Monday, February 1, 2010

INNA LILLAHI WA INNA ILAIHI RAJIU'UN


Begitulah kehendak dan ketentuanNYA. Sudah ditentukan saudara sepupu Pak Caq menemui ajalnya pada pukul 11.25 tadi pagi. Sijil kematian mencatitkan sebab kematian sebagai darah beku di otak dan 'aneurysm' iaitu gelembong di saluran darah yang membesar, dan kemudiannya pecah.

Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik. Jenazah telah dapat segera dibawa keluar dari Hospital Ampang Puteri iaitu sebelum pukul 1.00 tengahari. Pak Caq suami isteri dan anak sulong Allahyarhamah telah mengiring jenazah ke Masjid Kampung Baru untuk dimandi, dikapan dan disembahyangkan, iaitu sesuai dengan permintaan suaminya.

Sebelum zohor, jenazah sudah tiba di Masjid. Upacara memandi dan mengkapan di sempurnakan selepas solat zohor, iaitu pada jam 2.30 petang. Selepas itu masa diberi untuk kunjungan hormat jenazah.

Sesuai dengan permintaan suaminya juga, jenazah di sembahyangkan selepas solat Asar dan kemudian terus dibawa untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Ampang. Syukur Alhamdulillah, jiran yang diamanahkan untuk menguruskan tentang pengkebumian mendapat tempat yang hampir dengan pintu gerbang masuk.

Dengan cuaca yang baik dan semua yang diatur-rencana berjalan lancar, upacara pengkebumian dan membaca talkin selesai hampir jam 6.00 petang tadi. Semoga Allah terus permudahkan perjalanan dan alam barzakh Allahyarhamah.

Saudara mara jauh dan dekat yang sempat sampai agak ramai juga. Apa pun, semua anak-anak, adik-adik dan saudara-saudara terdekat sempat berjumpa Allahyarhamah sebelum beliau menghempuskan nafas terakhirnya.

4 comments:

  1. Aslmkm Pak Caq.
    Takziah. Bid turut simpati. Sama-samalah kita doakan semoga dicucuri rahmat.

    ReplyDelete
  2. Salam Pak Caq.
    Ucapan takziah dr saya sekeluarga. Semoga Allah cucuri rahmatNYA.

    ReplyDelete
  3. Salam Pak Caq.
    Salam takziah & juga ikut doakan semoga dicucuri rahmat.

    ReplyDelete