Monday, August 24, 2009

GANJARAN TARAWIH AMAT BESAR

Semua Muslim dan Muslimah tahu bahawa bulan Ramadhan merupakan penghulu segala bulan. Sempena itu kita di tuntut untuk menghidupkan malam Ramadhan dengan pelbagai cara. Salah satunya tentulah sembahyang atau solat sunat tarawih.

Pak Caq perhatikan memang banyak di kalangan anak-anak muda turut mengerjakan solat sunat ini. Malah merekalah yang tambah meramaikan jemaah. Cuma, Pak Caq perhatikan banyak pula dari kalangan anak-anak muda ini suka duduk di saf-saf belakang, atau di tepi hujung saf. Mungkin tujuannya supaya mereka dapat segera keluar sebaik saja selesai solat, kerana Pak Caq lihat mereka akan segera hilang sebaik saja selepas salam solat akhir.

Mengikut pengamatan Pak Caq, di mana-mana masjid yang melakukan solat terawih 20 rakaat, kebanyakan mereka ini juga akan hanya solat hingga selesai 8 rakaat sahaja. Di mana masjid yang melakukan hanya solat 8 rakaat, mereka akan tunggu hingga selesai solat terawih. Kebanyakan mereka tidak tunggu hingga selesai solat sunat witir.

Kebanyakan mereka ini juga tidak begitu perihatin, seolah-olah seperti tidak pedulikan jemaah lain. Sebenarnya, sukar juga mencari perkataan yang tepat, kerana kalau dikatakan itu tidak kyusuk, perkataan kyusuk tu lebih bermaksud 'benar-benar menghayati apa juga yang dikerjakan.' Tetapi kita tak mungkin dapat tahu keadaan hati nurani seseorang. Rasanya, hanya tuan tubuh diri seseorang itu saja tahu samada dia kyusuk atau tidak.

Tetapi, apa yang Pak Caq perhatikan mereka melakukan perbuatan yang menggangu jemaah lain. Perbuatan ini adalah seperti bercakap-cakap dulu sesama sendiri sehingga ke saat Iman hampir selesai atau telah selesai membaca Al Fatihah rakaat pertama baharu mereka akan takbir masuk solat jemaah. Ini berlaku terutamanya apabila Imam membaca surah-surah yang agak panjang, atau membaca satu juzuk.

Mungkin jika mereka benar-benar faham akan kebaikan amalan terawih ini dengan ganjaran pahala dan kebajikan yang amat besar, mereka akan lebih peka. Jadi Pak Caq ingin paparkan ganjaran kebaikan yang dijanjikan ALLAH YANG MAHA PEMURAH dan MAHA PEMBERI. Jadual ganjaran dan kelebihan yang dipaparkan lebih merupakan panduan kerana ganjaran dan kebajikan sebenarnya adalah HAK ALLAH. Tetapi yang jelas dan nyata, ganjaran dan kebajikan untuk ibadah solat Tarawih adalah amat besar, sepertimana yang digariskan di dalam kitab 'Wadu An-Nashohie' dan disenarikan di bawah:

Malam 1 : Dosa keluar dan insan seolah-olah seperti baru dilahirkan ibunya.

Malam 2 : Dosa diri dan kedua ibu-bapa yang mukmin diampuni.

Malam 3 : Malaikat menyeru dari bawah 'Arasy "Mulailah kamu beramal kerana Allah telah mengampunkan dosamu yang lalu.

Malam 4 : Pahala yang sama seperti pahala orang yang membaca Kitab Taurat, Injil, Zabur dan Al Quran.

Malam 5 : Mendapat pahala seperti orang yang melakukan sembahyang di Masjidil Haram, Masjidil Nabawi dan Masjidil Aqsha di Palestin.

Malam 6 : Mendapat pahala seperti pahala orang yang tawaf di Baitullah.

Malam 7 : Pahala seperti orang hidup di zaman Nabi Musa yang membantu mengalahkan Fir'aun dan Haman

Malam 8 : Diberikan Allah segala apa yang pernah diberikan kepada Nabi Ibrahim.

Malam 9 : Pahala seperti pahala ibadah Nabi Muhammad s.a.w.

Malam 10 : Dikurniakan kebaikan dunia dan akhirat.

Malam 11 : Keluar dari dunia seperti pada hari dilahirkan, iaitu bersih daripada segala dosa.

Malam 12 : Datang di hari Qiamat dengan mukanya bercahaya dan bersinar.

Malam 13 : Datang di hari Qiamat dengan keadaan aman dari segala kejahatan.

Malam 14 : Malaikat menjadi saksi solat Tarawih, dan dibebaskan dari segala mudarat.

Malam 15 : Segala Malaikat memohon ampun untuk mereka yang mengerjakan Tarawih.

Malam 16 : Dibebaskan dari api neraka dan diberi ganjaran syurga.

Malam 17 : Diberikan pahala seperti pahala para Nabi.

Malam 18 : Diseru oleh Malaikat, "Wahai hamba Allah, bahawanya Allah telah redha kepadamu dan kepada orang tua kamu.

Malam 19 : Diangkat darjatnya ke dalam syurga Firdaus.

Malam 20 : Diberi pahala para syuhada dan solehin.

Malam 21 : Dibina rumahnya dari Nur di dalam syurga.

Malam 22 : Di hari Qiamat, ia akan datang dengan aman dari segala kesusahan dan dugaan.

Malam 23 : Dibinakan sebuah kota untuknya di syurga.

Malam 24 : Diberikan pahala yang merupakan dua puluh empat permohonan dikabulkan.

Malam 25 : Dihapuskan dari seksa kubur.

Malam 26 : Pahalanya diangkat selama empat puluh tahun.

Malam 27 : Dapat melintasi Jambatan Sirat dengan amat laju seperti kilat.

Malam 28 : Allah mengangkatkannya dengan seribu darjat.

Malam 29 : Diberi pahala seribu haji yang mabrur.

Malam 30 : Dipanggil dan dipersilakan oleh Allah, "Wahai hambaKU, makanlah buah-buahan syurga dan mandilah dengan air salsabil serta minumlah dari telaga kausar. Akulah Tuhanmu, dan engkau Hambaku.

1 comment: