Thursday, October 22, 2009

MEMAGAR RUMAH

Pak Caq baru teringat bahawa selain daripada memperkukuhkan roh, kita seharusnya sentiasa memohon Allah memberi perlindungan untuk tempat kediaman, harta benda dan wang yang disimpan dengan cara memagar rumah dari segala gangguan iblis dan syaitan serta juga perbuatan jahat manusia. Kita memang dibenarkan melakukannya dengan secara yang dibenarkan oleh Islam. Kali terakhir Pak Caq buat begitu dah melebihi lima tahun. Sepatutnya sentiasa juga diulang buat, tapi Pak Caq pun dah lalai juga.

Itulah kita kan selalu sahaja terlalai dengan usaha-usaha sampingan ni. Bukan susah sangat nak menabur garam bercampur lada hitam serta percikkan air yang sudah siap dibacakan ayat-ayat Al Quran di sekeliling rumah tu. Biasanya Pak Caq amal membaca ayat Qursi dan bila berkelapangan serta ingat, akan turut membaca ayat pagar rumah juga. Kekadang tu baca pun laju dan cepat jer. Sedangkan Ulama dan ahli agama selalu mengingatkan kita bahawa segala amalan mesti mengikut peradaban yang terbaik.

Pada kebiasaannya, orang-orang ulama atau yang lebih arif siap menyediakan garam yang dicampurkan lada hitam serta air yang dibacakan dengan ayat-ayat Al Quran untuk kita tabur dan percikkan di sekeliling rumah. Tapi, hari ini Pak Caq nak kongsi ilmu membuat semuanya sendiri serta bagaimana nak memagar dengan cara yang disyorkan oleh Ulama yang arif dan bijaksana.

Pertamanya, kita harus sediakan garam dan lada hitam dalam kadar nisbah sukatan lebih kurang 10 : 0.5 iaitu seperti 10 kilo garam dengan 1/2 kilo lada hitam. Gaulkan kedua-duanya dalam satu bekas. Kemudian baca surah/ayat-ayat berikut:
  1. Al Fatihah - 1 kali
  2. Al Iklas - 1 kali
  3. Al Falaq - 1 kali
  4. Annas - 1 kali
  5. Ayat Kursi - 313 kali

Selepas selesai membaca ayat Kursi, tarik nafas panjang-panjang dan telan nafas itu. Kemudiannya terus tiup ke arah campuran garam dan lada itu. Dinyatakan bahawa adalah lebih baik sekiranya dilakukan perbuatan menarik nafas dan menelannya setiap kali selepas membaca ayat Kursi itu 50 kali. Perkara yang sama dilakukan untuk air.

Bagi memagar rumah, cara-caranya adalah seperti urutan berikut:

  1. Campuran garam dan lada hitam itu hendaklah ditabur di sekeliling rumah di waktu maghrib, lepas maghrib ataupun ketika tengah malam.
  2. Sebaik-baiknya, azankan dahulu di tengah-tengah rumah, kemudian baru keluar untuk menabur bahan garam.
  3. Mulakan dari penjuru depan sebelah kanan serta menghadap ke arah Kiblat.
  4. Ambil segenggam campuran garam dan lada, mulakan dengan membaca A'audzubillah, Bismillah, Al Fatihah dan ayat Kursi samaada 1 atau 3 kali, kemudian berdoa memohon perlindungan daripada Allah SWT dari segala kejahatan samaada daripada iblis dan syaitan, manusia dan/atau manusia yang bergabung dengan iblis dan syaitan.
  5. Lihat ke penjuru kanan belakang dan mula membaca ayat Kursi. Perlahan-lahan jalan ke arah penjuru itu sambil menabur campuran garam dan lada itu serta menghabiskan bacaan ayat Kursi tu.
  6. Ulang perbuatan (5) dari penjuru kanan belakang ke penjuru kiri belakang, seterusnya ke penjuru kiri depan, dan kemudiannya berjalan balik ke penjuru kanan depan kembali.
  7. Lihat ke atas ke bahagian bumbung. Ambil campuran garam dan lada lagi, ulang perbuatan (4), berdoa minta Allah lindungi bahagian atas rumah daripada sebarang gangguan.
  8. Tabur garam dalam genggaman dari sebelah kiri ke kanan ke atas keseluruhan bumbung rumah. Jika kawasannya agak besar, pastikan taburan melingkungi seluruh kawasan bumbung rumah.

Cara di atas ialah bagi rumah banglo atau rumah sesebuah. Bagi rumah teres atau rumah berkembar, mulakan dari penjuru kanan menuju ke setiap penjuru luar hingga membawa ke pintu depan dan seterusnya ke setiap ruang dalam rumah mulai dari bahagian bilik sebelah kanan. Ikut arah dari bilik ke bilik dan penjuru ke penjuru menuju ke ruang kiri sehingga keluar semula ke pintu depan. Terus keluar menuju ke penjuru luar ke kiri dan balik semula ke penjuru kanan asal mulanya. Biarkan campuran garam yang ada di dalam rumah untuk beberapa hari barulah boleh disapu.

Lupa pulak nak cakap. Kita mesti usaha melakukannya pada hari-hari yang makbul doa iaitu seperti hari Jumaat atau pada hari Wukuf. Pilihan sekarang terbuka untuk kita. Yalah, tak lama lagi, kita akan merayakan Hari Raya Korban. Jadi, kita boleh pilih samaada untuk melakukannya pada hari Jumaat atau pada hari Wukuf tahun ini.

Kita sama-samalah amalkannya ya. Jika rasa tak terdaya nak baca sendiri, boleh minta pertolongan para Ulama yang betul-betul arif. Tapi, tentulah lebih afdal untuk kita lakukan sendiri. Insya Allah, kita akan sentiasa dipelihara.

2 comments:

  1. panduan yang baik. terima kasih.

    ReplyDelete
  2. Assalamu'alaikum, boleh tak beri dalil dari hadis-hadis yang sahih mengenai amalan yang di atas?

    ReplyDelete