seperti menyapu, membasuh pinggan-mangkuk, dan mengangkut air dari perigi ke dapur tok guru Al Qurannya. Di rumah pun Afifah tak pernah disuruh membuat apa-apa kerja rumah.

Tetapi Afifah memang keras hati. Dia terus mengaji sehingga habis dan ulang kitab Al Quran. Cuma akhir-akhir ini dia tak berapa minat lagi. Semacam dia pula jadi guru Al Quran. Tok guru menyuruh pelajar-pelajar yang sudah baca juzuk untuk mengajar pelajar-pelajar baru dan mereka yang jauh lebih rendah pelajarannya. Mula-mula sekadar empat atau lima orang. Bila Afifah tamat bacaan satu Al Quran, jumlah orang yang disuruh ajar bertambah ke belasan orang.

"Ehhh, banyak keluar darah. Cepat, ambil daun kapal terbang, ..ambil kopi, ambil kain..." Semua orang jadi panik. Lukanya besar dan dalam. Afifah menetak ibu jarinya sendiri sewaktu cuba mengopek kelapa.

"Siapa yang suruh kamu kopek kelapa ni..Ya Allah..cepat taruhkan uparan daun kapal terbang tu..jangan taruh kopi." Tadi orang sama, orang yang jauh lebih tua dan lebih besar darinya yang menyuruhnya supaya belajar untuk kopek kelapa.

'Penipu, bermuka, jahat,' fikir Afifah. Sejak peristiwa itu dia tak mahu pergi ke kelas mengaji lagi. Afifah tak suka disuruh mengajar dan membuat kerja-kerja rumah lagi. Dulu Afifah nak belajar mengaji, jadi dia tak peduli. Sekarang dia sudah pandai. Di umur semuda itu, bukan pahala yang menjadi sasarannya.

Adik Angkat

Di rumah semakin kerap dan semakin serius pula pergaduhan di antara Pak Hanif dan Mak Chah.

"Ambillah anak angkat lelaki pulak. Boleh jadi penyejuk, kut Kak Chah sejuk bila uruskan anak kecil," saran sepupu Pak Hanif.

"Dulu Efa pun dia tak peduli bila dah naik hantu. Tu Efa, anaknya sendiri. Tak boleh, lagi pening aku nanti Lan."

"Mak Bidan suruh ambil budak tu. Bukan senang orang nak bagi anak lelaki. Cuba tanya Kak Chah."

"Ehh Efa, Efa tanya Mak kamu, ada orang nak bagi anak lelaki. Tanya dan pujuk Mak kamu."

"Efa pujuk Mak ambil adik angkat? Mak mana nak dengar cakap Efa. Cakap Ayah pun Mak tak dengar. Huh, nanti, suruh Tok, suruh Tok." Secepat kilat Afifah hilang.

Esok pagi, kedengaran suara bayi di rumah Pak Hanif dan Mak Chah. Rupanya saranan Afifah tepat. Mak Chah akur dengan nasihat ibu mertuanya, walaupun hatinya tak sepenuhnya mahu atau setuju.

Dah Mula Maki Hamun

Tak tahulah badi ke apa. Tetapi seperti kedatangan bayi ini menambahkan lagi kekusutan. Mak Chah kekadang baik, kekadang langsung tak keruan, macam dirasuk hantu.

"Jangan cari pasal. Ni, ni, dah ambil anak haram ni, lepas tu nak buat ikut suka hati! Ingat dulu dah janji, ingat!" Selalunya Pak Hanif terus keluar pergi ke mana-mana. Setelah agak lama barulah pulang semula ke rumah.

"Huh .. Binatang, binatannnng!" Menjadi-jadi pula Mak Chah naik hantu. Mak Chah sentiasa cemburu dan curiga. Kadang-kadang apa saja yang ditangannya akan dibalingkan ke arah Pak Hanif.

"Anak haraamm!" terpacul keluar maki hamun Pak Hanif hari ini. Hari ini, Pak Hanif tak dapat mengelak dengan tangkas dan tepat. Pisau yang dibalingkan oleh Mak Chah terkena paha Pak Hanif.

"Apaaa nie!!" Afifah pula turut membentak.

"Kurang ajar!" bentak Mak Chah kepada anaknya ini. Afifah sungguh sedih dan bingung.

1 comment: