Wednesday, August 5, 2009

MENCARI ARAH

Episod 9

JADI SUMPAHAN DAN SASARAN IBU

Afifah Dan Keluarga Sentiasa Di Gosip

"Tu cuba tengok, nun kat sana tu. Kan ke Hanif tu dengan bini mudanya. Asyik berkepit dengan bini muda pergi sana sini. Si Chah mengamuk hari-hari di rumah pun tak jadi apa," kedengaran Mak Ton berbisik ke telinga jirannya Mak Inson.

"Dah kena nasi kangkang! Orang pandai, Chah pula ikut hati, laki, apa lagi..." tambah Mak Inson. Mereka ketawa berdekah-dekah.

"Anak pula jadi mangsa. Si Efa tu nampak dah jadi budak liar... pergi sana sini ikut jantan," mereka terus mengata.

Tetapi Afifah tidak peduli. Dia terus juga keluar pergi menonton 'cheap matinee' dengan kawan-kawanya setiap hari minggu. Dia ikut juga kawan-kawannya pergi lepak-lepak di taman bunga, dan sesekali dia juga ikut pergi ke pesta. Afifah tak ambil kesah sangat apa kata ibunya, kerana dia sendiri sudah tak mengerti ibunya lagi. Kalaupun Mak Chah marah dan melarang, Afifah masih tetap dapat melepaskan dirinya untuk pergi kerana dia bijak mencari peluang dan ruang.

Afifah lagi tidak ambil peduli dengan apa yang orang nak kata mengenainya. Dia yakin dia masih amat waras, dia yakin dia tidak lupa kepada ajaran agama, dan dia yakin dia boleh mengawal dirinya. Malah Afifah sentiasa ingat pesan datuknya.

"Kekayaan dan harta kita yang tidak ternilai sebenarnya adalah diri kita sendiri, kita mesti jaga maruah diri walaubagaimana sekalipun!"

Namun di kampungnya, Afifah dan keluarganya sudah menjadi bahan utama gosip.

"Semalam dan hari sebelumnya pun dia mana ada pergi sekolah. Dua hari lepas, Mimah tengok dia kat 'Station Hotel' dan semalam aku sendiri pulak nampak dia kat situ," becok Kak Som bercerita.

"Ehh Pak Hanif tahu ke? Rasa dia tak tahu. Kan Pak Hanif selalu tak ada kat rumah. Tengah malam baru tahu balik. Mak Chah pula bukan betul sangat," sambung Kak Azah pula.

"Nanti petang ni kita pergi rumah Mak Chah juga. Bagitahu saja la kat Mak Chah, sebelum si Efa tu hanyut lebih jauh!" Kak Mimah membuat keputusan untuk mereka bertiga.

"Macam mana kalau Mak Chah pula marahkan kita? Orang tua tu kan ke dah macam sewel?" tanya Kak Azah pula.

"Biar la, daripada esok kita malu kerana perbuatan si Efa. Kewajipan kita bagitahu, sebab kita tahu. Esok kalau dah jadi apa-apa, orang tak salahkan kita," Kak Som menguatkan hujjahnya.

Mak Chah Sering Naik Hantu

Hari ini Afifah terlepas lagi bas trip pukul 6.15 petang. Tadi dia terleka membantu cikgu-cikgu dan kawan-kawan sekolahnya mengemas peralatan sekolah selepas majlis debat di antara sekolah-sekolah.

Hari sudah pun lewat senja. Sebaik sahaja turun dari bas Afifah berlari sekuat hatinya. Jalan ke rumahnya agak gelap, dan dia rasa agak takut. Sebelum sampai di tangga rumahnya lagi, Afifah sudah terus di marahi ibunya. Mak Chah menjerit-jerit di lewat senja itu.

"Haa, ni kerja kau...kata pergi sekolah, tapi kamu pergi melayan jantan di hotel itu! Kamu pergi menyundal!!"

Sepantas kilat badan Afifah dirembat dengan daun kepala, dan secepat itu juga Afifah meluru naik tangga dan berlari naik ke atas rumah, terus masuk ke dalam biliknya dan mengunci pintu dari dalam.

'Maghrib-maghrib ni masuk hantu la. Ada orang bagitahu apa-apa la ni,' hati Afifah berhujjah membuat kenyataan.

"Buka pintu ini!!" Mak Chah terus membentak, dan menepuk-nepuk pintu bilik Afifah dengan kuat sekali. Tapi Afifah tetap mendiamkan diri.

'Tak sembahyang magrib la aku malam ini,' kata hatinya. Memang Afifah tak berani nak keluar kerana ibunya tengah 'naik hantu.'

"Mak dah sembahyang?" dia bertanya ibunya.

Mak Chah tidak menjawap pun soalan Afifah. Malah beliau terus marah dan berleter panjang. Afifah tak ada pilihan, dia terus tidur saja.

"Efa tahu la apa yang dia buat. Takkan dia nak buat macam tu. Chah tanya betul-betul dulu. Tak baik duk dengar cerita orang. Kalau Efa tak pergi sekolah tentu pihak sekolah bagitahu." Kedengaran suara Pak Hanif berhujjah.

Afifah terjaga dari tidur dengan bunyi pertengkaran di antara ayah dan ibunya. Dia melihat jam di dinding. Jam sudah menunjukkan hampir pukul 12 tengah malam.

'Ooh, ayah dah balik,' kata hati Afifah. Lalu dia bingkas bangun, ambil tuala dan keluar dari biliknya untuk pergi kebilik air.

"Haaa tu, kau siap..." sambil Mak Chah menerkam ke arah anaknya. Afifah mengelak dan terus berlari turun tangga menuju ke bilik air.

"Sudahlah Chah, sudah!" jerit Pak Hanif pula.

"Tu la..bapa jadi burung hantu, anak jadi hantu rayau, esok jadi pelacur!" bentak Mak Chah.

"Astaghfirullah..mengucap Chah. Jangan ikut sedap mulut tu..ni dah suka sangat sumpah anak sendiri..esok anak tu jadi tak elok..doa Chah la tu. Bawa mengucap banyak-banyak."

Afifah menangis sendirian di dalam bilik air. Dia sering benar-benar terguris dengan gelagat ibunya. Memang Mak Chah sentiasa cakap sesuka hatinya.

'Orang lain, ibu bapa aman, doakan anak-anak, aku kena maki hamun, sumpah seranah dengan mak ayah sendiri...' rintih hatinya sedih.

Afifah tak mampu berbuat apa-apa. Kalaupun dia tak pergi ke mana-mana, walaupun dia bercakap benar, ibunya sama saja. Mak Chah ikut hatinya sendiri.

Semua orang tahu sejak pulih sepenuhnya dari sakit dulu, Mak Chah mula sentiasa 'naik hantu' pula. Semakin sehari, semakin menjadi-jadi. Samada kerana Afifah dan Syukran bersalah atau kerana Mak Chah marahkan Pak Hanif, atau apa juga sebabnya, mereka berdua beradik akan sentiasa dimarahi juga.

Kekadang Mak Chah mengamuk tak tentu pasal. Syukranlah yang selalu menjadi sasaran Mak Chah kerana dia hanya seorang kanak-kanak yang masih kecil lagi. Afifah kasihan dengan adik angkatnya ini. Tetapi apalah yang dia berupaya buat. Salah-salah dia juga kena lebih teruk lagi. Cuma bila terdaya, dia akan menarik Syukran dari terus dipukul ibunya.

2 comments: