Thursday, August 27, 2009

'UNTUNG BESAR' DI BULAN RAMADHAN

Di bulan Ramadhan yang mulia ini kita berusaha memperlipat-gandakan segala bentuk ibadah kerana Allah telah menjanjikan ganjaran yang berlipat-ganda. Ya kita hamba Allah, umat Nabi Muhammad saw ini memang bersifat manusia yang mendambakan ganjaran bagi setiap apa yang kita lakukan. Lagi besar ganjaran, lagi banyak dan lebihlah usaha kita untuk melakukan amal ibadah yang di tuntut atau disyurkan.

Pak Caq teringat ceramah-ceramah agama yang menerangkan tentang segala perkara yang berkaitan seperti ini. Di antara banyak-banyak ceramah, Pak Caq rasa ceramah YBhg Dato' Hassan Din dan YBhg Dato' Ismail Kamus memberi kesan yang paling mendalam. Kedua-dua tokoh agama ini pernah memberi contoh bahawa kebanyakan manusia ini beribadah seperti berniaga: kata mereka '... macam orang buat bisnes, modal seboleh-bolehnya paling sedikit tapi untungnya paling maksima; jika keuntungan amat besar baharu berusaha dan mereka bersedia untuk mengeluarkan modal yang lebih besar ...'

Apa kata anda? Betulkan? Di dalam mencari keredhaan Allah, kita masih mencongakkan ganjaran yang Allah janjikan. Insya Allah, yang wajib kita laksanakan juga kerana namanya pun wajib. Ibarat makan dan minum serta amalan seangkatan dengannya, walau bagaimana sekali pun kita lakukan juga. Perkara yang selalu kita congakkan tu ialah amalan-amalan sunat seperti solat dan puasa sunat, sedekah, dan kebajikan lain.

Oleh kerana penghulu bulan Ramadhan ini menjanjikan ganjaran dan 'untung' terbesar kita pun turut juga berusaha untuk menyemarakkannya. Jadi, di dalam bulan Ramadhan ni masjid dan surau berseri-seri dengan solat tarawih dan witir serta tadarus. Sekurang-kurangnya, setiap masjid dan surau mengadakan acara solat-solat ini. Kalau pada malam di bulan-bulan lain, hanya terdapat satu atau dua saf jemaah saja. Tetapi, di bulan Ramadhan hampir di semua masjid dan surau, paling sedikit pun ruang utama solat akan penuh sesak dengan jemaah. Di semua masjid yang Pak Caq pernah ikut berjemaah di Malaysia kita, tidak kurang dari 500 orang jemaah lain turut sama-sama mengerjakan ibadah solat tarawih dan witir. Meriahkan? Benar, ramai yang mengejar ganjaran dan 'untung' terbesar.

Satu lagi ibadah yang sering diusahakan juga ialah untuk membaca Al Quran. Seboleh-bolehnya kita nak usaha menjadi 'jutawan' iaitu untuk membaca sekurang-kurangnya 300 ayat Al Quran sehari. Seelok-eloknya kita menghidupkan malam sepenuhnya dengan amalan solat sunat dan membaca Al Quran ini. Tetapi memang payah juga, terutama sekali kita harus bekerja di siang hari. Tugas kerja tu wajib, sedangkan amalan-amalan ini adalah sunat. Jadi keutamaan kita mestilah untuk bekerja dengan penuh tanggung-jawap dan amanah. Lepas tu baru boleh berusaha untuk mengerjakan amalan sunat sebanyak dan sebaik mungkin.

Pak Caq perhatikan ramai juga orang ikut bertadarus di masjid sekarang, tetapi sampai sekitar tengah-malam saja. Ini tentunya baik. Balik rumah bolehlah tidur sekitar 4 jam sebelum bangun untuk solat tahajjud dan sahur. Tetapi sebenarnya letih dan mengantuk di siang hari; terpaksa tidur masa 'lunch break.' Kalau tak, lepas beberap hari je, dah jadi layu.

Itu le sekarang ni ramai juga yang ambil cuti masa bulan Ramadhan. Kalau tak pergi mengerjakan umrah pun, masa cuti ini dipenuhi dengan memeriahkan malam dengan ibadah sunat.

Semestinyalah amalan sedekah juga dipergandakan pada bulan Ramadhan ini. Kekadang geli hati juga sendiri. Biasa-biasanya kita tak beri sesenang itu, tapi di dalam bulan Ramadhan kita pula mencari-cari di mana lagi harus kita salurkan sedekah. Asal saja ada orang minta sedekah, ramai yang akan memberi. Mereka tak mempersoalkan lagi samaada orang tu wakil/pekerja institusi/badan tertentu ke, agen pengutip derma ke, suruhan sindiket ke, penagih ke, atau apa juga sekali pun.

Walaupun pada dasarnya sedekah itu amat baik, Pak Caq tak ikut memberinya sembarangan saja. Selepas sekian lama, Pak Caq dapat tahu apa yang kita salurkan kepada pengutip derma sedekah itu sebahagian besarnya adalah sebagai komisen kepada pengutip derma itu sendiri. Pak Caq tahu ada yang memberi komisen sehingga 60%. Jadi Pak Caq ambil keputusan untuk salur terus kepada badan dan institusi yang berkenaan. Hati kita pun lebih tenang dan meredhakannya.

2 comments:

  1. hu.tapi still masih boleh buat kan amalamal sunnat walaupun bekerja.cuma rasa penat.je.takpe.takde tempat berehat yang lebih aman selepas syurga.

    ReplyDelete
  2. Selamat berpuasa Pak Caq.
    sayangnya amalan memberi ni berlaku hanya sepanjang ramadhan saja..Alangkah baik jika ianya berterusan

    ReplyDelete