Friday, July 31, 2009

MENCARI ARAH

Episod 7

Afifah Mahu Ke TKC (Tunku Kursiah College)

Setelah umur Afifah melewati sepuluh tahun dia di larang berpakaian lelaki lagi. Pergaulannya dengan budak lelaki sebayanya pun sudah dibatasi. Mulanya Afifah membentak protes.

"Cek tak boleh lagu tu. Cek nampak kan depa besar macam lain. Tuhan dah jadikan kita perempuan, dah baik sangat. Tak baik lawan kuasa Tuhan. Nanti kena laknat, kena badi." Afifah termakan pujukan datuknya. Paling tidak pun, ini adalah kerana Afifah amat menghormati dan sayang pada datuknya.

Afifah rimas duduk di rumah. Walaupun sering dimarahi ibunya, dia sering juga ke rumah datuknya. Malah di hujung minggu pun dia lepak di rumah Tok Nah juga. Afifah suka ikut Tok Nah ke surau, sembahyang berjemaah di waktu magrib, Isyak dan subuh.

"Ayah, Efa nak pergi ke TKC. Kena ambil ujian tahun ini. Kalau lulus baik baru dapat tawaran. Efa pergi ya Ayah?"

"Seremban jauh. Sekolah pun tak tahu macam mana. Kalau Efa ke sana, duduk sekolah kat sana seorang."

"Efa nanti jumpa ramai kawan. Asrama orang jaga semua. Bukan Efa seorang Ayah." Tetapi Pak Hanif tetap berat mahu membenarkan anaknya pergi ke sekolah berasrama.

Apabila mendapat tawaran, Afifah sangat gembira. Pada hematnya, Ayahnya akan mengizinkan dia pergi.

"Efa, dengar cakap Ayah. Sekolah sini, sama juga. Nanti Ayah belikan Efa basikal baru," pujuk Pak Hanif. "Ok, Ayah bagi tapi nanti lepas tingkatan tiga. Sekarang Efa kecil lagi."

Beberapa bulan berikutnya Efa banyak mengelakkan diri daripada bertembung dengan Pak Hanif dan Mak Chah. Habis sekolah, Afifah kurungkan diri di dalam bilik. Walau di panggil ayahnya, biar dimarah ibunya, dia buat ikut suka hatinya. Dia benar-benar geram dengan sikap ayahnya yang tidak mengizinkannya pergi ke TKC.

Banyak Yang Tak Kena

Afifah dapat rasakan banyak perkara yang tidak kena. Ayahnya selalu saja pulang lewat, Apabila di'serang' Mak Chah, Pak Hanif akan terus ke bilik tidur. Sudah terlalu lama mereka tak makan bersama. Pak Hanif seperti tak ambil peduli apa-apa lagi.

Sebelum ini, walaubagaimana sekalipun, Pak Hanif akan tunggu Afifah sebelum duduk makan. Semasa Afifah protes selama hampir empat bulan dulupun, Pak Hanif akan pujuk juga. Tetapi kini, Pak Hanif jarang lagi makan di rumah.

"Abang Anif jangan buat hal lagi. Ingat dulu dah janji. Abang Anif ingat," setiap hari Mak Chah ingatkan.

"Kenapa Ayah?" Tapi Afifah tidak pun mendapat jawapan dari Pak Hanif.

Bahana Pak Hanif Kahwin Lagi

Afifah terasa lapar. Mak Chah tak tahu pergi entah ke mana. Puas dia memanggil, Mak Chah tak menyahut juga. Mahu tak mahu Afifah terus juga mengulang kaji kerana besok dia ada ujian. Tiba-tiba dia mendengar kereta ayahnya dipandu masuk dengan lajunya.

"Efa, Efa, tolong ayah, tolong ayah." Pak Hanif memeluk anaknya. Beliau kelihatan gugup. Afifah tak tahu nak kata apa. Fikirnya, 'kenapa pulak ni?'

"Efa, tolong mak, Efa, tolong mak." Mak Chah pula memanggil anaknya dari arah dapur rumah mereka.

Afifah kebingungan. "Kenapa ayah?"

"Tadi mak pergi rumah Mak Asma. Ayah ada sana." Afifah bingung. Dia memandang ayahnya.

"Habis, kenapa?" Afifah bertanya kepada ayahnya. Belum sempat Pak Hanif menjawap, terdengar pula Mak Chah meracau-racau di dapur.

"Tolong Mak Efa...Tuhaaannn....Ya Allah. Mak dah rasa Efa. Mak dah rasa dah." Tersekat-sekat suara Mak Chah. Tak seperti selalu. Mak Chah ternyata amat pucat dan lesu.

"Mak Su temankan Mak tadi. Dia paksa Mak Su temankan. Mak jalan laju sangat. Mak Su tak terkejar. Lepas tu Mak hilang. Semua kat sana kata Mak pergi ikut jalan busut dekat kepala kota tu." Panjang lebar cerita Mak Su, saudara sepupu ibunya, yang tinggal tidak berapa jauh dari rumah mereka. Tetapi Afifah masih tak tahu apa dan kenapa semua ini. Tiba-tiba Mak Chah jatuh pengsan.

"Cepat ambil air. Pasang kipas. Efa, tolong Mak," Pak Hanif memberi arahan kepada anaknya.

"Kenapa ni? Kenapa mak cari ayah kat rumah Mak Asma?" Tiba-tiba segala jawapan datang sendiri ke fikiran Afifah.

"Ayah kahwin dengan Mak Asma!" Afifah terus bingkas bangun. Dia amat marah, Afifah rasa meluap-luap.

"Ayah tahu, esok Efa ada ujian! Efa takkan maafkan ayah!" Afifah terus memeluk ibunya.

"Sabar Mak," sambil dia mengusap dahi Mak Chah yang baru sedar dari pengsan.

Besoknya, Mak Chah dikejarkan ke hospital kerana agak lama tak sedarkan diri. Selepas sehari, beliau dibenarkan pulang. Tetapi sampai saja di rumah Mak Chah kembali tak bermaya.

Selama enam bulan berikutnya Mak Chah sakit aneh. Bila dibawa ke hospital sahaja, beliau akan cepat sedar. Tetapi apabila balik ke rumah, sama juga, beliau terus lemah. Doktor mengatakan Mak Chah tak sakit apa, cuma mengalami tekanan mental.

Saudara dan jiran mengesyorkan Mak Chah berubat secara tradisional pula. Bomoh demi bomoh datang untuk cuba mengubati Mak Chah. Akhirnya, Pak Hj Ismail dapat memulihkan Mak Chah. Pelbagai cara aneh digunakan, tetapi apapun, yang nyata Mak Chah semakin bertambah sihat.

Pak Hanif pula, semakin lama semakin kelihatan seperti orang yang dalam kebingungan.

"Ayah dengar ada suara berbisik di telinga ayah ni," Pak Hanif bercerita meminta simpati anaknya. Afifah turut bingung. Walaupun dia marah, tetapi di waktu yang sama, Afifah juga kasihan melihat keadaan ayahnya sekarang. Pak Hanif sentiasa termenung; beliau tak pernah ceria lagi.

1 comment: