Friday, August 14, 2009

MENCARI ARAH

Episod 14

BERPEGANG PADA HAKIKAT

Tercerai Ayah Dan Ibu

"Cik tak boleh diamkan jo. Kamu ni yo Esah, langsung jahil hukum. Nilah pasalnyo hidup kamu tak bokat, hari-hari dok main hukum Tuhan, dok dalam doso. Kono poie sahkan!" demikian tegas Wan Gayah yang baru beberapa hari datang dari kampung asal Mak Chah di Air Mawang, Negri Sembilan.

"Sey tak boleh diamkan bondo cam ni huh!" Beliau terus mendesak.

Seingat Afifah perkara ini sudah masuk kedua kali. Kira-kira tujuh bulan lepas Mak Chah asyik saja meminta cerai, selalu saja membentak dan mengamuk. Ada suatu ketika Mak Chah membaling pakaian dan barang-barang Pak Hanif keluar rumah. Mak Chah juga membaling penyapu ke muka Pak Hanif. Mungkin kerana terlalu geram dan marah terkeluarlah perkataan cerai dari mulut Pak Hanif. Selepas itu baru Mak Chah terus diam.

Afifah mendengar sendiri ayahnya telah pun melafazkan cerai ketika itu. Adiknya, Syukran juga ada. Jiran sebelah juga kata mereka dengar dengan jelas. Afifah memberitahu ayahnya tentang ini. Dia meminta ayahnya supaya merujukkan perkara ini kepada ulama. Tapi Pak Hanif menegaskan bahawa beliau tidak terniat untuk menceraikan Mak Chah.

Semalam 'drama ibu dan ayahnya' itu berulang. Nenek saudara Afifah turut mendengar lafaz cerai dari Pak Hanif. Sekarang Pak Hanif dan Mak Chah menghadapi tekanan dari ibu saudara Mak Chah supaya perkara itu 'mesti mengikut hukum.'

"Dulu Efa dah banyak kali cakap. Tapi Mak marahkan Efa balik," jelas Afifah bila Wan Gayah asyik mendesaknya untuk menceritakan segala tentang keadaan keluarga satu-satunya anak buahnya yang menetap di Kedah ini.

"Itu sey raso nak yo datang. Dah lamo sey raso camni huh. Tuhan marah ni huh. Udah lah, poie buat repot. Tak leh laii camni." Wan Gayah terus menerus mendesak.

"Ayah nak buat macam mana ni, Efa?" Pak Hanif bertanya kepada anaknya yang satu ini.

Pak Hanif dan Afifah saling berpandangan. Dua-duanya dengan kata hati masing-masing. Afifah insaf bahawa dia adalah saksi utama kepada kes yang besar ini.

"Efa kena tolong. Efa saja yang boleh tolong Mak dan Ayah. Takkan Efa suka Mak dan Ayah bercerai kan?" kata Pak Hanif cuba mencari jalan keluar dari kebuntuan yang sedanag melanda keluarga mereka.

"Ini hukum Tuhan Ayah. Efa tak boleh cakap sesuka hati saja. Efa mesti cakap yang benar," Afifah memberitahu Pak Hanif.

"Kamu pun memang suka Mak Ayah bercerai?" bentak Mak Chah pula.

Afifah berada dalam dilema antara kesetiaan kasih serta tanggung-jawapnya kepada ibu dan ayahnya dengan tanggung-jawapnya sebagai seorang Muslimah.

"Efa mesti menjadi saksi yang benar. Memang dah tak ada pilihan," Afifah cuba menerangkan tentang kedudukan sebenarnya kepada kedua ibu dan ayahnya.

"Ayah malu. Ayah sedih sangat. Dah tua-tua jadi macam ni. Tolonglah Ayah Efa. Apa yang harus Ayah buat sekarang?" demikian rayuan Pak Hanif kepada anaknya.

"Kita kena ikut hukum Tuhan. Dah lama Efa bagitahu kat Ayah dan Mak. Ayah tak nak dengar. Mak marah Efa," kata Afifah dalam sebak tangis.

"Semua orang tahu. Kita malu nanti. Tak habis-habis keluarga kita jadi macam-macam, malu Efa," sambung Pak Hanif.

"Keluarga kita dah lama pun menjadi bahan ketawa dan ejekan orang. Kita saja yang tak ambil pusing," tegas Afifah.

"Tu la Cik datang, dah jadi huru-hara," Mak Chah pula cuba meletakkan kesalahan kepada ibu saudaranya.

"Bukan pasal Wan. Ini hukum Tuhan. Dah banyak kali Efa bagitahu kat Mak, kat Ayah. Efa minta Pak Ngah bagitahu dan nasihatkan Mak dengan Ayah," Afifah terus cuba menerangkan tentang keadaan yang sebenarnya.

"Sekarang macam mana?" Pak Hanif minta pandangan anaknya.

"Sahkan perceraian ini. Kalau Mak dan Ayah tak mahu berpisah, lepas tu nikah la balik. Efa dah pernah tanya ulama dulu. Katanya macam tu," jelas Afifah.

Dilema Cinta Kasih

"Kau mesti fikir masak-masak Efa. Jangan esok kau menyesal tak sudah," demikian nasihat Aziah kepada Afifah.

Afifah memang sedar tentang dilema yang melanda dirinya sejak lebih setahun ini. Berkecamuk fikiranya di antara kasihnya kepada Fazlan dan cintanya pula pada Hadi.

"Kalau Efa sudah buat keputusan Abang tidak layak jadi suami Efa, apa boleh Abang buat? Abang memang sedih. Tapi Abang kenalah terima hakikat ini," demikian kata Fazlan semalam selepas beliau dan Afifah berbincang panjang lebar tentang perhubungan mereka.

"Efa tak pernah pun kata Abang tak layak jadi suami Efa, tak pernah sekali pun Efa kata macam tu," Afifah cuba menjelaskan keadaan sebenarnya.

"Tapi hakikatnya, Efa tidak boleh terima Abang sebagai suami Efa. Efa sudah ada orang lain," Fazlan terus berhujjah.

"Bukan macam tu. Efa tak kata macam tu pun. Efa hanya mahu berterus dengan Abang. Abang memang sudah terlalu baik. Efa juga sayangkan Abang," jelas Afifah lagi.

"Tapi Efa tak boleh terima Abang sebagai suami Efa?" tegas Fazlan pula.

"Efa sendiri pun tak pasti. Efa sekadar tidak pasti. Jadi Efa kena cuba mencari jawapan pasti. Efa tak mahu diamkan saja perkara ini kerana Efa tak mahu Abang kecewa jika Abang tahu kemudian dari sesiapalah," Afifah masih cuba minta kefahaman dari Fazlan.

"Tapi benar kan Efa tak boleh terima Abang sebagai suami Efa?" Fazlan terus bertegas.

Biasanya Afifah tidak akan panjangkan apa-apa isu pun. Dia selalunya biarkan saja sebarang isu yang menyebabkan dia harus bertekak dengan orang. Tapi hari ini lain. Dia tak mahu Fazlan membencinya. Dia tidak mahu Fazlan kecewa sedih kerananya.

"Efa memang sudah pasrah menerima Abang. Malah Efa amat bersyukur," Afifah cuba meyakinkan Fazlan dan dirinya sendiri juga.

"Efa minta maaf kerana melukakan hati Abang. Tapi Efa sendiri sedih dengan apa yang berlaku. Bukan Efa minta jadi macam ni, percayalah. Efa bukan sengaja nak lukakan hati Abang. It just happens, dan Efa minta sangat untuk Abang beri Efa sedikit masa lagi," jelas Afifah.

"Untuk apa?" tanya Fazlan.

Afifah tidak tahu bagaimana dia harus menjawap soalan itu. Air matanya bercucuran. Hatinya amat sedih. Malah dia kecewa dengan dirinya sendiri.

"Please Abang, please," rayunya. Namun dia sendiri tidak tahu apa yang dia mahu dari Fazlan.

Memang benar Fazlan adalah sebaik lelaki impian kebanyakan gadis. Beliau punya rupa, punya kedudukan dan harta. Fazlan setia menunggu Afifah sedari umurnya belum tiga belas tahun lagi. Sekarang sudah tujuh tahun mereka mengenal hati budi masing-masing. Tiba-tiba semuanya jadi kacau bilau bila Tengku Mohd Nazrul Hadi muncul dalam kehidupan mereka.

No comments:

Post a Comment