Tuesday, August 18, 2009

MENCARI ARAH

Episod 15

MENDUNG

Teman Bicara Menjauhkan Diri

Telah hampir lebih sebulan peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia selesai. Semua kawan paling rapatnya, Aziah, Zauyah, Rubiah, Halijah dan Akmal telah ikut pergi menggembara bersama kawan-kawan lain sejak seminggu yang lalu. Oleh kerana Pak Hanif tak berapa sihat, Afifah tak sampai hati nak meninggalkan ayahnya dalam keadaan begitu untuk turut bersama kawan-kawannya.

Tapi hari ini Afifah terasa amat kesepian. Dia juga terus rasa tertekan. Mak Chah asyik marah dan berleter, kalau tak pasal itu, pasal ini. Naik biul kepalanya.

"Kenapa Allen dah sebulan lebih tak datang? Sejak habis Efa periksa, Allen tak datang kan? Dia tak ada cakap apa-apa kat ayah. Selalu, kalau dia tak dapat datang dia beritahu. Efa gaduh dengan dia?" Pak Hanif bertanya sungguh-sungguh kepada anaknya.

"Tak ada la gaduh macam Mak dengan Ayah," Afifah cuba berjenaka dengan Pak Hanif.

"Jadi ada perselisihan faham la ni? Dia marahkan Efa ke Efa yang marahkan dia?"

"Dia kecil hati, dan Efa tak tahu macam mana nak buat untuk menghilangkan perasaan kecil hatinya. Efa tak tahu nak kata apa lagi pada Abang Allen," jelas Afifah.

"Efa ada buat salah?" tanya Pak Hanif lagi.

"Efa buat Abang Allen terlalu kecil hati. Sebenarnya, dia kecewa dengan Efa, dengan apa yang berlaku," Afifah memberitahu Pak Hanif.

"Tulah pasal. Dah elok-elok ada lelaki yang dah setia dan cinta mati, dia pula pandai cari pasal!" tiba-tiba Mak Chah mencelah.

"Cari pasal? Cari pasal macam mana?" Pak Hanif terus bertanya.

"Efa ada nak buat rujukan sikit," kata Afifah dan terus minta diri, tanpa menjawap komen dan pertanyaan ibu bapanya.

"Tengok la tu. Bukan boleh kata apa. Cakap orang langsung tak mahu dengar. Macam mana nak jadi isteri orang," rungut Mak Chah.

'Macamlah Mak tu jadi seorang isteri yang baik,' bentak Afifah dalam hati.

Biasanya pada ketika-ketika begini Fazlan sentiasa menjadi penawar hatinya. Tapi kini Fazlan menjauhkan diri darinya.

"Abang need some time and some space now," demikian tegas Fazlan bulan lalu, iaitu di waktu kali terakhir mereka bertemu. Fazlan menjemputnya di sekolah setelah selesai peperiksaan kertas terakhirnya tempuhari.

"Thank you so much for always being there for Efa all this time," balas Afifah.

'Why can't you just say that you really need me at least, Efa,' kata hati Fazlan. Beliau kecewa melihat Afifah terus berjalan pergi begitu sahaja.

'O Tuhan, mengapa harus jadi begini?' keluh Afifah sendiri pula.

Kata Hati Nurani

"Efa nak pergi bercuti ke rumah Pak Ngah dan Pak Anjang sementara menunggu keluar keputusan peperiksaan," demikian pinta Afifah kepada Pak Hanif dan Mak Chah.

"Adik nanti tinggal seorang. Kak tak kasihan kat adik?" kata Syukran.

"Adik ada ramai kawan-kawan tu, lagi pun sekolah dah buka. Pagi kat sekolah, petang mengaji, lepas tu main sekejap dengan kawan dah malam kan?" Afifah memujuk adik angkat yang sudah sebati sebagai adik kandungnya.

"Nanti Kak balik?" tanya Syukran pula.

"Insya Allah, mesti. Sebulan lebih macam tu. Sekejap saja. Pejam celik, eh Kak dah balik," Afifah meyakinkan Syukran.

"Hari minggu ni la Ayah hantar," syor Pak Hanif.

"Tak payahlah Ayah. Efa nak pergi sendiri. Hari itu, Ayah kata sekarang Ayah percaya kat Efa. Biarlah Efa pergi sendiri. Sampai nanti, Efa telefon la kat rumah Tok Lang minta Amran datang bagitau Efa dah selamat sampai, ok?" pinta Afifah.

"Tu la Abang Anif. Orang kata masuk telefon di rumah, senang kalau apa-apa," celah Mak Chah.

"Tapi betul kata Ayah, nanti rumah kita jadi macam rumah wakil rakyat pula, semua orang nak guna telefon," kata Afifah menyokong tindakan ayahnya yang tidak mahu pasang telefon di rumah mereka.

Selepas berada lebih dua minggu di rumah Pak Ngahnya di Kulim, Afifah dapat merasakan yang isteri Pak Ngahnya tidak berapa suka dengan kehadirannya. Dia tidak mahu menimbulkan masaalah.

"Efa ingat nak pergi rumah Pak Anjang kat Kampung Air Putih untuk beberapa hari. Nanti Pak Anjang kecil hati pula," jelas Afifah kepada Pak Ngahnya.

"Bukankah Pak Anjang kata nanti dia datang ambil minggu depan. Tunggu la sampai Pak Anjang datang," syor Pak Ngahnya.

"Efa ingat minggu depan Efa dah nak balik. Teringat kat Adik pula," balasnya.

"Nak pergi ke rumah Pak Anjang tu, bas masuk separuh jalan saja. Lepas tu kena jalan jauh kalau tak ada yang jemput. Tak boleh pergi. Tunggu esok la, Pak Ngah hantar nanti," demikian kata putus bapa saudaranya.

"Kamu ni Efa, baru saja tiga hari datang dah sebut pasal nak balik. Tak seronok di rumah Pak Anjang ni ya?" tanya adik bongsu ibunya.

"Ya la. Kat sini sawah bendang, dusun, hutan, tak seronok la," sambung isteri Pak Anjangnya seperti berkecil hati.

"Bukan macam tu Mak Anjang. Efa dah rasa rindu kat Ayah, Mak dan Adik," jelasnya.

"Alah, duduk la seminggu ka. Esok-esok mana ada Efa boleh datang lama lagi. Nanti nak pergi sambung belajar, lepas tu dah kahwin pula, tak ada dah boleh datang," pujuk kedua-dua Pak Anjang dan isterinya.

"Yalah," Afifah mengalah.

Sebenarnya Afifah mahu segera pulang untuk bertemu Fazlan. Dia memang yakin Fazlan mencintainya. Tetapi sekarang hati Fazlan amat terluka kerana pengakuan Afifah sendiri yang tidak pasti tentang perasaannya terhadap Fazlan. Afifah rasa dia perlu berterus terang.

'Efa terlalu sangat rindukan Abang,' kata hatinya yang amat merindui usikan-usikan dan senda-gurau Fazlan.

Afifah tahu dia mungkin kehilangan Fazlan untuk selamanya. Memang salahnya sendiri. Selama tujuh tahun, Fazlan begitu setia menantinya dan juga begitu sabar dengan segala kerenah-kerenahnya serta kerenah kedua ibu bapanya. Sementara Hadi pula baharu saja dia kenal dalam setahun ini. Malah sebenarnya dia dan Hadi hanya baru beberapa kali bertemu. Tetapi di antaranya dan Hadi seperti ada kuasa magnetik yang membuatnya teruja.

'Mungkin benar aku jatuh cinta kepada Adi. Tetapi aku juga kasih dan sayang kepada Abang Allen,' demikian kata hati nuraninya.

Kini sudah lebih dua bulan Fazlan langsung tidak menemuinya. Mungkin Fazlan tidak akan mahu menerimanya kembali. Afifah tidak mahu ambil pusing tentang itu. Dia hanya mahu bertemu Fazlan. Memang dia benar-benar rindukan Fazlan.

1 comment: