Tuesday, September 8, 2009

MALAM LAILATUL QADAR - MALAM MISTERI RAMADHAN


Memandangkan malam Lailatul Qadar ini sudah menggamit, Pak Caq pun ingin turut membicarakannya juga. Tapi Pak Caq lebih cenderung untuk kita sama-sama mencari malam Lailatul Qadar itu sendiri.

Elok jugalah kita imbas sejenak tentang malam Lailatul Qadar ini. Lailatul Qadar itu bermakna Malam Takdir. Ianya adalah satu malam yang Allah SWT janjikan takdir atau ganjaran yang amat tinggi nilainya, dan ini disebut dengan amat jelas di dalam satu surah yang pendek, iaitu surah Al Qadr.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!" (Quran, Al-Qadr 97: 1-5)

Ayat ini menyebut dengan jelas bahawa Lailatul Qadar adalah sebagai malam yang penuh keberkatan. Pada malam ini Allah mencucuri pelbagai rahmat, keampunan dan keberkatan kepada orang yang beramal dengan khusyuk dan berdoa dengan penuh keikhlasan. Allah SWT Taala yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, mengadakan Lailatul Qadar semata-mata kerana amat menyayangi hamba-Nya yang taat beribadat kepada-Nya, bertujuan untuk menganugerahkan kepada hamba-hambaNYA pahala-pahala yang banyak, untuk membolehkan kita masuk syurga.

Allah SWT mempunyai sebab mengapa DIA mengadakan Lailatul Qadar khusus buat umat Nabi Muhammad SAW. Mengikut ulama, Rasulullah melihat bahawa umur umatnya tidak sepanjang umat sebelum mereka, jadi baginda bermohon kepada Allah untuk memberikan peluang di mana umatnya dapat beramal dengan yang nilainya sama dengan amalan umat sebelum mereka. Dengan itu Allah SWT menganugerahkan Lailatul Qadar yang mempunyai nilai pahala seribu bulan kepada Rasulullah, para sahabat malah kepada seluruh umat baginda sebagai tanda kasih sayang dan rahmat-NYA yang menyeluruh.

Menurut ulama, amal kebajikan seseorang hamba Allah pada malam itu adalah lebih baik daripada amal kebajikan selama seribu bulan yang dihisabkan bersamaan 83 tahun empat bulan. Oleh kerana keutamaan ini, Rasulullah menganjurkan umatnya agar mencari dan seterusnya mendapatkan malam yang penuh keberkatan ini dengan cara menghidupkan malam terakhir Ramadan. Kita disyurkan untuk melaksanakan iktikaf serta membangunkan seluruh keluarga untuk lebih meningkatkan amalan ibadat pada malam hari; tidak mendekati isterinya dengan tujuan memperbanyakkan amal ibadat di masjid seperti solat tahajud, Witir, solat Tarawih; membaca dan bertadarus al-Quran serta juga dengan berzikir kepada Allah dan melakukan amalan-amalan soleh lain.

Di samping itu kita juga disyurkan mengikut contoh Rasulullah yang sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Antara doa Baginda ialah doa yang maksudnya adalah: "Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang pedih." Doa yang dilafazkan itu bukan sekadar satu permohonan untuk memperoleh kebajikan dunia dan akhirat, malah untuk memantapkan langkah dan kesungguhan agar dapat meraih kebajikan yang dijanjikan Allah. Ini kerana doa itu sendiri membawa maksud satu permohonan yang penuh tulus dan pengharapan. Tetapi kita mesti bersungguh-sungguh berusaha melipatgandakan amal ibadat yang mendekatkan diri kita kepada Allah SWT, serta juga bersungguh-sungguh bertaubat dan memohon ampun kepada Allah di atas segala kesalahan dan dosa selama ini.

Sekarang kita balik semula kepada persoalan yang Pak Caq nak kongsikan tu, iaitu untuk kita sama-sama cuba mencari Lailatul Qadar ini. Sepertimana kita tahu, para ulama berbeza pendapat tentang perkara ini. Mengikut ulama, malam Lailatul Qadar ini akan jatuh pada malam ganjil pada malam sepuluh terakhir Ramadhan. Antara hujah ulama adalah seperti berikut:
  1. Imam Nawawi berkata bahawa sebahagian ulama menyatakan malam itu bergilir dari tahun ke tahun. Ini bererti jika pada tahun ini Lalilatul Qadar berlaku pada malam 29 Ramadhan, tentunya pada tahun akan datang, malam ini akan berlaku pada tarikh yang berbeza.
  2. Ibn Hazm juga mengatakan Lailatul Qadar itu jatuh pada satu malam samaada iaitu 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadan.
  3. Jumhur ulama pula mengatakan bahawa Lailatul Qadar itu berlaku pada malam yang sama pada setiap Ramadan iaitu pada malam 27 Ramadan. Ini berdasarkan hadis Rasulullah daripada Ubai bin Ka'ab yang diriwayatkan oleh Tirmizi dan hadis dari Mu'awiyah yang diriwayatkan Abu Dawud. "Saya mendengar Rasulullah bersabda carilah Lailatul Qadar itu pada malam 27."

