Monday, August 3, 2009

MENCARI ARAH

Episod 8

Setahun Yang Amat Perit

Sejak terbongkar rahsia ayahnya kahwin lagi, dan sejak ibunya jatuh sakit dan terus terlantar dengan penyakit yang aneh, Afifah terpaksa menjadi dewasa dengan cepat. Dia terpaksa belajar dengan cepat untuk menjaga dirinya sendiri, belajar untuk jadi teguh dan utuh, serta juga belajar untuk berani menghadapi cubaan. Afifah merasakan tiada siapa pun ambil peduli dengannya.

Ayahnya sudah menjadi seperti orang asing. Pak Hanif sering pulang lewat malam. Apabila di rumah pun Pak Hanif tak ceria seperti dulu. Ayahnya sering murung, dan sering tak mahu makan. Pak Hanif seperti berada di dalam dunianya sendiri.

Sementara itu, Afifah pula masih marah pada ayahnya. Dia tak berapa ambil pusing tentang ayahnya. Mungkin perbuatan anaknya ini melukakan hati Pak Hanif juga.

"Ayah tak apa-apa." Itulah ungkapan yang sering Pak Hanif ucapkan kepada anaknya. Memang Pak Hanif tak pernah marahkan anaknya yang satu ini. Tapi beliau juga tidak tahu kenapa beliau tak boleh mesra lagi dengan anaknya.

Selepas terlepas dari 'kuasa buatan orang' Mak Chah kelihatan seperti seorang anak kecil yang baru belajar berjalan. Ya, ibunya terpaksa belajar berjalan semula. Untuk tempuh yang agak lama, Mak Chah juga sentiasa berada di dalam keadaan kebingungan.

Jiran-jiran pula kalau datang bertandang ke rumah, mereka tak abis-abis bercerita yang buruk-buruk sahaja. Kalau ikutkan hatinya, Afifah memang tak ingin pun melayan mereka. Tapi dia akur dengan kehendak adat dan tata susila.

Afifah juga rasa teramat perit kerana datuknya seperti meminggirnya. Tok Nah selalu sahaja pergi entah ke mana. Bila diajak untuk menemani dirinya, Tok Nah sentiasa memberi pelbagai alasan. Afifah telan segala derita ini.

Afifah Di Pinang Orang

Hilai ketawa dua kawannya yang datang bertandang langsung tidak menghiburkan Afifah. Tapi mereka bertiga terus juga duduk di atas anak tangga, tangga utama rumahnya.

"Efa, tolonglah tengok rambut aku ni. Macam terbelah," kata Atikah, kawannya.

"Ok, kau tengok kepala aku, ada kutu ke tidak, aku tengok rambut Tikah," Nora pula mencadangkan.

Sedang mereka leka-leka begitu, tiba-tiba sebuah kereta berhenti di depan tangga.

"Mak dan ayah ada?" Mereka bertiga memandang sesama sendiri, kerana tetamu yang bertanya jelas bukan dari kampung mereka, kerana mereka kenal semua orang sekampung.

"Tanya mak ayah saya kah?"

"Ya, Pak Cik Hanif dan Mak Cik Arisah ada? Ini betul rumah Pak Cik Hanif dan Mak Cik Arisah?"

"Ayah pergi pekan. Mak pergi makan kenduri kat kampung seberang," jelas Afifah kepada tetamu yang tak tahu siapa ini. Tapi dia tak berminat pun nak bertanya untuk mengetahui siapa tetamu yang datang.

"Lambat balikkah?" Tetamu terus bertanya lagi.

"Tak tahu, mak dan ayah tak cakap pun."

Bermacam-macam, dan entah apa-apa soalan lagi tetamu tanyakan. Afifah rasa kurang senang.

"Kalau ada hal mustahak, abang datang kemudian, petang-petang sikit," syor Afifah.

"Takpalah. Saya balik dulu. Nanti semua akan diuruskan, terima kasih banyak ya."

Seminggu kemudian, Mak Pah yang terkenal sebagai 'agen menemu jodoh' berkunjung ke rumah mereka. Beliau datang bersama dengan lima orang lagi serta membawa tepak sireh dan beberapa buah tangan. Afifah kehairanan. Hatinya terdetik juga, 'siapa yang mahu dipinang mereka ini? mengapa di sini?'

Kemudian semuanya jelas. Tetamu yang bertandang pada minggu sebelumnya memang datang untuk bertemu Afifah, untuk melihat sendiri calon isterinya secara bertentang mata.

Pak Hanif serba salah dibuatnya. Mak Chah pun tak tahu nak berkata apa. Tetamu yang datang bukan sebarang orang. Mereka merupakan wakil-wakil Dato' Haron, seorang hartawan di bandar sana. Mereka membawa hajat yang terlalu besar, iaitu untuk memenuhi hajat anak Dato' berkenaan, Fazlan, seorang graduan lulusan Universiti Malaya, dan baru bekerja sebagai Penolong Pegawai Daerah atau 'ADO.'

"Efa tu muda sangat sangat. Baru buat kad pengenalan. Dia tak tahu buat apa-apa lagi pun," begitu penjelasan Pak Hanif.

"Tak apa. Semua boleh diajar. Anak teruna pun kata tak apa, dia sanggup macam mana pun. Asal mahu saja," anggota rombongan pula memberi kepastian.

"Ya, bukan senang Fazlan nak setuju. Ni dia sendiri kata dia berkenan sangat dengan Afifah."

Memang benar Afifah adalah seorang anak gadis yang jelita dan menjadi gilaan ramai anak bujang di kampungnya sendiri. Dia juga agak tinggi lampai, jadi dia kelihatan agak besar di usia semuda itu.

"Terima kasih banyak Mak Cik dan Pak Cik semua. Saya nak pergi belajar kat sekolah menengah dulu."

Hatinya geram. 'Kalau dah lulusan universiti, ADO lagi, kenapa pinang aku, dah tak laku kah?' Afifah berbicara sendiri dalam hatinya.

Semua orang lain terdiam. Mereka saling berpandangan. Mak Chah dulu yang memecah kesunyian suasana.

"Maaf la ya. Anak saya ni budak lagi, maaf la dia tak tahu beradap, maaf ya."

Tetapi Pak Hanif rasa lega. Afifah juga lega. Tetamu tinggalkan semua buah tangan yang dibawa kerana begitulah mengikut pesanan anak teruna.

"Fazlan kata kalau tak diterima sekarang kerana Afifah terlalu muda, dia sanggup menunggu. Semua yang dibawa adalah khas untuk Afifah, ikhlas darinya," demikian jelas mereka.

Jadian Liar

Keadaan keluarga Pak Hanif, Mak Chah, Afifah serta adik angkatnya, Syukran, memang sentiasa bergelora. Pertengkaran dan pergaduhan di antara Pak Hanif dan Mak Chah memang sudah menjadi acara harian; kalau tak pagi, tengah hari; kalau tidak petang atau malam; kadang-kadang pagi dan petang.

Afifah terus buat halnya sendiri. Namun dia tetap tahu batas. Syukran pula terlalu kecil untuk ambil peduli.

Di Hari Raya tahun itu, Fazlan dan keluarganya datang beraya. Jelas dia bermaksud apa yang dikatakannya. Malah jelas sekali dia benar-benar mencintai anak gadis Pak Hanif. Afifah tak berapa melayan, tapi Fazlan tak kesah kerana dia percaya lama-lama Afifah akan menyukainya juga. Fazlan yakin dia punya rupa, punya kedudukan dan punya harta yang sentiasa menjadi ukuran gadis dalam memilih calon suami.

Afifah rasa tidak senang. Bukan dia menidakkan kelebihan yang ada pada Fazlan, tapi hatinya masih tak terbuka. Lagi pun Afifah sedar dia terlalu muda untuk memikul tanggung-jawap sebagai seorang isteri. Zaman ini tidak sama seperti zaman ibu dan ayahnya. Malahan apa yang berlaku kepada Mak Chah dan Pak Haniflah yang amat menakutkan Afifah.

'Kalau kahwin begitu cara hidupnya, baik tak payah mencari susah,' bisik hatinya.

Tetapi Fazlan kerap bertandang ke rumah. Sudah hampir dua tahun berlalu, Fazlan masih setia menunggu. Pak Hanif dan Mak Chah pun sudah bertambah suka dengan anak teruna ini. Inilah yang membuat Afifah bertambah resah.

"Abang Min, Efa nak ikut pergi party tu. Cakap kat ayah nanti Abang Min jaga Efa," pintanya kepada abang sepupu sebelah Pak Hanif sendiri.

Mulai malam itu, Afifah sering ikut ke party-party. Dia sengaja berlagak liar. Afifah yakin, lama-lama Fazlan akan percaya bahawa Afifah tidak sesuai untuk diperisterikan kerana dia seorang gadis yang liar. Begitu bijak Afifah mencatur langkahnya.

No comments:

Post a Comment