Saturday, October 24, 2009

SIKAP BOLEH DIBENTUK

Sementara menunggu isteri bersiap untuk pergi ke satu lagi kenduri kahwin ni Pak Caq masuk la kejap ke sini. Sebelum zohor tadi pun Pak Caq sekeluarga dah pergi ke satu majlis kenduri kahwin di Shah Alam, tapi tak terus pergi ke tempat kenduri yang kedua kerana anak Pak Caq ada urusan dan nak pergi ke pejabatnya. Kenduri yang kedua ni dekat Taman Tun saja.

Pak Caq nak cerita tentang peristiwa bengang yang berlaku semalam. Memang Pak Caq bengang dengan sikap orang Malaysia yang tak boleh ikut undang-undang dan peraturan yang baik serta bersikap baik seperti orang yang bertamaddun dan berpelajaran. Tak tahulah ya, kenapa di Malaysia ni jadi begini?

Macam semalam, gara-gara beberapa orang letak kereta ikut suka hati, Pak Caq terperangkap tak boleh keluar dari tempat letak kereta untuk satu tempuh masa yang amat lama. Polis yang bertugas di pondok polis yang berdekatan pun tak boleh buat apa-apa. DBKL pun tak ambil tindakan yang sewajarnya. Pak Caq pula yang terpaksa tinggalkan saja kereta Pak Caq di situ dan ambil teksi untuk pergi menghadiri mesyuarat.

Apa yang berlaku semalam tu jelas menunjukkan sifat mereka yang angkuh dan pentingkan diri saja. Sesuka hati saja mereka letakkan kereta di belakang kereta yang masuk dalam petak letak kereta yang disediakan, dan menghilang entah ke mana. Pak Caq dan tiga orang lagi tak dapat keluar kerana terdapat sebaris kereta yang diletakkan di belakang kereta-kereta yang masuk dalam tempat letak kereta. Puas bunyikan hon kereta, tak ada siapa pun yang datang.

Pak Caq singgah di situ untuk membeli sedikit barang yang diperlukan dan bayar 'parking' harga minima 80 sen untuk tempuh minima satu jam. Dalam setengah jam dah selesai dan Pak Caq pun bergegas untuk pergi solat Jumaat di Masjid Kampung Baru. Selepas lama juga bunyikan hon kereta dan tak ada pemandu atau tuan punya kereta pun datang, Pak Caq tak ada pilihan, kenalah solat Jumaat di Masjid India pula. Lepas sembahyang tu, kereta-kereta tu masih lagi di situ, sedangkan Pak Caq ada mesyuarat pada pukul 2.45 petang.

Pegawai DBKL yang bertugas hanya dapat berkata, "Mereka pergi sembahyang ni. Susah, boleh bagi saman tapi mereka nanti lagi biarkan saja kereta di situ untuk masa yang lama lagi ... kalau kunci pun sama juga ... kalau panggil kereta untuk tarik pun tak dapat masuk, sekarang jam ..." Begitu juga polis yang bersikap, "kena cari 'driver' kereta juga ..."

Itulah semuanya jadi haru-biru. Negara kita memang ada pelbagai undang-undang dan peraturan yang baik dan terkini setanding negara-negara maju yang lain. Tetapi malangnya, hampir semua undang-undang dan peraturan hanya baik di atas kertas saja. Bila perlaksanaan, implementasinya begitu longgar dan tak bermaya. Kira macam kereta berhias saja, menang tempat pertama pun tak guna kerana berfungsi hanya sebagai hiasan untuk dibanggakan untuk beberapa ketika saja.

Peristiwa seperti semalam bukan yang pertama kali. Dah selalu juga orang letakkan kereta di belakang kereta Pak Caq yang masuk dalam tempat letak kereta tu. Malah dah berkali-kali juga bertekak dengan mereka-mereka ini. Macam-macam jawapan dan alasan mereka seperti, "everyone like that one lah, ..... ala baru sekejap saja tak boleh sabar? ... saya dah puas tunggu 'parking' nak beli satu barang saja ....."

Anehnya Pak Caq pernah juga terserempak dengan dua orang dari antara mereka ini di Singapura. Ehhh, boleh pula mereka ikut peraturan dan undang-undang di Singapura tu. Mereka letak kereta di tempat letak kereta awam yang agak jauh dari kompleks membeli-belah dan berjalan ikut jalan yang ditetapkan dan boleh beratur lagi menunggu giliran.

Jadi jelaslah sikap ni memang boleh pun dibentuk untuk mengikut peraturan bilamana penguatkuasaan itu berkesan. Ini yang Malaysia kita harus ikut dengan patuh. Jangan buat peraturan dan undang-undang yang baik saja, perlaksanaan juga mesti baik dan berkesan. Pasti sikap baik boleh dibentuk selari dengan tamaddun.

No comments:

Post a Comment