Sebahagian sahabat dan ulama pula cuba menentukan Lailatul Qadar dengan cara menggunakan rumusan tertentu iaitu seperti berikut:

  1. Ibnu Abbas berkata bahawa surah al-Qadr itu terdiri daripada 30 kalimah. Kata salamum hiya (selamat sejahteralah malam itu) berada pada kalimah yang ke-27. Oleh itu Ibnu Abbas menyatakan bahawa malam al-Qadar berlaku pada malam ke-27.
  2. Sebahagian ulama menyatakan bahawa kalimat Lailatul Qadr terdiri daripada sembilan huruf. Dalam surah al-Qadr kata-kata Lailatul Qadr itu diulang-ulang sebanyak tiga kali. Sembilan didarab tiga adalah 27. Maknanya Lailatul Qadar itu berlaku pada malam 27.
  3. Ulama lain seperti Ahmad Marzuk dan Ibnu Arabi berpendapat bahawa Lailatul Qadar itu berlaku pada malam Jumaat ganjil pada 10 malam terakhir Ramadan.
  4. Imam Bukhari memberi dalil yang paling kuat mengenai Lailatul Qadar ini, iaitu dengan berasaskan hadis daripada Aishah iaitu, "Carilah sedaya-upaya kamu Lailatul Qadar itu pada sepuluh malam ganjil pada akhir Ramadan."

Perbezaan pendapat sahabat dan ulama ini sebenarnya adalah satu kenyataan jelas bahawa tidak ada satu dalil atau bukti khusus yang menunjukkan bila malam ini berlaku. Tetapi sahabat dan ulama bersepakat dengan hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Aishah tadi bahawa malam itu berlaku pada sepuluh malam ganjil akhir Ramadan.

Allah SWT telah menunjukkan kebesarannya dengan memberi tahu tentang kebesaran dan keunggulan Malam Lailatul Qadar atau Malam Seribu Bulan ini tanpa memberi tahu bila sebenarnya malam ini berlaku dalam bulan Ramadhan itu sendiri. Jadi malam Lalilatul Qadar akan terus menjadi satu malam yang penuh dengan misteri. Begitulah kebesaran Allah SWT yang mahukan umat Muslim terus merindui kedatangannya, dan terus menunggu serta mencari dengan penuh harapan dan taat setia jika kita mahu bertemu dengannya.

Sesungguhnya ayat al-Quran yang menceritakan tentang masa berlaku Lailatul Qadar, tidak memberitahu secara jelas kerana ia bertujuan agar manusia tidak hanya tertumpu pada satu malam itu sahaja. Allah Maha Mengetahui, sekiranya manusia itu tahu malam tersebut, mereka sudah pasti akan bertindak begitu.

Jadi ia dirahsiakan agar umat Muslim menghidupkan setiap malam terakhir Ramadan dengan amalan-amalan yang pernah dilakukan oleh Rasulullah, para sahabat dan para solihin yang terdahulu. Kita harus terus beribadah kerana setiap malam Ramadhan itu memiliki hikmah dan rahsia tersendiri, dan dengan terus berbuat demikian setiap Muslim pasti akan bertemu dengan Lailatul Qadar.

Bila sebenarnya berlakunya Lailatul Qadr, hanya Allah SWT sahaja yang tahu. Tetapi marilah kita sama-sama menghidupkan 10 malam terakhir mulai malam besuk ini dengan melakukan sebanyak ibadah yang terdaya. Semoga tahun ini kita mendapat rezeki untuk bertemu dengan Lailatul Qadar, supaya pahala amalan kita dilipat gandakan oleh Allah dan dikira sebagai amal soleh yang mendapat keredhaan Allah, insya Allah.

2 comments:

  1. salam sobat
    trims infonya.
    ada AWARD untuk sobat,,mohon diterim ya,,di blog NURANURANIKU,trims.

    ReplyDelete
  2. Hello! Do you want to download movie, game or beautiful girls pls visit

    http://llc-movies.blogspot.com
    http://sexylady-asian.blogspot.com
    http://llc-freegame.blogspot.com
    http://over18movie.blogspot.com
    Thanks!!!

    ReplyDelete