Sunday, October 25, 2009

BUDGET KENDURI

Pak Cak ingatkan kenduri kahwin yang bermula sejak dari Hari Raya ni akan habis pada 1 November ni. Tapi semalam Pak Caq dapat jemputan kahwin yang membawa sampai ke Hari Raya Qurban pula. Selepas tu sudah pasti akan ada lagi kerana dah masuk musim biasa kenduri-kenduri diadakan.

Nampaknya sekarang ni, di Selangor dan Wilayah Persektuan terutamanya, orang dah tak tunggu cuti panjang sekolah lagi. Sebaliknya orang mengadakan kenduri pada hari minggu sepanjang tahun.

Katanya, antara sebab utama ialah susah nak mendapat dewan besar dan juga hotel pada musim cuti sekolah. Untuk menempah dewan pun makan masa sampai setahun lebih, terutama sekali dewan yang terkenal seperti Dewan Merak Kayangan dan Dewan Perdana, Felda tu. Untuk dewan dan hotel lain pun kena tunggu giliran yang membawa ke bulan juga.

Agaknya juga sebab sekarang ni hari minggu, iaitu kedua-dua hari Sabtu dan Ahad dah hari cuti umum. Tak menjadi masaalah sangat bagi keluarga dari jauh untuk turut datang juga menghadirinya.

Yang menjadi agak berat sekarang ialah dari segi budget saja. Mahu tidaknya! Ternyata harga barang semua sudah mahal. Kalau tiga empat tahun dulu, kita sudah dapat membeli satu hadiah yang agak baik dengan RM 50. Sekarang barang yang sama sudah berharga hampir sekali ganda, bermakna hadiah sudah menjadi RM 100 setiap satu.

Bayangkan bila setiap bulan ada kenduri antara 5 - 10, jadi budget sudah jadi antara RM 500 - 1000 sebulan. Berat juga tu bagi kebanyakan orang, terutamanya bagi pekerja-pekerja kumpulan sokongan kerajaan dan yang setara dengannya. Malah bagi kumpulan atas pun akan terasa juga sakitnya pada bulan-bulan atau masa-masa tertentu.

Pak Caq sekeluarga pun sekarang terpaksa ikut budget juga. Yalah gaji kalau naik pun langsung tak selari dengan kenaikan harga keperluan dan barangan; bila gaji naik 5%, harga barangan naik melebihi 25%. Isteri Pak Caq kata kalau saudara dan kawan dekat kena budget lebih sikitlah. Namun begitu, Pak Caq letak siling pada RM 300 dan bawahnya sekitar RM 100.

Jika banyak pun kenduri, biasanya kita tak dapat memenuhi kesemua undangan. Pak Caq sekeluarga biasanya hanya memenuhi 2 - 4 kenduri setiap hari Sabtu dan Ahad, kecualilah jika kenduri-kenduri tu jarak antara satu dengan yang lain agak dekat dan diadakan di tempat kediaman. Kalau jamuanya di dewan atau hotel tertentu, kita hanya dapat menghadiri satu kenduri saja pada satu-satu masa.

Biasanya hal-hal beli hadiah ni masuk dalam tugas isteri Pak Caq la, begitu selalunya bagi setiap keluarga kan? Bila masa 'emergency' macam ketika terlepas pandang barulah Pak Caq berdua dengan anak pergi beli di kompleks membeli-belah yang dekat-dekat rumah ni. Tapi biasanya masih berpandukan kepada yang selalu isteri Pak Caq pilih untuk satu-satu majlis tu.

Isteri Pak Caq suka pilih barang baik yang berguna seperti set makan petang atau malam, dan alat kelengkapan dapur atau rumah. Lihat saja seperti hadiah dalam gambar di bawah. Ini adalah set hidangan yang comel dan unik. Tapi Pak Caq tak dapat nak tunjukkan rupa bentuknya. Semua hadiah untuk minggu ni dan minggu hadapan dah siap dibungkus seperti hadiah ini.

Bulan ini budget larilah juga sedikit, sebab tak ada hadiah yang eluk sedikit dalam budget harga bawah tu. Kemudian, hari tu kan kecurian pula lagi. Tapi apapun, dah sudah rezeki orang lain kan! Kita ikhlas dan redhakanlah.

1 comment:

  1. oo...banyak jugak budget utk hadiah kawin ni eh..

    ReplyDelete