Thursday, September 10, 2009

JOM ZIKIR


Apa Itu Zikir

Pada lazimnya kita ertikan zikir sebagai tahlil, tahmid, tasbih dan takbir. Tetapi sebenarnya zikir merangkumi segala ungkapan dan amalan yang dilakukan untuk mentaati Allah SWT.

Ini bererti apa juga ucapan rangkai kata serta perbuatan gerak laku yang dilakukan oleh seorang Muslim dengan rasa taat dan tulus ikhlas kerana Allah adalah zikir dan ibadah. Jadi, segala apa yang diucapkan dan dilakukan oleh seorang Islam di atas landasan dan teras hati yang luhur serta jujur adalah zikir dan ibadah yang mendapat ganjaran pahala dari Allah SWT.

Senang Tapi Tak Mudah Dapat Pahala

Allahu Akbar. Betapa senangnya untuk kita mendapat ganjaran pahala. Ya, seperti kata saudara Indonesia kita, "gampang dong!" Segala apa jua percakapan dan perbuatan kita seorang Muslim yang beriman dengan Allah akan di balas dengan imbuhan pahala. Tetapi, kita dituntut untuk melakukan tiap sesuatu zikir dan amalan itu dengan penuh taat, ikhlas dan jujur. Di sinilah saringan itu bermula.

Benar, hakikatnya tidak mudah bagi seorang insan itu untuk terus sentiasa bercakap dan melakukan sesuatu itu dengan penuh taat, jujur dan ikhlas kerana Allah semata-mata sebab manusia sentiasa dipengaruhi oleh nafsu dan syaitan. Jika ianya begitu mudah, tentulah dunia akan aman sentosa dan manusia tak akan saling bercakaran, bermusuhan, malah berperangan seperti apa yang berlaku secara berleluasa sekarang ini. Apa yang menyukarkan ialah manusia secara sedar atau tidak, sering terarah untuk berkiblatkan kebendaan dan kekayaan serta kepuasan hawa nafsu.

Jelaslah yang kafir itu tidak beriman dengan Allah SWT. Terang dan nyata mereka ini musuh Islam; mereka bercakap dusta; mereka sombong, bongkak dan membenci Islam serta mencari kebahagiaan dan laba dunia.

Tetapi yang tidak begitu nyata dan ketara ialah mereka yang di dokumentasikan sebagai Islam, yang namanya Islam dan yang mengakui di mulut secara zahir dia seorang Islam. Terlalu ramai dari kalangan ini yang juga bercakap dusta; mereka juga sombong, bongkak dan melebihkan kepentingan diri serta nama, kedudukan, dan harta.

Benar, bukan layak kita sesama insan untuk mengkategorikan mereka masuk ke golongan mana. Namun mereka ini membuat banyak perkara jadi kacau, dan umat Islam lainnya jadi keliru dan haru.

Zikir Langkah Selamat

Untuk mengelakkan kita turut dimurkai dan dilaknati Allah, kita mesti memperelokkan amalan kita; kita mesti kukuhkan akidah dan iman kita; kita mesti menjauhkan diri dari hasutan syaitan; mesti kuat melawan nafsu dan juga mesti menjauhkan daripada mereka yang cenderung ke arah melakukan kekufuran dan kemungkaran itu apabila kita tidak berupaya mengubahkan mereka. Jangan sesekali kita bersekongkol dengan mereka.

Senjata dan perisai yang paling kukuh untuk melindungkan diri ialah dengan kita sentiasa berlindung dengan Allah SWT dan memohon keredhaanNYA. Kita mesti sentiasa berpegang teguh kepada senjata-iman dan memperkuatkan perisai-ibadah ini.

Memang sudah sahih, cuma ada satu saja jalan untuk merealisasikan kebahagiaan yang kekal abadi iaitu jalan yang diredhai Allah SWT. Kita diseru untuk sentiasa mendekatkan diri dengan Allah, dan sentiasa taat kepadaNYA: mesti taat menunaikan segala kewajipan fardhu; mesti taat kepada segala perintah dan larangannya, serta mesti tulus ikhlas kerana Allah SWT dalam segala amalan kita. Ternyata benar ibadah zikir adalah langkah yang selamat.

Fahami Zikir

Mari kita cuba fahami zikir ini dengan lebih dekat lagi. Kita boleh memahami zikir dengan cara menganalisakan mengikut bahagian, ciri-ciri dan kaedahnya.

A. Bahagian

Zikir boleh di bahagikan kepada tiga kategori iaitu:
  1. Zikir dengan lidah - tasbih, tahmid, tahlil, takbir, berselawat Nabi dan membaca Al Quran.
  2. Zikir dengan hati - memikirkan dan mengingati tentang kebesaran, keagungan dan kekuasaan Allah SWT iaitu seperti kejadian langit dan bumi.
  3. Zikir dengan menunaikan semua bentuk ketaatan kepada Allah SWT - mengerjakan solat, puasa, haji, berjalan dan menghadirkan diri di tempat ibadah, serta menghadiri majlis ilmu.

B. Ciri-ciri Zikir

Pada lazimnya, zikir mengandungi unsur-unsur seperti berikut:

  1. Pujian kepada Allah SWT.
  2. Doa kepada Allah SWT.
  3. Astaghfar kepada Allah SWT.
  4. Memohon sesuatu yang baik kepada Allah SWT.
  5. Ketaatan kepada Allah SWT.
  6. Bacaan beberapa ayat Al Quran.

C. Kaedah Zikir

Cara dan kaedah zikir yang terbaik ialah:

  1. Usahakan sedaya upaya untuk memusatkan fikiran dan perasaan hanya kepada Allah SWT.
  2. Yakin dan percaya Allah menerima segala amalan baik yang dilakukan.
  3. Yakin dan percaya bahawa Allah tidak mengenepikan permintaan dan harapan.
  4. Menyatakan segala sebutan ungkapan dan perkataan dengan jelas dan terang.
  5. Menggunakan suara yang sederhana.
  6. Mengakhiri zikir dengan ucapan selawat Nabi SAW dan bersyukur serta pujian kepada Allah SWT.

Jom Kita Amalkan Zikir

Marilah bersama-sama kita tajamkan senjata-iman dan teguhkan perisai-ibadah untuk memantapkan iman kita sendiri serta sebatikan diri kita dengan amalan zikir. Jom, kita mula dari sekarang, bertepatan dengan 10 malam terakhir bulan Ramadhan yang mulia ini. Jangan sesekali kita lalai lagi. Biarlah zikir ini menjadi amalan sehinggalah ke akhir hayat kita. Semoga kita termasuk di dalam golongan orang-orang beriman yang mendapat keredhaan Allah SWT. Amin.

No comments:

Post a Comment