Saturday, October 10, 2009

BERAYA SAKAN!

Nampaknya sekarang ni, di Semenanjung pun dah ada yang merayakan Hari Raya Aidilfitri selama sebulan. Dulu-dulu tu, Pak Caq ingat orang Sarawak saja yang betul-betul beraya. Rupanya dah berkembang keseberang sini juga. Kebetulan Pak Caq berjumpa kawan-kawan yang sama-sama bekerja di Sarawak dulu. Jadi rancaklah kami semua bercerita. Terkenang kembali suasana beraya di Sarawak dulu. Hari ni, Pak Caq nak kongsi pengalaman ini bersama semua.

Walaupun sudah lama pengalaman Pak Caq sekeluarga duduk di Sarawak tu, tapi setiap kali datang Syawal, mesti terkenangkan semasa beraya di sana. Seingat Pak Caq, empat kali Pak Caq sekeluarga beraya di sana.

Pada kali pertama beraya di sana Pak Caq sekeluarga tidak bersedia dengan kejutan beraya tu. Memang la ada kekawan yang sudah lama bertugas di sana tu memberitahu bahawa orang Sarawak memang betul-betul beraya selama seminggu, dan kemudiannya pula mereka masih terus dalam suasana hari raya hingga sebulan raya. Kekawan juga sudah beritahu supaya menyediakan banyak makanan kerana orang-orang Sarawak yang datang beraya suka makan.

Pada pagi raya tu, semasa Pak Caq anak-beranak nak keluar untuk pergi Sembahyang Aidilfitri, sudah ada tiga keluarga menunggu di luar pagar untuk beraya. Mereka bukan Islam, dan mereka ingat Pak Caq seorang saja yang akan pergi Sembahyang Raya tu. Jadi terpaksalah beritahu mereka untuk datang semula kemudiannya kerana hanya pembantu saja tinggal di rumah.

Selepas solat sunat pula, semua kekawan katakan bahawa Pak Caq semua mesti ikut protokol dengan pergi beraya ke Istana, ke rumah Ketua Menteri dan ke rumah Setiausaha Kerajaan Negeri dahulu. Kata mereka ketiga-tiga tempat utama akan buat catatan kedatangan semua Ketua Jabatan. Sebagai orang baru, kita orang akur saja dan ikut konvoi ramai-ramai ke semua 'destinasi wajib' ini. Sebenarnya cukup sekadar dengan tunjuk muka, tapi bila dah pergi ramai-ramai, semua duduk makan juga sedikit di setiap tempat tu. Kira-kira pukul sebelas pagi barulah selesai kunjungan wajib tu. Selepas tu semua pulang ke rumah masing-masing kerana kata mereka yang dah beberapa kali beraya di sana, 'di rumah kita mesti sudah ada tetamu menunggu.'

Memang benar begitu. Dari jauh sebelum sampai rumah sudah kelihatan beberapa kereta berderet 'parking' di sepanjang jalan depan rumah sewa Pak Caq tu. Rumah tu memang di tepi jalan besar. Setelah sampai rumah dan buka pagar, nah engkau! Sudah lebih dari sepuluh keluarga sekali datang, terdiri dari semua bangsa dan agama.

Apa lagi, 'panic'lah kita orang dibuatnya. Walaupun makanan sudah sedia terhidang di meja, tapi semestinyalah bukan untuk tetamu seramai lebih dari 40 orang sekaligus. Tapi nasib baik juga isteri Pak Caq tak ambil ringan pesan kekawan untuk sediakan banyak makanan tu. Tetamu yang datang pun turun padang juga bantu tambahkan makanan dan sediakan minuman. Lepas tu bertali arus pula tetamu datang, tak putus-putus, macam kita buat rumah terbuka gayanya!

Suasana berlanjutan hingga ke tengah malam. Lebih segantang ketupat pulut habis licin sebelum malam lagi. Makanan lain pun, kecuali biskut raya, habis semuanya. Masa tengah menyediakan makanan itu, kita orang berseloroh juga, "Esok kalau tak ramai orang datang , tak habis, kita panggil semua depa tu, paksa mai makan!"

Tetapi ternyata benar apa yang dikatakan kekawan. Mereka yang kenal atau tahu kita memang betul-betul datang beraya. Letih tak terkata! Pak Caq suami isteri terpaksa bergesa-gesa solat wajib, dan secara bergilir-gilir pula tu kerana pembantu rumah takut dengan suasana tu. Yalah, tak pernah lagi sebelum itu kami keluarga berada di dalam situasi seperti itu. Kalau kita buat rumah terbuka pun, kita sudah bersedia dengan 'kaki-tangan' untuk bantu melayan tetamu kan!

Pagi esoknya isteri Pak Caq sudah turun ke dapur sebaik saja selesai solat Subuh. Pak Caq tak ingat pula makanan apa yang disediakan, tetapi segala bahan-bahan tu sudah isteri Pak Caq sediakan awal kerana beliau akur dengan saranan kekawan, dan tak mahu malu pula nanti jika tidak menyediakan makanan. Cuma hari tu isteri Pak Caq kata dia sediakan satu jenis makanan itu dengan nasi impit kuah kacang saja lagi, tapi cukup untuk menampung hingga 100 orang. Tapi sebelum petang, bila makanan sudah nak habis, isteri Pak Caq goreng bihun pula rasanya.

Hari ketiga, Pak Caq dah kerja semula kerana Pak Caq tak ambil cuti. Ada juga tetamu datang sebelah petang dan malam tu, tapi pada hari itu dan seterusnya Pak Caq sekeluarga tutup pintu pagar. Rupanya, begitulah cara kita memberitahu bahawa kita sudah tidak menerima tetamu lagi pada ketika itu. :) Namun begitu, masih ada juga yang datang. Kita pun tak sampai hati untuk tidak buka pintu pagar bila mereka tekan loceng berkali-kali.

Hanya orang-orang yang pernah beraya di Sarawak saja tahu betapa meriahnya suasana raya di sana. Pak Caq sekeluarga pun ada juga pergi berkunjung ke rumah orang-orang Sawarak, termasuklah ke rumah pemandu pejabat. Ternyata semua mereka menyediakan pelbagai jenis kek yang unik, terutamanya kek-kek jenis berlapis dan kek hati pari. Pendeknya, semua rumah yang dikunjungi punya hidangan kek dan biskut raya penuh meja. Kata mereka semua kek-kek Sarawak tahan lama sehingga sebulan. Kata isteri Pak Caq, kek hati pari tu makan masa sekurang-kurangnya 8 jam untuk membuatnya. Mungkin itulah sebabnya tahan lama.

Begitulah nostalgia Raya di Sarawak. Walaupun letih dan sakit-sakit badan dibuatnya, tapi kita benar-benar rasa nikmat raya; kita gembira dengan gelagat mereka; kita puas dengan keikhlasan mereka. Sampai ke hari ini pun, Pak Caq sekeluarga tak pernah merasai suasana raya sakan dan sangat seronok beraya seperti semasa di Sarawak tu!

3 comments:

  1. sebulan raya Pak Caq.. hehehehe.. ada masa lagi nak ngap belen2 kueh raya yg ada.. :D

    ReplyDelete
  2. aa.raya da nak habis.da habis puasa 6?

    ReplyDelete
  3. Vry sorry, sila baca ceritanya ...

    ReplyDelete